Menyemai Benih-benih Taubat

Wednesday, May 4, 2011

Taubat Nasuha : Sesuatu yang sedang dipelajari, difahami, diusahakan dan berjuang untuk dibumikan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam sejahtera buat semua para pembaca yang budiman. Mudahan, kalian berada ketenangan, ketenteraman, kedamaian dan kesuburan jiwa yang segar.

Alhamdulillah, saat ini - saya memetik bingkisan jiwa daripada seorang murabbi saya berkaitan suatu ilmu dan tema kehidupan yang sedang saya fokuskan. Ia itu berkaitan taubat. Alhamdulillah, kupasan dan titipannya menyentuh nurani saya. Terasa akan sesuatu daripadanya.

Saya kongsikan dengan kalian :



TAUBAT YANG SEBENAR MENUNTUT KESUNGGUHAN
Oleh : Abu Munzir

Salah satu bidang ilmu yang sangat kita perlukan adalah ILMU TAUBAT. Ilmu taubat bukan saja diperlukan malah sangat mendesak. Kita hidup di zaman majoriti masyarakat kita tenggelam dalam dosa dan kemaksiatan. Majoriti kita, dalam kehidupan seharian sudah lupakan Allah SWT sehingga Allah membuatkan kita lupakan diri kita sendiri, khususnya, matlamat Allah mencipta kita.

Pelbagai media telah digunakan untuk menghalangi manusia dari Jalan Allah SWT. Media ini menyemarakkan suasana dosa dan pendurhakaan manusia terhadap Allah SWT. Manusia durhaka kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang Allah wajibkan untuk dilaksanakan tetapi tidak dilaksanakan atau dalam perkara-perkara yang Allah haramkan tetapi dilakukan. Malah ramai kita yang tidak lagi merasakan dosa, maksiat dan kedurhakaan itu sebagai pelanggaran hak Allah SWT yang akan mengakibatkan kesengsaraan di Akhirat kelak.

Kita sama-sama menyedari bahawa tiada seorangpun yang bersih dari dosa malah kita sedar yang diri kita ini telah banyak melakukan perdurhakaan terhadap Allah SWT. Kita sangat-sangat memerlukan ilmu mengenai dosa dan juga ilmu mengenai taubat.

Syeikh Yusof a Qaradhawi telah menulis dalam bukunya ‘Taubat Ilallah’:

“Taubat dari dosa yang dilakukan oleh seorang mu'min adalah kewajipan Deen. Taubat adalah perintah Allah dalam Al Quran, didorong oleh Sunnah Rasulullah SAW serta disepakati kewajibannnya oleh seluruh ulama “

Di dalam kitab Qut-al Qulub, Abu Thalib telah menulis pandangan Sahl bin Abdullah: “Tidak ada satu perkara pun yang paling diwajibkan kepada makhluk ini selain taubat. Tiada kerugian paling besar yang akan menimpa mereka selain dari tidak mengenal ilmu taubat, sehingga orang-orang tidak mengenal taubat”.

Beliau juga mengatakan: “Barangsiapa yang berkata bahawa taubat tidak wajib adalah kafir. Begitu pula orang yang setuju terhadap pernyataan tersebut adalah kafir”

Allah SWT telah memerintah semua hamba-Nya supaya bertaubat. Antara ayat Al Qur’an mengenai taubat adalah:

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu"

( At Tahrim 66 : 8)

Abu Thalib al Makki menjelaskan istilah nashuha di dalam ayat di atas sebagai:

“...nashuha menunjukkan kesungguhan dan juga kepasrahan serta tulus kepada Allah. Ini bermaksud teguh kukuh dalam ketaatan dan berusaha bersungguh-sungguh menjauhkan dirinya dari kubangan dosa selagi mampu”

Al Hasan apabila ditanya mengenai taubat nashuha telah mengatakan:

“Merasakan kesedihan dengan hati, memohon ampun dengan lidah, meninggalkan dosa dengan anggota badan dan memantapkan niat untuk tidak mengulanginya lagi”

Satu lagi ayat yang berkaitan dengan perintah taubat adalah:

"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung"

( An-Nur 24 : 31).

Syeikh Qaradhawi telah menjelaskan ayat di atas dengan menulis:

“Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan kepada seluruh kaum mu'minin untuk bertaubat kepada Allah SWT, dan tidak mengecualikan seorangpun dari mereka. Meskipun orang itu telah demikian taat menjalankan syari'ah, dan telah menanjak dalam barisan kaum muttaqin, namun tetap ia memerlukan taubat. Di antara kaum mu'minin ada yang bertaubat dari dosa- dosa besar, jika ia telah melakukan dosa besar itu. Karena ia memang bukan orang yang ma'shum (terjaga dari dosa).

Di antara mereka ada yang bertaubat dari dosa-dosa kecil, dan sedikit sekali orang yang selamat dari dosa-dosa macam ini. Dari mereka ada yang bertaubat dari melakukan yang syubhat. Dan orang yang menjauhi syubhat maka ia telah menyelamatkan agama dan nama baiknya. Di antara mereka juga ada yang bertaubat dari tindakan-tindakan yang dimakruhkan. Dan di antara mereka malah ada orang yang melakukan taubat dari kelalaian yang terjadi dalam hati mereka. Dan dari mereka ada yang bertaubat karena mereka berdiam diri pada maqam yang rendah dan tidak berusaha untuk mencapai maqam yang lebih tinggi lagi”.

Allah SWT telah berfirman di dalam Al Qur’an bahawa mereka yang tidak bertaubat adalah golongan zalim.

Di dalam Surah Al Hujurat, Allah SWT telah berfirman:

“...Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”

( Al Hujurat 49 : 11 )

Komentar - Seorang hamba

  • Taubat - ada dicelahan waktu dalam seharian ( Pagi dan Malam), saat-saat yang sangat bersih dan jernih untuk menyemai benih-benih taubat di taman hati. Kata murabbi, bangunlah sebelum Subuh, di situ ada sesuatu yang sangat menggugah jiwa insan-insan yang hajatkan kepada kasih sayang, cinta dan kerinduan yang mendalam kepada Allah SWT.
  • Menyuburkan taubat itu memerlukan kesungguhan dan kemahuan yang tinggi. Semangat itu perlu digelorakan dalam jiwa sentiasa dan sentiasa. Semasa dalam perjumpaan minggu PESAT bersama adik-adik, kami berkongsi tentang satu kaedah pembersihan jiwa dalam proses tarbiyah Islamiyah. - Mu'alajah al-'uyub : Mengikis Keaiban. Ia merupakan jalan-jalan yang mendekatkan kepada lorong-lorong tarbiyah.
  • Bertaubat, kita sebenarnya masih jauh dan sangat-sangat jauh. Bantulah diri hambaMU ini untuk bertaubat kepadamu.
BroHamzah
Kota Bharu I Kelantan
5 Mei 2011

2 comments:

diariperjalanan May 6, 2011 at 4:13 PM  

Taubat itu sentiasa perlu diperbaharui...Moga dikurniakan ketenangan iman !

BroHamzah May 7, 2011 at 3:57 AM  

diariperjalanan

Taubat yang suburkan jiwa.InsyaAllah

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP