Menulis buku : keperluan dan kemampuan.
Mampukah kita?
Memulakan coretan ringkas di awal pagi sebelum bermusafir.
Bismillah.
(1) Serikali saya diajukan soalan sebegini. Pertanyaan serta persoalan yang selalu membuatkan saya berfikir jauh ke hadapan. Dan – saya, tanyakan diri saya :-
“ Perlukah aku menulis buku?”
“ Berkemampuankah aku untuk merealisasikannya?”
“ Layakah aku untuk menghasilkan karya dalam bentuk buku?”
Saya pernah menghantar satu tulisan saya kepada editor sebuah penerbitan untuk diberikan komentar beberapa tahun yang dahulu, namun tiada jawapan serta komentar balasan. - Mungkin penulisan saya ini tidak menepati kriteria yang sepatutnya. Wallahu'alam.
(2) Di dalam penghasilan buku-buku yang baik, berkualiti serta sangat bagus :- saya sangat mengagumi Sayyid Syed Qutb, Sheikh Abul Ala Al-Maududi, Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, Mujahid Fathi Yakan, Prof Dr Yusof al-Qardhawi, Dr Majdi Al-Hilali, Dr Amru Khaled serta Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni. Membaca tulisan, garapan dan karya mereka membuatkan saya dekat dan hampir dengan Allah SWT.
(3) Menulis, ia mempunyai suatu kepercayaan dan keyakinan yang mampu meninggalkan kesan kepada sesiapa sahaja yang menatapinya serta memahaminya. Namun, yang lebih penting ialah keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan seseorang penulis dalam menyampaikan mesejnya. Menulislah kerana kebenaran dan kebaikan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
(4) Persiapan dan persediaan untuk menulis, :- Membersihkan hati, Berwudhuk sesempurna mungkin, Mendirikan Solat Sunat Dua Rakaat, Berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan untuk menulis dan terus menulis dengan lafaz bismillah.
(5) Saya titipkan sebuah coretan dan titipan seorang pengunjung pembaca yang meninggalkan jejak tulisan yang menyentuh jiwa dan nurani saya :
Nukilan : Odah ( Tarikh : 27 Oktober 2011)
Sesungguhnya, apa yang membuatkan hati kita lembut adalah melalui alunan ayat-ayat aL-Quran. Maka disitulah air mata akan mengalir dengan sendirinya.
Manusia yang benar-benar merapatkn hubungn-Nya dengan Ilahi,maka ia akan bertambah kuat dlm beribadah, pengharapannya kepada Ilahi dan menjadi hamba yang disayangi oleh Allah SWT.
AL-QURAN adalah kalam yang suci,maka bagi sesiapa yang membacanya , maka jiwanya akan menjadi suci, insyaAllah.
Nukilan : Odah ( Tarikh : 30 Oktober 2011)
Tarbiyah : mempunyai peranan yg besar kepada diri seseorg untuk mendidik dirinya menjadi yg terbaik dan disayangi. Oleh itu, tarbiyah ia bermula dari hati dan jiwa. Apabila ia sudah bermula dari hati dan jiwa , maka ia akan bersambung dengan fizikal {diri kita}, dan tarbiyah yang didik cara yang baik maka akan menjadi satu matlamat.
Matlamatnya adalah menjadi manusia yang menyeru kepada kebaikan, akan menjadi manusia yang disayangi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Matlamat yang terbesar adalah mencapai syurga.
Terima kasih atas bingkisannya! Semoga Allah SWT redha dan rahmatinya.
(6) Terima kasih dan syukran kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan, dokongan dan dorongan kepada saya untuk terus menulis. – Isteri tercinta yang sentiasa menjadi teguran yang membina akan tulisan saya, Emak saya yang selalu berikan komentar yang jujur dan gesaan agar sentiasa memperbaiki tulisan "cacarmerba" saya. – Serta sahabat-sahabat yang lain yang selalu meniupkan semangat untuk terus menulis di mana jua lapang serta medium yang ada. Saat ini, saya selesa berkongsi di alam Online ;- blog serta website. Ia easy going, terus kepada sasaran dan saya lakukannya tanpa paksaan serta mendapat kepuasan yang tinggi.
(7) Saya sedang bersiap dan bersedia :- untuk bermusafir bersama zaujati yang dikasihi ke utara. Mudahan, safar ini dalam lindungan serta kasih sayang Allah SWT. Redupan awan yang mendung dan diringi dengan titisan air hujan yang menyejukan membuatkan kami benar-benar merasai keteduhan musafir ini. InsyaAllah.
BroHamzah
Jalan Long Yunus,
Kota Bharu.
Read more...
Musafir Untuk Bermuhasabah & Ekspo Buku Islam 2011
Sunday, October 30, 2011
Melalui musafir, saya belajar tentang kehidupan!
Saya mulakan catatan dengan Bismillah,
1. Sesungguhnya, bermusafir merupakan suatu bentuk pengalaman, didikan dan proses meluaskan pandangan hidup kita terhadap kehidupan. Alhamdulillah, Allah SWT itu Maha Baik dan Maha Pengasih – sentiasa memberikan ruang, kesempatan dan luangan masa kepada saya untuk “sentiasa” bermusafir. Benar, kekadang ianya sangat memenatkan tetapi sesungguhnya ia benar-benar memberikan seribu kepuasan yang sangat bermakna!
2. Bermusafir itu bertambah indah, sekiranya ditemani rakan-rakan, sahabat-sahabat dan teman-teman yang soleh, baik, berpengalaman dan dipenuhi jiwa dengan semangat yang membara. Saya semakin mengenali sahabat-sahabat tatkala bermusafir. Bertukar-tukar pandangan, berkongsi cerita, meluahkan perasaan, brainstorming idea dan mengembang kefahaman yang ada. Sungguh, salah satu proses ta’aruf yang berkesan ialah – bermusafir bersama sahabat kita.
3. Hujung minggu yang lepas, saya bermusafir lagi. Musafir untuk bermuhasabah diri. Alhamdulillah, bertemu wajah-wajah yang meneduhkan jiwa, - mengalirkan akan suatu perasaan yang membahagiakan dan yang terpenting, ianya adalah menyemarakan ruh persaudaraan sesama muslim. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Ekspo Buku Islam 2011, anjuran Sinergi Ilmu. Bagus!
4. Seusai segala tugasan di Kuala Lumpur, bergegas pulang – namun Allah SWT berikan peluang singgah di Ekspo Buku Islam di KL Sentral. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Saya sangat sukakan bentuk-bentuk pameran, jualan dan ekspon kebukuaan ini. Masuk ke dalamnya, menghirup dunia keilmuaan, keintelektualan dan pengetahuan.
5. Meninjau-ninjau, membelek-belek serta melihat-melihat buku-buku yang ada. Tidaklah sebesar mana, tetapi Syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur Sinergi Ilmu atas usaha kalian. Tahniah dan tahniah. Saya yakin, ekspo yang julang kali diadakan ini adalah satu titik permulaan untuk melangkah lebih jauh.InsyaAllah.

Novel sentuhan tinta, Fatimah Syarha : Sebarkan Cinta-Mu
Nak tahu apa kisah utamanya? Kena dapatkannya segera.
6. Saat itu, Kak Ha ( Fatimah Syarha Mohd Noordin) sedang berdiskusi tentang bukunya yang terbaru yang dimoderatorkan oleh Saudara Zahiruddin Zainuddin. – Novel Tauhidnya yang terbaru, Sebarkan Cinta-Mu menjadi topik perbincangan. Ramai yang beratur untuk beramah mesra dan mendapatkan tandatangan Kak Ha. Alhamdulillah, semoga ia menjadi medium dakwah dalam mendekatkan kita kepada Allah SWT.
7. Saya hanya membelikan dua buah buku sahaja iaitu Novel Sebarkan Cinta-Mu dan buku tulisan Ustaz Umar Muhammad Noor ( Kolumnis Majalah Solusi, ruangan Mahmudah) :- Rasul Mulia, Ummat Mulia, Akhlak Mulia. Saya sangat meminati ruangan ini, Alhamdulillah himpunan tulisan-tulisan beliau yang lama dikompilasikan dalam bentuk buku ini sangat-sangat menggembirakan saya.

Buku - " Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia."
Buku yang sangat-sangat baik untuk dibaca oleh golongan muda hari ini. Kisah contoh tauladan berkaitan akhlak dan adab!
8. Novel Sebarkan Cinta-Nya, saya beli khusus - hadiah sekembali dari bermusafir - buat Zaujati (Isteri saya) yang tercinta. Mudahan titipan karya ini memberikan suatu manfaat buat isteri saya serta saya jua. – Mungkin, saya akan kongsikan kupasan novel ini setelah membacanya. Tebal juga novel ini!
9. Bagi yang belum bertandang ke Ekspo Buku Islam ini, saya syorkan jemputlah ke sana kerana ianya hanya akan berlangsung sehingga esok, Selasa 1 November 2011. InsyaAllah. Jangan lepaskan peluang ada untuk mendapatkan buku-buku yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.
Sekian, sekadar mencatat.
BroHamzah
Jalan Padang Golf,
Pengkalan Chepa.
Read more...
Labels:
Dunia Buku,
Santai
Ubat Tarbiyah dan Ubah Diri
Wednesday, October 26, 2011
Berubah dengan peningkatan demi peningkatan.
Itulah asas tarbiyah amaliyah!
Tarbiyah dan Ubah Diri
Mata kian berat, terasa kepenatan, kelelahan dan keletihan dengan pelbagai tugas, amanah, bebanan dan tanggungjawab.
Memandang diri yang kerdil ini, ternyata terlalu banyak perkara yang harus diperbaiki dan ditingkatkan. Muhasabah, koreksi dan menilai diri disepanjang hari ini.
Motto, “ Hari ini lebih baik daripada semalam.” Seharusnya ia semakin dijiwai memenuhi sanubari, membakar dalam hati dan mampu direalisasikan hari demi hari. Genggaman padu tangan ini semakin digempalkan seerat mungkin dan diperkuatkan lagi.
“ Aku pasti boleh!.” Diulang-ulang saban hari tanpa jemu. Doa, pengharapan dan munajat kepada Ilahi semakin diperhebatkan tanpa lupa dan alpa. Dialah tempat diluahkan segala rasa hati, harapan penuh pergantungan dan memohon segala kekuatan yang benar-benar utuh dan ampuh.
Bagaimanakah tarbiyah kendiri setiap daripada kita? Benar-benar membumi dan dilaksanakan penuh penghayatan untuk meraih redha Ilahi? Justeru, setiap hari – setiap minggu – setiap bulan dan bahkan, setiap tahun harus ada peringatan, nasihat dan teguran yang berterusan kepada kita semua. Terimalah segala teguran dari sesiapa sahaja sekiranya, ia mengundang kebaikan, kebenaran dan cahaya harapan buat diri.
Benar kata Imam Hassan Al- Basri ini :
“ Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwahnya apabila dia sempurna, nescaya tidak akan adanya Sang Penyeru (Dai). Maka, akan jadi sedikitlah orang yang akan memberikan peringatan.”
Slogan tarbiyah yang dipelopori oleh Sheikh Musatafa Masyhur : “ Perbaikilah Diri Kamu dan Ajaklah Orang lain,” adalah suatu slogan yang sangat dinamik, proaktif dan prodiktif. Seruan untuk kita melihat, merenungi, memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti diri dan pada masa yang sama – ajaklah orang lain dengan penuh kasih sayang.
Transformasi Diri ; (5 H) – teringatkan satu perkongsian yang pernah disampaikan dalam satu kuliah Tazkiah An-Nafs di sebuah kolej baru-baru ini, membuatkan saya merefleksi diri sendiri.
Tanyakan diri, bagaimana hal ini benar-benar berlaku, hidup dan bergerak dalam nadi kehidupan kita?
(1) Hubungan dengan Allah SWT sentiasa dipelihara.
(2) Hindari dosa, noda dan maksiat dengan bersungguh-sungguh.
(3) Hormati Ibu Bapa sepenuh hati.
(4) Hiasi diri dengan Akhlak Mahmudah setiap masa.
(5) Hubungkan diri dengan insan-insan soleh.
Refleksi Seorang Hamba
(a) Memelihara hubungan hati dengan Allah SWT adalah suatu kenikmatan, kelazatan dan kemanisan yang tertinggi, terbesar dan termahal dalam kehidupan seseorang mukmin. Murabbi saya berkata : Fokuskan kepada dua perkara dan sentiasa memperbaharui iaitu berkaitan Solah dan Al-Quran.
Solah – ia adalah titik utama penghubung antara kita dan Allah SWT. Justeru, persoalannya ialah, sempurnakan ibadah solat wajib kita setiap hari? Khusyuk kah kita? Yakinkah kita ia diterima oleh Allah SWT sepenuhnya? Bagaimana pula dengan solah sunnat tambahan yang seharus kita lazimkan dalam kehidupan kita?
Al-Quran – sudikah jiwa kita menadah dan menatapnya setiap hari? Cintakah kita kepada Al-Quran sehingga kita sangat-sangat suka membaca dan mendengar lantunan ayat-ayat Al-Quran?Sudahkah kita membacanya dengan jiwa, perasaan dan relung-relung kecintaan yang bersangatan?
Terpentingnya – soal ini terjawab untuk diri sendiri - ialah, : “ Apakah makna Al-Quranul Karim kepada saya?,”
Tersentuh hati saya apabila, murabbi memetik sebuah kata-kata berkaitan kalam Allah SWT ini :
“ Hari ini ramai yang membaca Al-Quran. Namun, mata tidak berair, hati tidak terusik, akal tidak tersentuh dan kehidupan tidak berubah!.”
“Al-Quran itu suci sehingga tidak disentuh hatta oleh ummat Islam itu sendiri.”
Saudara-saudariku yang budiman,
Mungkinkah Al-Quran menjadi tenaga yang mampu menghidupkan serta menjernihkan hati kita? Al-Quran ini jugalah, Al-Quran yang sama dibaca, dihayati, difahami, dihadami, ditelusuri, dihafal dan diamalkan oleh generasi para sahabat RA yang lalu.
Namun, mereka lahir sebagai generasi yang tunduk, patuh dan taat hanya sanya kepada Allah SWT. Kehidupan mereka hanya untuk Allah SWT. Dan, mereka berjuang bersungguh-sungguh menegakan segala kalimah yang dinyatakan di dalam Al-Quran.
Tetapi, kita hanya mampu berada di tahap ini sahaja? Soallah dengan jujur, ikhlas dan berjiwa terbuka – adakah ruh Al-Quran itu telah melekat dan bertakhta bagaikan ukiran permata yang indah di hati kita semua?
(b) Sekiranya, dua asas ini benar-benar tumbuh subur, hidup dan mekar dalam hati kita – InsyaAllah, aspek-aspek yang lain akan menyusul setenang air yang mengalir dari sungai yang tenang dan damai. Kita punyai asas dan keazaman yang tegar untuk menghindari dosa dan maksiat. Hati akan mencintai dan sangat-sangat menghormati ibu bapa yang banyak berkorban buat diri. Keperibadian diri akan dihiasi dengan akhlak mahmudah dan terasa suka, gemar dan mencintai orang-orang yang soleh dan musleh.
Inilah ubat tarbiyah bagi kita semua. InsyaAllah
Murabbi saya berkata :
“Bagi jiwa-jiwa yang menyakini hari pertemuan dengan Allah SWT tentunya kita benar-benar rindukan pengampunan Allah SWT bahkan pengampunan itu lebih berharga dari pertambahan usia.”
Buat Jiwa Ini.
BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan
Bersiap untuk bermusafir ke Kuala Lumpur.
Read more...
Labels:
Nota Tarbiyah
Subscribe to:
Posts (Atom)



