
Cerna Minda : Apa yang anda perolehi?
Cerna Minda : Perkongsian Anda sangat-sangat berguna!
Oleh : BroHamzah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh buat semua pembaca. Semoga dalam payungan dan lindungan inayah Allah SWT.
Pertama sekali, sebelum jejari ini berlari pantas di atas papan key board laptop Dell XPS M 1330, ingin saya ucapkan sejutaan penghargaan dan terima kasih kepada :
Mohamad Fakruddin, Umaq Eiman, Afiq Tj, Syarafina Sabri, Nazihah, bintu syed, Salman Azmin, putrapurabuana, Puan Servant yang dikasihi, MQ, Iqbal Syarie, Omar Hamba Allah, Qayyim Miswan, Iqaeh1005, Firas Az-Zahra’, MoudJundi, Serikandi-Umar93, Nor Dalily, Al-Qassam, Ariffah9, Ismie Fathi, Deen Worker, Syahadah Alina, Muhammad Fuad, Qurrata Qalbiey, Khairi, Adam, Hanif, Pemburu Syuhada’, Izzati Hashim, Mr IQ, Anonymous-anonymous yang terselindung (‘’,) dan juga sahabat saya Hafiz Zainal Abidin.
Terima kasih atas pandangan, coretan, perkongsian, huraian hujjah yang panjang lebar, bernas dan sangat-sangat membuka minda. Sejujurnya, saya tidak menyangka akan jawapan kalian. Ada jawapan dan pandangan yang diberikan mengelikan hati, membuatkan saya tersenyum panjang dan ada juga menggelengkan kepala bersendirian.
Sedar atau pun tidak, persoalan yang saya kongsikan itu sebenarnya mempunyai makna yang tersendiri buat saya. Ia adalah situasi yang berlaku – tidak mustahil untuk terjadi – di dalam kehidupan manusia.
Terdahulu, saya ingin memohon maaf kepada kalian yang ternanti-nanti, tertanya-tanya dan menunggu dengan penuh kesabaran atas jawapan bagi perkongsian cerna minda ini. Mohon maaf sangat-sangat. Dalam tempoh berkenaan, saya mengalami “ writting block” yang bersangatan. Entah mengapa, ia terjadi untuk tempoh yang agak lama. Lama juga saya mencari mode untuk meneutralkannya semula. Alhamdulillah, kini ia kembali pulih seperti biasa. Saat itu, ia adalah muhasabah buat diri saya. Sungguh, menulis itu bukannya atas kekuatan kebiasaan, kemahiran atau kepakaran kita sangat – ia adalah pemberian dan rahmat Allah SWT untuk memberikan kekuatan untuk kita melakar, berkongsi dan meluahkan di atas apa jua medium yang ada. Semoga Allah SWT menilai setiapnya sebagai amalan soleh.
Jawapannya : Imbasan soalan.
Baiklah, sebelum berbicara – baiknya kita imbas semula soalan yang pernah saya utarakan 2 minggu yang lepas. Masih lagi anda mengingatinya? Masihkah?
Imbasan soalan.
BAYANGKAN anda berada di dalam situasi ini.
Suatu hari, anda pulang dari pejabat menaiki kereta dalam keadaan hujan ribut yang sangat-sangat lebat. Kilat sabung menyabung, petir bersilih ganti dan membuatkan hati anda sangat-sangat cuak (bimbang, gementar dan kecut perut).
Kemudian, anda singgah di sebuah perhentian bas yang terpencil. Jauh daripada penempatan orang ramai dan jarang-jarang kelihatan orang lain di situ. Dan, di situ anda terlihat 3 orang sedang berteduh di bawah bumbung perhentian bas itu. Mereka ialah :
[1] Seorang nenek tua yang sedang sakit hampir nazak (sangat-sangat tenat)
[2] Seorang pemuda yang pernah menyelamatkan kita dari bencana suatu ketika dahulu.
[3] Isteri kita yang solehah yang sentiasa dirindui dan dicintai.
Dalam, keadaan yang sangat genting ini, anda hanya boleh menumpangkan seorang sahaja penumpang di dalam kereta anda. Minyak kereta anda hanya cukup untuk satu perjalanan sahaja dan ketika itu, anda perlu membuat satu keputusan yang tepat.
Siapakah individu yang akan anda tumpangkan?
Nenek?
Pemuda itu?
Atau – isteri anda yang menawan?
Itulah soalannya. Ada yang kata ia sangat susah. Ada yang mengandaikan soalan ini hanya analogi,ada yang menyatakan ia adalah soalan yang memeningkan dan bermacam-macam lagi. Saya pun tergelak dan tersenyum juga dengan gelagat anda semua. Alhamdulillah – terima kasih buat semua!
Jawapan, coretan dan perkongsian : Menarik, Bernas dan Baik
Pertamanya, tahniah saya ucapkan kepada kalian yang berani, dan berkesudian meninggalkan jawapan, pandangan, cadangan serta hujjah di ruangan komentar. – Bagus, satu usaha yang baik untuk berkongsi. Kerana apa? Sebenarnya, ramai yang ragu-ragu dan tidak mahu untuk memberikan pandangan. Bimbang, risau dan takut – SALAH! Tetapi, anda sangat berani membuat keputusan! Syabas!
Saya sendiri, pertama kali mendengar soalan sebegini – segan, takut-takut dan malu untuk memberikan pandangan. Bimbang salah, walhal ia hanyalah andaian dalam persoalan uji dan cerna minda sahaja.
Wah! – Sungguh, terdapat pelbagai jawapan yang diberikan oleh para komentar yang arif, cekap lagi bijaksana. Saya kagum dengan kalian. Antara jawapan yang diberikan ialah :
Pertama :
Selamatkan Isteri Solehah yang dicintai. Pelbagai hujjah yang menarik yang diberikan. Bagi wanita, mesti hati dan jiwa kalian berbunga-bunga dan bangga sekiranya ada lelaki yang memilih jawapan sebegini. Lelaki sejati dan boleh diharap.
Kedua :
Ada juga, memberikan cadangan yang baik. Katanya, berikan kereta kepada isteri kita untuk membawa nenek tua itu ke hospital dan kita bersama lelaki yang pernah menyelamatkan kita di pondok bas. Atau sebaliknya, kita minta bantuan lelaki itu bawa nenek ke hospital dan kita bersama dengan isteri kita di pondok.
Ketiga :
Ada yang mempersoalkan situasi dan prasyarat soalan. Katanya, mana logik kereta hanya boleh bawa 1 orang penumpang? Dan membuat andaian – kereta boleh bawa semua – jadi selamatkan semua. Malah, ada juga mempersoalkan situasi cuaca, adakah benar-benar genting dan dahsyat ributnya? Macam-macam yang dicoretkan.
Keempat :
Ada juga yang melihat dari sudut analogi yang berbeza. Sungguh, saya sendiri tidak terfikir. Katanya, dia membayangkan situasi ini seperti di padang mahsyar (akhirat) di mana wanita tua itu adalah masa yang kita habiskan di dunia, lelaki yang pernah menyelamatkan kita itu adalah sedekah dan amal jariah serta isteri solehah sebagai pasangan hidup yang solehah. MasyaAllah – sungguh dalam meneliti dan mengamatkan.
Kelima :
Ada juga yang peka dan melihatnya sebagai satu suasana darurat. Maka – nenek itu adalah lebih utama dan urgent. Ia kian nazak dan sakit – maka itulah yang lebih utama daripada yang utama.
Itulah kesimpulan pandangan dan cadangan oleh para sahabat-sahabat, rakan-rakan dan yang sudi memberikan komentar. Jika ingin melihat kembali jawapan mereka boleh lah lihat di ruangan komentar di artikel ini –
Cerna Minda –

Berada dipersimpangan lorong kehidupan - keputusan yang harus dibuat!
Apa sebenarnya yang ingin saya kongsikan?
Saya merenungi seketika. Alhamdulillah, anda semua adalah individu yang mempunyai kepekaan, sensitif dan punyai hasrat untuk membantu. Inilah sifat dan sikap yang ingin kita hajati. Sikap ingin menjadi individu yang memberikan manfaat kepada orang lain.
Tahukah anda dalam situasi genting ini, ramai yang hanya mementingkan diri – malah ada yang sanggup tinggalkan insan yang tersayang kerana melihat kepentingan nyawanya sahaja. Rakan-rakan sekalian, tunggu sekejap.
Sedarkah kalian, saat kita memberikan cadangan, pandangan, hujjah dan komentar – situasi yang saya nyatakan itu TIDAK lagi berlaku dihadapan kita. Saat ini, kita punyai masa, detik dan ruangan untuk berfikir dan membuat keputusan dalam keadaan kita bersenang-senangan, bersantai-santaian dan ditiup angin keselesaan di tempat duduk kita masing-masing.
Ada yang berada di kerusi yang empuk – enak sekali posisi kedudukannya, ada yang sedang berbaring melepaskan kelelahan kepenatannya, ada yang membacanya melalui telefon bimbitnya di pelbagai lokasi dan ada juga yang asyik membaca sambil memerah fikiran ditiup angin air cond yang mendamaikan.
Saat itu, akal kita berfikir laju – memberikan pelbagai cadangan, pandangan dan hujjah. Kita punyai masa, ruang dan kesempatan yang banyak untuk berfikir.
Kita boleh membaca dan menilai jawapan orang lain dengan kritis, analisis dan penuh bersemangat. Malah, terdetik juga jawapan aku adalah yang tepat dan betul.
Namun, sekiranya situasi itu benar-benar berlaku – apakah kita mampu bertindak, berfikir dan sempat membuat analisis keadaan dengan penuh kebijaksanaan, ketenangan dan mengambil keputusan yang betul?
Pengalaman buat ibrah diri
Saya pernah berada dalam keadaan ribut yang sangat-sangat kuat sewaktu saya kecil dahulu. Banyak pokok yang tumbang, angin yang kencang, langit yang hitam kelam dan suasana yang sangat menyeramkan. Saya menjadi kalut, risau dan gelabah. Di belakang saya, ada adik saya yang berlari mengekori saya menuju ke rumah. Saya memecut sekuat hati untuk tiba dirumah dengan selamat.
Apabila berpaling ke belakang saya dapati adik saya tiada.
Hilang?
Apabila saat itu, baru saya sedar – saya hanya fikirkan diri sendiri. Keadaaan saya, fizikal saya dan nyawa saya. Untuk makluman, ketika itu – adik saya terjatuh dan dilanggar oleh motorsikal. Tayar motor berbekas di badannya. Alhamdulillah, mujurlah dengan izin Allah – tuan motor mengangkat adik saya dan membawanya pulang sehingga ke rumah.
Mungkin, ada yang berkata. Waktu itu saya masih kecil. Masih kebudak-budakan. Tetapi saya masih ingat satu kisah yang diceritakan oleh abah sendiri. Situasinya masih lekat di minda abah saya. Katanya, pernah suatu hari berlaku kemalangan jalan raya yang teruk yang melibatkan sebuah kereta. Di dalamnya ada seorang lelaki dan anaknya.
Lelaki tersebut hanya mengalami luka kecil dan calar-calar sahaja. Tetapi, anaknya luka parah. Menangis teresak-esak meminta perhatian dan belas ihsan manusia di sekelilingnya. Berlumuran darah merah pekat. Bayangkan seorang kanak-kanak kecil menangis. Sayu dan syahdu!
Ketika itu, ramai yang berhenti ditepi jalan ingin melihat dan ada juga ingin menghulurkan bantuan. Ramai yang kalut – untuk menelefon ambulans dan memberikan pertolongan kepada anak kepada lelaki tersebut. Tetapi, ada sesuatu yang mengecewakan abah saya – tahu apa?
Lelaki tersebut sibuk dengan kerosakan keretanya. Dibelek-belek sehingga resah dan keluh kesah melihat keadaan keretanya tanpa menghiraukan tangsian anaknya yang cedera. Sibuk menelefon mekanik dan kawan memaklumkan keadaan keretanya. Dan – anaknya dibantu oleh orang lain yang lalu lalang di situ.
Itulah kisah benar. – Keputusan dan fokus ayahnya ketika genting : memilih kereta kesayangan berbanding anak kandungan!
Medan teori dan medan amali : Bikin serupa ka?
Jadi apa jawapannya? – Jika kalian tanya jawapan, semuanya boleh jadi betul dan benar. Terpulang kepada pengamatan, pengalaman, cara pandangan dan corak keputusan. Cuma saya ingin kongsikan hal ini ialah sesuatu yang teori dan praktikal amat jauh jurangnya.
Di dalam kehidupan ini kita akan, perlu dan mesti membuat keputusan di celah-celah kehidupan yang kita lalui. Ya, tidak kira siapa kita. Sama ada kita, kita adalah ketua organisasi : Perdana Menteri, presiden, ketua jabatan, ketua persatuan, atau ketua rumah : seorang suami, ayah atau kita ini hanyalah seorang pelajar sahaja, atau siapa-siapa kita. Kita akan membuat keputusan dalam kehidupan untuk permasalahan, isu dan apa jua yang dihadapi oleh kita. Sama ada ia isu-isu kecil atau ia adalah isu-isu yang besar.
Teori soalan yang dikemuka – insyaAllah kita mampu menjawab dengan memberikan jawapan dengan keputusan yang mungkin betul dan tepat dengan teori jawapan kita saat ia hanya di hadapan bayang mata.
Namun, bayangkan jika ia benar-benar terjadi dihadapan kita bukan lagi ilusi – apakah keputusan kita itu tepat? Benar dan betul? Apakah pertimbangan yang akan kita timbangkan dan nyatakan?
Baru saya faham – bagi yang mengalami sesuatu perkara kekadang tindakannya dan keputusannya sangat berbeza dengan cara kita yang tidak mengalaminya. Kita sering menyalahkannya, tetapi kita sendiri tidak mengalaminya. Bukankah itu yang sering berlaku terhadap kita?
Saya sendiri terdiam.
Anda bagaimana?
Penutup : Komentar seorang hamba
1) Berapa ramai yang mampu memberikan pandangan, cadangan, kritikan dan komentar terhadap sesuatu perkara dengan hebat, anggun dan kelihatan bernas – Namun berapa ramai yang benar-benar melakukan pandangan, cadangan dan penambahbaikan kritikan di medan yang amali. Saya berdepan dengan manusia yang hebat berteori namun, seringkali gagal dalam aplikasi. Bantulah saya mengimbangi antara kedua-duanya.
2) Benar kata Imam Hassan al-Banna : “ Medan bercakap tidak sama dengan medan beramal.” Ya, jika kita lihat daripada pelbagai sudut pun – ia benar-benar membumi di alam nyata ini. Saya merenunginya dari pelbagai sudut : kehidupan, kerjaya, amal soleh, kerja dakwah tarbiyah, dan pertimbangan amal untuk akhirat. Berusaha membumikan apa yang sentiasa diutarakan. Kerana itu, pernah terfikir bahawa lebih baik kurangkan berkata-kata dan kotakan apa yang dikata!
3) Bahkan, ada dikalangan kita yang tidak mahu membuat keputusan dalam permasalahan kehidupannya. Dan, ada yang tidak mahu menghadapi masalah dalam hidup dalam mengelak untuk berhadapan dengannya. Harus kita sedari, lari daripada masalah ia tidak akan memberikan apa-apa untung dan menyelesaikan sebarang permasalahan. Ini kerana, lari daripada masalah bererti kita lari daripada kehidupan kita yang sebenar. Justeru, hadapilah apa jua masalah dalam kehidupan dan bersedia dalam untuk membuat keputusan – kerana dengannya anda akan belajar tentang hakikat diri dan kehidupan.
Read more...