Menggenggami cahaya itu bukan semudah yang diangan-angankan.
Ia cahaya buat jiwa yang lara.
Malam itu.
Malam yang hening, sejuk dan mendamaikan. Pertemuan mingguan yang sememangnya dinanti-nantikan bagi kami yang kekeringan, kegersangan dan dahagakan pengisian kerohanian.
Bekalan seminggu yang lalu telah kehabisan. Minggu ini, kami melangkah dengan kehadiran jiwa yang penuh pengharapan dan hajat yang besar. Hajat untuk menerima rawatan setelah terluka di medan tempur yang paling dahsyat di dunia. Iaitu pertarungan dengan hawa nafsu kami sendiri.
“Bismillahirahmanirahim..,” Murabbi memulakan muqadimmah pertemuan kami malam itu.
“ Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa’kan rasa syukur kepada Allah SWT kerana menitipkan keimanan kepada jiwa-jiwa kita.” Butiran mutiaranya mengamit rasa dan nurani kami.
“ Maha Suci Allah SWT yang mengizinkan kita untuk berada dalam suasana yang menyuburkan keimanan kita. Terasa ketenangan, kedamaian dan kenikmatan yang bersangatan.Dengan iman inilah, kita melalui hidup ini dengan perasaan yang berbeza. Seolah-olah, kita melalui kehidupan yang baru, lebih hidup dan bermakna.” Katanya dengan penuh perasaan. Kami tekun mendengar bicara pembukaan itu.
“ Mungkin, kehidupan kita berbeza sebelum ini. Sejujurnya, ana sangat-sangat sebak apabila menyebutkan tentang keimanan ini. Dahulunya, ana sudah merasai kehidupan di dalam kegelapan jahiliyah yang merosakan. Umpama, berada dalam longkang-longkang jahiliyah,” Tersedu murabbi seketika.
“ Kehidupan… kehidupan,” Tersekat-sekat sebutannya.
Murabbi menunduk pandangannya. Kelihatan air mata mengalir perlahan-lahan.
“ Kehidupan yang menjijikan, kotor dan tiada hubungan dengan Allah SWT. Ana mohon maaf, jika bicara ini agak sebegini. Tetapi inilah hakikat kehidupan. Antum lebih beruntung, kerana lahir daripada keluarga yang faham Islam, dan hajatkan Islam. Tetapi, ana telah melalui kepekatan suasana jahiliyah yang telah memutuskan hati ana dengan Allah SWT,” Sambungannya lagi dengan suara serak-serak basah.
“ Ana, sangat-sangat bersyukur atas kurniaan dan anugerah Allah SWT ini.”
“ Kerana itulah, ana sangat-sangat takut jika Allah SWT mencabut nikmat keimanan ini dalam hati ini. Ana ta..takut akhi,” Terdengar esakan lagi dalam tuturannya.
Kami semua terdiam. Ada tertunduk dan ada yang berusaha mengawal emosinya. Tersentuh jiwa dan hati-hati kami dengan bicara muqadimmah ini. Ya Allah, teguhkanlah hati-hati kami atas keimanan yang benar dan lorongkanlah jiwa-jiwa kami untuk sentiasa mendekati, menghampiri dan menyayangi-Mu.
“ Dengan keimanan inilah, jiwa-jiwa kita akan lebih merasai kenikmatan dan kemanisan kehidupan yang sebenar. Tatkala, manusia lain diuji dengan pelbagai ujian sehingga mereka tertekan, bimbang, tension dan resah – tetapi, kita ada tempat untuk bersandar, berharap dan bergantung.Ketika itu, kita sentiasa menyuburkan harapan kita terhadap-Nya.”
“ Kita ada Allah SWT. Dialah yang memberikan bantuan, pertolongan dan bantuan kepada kita. Tidak antum merasai semua ini?,” Ujar murabbi.
“ Suka ana mengambil kata-kata Prof Dr Yusof Al-Qardawi berkaitan keimanan, katanya :
“ Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencipta perubahan dalam bentuk jiwa manusia dan menjadikan manusia itu dalam bentuk yang baru, sehingga berubah pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya.”
“ Kita dimuliakan dengan iman. Iman itu memuliakan keinsanan dan kemanusiaan kita.”
“Allah SWT menganugerahi kita dengan nikmat Iman yang amat bernilai dan berharga dalam kehidupan kita. Dengan keimanan ini jiwa dan hati kita menjadi teguh dan sentiasa bergantung serta berhubung dengan Allah SWT.”
Murabbi mengamati wajah-wajah kami dengan senyuman yang diukir indah lalu bicara disambung lagi :
“Keimanan yang benar menjadikan perjalanan kehidupan kita seperti sebuah kisah cinta ; kesetiaan dan pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung menjadi ringan, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan.”
“Inilah cahaya kehidupan baru yang disinari dengan keimanan, keyakinan dan kepasrahan kepada Allah SWT. Dan cahaya ini akan terus bersinar terang benderang di dalam jiwa - jika kita sentiasa membersihkan hati dan jiwa ini untuk sentiasa dekat, hampir, rindu, sayang dan cinta hanya sanya kepada-Nya.”
Dan, malam itu kami benar-benar tenggelam dengan cahaya itu.
Catatan Seorang Hamba
(1) Iman itu adalah percaya dan yakin kepada kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Iman itu rasa cinta, rindu dan sayang kepada Allah SWT dan menjadikan saat-saat pertemuan dengannya satu saat kerinduan yang bersangatan. Iman itu terletak pada jiwa dan hati. Untuk rasai kemanisan beriman, bersih dan jagailah hati kita. Warnai kehidupan ini dengan keimanan dan keyakinan kepadaNya!!
(2) Hidup dengan keimanan – memberikan suatu kekuatan yang luar biasa. Ia penuh ketenangan, kedamaian, ketenteraman, kepasrahan dan kebergantungan yang sepenuh kepada Allah SWT. Walaupun diuji, kesabaran dan keteguhan tetap menjadi pakaian diri.
Muhasabah di Hujung Tahun 2011
“ Ternyata, kehidupan yang manis itu
hanyalah dengan cahaya keimanan.”
BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan
Allah SWT Uji Kita, Kerana Dia Sayangkan Kita
Wednesday, December 21, 2011
Allah SWT : - Sayangkah kita kepada-Nya?
Bertaqwalah ketika berbicara, kerana Dia pasti menguji apa yang kita kata.
Bertaqwalah ketika melakar tinta, kerana Dia akan menguji segala
yang dicoret oleh pena
Bertaqwalah ketika menghubungkan persaudaraan, kerana Dia akan menguji ketulusan ukhuwah yang dibina
Murabbi merapati diri dengan langkahan penuh ketenangan dan kedamaian. Senyuman tidak pernah lekang walaupun seketika. Sentiasa dan sentiasa mengukir senyuman yang benar-benar memikat.
Diam tanpa bicara.
“ Kenapa ini? Ada masalah?,” Ujarnya lembut tanpa keras atau buat-buat. Sinar matanya memberikan suatu sinar harapan.
Air mata tertumpa jua dihadapannya. Terasa lemah bersangatan.
“ Akhi..,” Bicaranya bermula.
“ Sesungguhnya, kita ini benar-benar berhajatkan kepada Allah SWT.”
“ Walaupun sehebat mana kita, segagah mana pun kita, selantang dan setinggi mana pun ilmu kita. Kita adalah hamba Allah SWT,”
“ Allah SWT uji anta, sebab Allah SWT sayang anta,” Katanya dengan bahasa-bahasa yang sederhana tetapi suaranya menyejukan jiwa.
“ Kita dididik untuk menghubungkan semua perkara :- baik, gembira, musibah, ujian dan dugaan yang menimpa dengan Allah SWT. Rasailah kehadiran dan kebersamaan Allah SWT dalam setiap peristiwa yang menimpa anta. Lihatlah ia dengan pandangan keimanan dan amatilah ia sedalam-dalamnya bahawa, kita sebenarnya berhak diuji oleh Allah SWT,”
“ Pastikan setiap yang terjadi, benar-benar tarbawi agar ia mendidik hati, jiwa, perasaan dan nurani,” Katanya lagi.
“ Akhi, kita hamba-Nya kan?,”
Kepala terasa berat untuk mengganguk.
“ Ya. Kita hamba-Nya. Saat diuji, - segala kekerdilan, kelemahan, kekurangan, kedhaifan dan keaiban diri kita terserlah. Dan, ketika itu kita rasa kita hilang segala tempat pergantungan. Bagaikan putus harapan”
“ Tetapi, untungnya kita sebagai hamba Allah SWT. Kita ada Dia. Kita ada tempat pergantungan. Kita ada tempat persandaran dan kita ada tempat untuk mengadu dan meluah.”
“ Hadapilah semua yang terjadi dalam kehidupan anta dengan ketaqwaan, keimanan, kepasrahan, keyakinan dan kebergantungan hanya sanya kepada-Nya.”
“ Akhi, bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa!.”
“ Akhi,..” Bicara terhenti seketika. Tangan murabbi memegang halus penuh rasa ke bahu ini.
“ Pergilah ambil wudhuk – kemudian dirikan solat sunat dua rakaat. Di penghujung sujud rendahkanlah dirimu serendah-rendahnya dan mohonlah keampunan daripada-Nya. “
“ Dan, tadahlah tangan seusai itu – mengadulah kepada-Nya, luahkanlah segala isi hati yang tidak tertanggung, munajatkan kepada –Nya, merintihlah sepuas-puasnya dan menangislah di hadapan-Nya.”
“ Akhi, bertaqwalah kepada Allah SWT!.”
“ Akhi, pujuklah hati dengan lantunan ayat-ayat cinta-Nya dan bingkisan peringatan hadis daripada junjungan Mulia – Nabi Muhammad SAW.”
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”
( Al Fatir 35 : 15)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya Allah akan mengujinya dengan kesusahan.”
(Riwayat Al-Bukhari)
Bertaqwalah ketika memberi, kerana Dia akan menguji keikhlasan hati
Bertaqwalah ketika menerima, kerana Dia berhak untuk mengambilnya semula
Bertaqwalah ketika meniti kehidupan, kerana Dia mengamati dan menilai setiap perbuatan
Bertaqwalah ketika ditegur atau dikritik menguris rasa, kerana Dia sedang menguji kerendahan jiwa
Bertaqwalah kepada-Nya, kerana kamu adalah hamba!
Catatan Seorang Hamba
(1) Antara kenikmatan dan kemanisan dalam kehidupan adalah memiliki murabbi (pendidik) dan pembimbing yang berjiwa besar dan berakhlak mulia. Mereka umpama , ibu ayah, sahabat, guru, pemimpin dan individu yang sangat-sangat halus dalam mendidik serta mengambil berat tentang diri kita.
(2) Kita sebenarnya :- Sangat kerdil, lemah, tiada upaya dan tiada nilai apa-apa. Tiada ilmu kita yang wajar dibanggakan, tiada kehebatan kita yang boleh diwar-warkan dan tiada apa-apa tentang “nilai” diri yang boleh diheboh-hebohkan. Ramai manusia akan tersungkur, sedar dan insaf akan hakikat ini apabila mereka diuji dan ditimpakan dengan musibah.
(3) Bertaqwa. Berhati-hatilah kita dalam melakukan apa jua di alam dunia ini. – Berkata-kata, memberikan teguran, menulis, menjalinkan hubungan kemanusiaan dan apa jua aktiviti harian. Allah SWT akan menguji kita dengan apa yang kita perkatakan, nukilkan, tuliskan, berikan dan sebagainya.
Allah SWT menguji saya selepas saya kongsikan satu perkongsian berkenaan bangun selepas azan Subuh. Selepas itu, 4 hari berturut-turut badan sakit dan tidak boleh bangun sebelum azan Subuh. Saya melihat hati, mengamati diri dan benar-benar insaf akan ujian Allah SWT ini. Di sebalik itu, tersimpan hikmah yang harus diselidiki.
(4) Justeru, antara ibrah yang ingin dikongsikan – Kita adalah hamba Allah SWT yang hina, kecil, kerdil dan tiada apa-apa. Maka, bertaqwalah kita kepada-Nya dengan sebenar-benar taqwa.
Koreksi Diri Di Hujung Tahun 2011
BroHamzah
Kampung Paya Batu, Jalan Long Yunus
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim
Read more...
Labels:
Keimanan,
Nota Tarbiyah
Bangun Selepas Azan Subuh
Wednesday, December 14, 2011
Ada Cahaya dalam kegelapan Subuh!
Bismillah, semoga coretan ringkas ini bermanfaat.
Berbekas, tercuit dan menyentuh.
Masih terkesan kata-kata murabbi :
" Islam tidak diperjuangkan & dibangunkan oleh pemuda-pemuda yang bangun tidur selepas azan Subuh!"
Lontaran, sentuhan dan lantunan nasihat itu masih berlegar-legar di minda, terusik di jiwa dan masih bermain-main dalam fikiran saya.
Kenapa waktu sebelum Subuh sangat-sangat ditekankan oleh murabbi-murabbi saya?
Ajakan, galakan, dorongan dan motivasi untuk “mengimarahkan” saat-saat hening sebelum Subuh, menjadi salah satu fokus murabbi-murabbi, ustaz-ustaz, abang-abang serta sahabat-sahabat saya sejak dari dahulu?
Bahkan -
Apabila membelek-belek kitab sirah, kehidupan Rasulullah SAW dan para rasul serta nabi, kisah-kisah para sahabat awwallun serta pejuang agama Allah SWT – mereka semuannya adalah ahli Subuh dan ahli Qiamullail. (Manusia-manusia yang mendirikan dan menghidupkan malam – di saat sebelum Subuh!)
“ Seorang mukmin yang bangun tidur ketika azan Subuh berkumandang, itu tandanya dia adalah mukmin yang lalai.”
“ Mukmin itu, dia bangun sebelum Azan Subuh…”
“ Mukmin yang kuat, bertakwa, tawaduk, berjiwa besar, dipenuhi himmah dan sentiasa berusaha mempertingkatkan dirinya – di awal-awal permulaan harinya lagi. Bagaimana?”
“ Dia bangun awal sebelum Subuh!.”
Namun, suatu hari yang mendamaikan :
“ Tapi, ustaz – saya tengok ramai sahaja kawan-kawan saya asyik “kalah” sahaja dalam bab ini. Bergegar, bergema dan kecoh dalam “memperkatakan” Islam, itu ini, itu ini. Tapi – Subuh, tak pah cakap. Fail !!.” Jujur katanya.
Fail = Gagal!
Saya diam. Hendak kata Tidak. Itu realiti. Mahu kata Ya. Itulah hakikatnya.
Ya Allah, ampunilah aku. Ampunilah dia dan mereka. Kuatkan kami dalam mendidik diri kami sendiri. Saya teringat suatu doa dari Abu Bakr RA yang dipetik daripada kitab Hadits Thultha’ ( Bicara Hari Selasa) yang bermaksud :
“ Ya Rabbku, Kau lebih mengetahui tentang diriku dariku sendiri. Dan aku mengetahui akan diriku lebih dari apa yang manusia tahu. Ya Rabbku, jadilah aku lebih baik dari apa yang mereka sangka. Ampunilah aku dalam hal yang mereka tidak tahu, Jangan Kau hukum aku dengan apa yang mereka kata.”
Justeru, persoalan ini terus menerus muncul :
Mengapa dan kenapa, waktu sebelum Subuh begitu penting, utama dan istimewa bagi seorang mukmin dan bahkan, bagi mereka-mereka yang ingin meninggikan kalimah Allah SWT?
Namun, berapa ramai para pemuda – (pejuang-pejuang, penggerak-penggerak dan para daie’) yang tertewas di awal hari lagi?
Lalu, kepada siapakah yang boleh kita harapkan untuk tujuan yang murni, besar lagi mulia ini?
Lalu seseorang mencelah :
“ Carilah dan dekatilah mereka-mereka yang konsisten dengan Solat Subuh berjemaah di Masjid , madrasah, pusat islam atau surau.”
Akhirnya, - “ Ummat yang memelihara solat Subuh akan teguh!. Dan, langkah awal ialah berazamlah, bertekad dan berlatihlah untuk bangun tidur sebelum Subuh walaupun ia memakan masa hatta 5 tahun!.”
Mencari sinar cahaya di kegelapan Subuh
Muhasabah Diri Di Hujung Tahun 2011
BroHamzah
14 Disember 2011
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Read more...
Labels:
Keimanan,
Nota Tarbiyah
Subscribe to:
Posts (Atom)



