Qudwah : Pengaruh mereka terhadap saya

Monday, November 22, 2010

Daya pengaruh itu, akan mencorakan keperibadian kita


Qudwah : Pengaruh mereka terhadap saya
Oleh : BroHamzah

Salam penuh kerahmatan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Semoga – anda dan saya – terus menerus berada di dalam lindungan dan limpahan kasih sayang Allah SWT. Tiada yang lebih membahagiakan dan menyenangkan daripada kemanisan beriman, menyakini dan berada dalam kepasrahan sepenuhnya kepada janji-janji Allah SWT.

InsyaAllah.

Marilah kita mulakan, hari ini dengan penuh keceriaan dan keriangan. Saya bangun dan bangkit pagi tadi dengan penuh ketenangan. Syukur – Alhamdulillah masih diberikan peluang dan nikmat untuk meneruskan kehidupan di alam fana’ ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Dan, kita mulaikan juga pagi ini dengan S E N Y U M A N. Senyumlah seikhlas hati dan penuh kerendahan jiwa, insyaAllah sekuntum senyuman anda itu akan membahagiakan sesiapa sahaja yang melihat wajah cerahceria anda itu. [“,]

Qudwah dan role model

Hari ini, perkongsian saya berbentuk sembang-sembang alam maya. Sekadar sharing sebagai pembuka bicara sahaja. Selalu, saya sebut : “ Sharing Is Caring”. Apabila berkongsi sesuatu pengalaman, ilmu atau pengetahuan walaupun ianya kecil, perkara-perkara biasa sahaja – namun ia memberikan kebahagiaan dan kepuasan kepada sanubari saya. Semoga perkongsian demi perkongsian ini berada dalam kerangka ubudiyah Illahi Wahdah. [ Kerana Allah semata-mata]

Saat ini, saya mengimbas kembali saat-saat awal saya mulai mengenal dunia. Banyak perkara yang saya timba, belajar, dan cuba di dalam hidup ini. Saya memerhati, melihat, membuat penilaian dan cuba untuk membuat tindakan. Saya belajar mengenal kehidupan, belajar berdikari, belajar untuk hidup di kaki sendiri, belajar mempertingkatkan diri, belajar untuk menyara kehidupan sendiri dan belajar untuk membina keperibadian yang diredhai Allah SWT.

Dan, di dalam proses belajar ini – kita sangat-sangat berhajatkan kepada role model atau qudwah yang berada di hadapan kita. Sifat manusia sememang begitu, cepat terpengaruh dan suka meniru tindakan tanduk seseorang. Daripada sifat inilah, saya belajar mencari qudwah, contoh ikutan dan – individu- yang akan saya belajar untuk menjadi sepertinya. Saya kongsikan dengan anda – mereka-mereka yang telah banyak mempengaruhi kehidupan saya,- cara saya berfikir, cara saya bertindak dan yang terpenting secara tidak langsung telah mendidik saya untuk menjadi seperti saya ada pada hari ini.

Kepimpinan dan ketokohan

1)- Nabi Muhammad SAW [ Rasulullah SAW] – Seorang tokoh kepimpinan ummat yang sangat dikagumi di seluruh dunia. Diletakan sebagai manusia yang paling berpengaruh sepanjang sejarah manusia. Kepimpinan baginda, telah menghasilkan manusia-manusia yang hebat disampingnya.

2)- Sultan Muhammad Al-Fateh [ Penakluk Kota Konstantinaple]- Dikatakan sebagai sebaik-baik pemimpin di zamannya. Kejayaan baginda menakluki Kota ini telah memberikan pengajaran yang sangat besar kepada kita. Saya sangat mengagumi kaedah dan cara baginda menyusun strategi untuk melaksanakan peperangan.

3)- As Syahid Imam Hassan Al-Banna [ Tokoh gerakan Islam abad ke 21]. Walaupun syahid di usia yang sangat muda, iaitu sekitar 42 tahun. Tetapi beliau telah memberikan sumbangan yang besar kepada era kebangkitan umat Islam setelah kejatuhan Khilafah. Kepimpinannya melalui tauladan – menjadi inspirasi untuk semua gerakan Islam.

4)- Dato’ Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain [ Mudir saya semasa disekolah menengah dahulu]- Kepimpinannya disegani dan dihormati. Wajahnya tenang dan bersahaja. Tetapi, kesan didikan dan kepimpinan benar-benar berbekas bagi setiap anak didiknya.

5)- Dr Abdullah Sudin Bin Abd Rahman [ Ketua Eksekutif di tempat saya bekerja sekarang] – Corak kepimpinan organisasinya bermula dengan contoh. Sentiasa memelihara hubungan sesama pekerja dan berusaha keras untuk memberikan inspirasi kepada staffnya untuk sentiasa berkerja kerana Allah dan untuk Allah SWT.

Pengurusan dan Keorganisasian

1)- Nabi Muhammad SAW [ Rasulullah SAW] – Seorang tokoh yang telah membina sebuah empayar keorganisasian yang sangat hebat ]

2)- Saidina Umar Al-Khattab – Khalifah Ar Rasyidin ke 2 – banyak pembaruan dari segi pengurusan keorganisasian yang dilakukannya. Sirahnya harus diselusuri dengan kajian yang teliti dan berhimmah. Kerana banyak ibrah dan manfaat yang akan diperolehi.

3)- Jamalludin Bin Ramli [ Abah saya, melihat secara real bagaimana beliau mengurus keluarga kami. Membesarkan 10 orang anak bukanlah sesuatu yang mudah tetapi perlu diurus dengan bijak. Saya lihat, abah saya Berjaya melakukannya walaupun banyak rintangan dan halangannya.

4)- Dato’ Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain [ Mudir saya semasa disekolah menengah dahulu]- Kepimpinannya disegani dan dihormati. Wajahnya tenang dan bersahaja. Tetapi, kesan didikan dan kepimpinan benar-benar berbekas bagi setiap anak didiknya.

5)- Dr Abdullah Sudin Bin Abd Rahman [ Saya belajar daripadanya, ketelitian, teknik membangkitkan semangat bekerja secara kumpulan dan hubungan keorganisasian]

Keilmuan dan Keintelektualan

1)- Nabi Muhammad SAW [ Rasulullah SAW] – Keilmuan baginda datang terus daripada Allah SWT. Bersumberkan kalam Allah SWT. Ia adalah cahaya yang menyinari kegelapan dan kegelitaan.

2)- Saidina Ali Bin Abi Talib [ Pintu kepada ilmu] – Antara sahabat Rasulullah SAW yang pintar, bijak dan alim. Keilmuaannya, diakui oleh baginda Rasulullah sehingga digelar gerbang keilmuan.

3)- Imam Syafii’ Ra [ Sangat kagum dengan keilmuannya dan kesungguhannya dalam menuntut ilmu] Kisah hidupnya sangat memukau. Saya fikir, jarang sekali ada orang sepertinya.

4)- Ibnu Qayyim Al-Jauziyah [ Ketinggian ilmu dalam soal ilmu kejiwaan, dan kecintaan yang hakiki ] Kehalusannya dan kepekaanya dalam menulis ilmu sangat dikagumi oleh kebanyakan orang. Tulisannya tetap relevan dan evergreen sepanjang zaman.

5)- Ustaz Abdul Hadi Bin Osman [ Ustaz saya di MATRI, saya segan kepadanya kerana keilmuannya di dalam ilmu Al-Quran dan juga hebat dari segi Sirah Nabi dan Para sahabat)

Pengucapan Awam dan Kemahiran Komunikasi

1)- Nabi Muhammad SAW [ Rasulullah SAW] – Pandai berinteraksi dengan semua lapisan masyarakat. Sebaran dakwah dan didikan baginda telah melahirkan generasi ummat yang terbaik di dalam sejarah peradaban manusia.

2)- Abu Umar [ Murabbi saya] – banyak mengajar kepada saya teknik komunikasi dan public speaking yang betul. Saya sering mengikutinya berceramah dan belajar melalui pemerhatian dan latihan secara praktikal.

3)- Dr Azizan Ahmad [ Pensyarah UKM] – saya menyukai tekniknya memberikan ceramah. Memotivasikan, membangkitkan dan menyedarkan.

4)- Tuan Haji Noor Azman Shamsudin [ Aktivis kemanusiaan] – Kata-katanya sangat menyentuh hati dan menusuk kalbu. Saya pernah menghadiri kursus public speaking yang disampaikan olehnya. Banyak tips dan input yang saya dapat. Alhamdulillah.

5)- Tuan Haji Rosdi Baharom [ Pengurus HEP KTD, Pakar Motivasi Jiwa] – Saya suka cara daya penyampaian dan daya tarikannya dalam memberi nasihat serta ceramah. Dengan penuh perasaan dan jiwa, kata-katanya membangkitkan rasa.

Murabbi/ah dan Pendidik Sejati

1)- Nabi Muhammad SAW [ Rasulullah SAW] – Baginda adalah murabbi terulung yang mendidik ummah ini untuk mengenal Allah SWT. Didikan baginda berbekas sehinggalah ke hari ini.

2)- Abah dan Emak saya – Murabbi dan murabbiah pertama yang mendidik saya daripada kecil sehinggalah kini. Penekanan soal aqidah dan keimanan kepada Allah SWT menjadi tunjang utama didikan berkeluarga dan faktor inilah yang mencorak perjalanan kehidupan saya.

3)- Dato’ Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain [ Murabbi sejati ] – Beliau mendidik dengan akhlak dan qudwah. Tidak banyak mengarah dan berkata-kata. Beliau buat dan lakukan sehingga ianya menjadi qudwah yang baik untuk diteladani.

4)- Abu Umar – didikannya secara tidak langsung telah banyak mendidik saya semenjak mengenalinya 10 tahun yang lalu. Beliau selalu menekankan aspek melalui tarbiyah secara amaliyah dan menekan tarbiyah ruhiyah sebagai dasar utama pembentukan keperibadian diri.

5)- Abu Munzir – sifat kesungguhan dan keistiqamahannya menjadikan saya sentiasa ingin berusaha mempertingkatkan diri. Beliau selalu memfokuskan berkaitan kejernihan, kehalusan dan kebersihan hati.

Karya penulisan dan kesenian kreatif

1)- Nabi Muhammad SAW [ Rasulullah SAW] – bagi berkarya secara realiti dengan menghasil manusia-manusia yang menjadi kitab yang berjalan. Hadis-hadis baginda, adalah sumber rujukan yang terpenting selepas kitab Al-Quranul Karim

2)- Ibnu Qayyim Al-Jauziyah – penulisannya dalam karya-karyanya seperti Kitab Zad al-Ma’ad, Madarij al-Salikin, Rawdah al-Muhibbin wa Nuzhah ai-Mushtaqin membuatkan saya semakin dekat dan menyayangi Allah SWT. Sangat hidup dan menyegarkan!

3)- Harun Yahya [ - Pastinya ramai yang mengenalinya. Saya sangat sukakan buku-bukunya dalam menerokai alam ini dan dihubungkaitkan dengan perhambaan kepada Allah SWT. Banyak juga bukunya yang saya beli. Antaranya buku Zaman kegelapan Islam dan ketibaan era kebangkitan Islam, Malapetaka Darminisma terhadap kemanusiaan dan sebagainya. Sangat mengujakan!

4) Dr Aid Abdullah Al-Qarni – Beliau antara tokoh keilmuan dan merupan seorang penulis yang prolifik. Buku-bukunya saraf dengan ilmu, nasihat, kata-kata ulama dan puisi serta syair-syair yang indah-indah. Sebuah bukunya, yang sangat berbekas dihati ialah – La Tahzan Janganlah bersedih. Saya membacanya sebanyak 2 kali. Sangat memotivasikan untuk terus berjuang di muka bumi ini dengan keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT.

5)- Mujahid Fathi Yakan- seorang ulama terkemuka Islam. Bukunya Maza Yakni Intima’I Lil Islam meninggalkan kesan yang besar kepada corak kefahaman saya berkaitan Islam. Tulisannya bersistematik, teratur, dipenuhi dalil-dalil ayat Al-Quran dan mudah difahami.

Itulah, serba sedikit beberapa tokoh dan individu yang telah menjadi qudwah, dan role model kepada saya untuk terus mempertingkatkan diri dari satu tahap ke suatu tahap. Bagi saya, kita harus ada contoh. Kita boleh mengenali tokoh kita ini melalui pembacaan, kajian, penelitian, pemerhatian yang mendalam, serta mendampingi individu tersebut sekiranya masih bersama dengan kita.

Qudwah utama

Dan, tiada ada qudwah yang paling utama dan terutama kita ialah baginda Rasulullah SAW. Baginda yang akan menjadi sumber inspirasi, qudwah, kekuatan dan cetusan motivasi saya yang terkuat untuk membangunkan diri sehingga ke tahap tertinggi.

Benarlah, firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.”

[ Al-Ahzab[33] : 21]

Inilah role model, qudwah, ikutan dan manusia mulia yang akan saya jadikan sumber inspirasi. Pengaruh mereka akan terus mengalir dalam darah saya dan akan saya usaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seperti Rasulullah SAW dan mereka-mereka yang baik dan soleh.

Penutup

1)- Tentukan role model dan qudwah anda. Kenali dan kaji kekuatan mereka, dan berusaha mengikuti mereka kerana mereka telah menunjukan hasil kejayaan dan kecemerlangan

2)- Kita ada short- cut untuk lebih gemilang dan berprestasi dalam kehidupan, contohilah mereka yang telah berjaya dan menunjukan hasil yang memberangsangkan. Kita juga berhak untuk berjaya seperti mereka. Ikutilah langkah-langkah dan amalan-amalan yang membawa mereka ke mercu kejayaan.

3)- Pilihan ditangan anda, dan andalah yang akan MENGUBAHKAN nya.





Read more...

Cahaya Hati

Sunday, November 21, 2010

Adakah hati ini masih bercahaya atau kelam dengan suraman tidak bermaya?


Cahaya Hati
Oleh : BroHamzah

Dengan nama Allah SWT Rabb Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ketika menukilkan coretan ini, hati saya benar-benar bening. Saya memerlukan ruh penghayatan dan makna diri untuk mengenali dan memahami hakikat diri.

Saat ini, marilah sama-sama dengan penuh kerendahan hati dan ketundukan kepada Ilahi kita hadapkan hati ini kepada Sang Pencipta Hayah.

Marilah- wahai para pembaca budiman – dengan keikhlasan yang mulus, dengan kejujuran yang bersih dan ketulusan sanubari yang suci ; kita merenungi seketika.

Kita tanyalah hati ini dengan jujur tanpa berprasangka dan tiada unsur buruk dalam berandaian.
Cetusan ini adalah cetusan rasa kita masing-masing. Saya yakin kita semua bersendirian di sudut-sudut dunia tersendiri. Moga-moga kita mendapat sesuatu daripada perkongsian ini.

Saya perlukan sepenuh perasaan anda untuk menguatkan tekad dan hasrat bagi menyempurnakan pembacaan bingkisan ini. Saya perlukan perasaan anda. Ya! Perasaan anda. Dan perasaan itu hanya akan hadir apabila anda menghadirkan diri anda bersama-sama hati dan jiwa ,ketika dan saat anda membaca coretan ini.

Kita mulakan, dengan Al-Fatihah

Alhamdulillah.

Tanyalah hati sejujur-jujurnya

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT sekalian, sedarkah kita semua bahawa diantara nikmat pemberian dan kurniaan Allah SWT yang sangat berharga kepada insan di dunia ini adalah seketul daging yang bernama hati?

Hati ini.

Hati yang tersimpan kukuh di dada kita adalah hati yang mempunyai perasaan.

Di sinilah kita merasai pelbagai rasa dan cetusan yang berbentuk sentuhan perasaan yang sukar untuk diungkapkan.

Di dalam hati ini, terbentuk pelbagai perasaan yang sentiasa mewarnai corak perjalanan kehidupan kita.

Ada saatnya, kita gembira, ceria, seronok dan tersenyum penuh suka. Di raut wajah kita terpancar kecerahan dan keceriaan yang membahagiakan dan menyenangkan setiap insan di sekeliling kita.

Ada ketikanya, kita bersedih, berduka dan bermuram durjana. Di riak muka kita terserlah kemurungan, keseksaan, penderitaan dan kesusahan yang kita tanggungi dengan penuh bebanan.

Ada selang waktu dan ketika – warna-warna perasaan ini menyapa dan ia beransur pergi hilang tanpa diduga. Ada saat kita diberi berita gembira yang melapangkan jiwa, dan ada detik kita dirundum nestapa yang melukakan sanurabi di dada.

Inilah hati.

Hati yang kita rasakan ia milik kita. Hati yang dipenuhi dengan pelbagai perasaan suka dan duka. Dan, kebanyakan kita merasakan hati ini – adalah hati kita.
Kerana itu, kita selalu alpa dan lupa. Hati ini kita buat dirinya sesuka hati kita tanpa kita merasai perasaan hati itu sendiri. Sedarlah kita, bahawa hati ini bukannya milik kita.

Ya, hati kita ini bukannya milik kita.

Saudara-saudari yang budiman,

Hati kita ini, adalah hati milik Allah SWT. Hati ini bukanlah hati milik kita untuk dibuat sesuka hati. Tanyalah perasaan kita dengan jujur, ikhlas dan tulus – bagaimanakah kita melayan dan menyantuni hati kita ini?

Saat ini, marilah kita melihat secara dalam, dengan penuh perasaan. Bagaimanakah keadaan hati kita?

Hatiku, apa khabar dirimu saat ini? Aku hadir ingin menziarahimu setelah lama aku lupa akan keadaanmu?

Hati ini ia perlukan sentuhan

Sahabat-sahabatku,

Hati ini pada asalnya ia bersih, putih, bersih lagi jernih. Tiada kesan kekotoran, dan lumpuh-lumpuh yang mengotorinya.

Fitrahnya begitu, ketika kita lahir mula-mula mengenal dunia ini. Hati kita sangat-sangat suci. Bauannya harum semerbak kasturi dan ia adalah hati yang sentiasa mengagung-agungkan Sang Pencipta-Nya.

Namun, si pemilik hati yang diamanahkan untuk memelihara dan menjaganya terlupa akan hakikat ini. Berlalu masa dan detik, hati itu mulai berubah kejernihan dan kebersihan.

Keputihan mulai luntur, dan bintik-bintik kehitaman mulai mewarnai permukaan hati tanpa disedari.

Dosa dan noda, ia sangat hitam

Aku sentiasa teringat akan kata-kata ini :

“ Setiap kali insan melakukan suatu dosa, maka terbentuknya satu bintik hitam di hatinya. Namun, jika ia bertaubat kepada Allah SWT akan terhapus bintik hitam tersebut. Namun, jika ia tidak bertaubat sehingga membiarkan hatinya terus dalam dosa dan kemaksiatan maka hati itu akan terus menghitam, dan bertambah kekotorannya. Dan, akhirnya ia menjadi keras, kaku dan terus mati”!

Marilah kita merenungi sedalam-dalamnya, bagaimana hati kita?

Adakah hati kita ini bersih, jernih dan putih?

Atau, hati kita ini kotor, berwarna hitam dan jijik untuk dipandang?

Pandanganlah hati kita, jangan alih pandangan kalian daripada melihat hati ini.

Lihatlah hati sedalam-dalamnya dengan penuh kasih sayang seorang hamba Allah SWT.

Ya. Hati kita terkesan dengan dosa-dosa dan maksiat-maksiat yang kita lakukan. Dosa-dosa yang kita lakukan itu, sebenarnya telah membentuk satu bintik hitam di permukaan hati kita.

Dosa kita terhadap Allah SWT yang acapkali kita buat , ulang dan ulang. Tanpa rasa malu dan bersalah, kita hidup dengan nafas yang diberikan Allah SWT dengan setiap saat dan detik hidup ini dengan gelumangan dosa dan maksiat.

Kita abaikan perintah-Nya. Solat yang wajib, kita lakukan sambil lewa. Kekadang kita tinggalkan solat dengan penuh angkuh sambil menyatakan alasan yang kononnya kukuh.

Kita hidup tanpa berpandukan kehidupan syara’ yang meliputi kehidupan kita. – Kita tanpa segan silu mendedahkan aurat, berpasangan tanpa berselindung –bercouple- , hidup bergaul bebas dan berbangga-bangga dengan dosa yang kita buat.

Semua ini adalah dosa. Dosa yang membentuk bintik-bintikan di hati kita.

Bayangkan dosa kita terhadap ibu bapa kita. Bayangkan satu persatu dosa-dosa kita kepada ibu kita yang telah banyak melakukan pengorbanan-pergorbanan yang luar biasa dan ada sehingga di luar jangkaan pemikiran manusia.

Kita menyusahkan mereka dengan permintaan yang bukan-bukan dan ada kalanya kita meninggikan suara sambil membentak-bentak anggota badan kita sehingga menguris perasaan mereka. Bukankah itu suatu dosa?

Kita hancurkan harapan menggunung mereka dengan menggagalkan diri di dalam peperiksaan? Bukankan itu suatu dosa? – Maka1 bintik hitam muncul di permukaan hati kita.

Dosa demi dosa kita lakukan sama ada kita sedar atau tidak.

Dosa kita dengan adik-beradik kita. Kita menipu, berbohong dan mengkhianati kesetiaan mereka terhadap kita. Itu dosa. 1 bintik hitam muncul lagi di wajah hati kita.

Renungilah dosa-dosa kita dengan kawan-kawan. Kita mereka senang, kita berdampingan dengan mereka. Ketika mereka susah kita jauhkan diri, buat-buat tidak kenal dan tiada apa-apa hubungan persahabatan. Kita sebarkan keburukan mereka.

Mengumpat, menjaja keburukan dan mengadu domba melaga-lagakan sesama kawan-kawan. Semua itu dosa, satu persatu satu bintik hitam timbul di hati kita. Kian waktu, hati semakin banyak dengan bintik-bintik hitam.

Bagaimana pula dosa kita dengan pensyarah kita. Kita sambil lewa dalam menuntut ilmu, kita tipu dalam melakukan assignment yang diamanahkan sehingga kita dihanyutkan dengan perkara-perkara penipuan ini.

Akhirnya, keberkatan ilmu tidak pernah memayungi kehidupan kita. Semakin belajar ke peringkat tinggi, kita semakin bongkak dengan ilmu yang ada. Sehinggalah kita menggunakan ilmu untuk tujuan-tujuan kejahatan. Itu satu dosa. Dan - bintik-bintik hitam semakin merebak keseluruhan hati kita.

Hati kita semakin menghitam.

Hitam, busuk, bernanah dan kian parah.

Itulah hati kita – Air mata mengalir membasahi pipi. “ Ya Allah, hatiku….”

Hati bercahaya ia kelihatan hidup dan segar

Dimanakah hati kita?

Sahabat-sahabat budiman,

Para ulama telah membahagikan hati ini kepada 3 kategori hati. Pertama 1)- hati yang hidup, kedua 2)- hati yang sakit dan ketiga 3)- hati yang mati.

Hati hidup

Kata para ulama, hati yang hidup adalah hati yang segar, kuat hubungannya dengan Allah SWT dan hati ini adalah hati manusia-manusia yang sentiasa takutkan Allah SWT.

Lihatlah hati yang hidup.

Jiwanya dan perasaannya sangat-sangat mencintai, merindui dan menambakan keredaan Allah SWT. Hati ini sangat gementar apabila dibacakan ayat-ayat Allah SWT. Ia takutkan kemurkaan, dan azab api neraka Allah SWT. Ia sangat halus dan sangat unik.

Hati ini adalah hati dambaan semua insan yang disapa dengan hidayah Allah SWT.

Hati yang sakit, ia perlukan rawatan pemulihan

Hati sakit

Hati ini, hati yang di dalamnya penuh dengan calaran, gurisan dan bintik-bintik hitam akibat dosa dan maksiat.

Hati ini, selalu lupa dan terlalai. Lalu ia terjerumus ke lembah kehinaan dan kenastapaan. Dosa dan makisat sering kali dilakukan ketika imannya benar-benar lemah. Namun, sejurus kemudian ia akan menyesali dan menginsafi dirinya.

Ya Allah, aku hamba yang lemah. Aku telah menzalimi diriku Ya Allah. Aku lakukan dosa berulang-ulang kali.”

Tangisan demi tangisan mengalir dari kelopak matanya. Tersedu-sedu insaf ketika itu. Ia benar-benar menyesal dan ingin bertaubat.

Namun, adakalanya kelemahan jiwa menyebabkan si pemilik hati yang sakit akan terus berulang kali dalam lembah kehinaan berkali-kali.

Hati mati - ia kaku umpama bangkai


Hati mati


Hati mati, adalah natijah dan hasil daripada perbuatan dosa dan maksiat yang berulang-ulang kali sehingga hati hitam sepenuhnya. Hati itu kemudiannya terus kaku, keras dan tidak lagi dapat ditembusi dengan cahaya keimanan.

Hati mati, tidak dapat tersentuh dengan kalam-kalam nasihat daripada ayat-ayat suci Al-Quranul Karim dan hadis-hadis sentuhan hati daripada Rasulullah SAW.

Ia keras. Hitam. Jijik dan terus jijik.

Ia semakin parah dan akhirnya ia terus mati terkubur di dalam jasab seorang manusia yang masih bernyawa.

Hati mati, ia akan berbangga-bangga dengan kemaksiatan yang dilakukan. Dia akan menjadi penentang kebenaran, kemakrufan dan kesolehahan. Hatinya sudah buta tanpa suluhan cahaya keimanan dan ketaqwaan.

Hati mati. Tiada lagi bibit-bibit keinsafan yang akan menerpa jauh di sudut hatinya.
Hati mati. Tiada lagi kehidupan yang sebenarnya buat jiwanya.
Hati mati. Adalah hati yang penuh dengan kegersangan, kekosongan dan kehambaran.

Tanyalah hatimu

Sahabat-sahabat, tanyalah hati kalian dimanakah keberadaan hati kita?

Hati hidup, hati sakit atau
Hati mati.

Mengingati kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib :

“ Hati seorang mukmin itu suci bersih, pada hati itu terdapat pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam, sentiasa sakit dan mati.”

Bayangkan, rupa bentuk hati yang bagaimanakah yang akan kita persembahkan di saat hari pertemuan kita dengan Allah SWT?

Hati yang jijik, hitam, kotor, bernanah, tercalar, rosak dan punah dengan kesan-kesan akibat dosa dan maksiat?

Atau,

Dengan hati yang bercahaya dengan keimanan, keyakinan dan kepasrahan kepada Allah SWT.
Hati yang tenang, tenteram, bersih, jernih, putih dan sentiasa puas untuk mengikrarkan bahawa Allah SWT itu adalah rabb-Nya.

Bingkisan ini adalah muhasabah buat diriku yang lemah dan hina ini.

Sahabat-sahabat bimbinglah diri ini, jangan sahabat- jangan biarkan hati ku jauh daripada Allah SWT. Pimpinlah hati dan diri ini menuju syurga Allah SWT.

Doaku tanpa putus-putus dan jemu :

“Ya Allah, matilah aku dalam penghabisan yang baik bersama hati yang bercahaya dengan nur iman-Mu.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.”

[ Ar- Ra’d : 28]

Read more...

Bicara Murabbi : Sungguh Aneh

Sungguh aneh, air mata ini kering apabila kerinduan dan kecintaan kepada-Nya menyapa. Seolah-olah hati ini gersang kering, kaku tidak bermaya. - Adakah ia telah mati?



Bicara Murabbi : Sungguh Aneh

Kalam dan mutiara nasihat Abu Umar benar-benar menyentuh hati dan menusuk kalbu saya.
Merenung panjang saya melihat diri, menginsafi setiap perbuatan harian di bumi ini
Menyedari akan hakikat kelemahan, kealpaan dan kekurangan diri.

Seruan, dan peringatannya sangat-sangat kena pada saat dan ketikanya.
Bagi saya, setiap yang tercatat ini adalah kalam peringatan buat saya.
Seolah-olah Abu Umar sedang berbicara berhadapan dengan saya.
Bicara seorang Murabbi dari hati untuk santapan hati anak didiknya.

Saya kongsikan jua buat para sidang pembaca yang budiman,
Agar setiap daripada kita mampu mengutip ibrah buat pedoman.

~ BroHamzah

Sungguh Aneh

Sungguh aneh bagi seseorang yang merasakan dirinya sebagai Da'ie ilallah namun tidak dapat menikmati kemanisan solatnya! Bukankah jalan hidupnya terlalu sukar, bebannya tidak tertanggung dan simpang siurnya terlalu banyak dan mengelirukan?

Bukankah segala penat lelahnya, segala pengorbanannya, setiap titisan keringat dan air matanya untuk Dia, Pemilik jiwa dan kehidupan?

Bukankah segala rindu dan cinta, segala harap dan asa bahkan seluruh rasa tawakkal hanya padaNya?

Kenapa kini, ketika tubuh sedang mengadapNya, sedang jiwa dalam perhatianNya....kita tidak menemuiNya dalam hati kita? Bahkan kita tidak temui cinta dan rindu padaNya.

Benarkah segala yang kita korbankan selama ini untukNya? Benarkah yang kita cari selama ini adalah redhaNya?


Sungguh aneh bagi seseorang yang merasakan dirinya sebagai Murabbi ilallah namun umurnya tidak menambahkan keakrabannya dengan Al Quran! Bukankah hidayah itu milikNya, yang membolak balikkan hati itu adalah Ar Rahman bahkan yang memberi taufiq dan kekuatan itu juga adalah Dia yang Maha Agung.

Bukankah jiwa manusia itu terlalu liar dan rumit untuk difahami sedangkan jalan menundukkannya itu berada dalam KalamNya? Bukankah Kalimah-KalimahNya mampu memecahkan gunung apatah lagi menundukkan hati manusia?

Bukankah kehidupan itu sendiri sukar untuk dimengerti apatah lagi dikendali sedangkan segala PengajaranNya telah tersedia dan terpelihara dalam mushafNya namun kenapa jiwa kita masih mampu jauh dari panduanNya?

Benarkah kita sedang mengajak manusia kepadaNya? Benarkah langkah kita sedang mendekatkan diri kita padaNya?

Jadi...

Milik siapakah jiwa ini?
Untuk siapakah segala pengorbanan yang ku curahkan selama ini?
Dan kepada siapakah diri ini akan kembali?

Catatan ini untuk diriku yang sedang menangisi kegersangan hati, sengaja dikongsikan dengan sesiapa yang turut mengalaminya. Semoga Allah menjadikan kita sentiasa dalam RahmatNya. Ya, hanya RahmatNya yang akan menyelamatkan kita dari azab siksa Neraka dan mengantar kita ke Syurga.

Abu Umar

Penutup kata - BH

1)- “ Ilahi, Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Berikanlah kenikmatan dan kemanisan buat jiwa dan sanubari ini dalam beribadah kepadamu. Campaklah kekhusyukan yang tenang dalam solat yangku didirikan.” – Munajat hamba dinihari yang dingin

2)- Pesanan Murabbi ku acapkali : “ Peliharalah hubungan kalian dengan Allah SWT. Rasailah kemanisan dalam mencintai-Nya dan hangatkanlah rasa kerinduan yang berpanjangan kepada-Nya.”

3)- Masih basah dalam ingatan ku kata-kata seorang sahabat senior ketika di IPT, “ Carilah Allah SWT di dalam hidup kalian, apabila telah menjumpai-Nya di dalam celah-celah kehidupan yang fana ini maka kenalilah-Nya, cintailah – Nya dan hargailah saat-saat kalian merasai hangatnya rasa kerinduan kepada-Nya,” . Kata-kata ketika itu saat hidup, menyapa kalbu gersangku dan membuatkan air mataku mengalir deras di pipi yang kering. “ Ilahi, aku sudah kehilangan cinta hakikiku.”

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP