Menyemai Harapan

Tuesday, March 5, 2013



Agar Ia Tumbuh Subur Di jiwa Para Pejuang Kebenaran
Harapan Demi Harapan



Menghembus harapan bagi sang pejuang adalah tiupan perasaan yang menenangkan lagi mendamaikan. Sang pejuang sangat-sangat memerlukan tempat persinggahan untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanannya yang semakin hari semakin sukar.

Di hadapanya, jalan penuh berliku.

Tabiat jalan yang diwarnai dengan luka, rasa penat, penuh kepedihan, linangan air mata dan ditusuk duri adalah perkara biasa bagi sang pejuang. Namun, mereka tidak akan pernah berhenti melaluinya, tidak lelah menyusurinya dan terus menerus mengikut arus yang juga tidak pernah berhenti.

Di jalan ini – “ rasa sakit telah menjadi kenikmatan, pengorbanan menjadi suatu keindahan dan jiwa menjadi semakin bersih lagi putih.” Para pejuang terus mengenggam penuh erat tali kebersamaan sesama mereka kerana perjuangan ini telah menjadikan mereka lebih tabah, sabar, kuat, kukuh dan sanggup menghadapi apa jua rintangan yang mendatang.

Kita perlukan satu bekalan

Sahabatku, inilah hakikat tabiat jalan ini. Justeru, kita memerlukan satu bekal yang ampuh iaitu bersikap lapang dada, nafas panjang dan mudah memaafkan. Hal ini seperti para solihin, salafusoleh dan juga para sahabat – yang tidak peduli dengan suasana cemas, getir dan tentangan yang mereka terima dalam melaksanakan segala ketaatan dan kepatuhan.

Begitu juga para pejuang yang kental zaman berzaman, lihatlah susuk keperibadian mereka yang tidak sengal oleh tipu daya dan serangan hebat pihak musuh terhadap mereka. Bahkan, junjungan Mulia Rasulullah SAW tidak merasa tertekan, terhimpit dan seksa dada dengan cacian, penghinaan dan cercaan manusia-manusia sekitarnya dalam menyenmpurnakan misi kenabiannya.

Kisah Ibrahim An Nakh’i wajar diteladani.

Suatu masa, beliau berjalan bersama sahabatnya seorang buta. Setelah beberapa lama menyusuri jalan, orang buta itu mengatakan :

“ Ya Ibrahim, orang-orang yang melihat kita mengatakan, “ Itu orang buta dan orang pincang…itu orang buta dan orang pincang,”

Ibrahim dengan tenang lalu mengatakan :

“ Kenapa engkau begitu terbebani memikirkannya? Jika mereka berdosa kerana menghina kita sedangkan kita mendapat pahala, lalu kenapa?

Begitu tenang jiwanya dan jawapannya sangat menyakinkan.

Manusia yang pelik

Ketahuilah, sahabat kita akan temui pelbagai jenis ragam, karenah dan kejelekan manusia di sepanjang kehidupan kita. Semakin hari semakin pelik lagi jelek manusia ini jika terus hidup bersama mereka. Tetapi, sebagai hamba Allah SWT kita akan dituntut untuk terus bergaul dan hidup bersama mereka dalam menjalankan misi-misi dan kerja-kerja yang besar.

Lantas, apakah kita akan memencilkan diri?

Tidak sama sekali. Bahkan kita akan terus menerus menyantuni mereka dengan kadar kemampuan yang ada. Tetapi, sifat lapang dada, mudah memaafkan dan bersahsiah tinggi akan menjadi pakaian dan imei kita sepanjang masa.

Mereka yang dirahmati Allah SWT itu, menyikapi pelbagai persoalan, melayani pelbagai krisis dan berhadapan dengan bermacam-macam konflik kehidupan dengan lapang dada. Mungkin sahaja, mereka akan berduka, bersedih, kecewa dan akan memuncak rasa marah. Tetapi, mereka berhasil menguasai hati mereka kembali.

Hati mereka redha. Mata mereka tetap teduh. Ketenangan mereka sama sekali tidak terusik. Alangkah indahnya saat itu.

Mereka bahagia begitu. Ketahuilah bahawa manusia yang paling menderita ialah manusia yang tidak berlapang dada dan cepat marah lagi melenting.

Dada sempit. Keliru menerjah akal. Nafas tersengal. Wajah kemurungan. Hilang keceriaan. Hati kesal lagi kesat. Jiwa bergemuruhan lagi berduka cita, bahkan air mata dan dendam terbit tanpa duga. Hingga segala istirehat terganggu, fikiran tidak menentu arah.

Jika, lapang dada menjadi benteng. Ketahuilah, amal-amal yang besar mampu dijanakan. Lantaran, amal-amal besar itu hanya lahir dari jiwa yang bersih, hati yang tenang, nurani yang putih penuh redha dan fikiran yang jernih.

Benarlah apa yang diungkapkan oleh Ar-Rafi’I dalam Wahyul Qalam :

“ Jika engkau menghadapi dunia dengan jiwa lapang, engkau akan memperoleh banyak kegembiraan yang semakin lama semakin bertambah, semakin luas, duka yang makin mengecil dan menyempit. Engkau harus tahu bahawa apabila duniamu terasa sempit, sebenarnya jiwamulah yang sempit, bukan dunianya.”


Penutup : Rahsia Mereka

Lantas itu, apakah rahsia lapang dada yang dimiliki oleh para sahabat, salafusoleh dan insan-insan soleh? Bagaimanakah mereka menyantuni semua kemelut kehidupan dengan penuh kebijaksanaan dan basirah yang terang?

Satunya ialah wawasan ilmu mereka yang luas.

Manusia yang sempit wawasan – terasa begitu kerdil untuk berdiri dengan keyakinan, sangat takut dengan peristiwa yang remeh temeh, gerun dengan perkara-perkara kecil dan mudah marah.

Hal kecil menjadi besar. Perkara yang tidak perlu dibalasi – diungkit-ungkit tanpa penghujung. Dan, ketahuilah manusia yang berjiwa besar adalah manusia yang melayani segala konflik, dilemma dan persoalan kehidupan dengan sahsiah dan akhlak yang mulia. Lidah, anggota badan dan keperibadian mereka mampu menyenangkan sekitar dan layak  mendapat keredhaan daripada Allah SWT.


------------
BroHamzah

Read more...

Hijrah Ke Bagan Datoh Perak

Sunday, February 24, 2013



Jeti Bagan Datoh Yang Mendamaikan.


Hidup Baru Di Bagan Datoh

Begitu pantas masa berlalu, bagaikan “tanpa” sedar sudah 3 minggu kami sekeluarga di tempat baru yang menjadi tapak baru kehidupan kami sekeluarga.

Bagan Datoh.

Bumi ini sebenarnya, amat asing bagi saya dan zaujati. Ya. Seumur hidup belum pernah menjejaki ke sini, dan saya – inilah kali pertama “mendengar” nama tempat ini dan inilah kurniaan Allah SWT kepada kami untuk menghirup udara segar Bagan Datoh!

Kami berhijrah dengan semangat, perasaan dan impian yang baru. Sejujurnya, jiwa dan hati saya sudah lama “merasai” saat untuk berhijrah tetapi tidak tahu ke mana sehingga pada tanggal 4 Februari 2013. Panggilan telefon yang mengesahkan penempatan zaujati di Perak dan Maha Suci Allah SWT yang memilih kami sekeluarga untuk “berkampung” di Bagan Datoh.

Bagan Datoh.

Kawasannya yang menghijau, dipenuhi pokok kelapa sawit, dan untuk sampai ke sini – perlu melalui Bidor, Setiawan dan Teluk Intan. Perjalanan yang ditempuhi hampir 10 jam dari Kota Bharu, benar-benar menggamit perasaan kecil saya.

Fuh! Jauh juga.

Alhamdulillah. Mindsetting awal saya kepada zaujati, agar sama-sama jadikan hijrah ini sebagai satu langkah untuk maju kehadapan dan meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik. Kualiti yang bagaimana?
Kehidupan yang lebih dekat, akrab dan hampir dengan Allah SWT. Ya. Keberadaan kami di bumi yang asing - tiada sesiapa yang kami kenal,perlu banyak belajar, lebih berdikari dan berdepan dengan manusia-manusia yang baru – membuatkan kami perlu perbanyakan persandaran dan pergantungan hanyasanya kepada Allah SWT.

Itulah yang saya rasai saat ini. Tempoh penyesuaian dan settledown semua perkara serentak amat-amat menghimpit dan memberikan cabaran serta dugaan kepada saya dan zaujati. Tetapi, Maha Baiknya Allah SWT yang mempermudahkan segala kesukaran yang kami lalui. Kepayahan disusuli dengan kemudahan demi kemudahan.

Ya Allah, kepada-Mu lah kami berserah.
Ya Ilahi, kepada-Mu lah kami sentiasa bersangka baik.
Ya Rabbi, kepada-Mu lah kami sandarkan segala-galanya.

Banyak perkara, perasaan, pengalaman dan perkongsian yang ingin dicoretkan. Namun, saya biarkan ia berlalu tanpa rakaman. InsyaAllah, saya hajatkan sedikit sahaja kekuatan, kesempatan dan peluang untuk menukilkan semua itu dalam kotak minda dan relung jiwa – sebelum ianya mampu diukirkan dengan mata pena maya di pondok teduhan saya ini.
Harapan saya.
------------
BroHamzah
Selepas ini, bagaimana? Apa cerita Yob?
Apa perancangannya?

Read more...

Istimewa Post # 555 : Bernafaskan Udara Kasih Sayang-Nya

Friday, February 1, 2013


Putri Kami - Setahun Sudah.

Kota Serambi Makkah kini benar-benar basah dengan limpahan rahmat daripada Allah SWT. Sejuk sehingga menggigit tulang belulangku.

Tadahan air yang mencurah-curah menggamit setiap jiwa yang memandang ke langit yang mendung dan gelap saban hari. Masya-Allah. Kurniaan, anugerah dan nikmat daripada Sang Pecipta yang tidak pernah putus buat sekalian makhluk.

Aku, Zaujah dan Puteriku seakan-akan menghirup udara baru saat ini. Fasa-fasa kami bersama telah mengharumkan kehidupan kami dengan pelbagai warna, cerita  dan gaya. Aku duduk bertafakur dan mengimbas segala laluan di sepanjang tahun 2012 ini. Lalu aku simpulkan :

“ Maha Suci Allah SWT Yang Memberikan Semua ini!,”
---

Januari – Post : 5

Anugerah permata hati kurniaan Allah SWT yang amat menyenangkan hati. Aku bersyukur Ya Allah! Gembiranya hati, hanya Dialah yang Maha Tahu!

Februari – Post : 7

Ujian Allah SWT bermula. Aku gagahkan setiap hari dengan munajat, zikir dan doa. Aku laluinya tanpa berkongsi dengan sesiapa. Hanya kepada Allah SWT aku adukan segala sakit perit ini.

Mac – Post : 11

Allah SWT sentiasa memberikan kekuatan kepadaku dalam setiap langkahan. Aku teruskan kehidupan dengan senyuman tanpa paksa.

April – Post : 9

Tiada kuasa yang agung dan hebat melainkan Engkau Ya Rabb! Rawatan demi rawatan aku cuba, ternyata Allah SWT itulah sumber kekuatan yang ampuh!

Mei – Post : 12

Setiap hari adalah peluang-peluang untuk memohon keampunan-Mu Ya Ilahi. Zaujah dan putriku adalah penyeri hidupku ini. Begitu juga keluarga besarku! Terima kasih abah, kedua-dua emak dan adik-beradik yang lain termasuk abang dan adik-adik iparku.

Jun – Post : 10

Aku terus gagahkan diri mengumpul segala kekuatan dengan kurniaan Sang Pemberi Kekuatan. Sahabat-sahabat sekeliling terus menemaniku dalam perjuangan ini.

Julai – Post : 4

Ramadhan – intensif memulihkan roh dan jiwa yang lara. Ramadhan ini berbeza dengan Ramadhan yang sebelum-belumnya.

Ogos – Post : 4

Sinar itu kembali bercahaya.

September – Post : 3

Menyusun dan membangunkan kembali kehidupan yang lalu. Kepada-Mu Ya Rabb kami serahkan seluruh kehidupan ini. Kami tiada upaya dan daya. Kami hanya hamba-Mu yang kerdil, kecil dan hina.

Oktober – Post : 6

Setiap kesempatan adalah ruang untuk penambahbaikan, peningkatan dan daya tolak untuk terus maju ke hadapan.

November – Post : 8

Menerima berita gembira yang kedua.
Alhamdulilah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Disember  – Post : 5

Susunan Allah SWT, kami memilih untuk berubah dan meningkat!

Maha Baik-nya Allah SWT.
Maha Pemurah Lagi Pengasih-nya Allah SWT
Maha Sempurna Dan Agung-nya Alah SWT
Dialah yang memberikan kami naungan, lindungan dan rahmat-Nya tidak putus-putus sehingga kini.
Dengan izin-Nya kami dapat bernafaskan udara kasih sayang-Nya dengan penuh kekuatan, ketenangan, kebahagiaan dan ketenteraman.
Kepada-Nya lah kami berserah!

----
BroHamzah

Jumlah Post 2012 : 84. Berkurang daripada tahun-tahun sebelumnya. Semakin hari, semakin sukar untuk menjadi medium blog sebagai tapak perkongsian, cetusan dan sebaran. Namun, Alhamdulillah – seminggu sekali, saya akan cuba untuk meninggalkan jejak di pondok teduhan ini. 

Moga tahun 2013, saya mampu meningkatkan sesuatu lebih daripada menulis tetapi menjelmakan ia dalam bentuk penghayatan amalan! Itu lebih utama dan penting.

Pastinya, tahun 2013 : Akan merubah perjalanan kehidupan kami sekeluarga. Justeru, kepada Allah SWT jualah kami serahkan ketentuan, keizinan dan ketetapan-Nya.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP