Tok Guru Kami

Wednesday, January 23, 2013



 Kenalilah Dirinya Dengan Mata Hati

Tok Guru Kami

Aku mengintainya daripada jendela seorang rakyat
Aku pernah berimpian untuk mengucup tangannya yang lembut itu
Aku masih ingat satu ketika seusai sesi kuliah pagi Jumaat yang hening
Aku beranikan diri bergerak ke hadapan untuk berdepan dengannya
Aku mencelah diri hulurkan tangan ditengah-tengah lautan  insan-insan lain berebut-rebut mendekatinya

Kusentuh jari-jemarinya
Halus, lembut dan halus
Sebak rasanya hati tiada siapa yang tahu

Melihat wajahnya yang bersih, tenang dan jernih
Dirinya senyum kepadaku

Dan, aku kucup tangannya sebagai penghormatan kepada ahli taqwa yang disegani, dihormati dan lagi dicintai.

Kenangan Lama

Saya masih ingat ketika kecil. Selalu sahaja mendengar nama tokoh ulama ini dimana-mana. Di sekolah, disurau, di kedai dan di surat akhbar. Lalu, saya selalu memanggilnya sekadar dengan nama sahaja. Lalu, abah saya menegur.

“ Tak molek panggil nama macam tu,” Kata abah.

“ Jadi nak panggil apa?,” Soal saya.

“ Panggil tok guru,” jawab abang dengan tenang.

“ Panggilan itu penuh adab dan tanda hormat kita kepada beliau. Seorang ulama dan pemimpin yang sangat dihormati dan disegani,” Sambung abah lagi.

Tok Guru Nik Aziz.

Saya menitiskan air mata melihat susuk tubuh dan keperibadian beliau. Saya rasa begitu pedih hati melihat fitnah-fitnah, tuduhan-tuduhan dan pelbagai berita palsu yang dilemparkan kepada beliau. Namun, tok guru adalah seorang yang sangat kuat dan luar biasa daya ketahanannya.

Kesabarannya, kesungguhannya dan kecekalannya amat-amat luar biasa. Kemampuannya “bertahan” dengan semua ini meningkatkan lagi kewibawaan dan keperibadiannya di mata saya.

Saya tidak memandang beliau daripada kaca mata dunia politik yang cacarmarba. Saya  memandang beliau sebagai alim ulama dan pemimpin yang sungguh berkarismatik lagi berwibawa. Prinsipnya, pendiriannya dan pegangannya sangat kuat, kukuh dan mantap!

Lebih 30 tahun, beliau dalam politik – dan 23 tahun memimpin Kelantan, terlalu banyak ujian, dugaan, cabaran dan tohmahan yang bertubi-tubi menyerang kamar kehidupannya. Tetapi, masyaAllah – dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT – tok guru menghadapinya dengan ketenangan, kesabaran, keimanan dan penuh kebijaksanaan.



Setiap kali memandang gambar ini, saya menjadi sebak. Tidak tahu mengapa.




Kenangan Indah

Saya pasti tidak akan melupakan detik yang manis, ketika menziarahi rumah tok guru bersama seorang Sheikh Palestin serta dua orang sahabat saya. Kami memilih waktu yang sangat istimewa. Waktu Subuh!

Selepas solat Subuh berjemaah, sempat menadah telinga mendengar tazkirah ringkasnya yang padat, bererti dan menyentuh jiwa .Beliau melayani kami sebagai tetamu dengan penuh ceria, gembira dan wajah yang bersungguh. Kemudian, dipelawa kami bertandang ke teratak singgahannya yang cukup sederhana.

 Dihidangkan sarapan pagi kepada kami sendiri. Perlahan-lahan berjalan menuju ke dapur, dan membawanya kepada kami. Berbual mesra dan sangat ketika itu suka melihat tok guru. Saya tidak mampu menggambarkan perasaan saya. Tetapi, saya benar-benar terpikat kepada keperibadian tok guru.

Penutup : Curahan Hati Tidak Disengajakan

Saya sendiri tidak tahu kenapa nukilan, tulisan dan tinta ini tercatat di sini. Namun, saya biarkan ia berlalu dengan post ini. Hati ini tidak dapat menipu atau menidakan suatu hakikat yang sebenarnya. Biar pun apa yang disebarkan berita-berita fitnah tentang beliau, saya sangat-sangat yakin akan “kebersihan” keperibadian dan sahsiah tok guru.

Tok Guru Kami

----
BroHamzah
Saya bukan taksud, hanya menyatakan kecintaan kepada seorang ulama’.
Salahkah mencintai manusia-manusia yang soleh?

1 comments:

.::: mr IQ :::. February 24, 2013 at 8:08 AM  

best la kalau ada pengalaman berjumpa dgn beliau

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP