Bingkisan Evergreen Buatku - Titisan Air Mata

Monday, November 12, 2012




Air Mata 

Semalaman aku duduk terpaku memikirkan tentang diri sendiri. Ada kalanya hati rasa begitu sayu.Ada saatnya terasa begitu hiba. Tidak semena, air mata mengalir. Manik-manik jernih mengalir laju membasahi pipku.

Aku sebenarnya baru sahaja membaca satu artikel yang ditulis oleh Murabbi yang sangat hormati, al-marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain (UDMZ). Kupasannya sangat menyentuh. Dan paling aku tersentuh adalah pada tajuknya." Titisan Air Mata Lantaran Dakwah Kehilangan Dai',".

Dunia Dakwah pada hari ini kehilangan dai yang berjiwa kental, berkemahuan tinggi dan berhati sufi. Medan ini benar-benar menguji sehingga ramai yang pernah menapak dalam semaian tarbiyah, hanyut dibawa oleh arus dunia yang ganas, deras dan dahsyat.

" Jahiliyah mencengkam jiwa-jiwa putera-puteri yang pernah kita didik sehingga mereka tewas," Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang Ustaz.

 " Jalan ini, jalan yang panjang. Tidak semua mampu bertahan dengan jalan ini." Kata seorang sahabatku. Aku mulai melihat diriku sendiri. Semakin hari semakin banyak ujian, cabaran dan mehnah yang hadir dalam kehidupan ini. Aku sedar dan tahu inilah sunnah kehidupan. Inilah warna-warni kehidupan yang perlu aku tempuhi.

" Anta perlu pelbagaikan warna dalam hidup enta. Kehidupan yang hanya dengan satu warna adalah kehidupan yang kosong dan hambar. Warna-warni kehidupan akan mengajar kita untuk lebih matang dan dewasa. Jangan takut untuk menghadapi kesusahan dan kepayahan.Ada masanya anta perlu susah dan merasai kegetiran. Dengan kesusahan inilah, jiwa anta akan lebih peka, halus dan sensitif."

Inilah nasihat daripada seorang murabbiku - Abu Umar. Kata-katanya sentiasa bermain-main difikiranku. Kata-kata jiwa untuk meningkatkan lagi syuur untuk terus bertapak pada jalan dakwah dan tarbiyah ini.

Istiqamah – Ia sukar?

Wahai sahabat ikhwah sekalian, ayuh kita bangkitkan syuur kita untuk mempersiapkan diri untuk sentiasa istiqamah pada jalan dakwah dan tarbiyah. Jalan yang akan membersihkan diri kita dan memelihara kesolehan hati serta kejernihan niat kita kepada Allah SWT. Jadikan kehidupan ini sebagai kehidupan untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Hidup ini bagaikan satu pelayaran yang sukar. Bersabarlah kerana sabar itu indah, sabar adalah bunga-bungaan dari keimanan yang benar. Harumannya ialah kepasrahan iaitu memandang baik segala keputusan, ketentuan dan ketetapan Allah SWT disamping meyakini hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Kelopak-kelopaknya diwarnai ketabahan, ketenangan, keteguhan jiwa sebagai lambang kepuasan dengan qadar Allah SWT.

Marilah sahabat-sahabat yang budiman, kita bina keimanan yang benar kepada Allah SWT. Kuatkan pergantungan kepada Allah SWT.Keimanan yang benar menjadikan perjalanan kehidupan seperti sebuah kisah cinta; kesetiaan dan pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung menjadi ringan, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan.


Ayuh Pemuda, kita bangkitkan Ruh kita! Ruh untuk mendidik dan berbakti kepada Manusia. Usah kecewa dan kesal dengan karenah manusia. Bersabarlah.Kerana Buah kesabaranmu itu adalah kejayaan yang sebenarnya disisi Allah SWT.

Nasihat Terakhir

Aku masih ingat pada 15 Februari 2010, ketika aku bersama Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dengan beberapa orang sahabat diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menziarahi UDMZ sebelum beliau kembali ke rahmatullah, alhamdulillah ketika itu UDMZ kelihatan ceria dan semakin sihat. Ustaz sempat berkongsi syuur dan memberi kami nasihat sebagai bekalan dakwah. Teringat kata Ustaz :

“ Ana dah bazirkan banyak masa muda ana dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Pada umur 31 Tahun baru ana dapat kesedaran Islam. Antum patut bersyukur kerana umur semuda ini sudah diberi taufiq dan kesedaran oleh Allah SWT.”

Kata-katanya masih segar dalam ingatanku ini. Usiaku, masaku, kudratku dan segala tenagaku benar-benar banyak dibazirkan.

------
BroHamzah
Medan Menulis Tidak Sama Dengan Medan Bercakap
Medan Bercakap Tidak Serupa Dengan Medan Beramal
Medan Beramal Tidak Sama Dengan Medan Berjihad
Berjihad Di Medan Yang Sebenar!

Read more...

Dahsyatnya Taubat Nasuha

Monday, November 5, 2012





Buku : Dahsyatnya Taubat Nasuha, karangan Ibnu Qudamah al-Maqdisy. 
Terbitan PTS Islamika Sdn Bhd




Benar. Ia sungguh dahsyat dan hebat.
Taubat itu ertinya kembali.

Kembali kepada Allah SWT.
Kembali kepada Rabb Yang Maha Agung Lagi Berkuasa.
Kembali kepada Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Tiada amalan yang lebih mulia melainkan, bertaubat dan sentiasa memperbaharui taubat. Harumannya mewangi dan melebar menghiasi udara-udara kehidupan mukmin.

Udaranya segar dan membangkitkan jiwa. Tiada apa yang dihajati daripada taubat ini kecuali keampunan dan keredhaan daripada Allah SWT.

Keampunan Allah SWT terjadi dengan ketulusan, kejernihan dan keikhlasan hati dalam bertaubat.

“ Sesungguhnya Allah mencintai orang yang banyak bertaubat.”

(Surah Al-Baqarah 2 : 222)

“ Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Allah menghapuskan kesalahan kamu dan memasukan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

(Surah At-Tahrim 66 : 8)

Kisah-kisah taubat makhluk yang bernama malaikat dan  manusia benar-benar menggugahkan jiwa. Mereka hanya insan biasa yang akhirnya menjadi mulia hanya kerana taubat nasuha. Sebelum-sebelum ini semua perbuatan jijik, kotor, keji, hina dan mungkar menjadi pakaian dan darah daging mereka. Tetapi, itu cerita lama. Pintu lama ditutup, lalu dibuka lembaran baru.

Pintu taubat adalah seluas-luas pintu yang sentiasa terbuka buat hamba-hamba Allah SWT. Kesedaran, keinsafan dan suntikan penyesalan membuatkan mereka bertindak untuk kembali kepada Allah SWT. Kisah-kisah mereka – dibuka satu persatu. Dibelek satu persatu. Dihayati satu demi satu. Dan, ketahuilah bahawa kisah-kisah ini sangat unik dan menggugah perasaan ini!

Kitab Mukhtasharu Kitabit-Tawwabiin adalah kitab karangan Ibnu Qudamah Al-Maqdisy yang telah pun diterjemah dalam bahasa Melayu dengan judul Dahsyatnya Taubat Nasuha. Saya mengesyorkan anda memilikinya. Kisah-kisah dan cerita-cerita dalam karya ini akan membawa hati kita ke suatu sudut yang berbeza dan akan menyentuh jiwa-jiwa kita untuk kembali kepada Allah SWT.

Dapatkan segera! Percayalah  – anda tidak rugi memilikinya.

-----
BroHamzah

Read more...

Manis Tawar Ta'aruf Suami Isteri

Thursday, November 1, 2012


" Masa - detik kehidupan - adalah 
titik-titik berharga untuk disantuni."



Petang itu seperti biasa kehidupan harian kami, makan malam sebelum maghrib seusai pulang dari kerja. Agak penat, lelah dan letih itu sudah menjadi ramuan harian kami menempuh kerja-kerja yang ada. 

Sembang-sembang santai antara suami isteri adalah saat-saat yang berharga. Senyum, ceria, heart to heart dan ada "feeling-feeling" sikit.

Di situ, terbinanya rasa, cinta dan sentuhan jiwa yang kadang-kadang diterabaikan kerana kesibukan yang terus-menerus “menghimpit” masa, ruang dan perhubungan yang ada.

Apabila berpeluang maka, itulah ketika yang harus dimanfaatkan. Tiba-tiba wujudnya satu rasa ingin “menguji” isteri yang tercinta.

“ Sudah setahun lebih kita hidup bersama kan? Tentunya banyak perkara yang kita belajar antara satu sama lain. Mungkin, sayang lebih kenal abang berbanding dahulu?Betul tak?,” Aku mulakan bicara.

“ Agak-agaklah - apakah perkara yang paling abang suka?,” Aku memasang peluru.

Zaujati tersenyum sahaja. Memandang juadah nasi kegemaran kami berdua. Dalam hatiku, ini mesti terdiam mencari-cari jawapan. Hah! Peluru hampir menepati sasaran.

“ Sepanjang hidup dengan abang, sayang perasaan ada dua perkara yang sangat-sangat dekat dan abang suka buat,” Ujarnya dengan penuh keyakinan. Tiada ragu-ragu.

“Apa dia?,” Teruja aku dibuatnya. Nak tau juga, betul ke salah.

“ Pertama, setiap bulan mesti ada duit yang abang peruntukan untuk beli buku atau bahan-bahan ilmiah. Walaupun, bajet kita ini ceput sahaja,” Kata zaujati dengan tenang tapi yakin.

“Betul tak bang?,” Soalnya.

Saya diam tak terkata.

“ Keduanya, abang ini jenis kalau nak dapatkan sesuatu atau beli sesuatu – abang akan pastikan harga atau kualiti barang selepasnya lebih baik dan bermutu walaupun mahal. Biarpun terpaksa menabung dan simpan duit untuk tempoh yang lama. Betul kan?,” Ujar zaujati lagi.

Tiba-tiba rasa sebak, terharu dan jiwa terusik.
Entah mengapa, rasa jawapan itu dekat dengan diriku.

“ Betul tak, abang?,” Soalnya lagi.

Aku sengih sahaja. Dalam hati, zaujati adalah seorang pemerhati dan observer yang sangat peka, sensitif dan menjiwai insan-insan di sekelilingnya. Kerana itulah ramai kenalan, sahabat-sahabat dan adik-adiknya begitu menyayanginya. Ada “sesuatu” yang istimewa padanya.

Sebelum ini, belum ada yang mampu memberikan jawapan sebegitu padaku. Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu.

“ Ok abang, kalau sayang pula macamana? Apakah perkara yang paling sayang suka dan gemar buat?,” Pertanyaan spontan daripada zaujati.

Alamak, peluru dialihkan kepada aku.


“ Kalau abang ini peka, ada satu perkara yang  sayang akan buat. Hampir sebulan ada.?,” Tanyanya dengan wajah kejujuran.

Peluru berdas-das datang!

Gulp! Berpeluh. Hampir tersedak aku dibuatnya. Fikiran melayang-layang mencari jawapan. Mulut terkunci. Tak pernah terfikir aku tentang perkara ini!

-------

Murabbi ada berkata : “ Biasanya sepasang suami isteri mengambil masa sehingga 10 tahun untuk mengenali pasangan masing-masing secara lebih mendalam. Bahkan, ada yang lebih daripada itu.”

Bahkan, ta’aruf itu juga berlaku sepanjang hayat sehingga bertemu Ilahi.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP