Usrah Bahagia + Rumahtangga Barakah = Keluarga Dakwah
( Bersama Menuju Ke Syurga)
-------
Harapan dan Hasrat Bersama.
Meriah sungguh hujung tahun yang
lalu, kad jemputan majlis walimatul urus sentiasa berkunjungan tiba di meja dan
tangan kami suami isteri. Gembira, seronok dan bahagia melihat ramainya
kenalan, sahabat handai dan saudara terdekat membina lingkaran bahagia mereka
melalui bahtera rumahtangga ini.
Syukur – Alhamdulillah.
Pastinya, apabila memenuhi
jemputan mereka – kita hadir dengan pelbagai hadiah, sumbangan dan ucapan.
Pelbagai ucapan diberikan.
“Semoga berbahagia sehingga
ke Syurga!,”
“ Tahniah dan syabas!,”
“ Moga ceria selalu
sehingga ke anak cucu,”
“ Mudahan bahagia selalu
dan perolehi banyak anak,”
Itu yang biasa dan sering kita
dengar. Namun, suatu dimensi yang berbeza di bawah oleh junjungan Mulia
Nabi Muhammad SAW apabila kita meraikan pasangan pengantin baru. Hal ini
bermula dengan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW yang baru sahaja bernikah.
Namanya ialah Uqail bin Abu Thalib dan pasangannya dari kalangan bani Jasym.
Saat hari kebahagiaannya, ramai
tamu yang hadir dan upacara pernikahan sungguh meriah walaupun sederhana. Ada
yang menitipkan ucapan kegembiraan, selamat dan doa. Namun, saat ini jiwa Uqail
terasa gundah dan gelisah.
Saat seorang tetamu hadir dan
mengucapkan :
“ Bir rafa’I wal banin, Semoga
bahagia dan banyak anak!,”
Lalu, Uqail bin Abu Thalib segera
teringat akan Rasulullah SAW. Susuk peribadi yang dicintainya. Lalu dengan
lembut, seraya beliau berkata :
“ Jangan kalian mengatakan
demikian, kerana sesungguhnya Rasulullah SAW menegah sedemikian,”
Beliau kehairan, lalu bertanya :
“ Kalau demikian, apakah yang
harus kami katakan ,wahai Abu Zaid?,”
“ Katakanlah oleh kalian : Semoga Allah kurniakan barakah kepadamu, dan
semoga Ia melimpahkan barakah ke atas kamu dan semoga Ia menghimpukan kalian
berdua dalam kebaikan.”
Itulah yang diperintahkan
kepada kita.”
( Hadis Riwayat oleh Imam Ahmad,
Nasai, Ibnu Majah, Ad-Darimi, Ibnu Sunni dan yang lainnya dengan kedudukan
hadis hasan)
Menarik bukan? Sungguh halus
didikan Rasulullah SAW.
Sesungguhnya bukan hanya
kebahagiaan yang kita impikan bersemi indah dalam rumah tangga kita. Amat
terlalu sederhana, jika itu sahaja yang kita cita-citakan.
Maaf, bukan bermaksud saya
menidakan pentingnya kebahagiaan dalam binaan bahtera rumahtangga kita. Bahkan,
tidak begitu. Bagi kita, seharusnya bukan hanya kebahagiaan yang kita idamkan
tetapi juga keberkatan atau keberkahan.
Kenapa keberkatan?
Barakallahu laka wa
barakallahu ‘alaika, wa jama’a bainakuma fi khair.
Itulah ucapan yang saya terima
ketika majlis walimatul urus saya. Hati begitu tenang mendengar ucapan itu
daripada sahabat-sahabat, rakan-rakan dan para kenalan.
Sejuk.
Membunga dengan titipan doa mereka.
Hati saya : “Ameen. Ameen.Ameen.”
– Ya Allah, permudahkanlah dan kabulkan hajat ini.
MasyaAllah. Inilah satu didikan
Rasulullah SAW buat kita semua. Tiada perkara yang lebih mulia daripada harapan
dan hasrat apabila melihat bertemunya dua hati dalam satu payungan cinta
melalui teduhan pernikahan ini kecuali keberkatan.
Pernikahan dan perkahwinan yang
dikurniai keberkatanlah yang mampu mewujudkan sakinan, mawadah wa rahmah.
Justeru, timbul dihati kita – apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan
barakah? Wallahu’alam.
Biasanya, keberkatan dikaitkan
dengan bertambah-tambahnya kebaikan (ziyadatul khair). Selalu sahaja ada
kebaikan yang dapat dihasilkan daripada pernikahan yang barakah. Kesimpulannya,
ialah pernikahan yang barakah menjadi penambah bagi lahirnya banyak kebaikan.
Rumahtangga bukan hanya kita
Salah satu tanda barakahnya
binaan rumah tangga kita – semakin banyak kebaikan yang mampu kita janakan
melalui saluran rumahtangga yang dibina. Sayangnya, berapa banyak keluarga yang
memperolehi kebahagiaan, dianugerahi anak yang ramai, diberikan kecukupan
rezeki dan harta, tetapi sama sekali tidak ditemukan adanya kebaikan di
dalamnya.
Bukan hanya mereka dan anak-anak
mendapat impak daripada rumah tangga itu, tetapi apa yang diharapkan lebih
daripada itu. Bersatunya mereka mampu menyinarkan satu harapan bagi masyarakat
dan lingkaran sekitar mereka. Bersatunya mereka melahirkan anak-anak penyejuk
mata yang akan memberikan “sesuatu” kepada masyarakat.
Barakah itu adalah barakah yang
melipat ganda kebaikan yang mampu memberi sumbangan kepada ummah keseluruhannya.
Inilah hasrat, tujuan dan matlamat murni baginda Rasulullah SAW. Institusi
keluarga yang terbentuk daripada masyarakat Islam, adalah institusi yang mampu
menjadi cahaya kepada wajah sebenar komuniti muslim yang sebenar.
Itulah impak barakah!
Output Barakah - Keluarga
Dakwah
Artinya, keberkatan rumah tangga
mampu melahirkan sebuah keluarga dakwah yang sejahtera, berkualiti, mantap dan
berdaya. Keluarga yang bergaul bersama masyarakat, ia tumbuh subur dengan
masyarakat sekelilingnya dan berperanan bersama mereka. Mereka punyai kekuatan
serta semangat untuk selalu berinteraksi dengan masyarakat. Hal ini
diisyaratkan oleh baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Orang mukmin yang bergaul
dengan manusia dan bersabar dengab cubaan mereka itu lebih baik dan lebih besar
pahalanya daripada orang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak
bersabar atas cubaan mereka.”
( Hadis Riwayat Tirdmizi dan Ibnu
Majah)
Kita semak, nilai dan perhalusi
rumah tangga kita saat ini. Mudahan, yang kecil-kecil inilah kita selalu
tekankan dalam binaan baitul muslim. Bermula dengan aspek pemilihan, barakah
kesederhanaan mas kahwin, suasana majlis walimatul urus, biah solehah baitul
muslim yang dibina, tarbiyah keluarga dan anak-anak semuanya menjadi elemen
penting untuk menuju barakah.
Yang terpenting juga - berusaha menjadi keluarga kita - keluarga dakwah. Suami isteri kita - pasangan dakwah. Dan anak-anak kita - pewaris kader dakwah.
Kerana itu, jangan remehkan doa
barakah buat pasangan pengantin baru.
Jumpa mereka, tatapi wajah,
genggami tangan dan lafazkanlah :
Barakallahu laka wa
barakallahu ‘alaika, wa jama’a bainakuma fi khair.
-----
BroHamzah
Muhasabah Diri, Keluarga dan Sumbangan Kami.
4 comments:
salam..perkongsian yg bermanfaat..
salam ziarah bro...insyaAlalh dgn ilmu membina rumah tangga yang bahagia mengikut Islam =)
Like 100000X kali :) Tq abang atas ingatan bersama.. Moga allah bantu kita utk sentiasa memelihara keberkatan dalam rumah tangga kita, insya-allah... ^_^
best best...
sangat membuka mata
ana berazam untuk membina keluarga dakwah natijah keberkahan dari Allah
Post a Comment