Perkongsian : Kembara Ilmu Bersama KKTM

Wednesday, March 30, 2011



Perkongsian : Kembara Ilmu bersama KKTM
Oleh : BroHamzah

Semalam, Alhamdulillah saya berkesempatan berkongsi dengan para pelajar (siswa dan siswi) Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Pasir Mas – untuk sesi Kembara Ilmu mereka selepas maghrib. Bertempat di surau KKTM yang indah dan cantik. Alhamdulillah, setelah tertangguh beberapa bulan sebelum ini Allah izinkan saya untuk ke sana.

Perkongsian semalam, lebih berkisar kepada peringatan dan tazkirah berkaitan persedian, persiapan dan usaha-usaha penyucian hati – sebagai bekalan sebelum pulang bertemu Allah SWT. Saya sangat-sangat gembira, selesa dan senang hati bersama para pelajar. Berkongsi ilmu, pengalaman, sedikit cerita, berceloteh dan bersembang-sembang tarbawi. Mungkin perlukan sedikit masa lagi untuk bertaaruf dengan lebih dekat, mesra dan ramah sesame mereka. InsyaAllah.

Terfikir – apa yang perlu dikongsikan dengan mereka? Alhamdulillah, terlintas di hati untuk share satu tazkirah yang sangat mengesani hati saya ketika membaca buku tulisan Amru Khalid. Lantas, saya kongsikan dengan mereka berkaitan Terminal Penyucian Hati – yang saya catatkan di dalam artikel terbaru Himmah di Langit Ilahi. Com.

Saya kongsikan di sini sebahagian artikel : Meraih Himmah Melalui Terminal Penyucian Hati

Manfaat buat kita semua

Kita lihat dan perhatikan hal ini dengan bersungguh-sungguh tanpa alpa dan lupa. Tanpa berlengah dan kalah. Melihat amal kita untuk disuburkan dan dikembangkan untuk keredhaan-Nya. Teringat kata-kata Majdi al-Hilali :

“ Penggerak atau pencetus amal manusia ini hanya ada dua sahaja iaitu IMAN & NAFSU.”

Justeru bagaimanakah kita peka, sensitif dan mengambil cakna akan hakikat ini? Saat ini, kita kembali kepada prosest Hati. Ya, inilah yang selalu ditekankan oleh Rasulullah SAW dan para ulama’ muktabar. Satu buku yang harus kita baca, lihat dan semak balik tentang aspek ini ialah buku yang bertajuk Penyucian Jiwa oleh Said Hawwa.

Marilah kita semak semula amalan harian agar, “proses” itu benar-benar berlaku. Bermula dengan solat sunat tahajud, amalan-amalan wirid al-Mathurat, lantunan bacaan Al-Quran, ibadah sunnat seperti solat sunat, puasa sunnat dan yang lain-lain lagi. Semalam, murabbi berpesan :

“ Jadikanlah Zikir al-Mathurat sebagai sarapan pagi dan mentadabbur Al-Quran sebagai makanan hati.”

Inilah langkah-langkah proses penyucian, pembersihan dan penjernihan jiwa yang harus kita perhatikan secara serius, bersistem dan terarah. Oh ya, saya teringatkan perkongsian saya berkaitan syurga pada minggu lepas berkaitan syurga.

Syurga adalah natijah atau hasilan yang kita hajati setelah pengakhiran kehidupan di dunia ini. Namun, syurga adalah milik insan-insan, hamba-hamba dan manusia yang benar-benar melaksanakan proses penyucian hati diri mereka sehingga bersih, layak untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Ahli syurga – bersih dan suci

Justeru, saya ada sebutkan berkaitan terminal penyucian hati – ia umpama stesen atau persinggahan untuk kita bersihkan diri daripada dosa dan maksiat yang seringkali kita lakukan berulang-ulang kali.

Dalam buku, Hati Sebening Mata Air – karya Amru Khalid, ia menjelaskan bahawa syurga diciptakan untuk mereka yang benar-benar bersih hatinya, tiada perasaan busuk hati, perasaan dendam dan dengki dengan orang lain. Bahkan, setiap penghuni syurga harus benar-benar suci dari dosa.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Kesejahteraan (dilimpahkan) ke atasmu, berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” [2]

Anda boleh semak ayat ini di dalam mushaf Al-Quran, cuba perhatikan dengan teliti satu perkara dalam ayat ini iaitu dhibtum طبتم artinya kalian disucikan dari maksiat dan dosa. Mafhumnya, syarat untuk menghuni dan menjejaki syurga adalah , kita harus baik lagi suci, suci dari dosa – sehingga tidak memiliki dosa, meskipun sebiji dzarrah pun.

MasyaAllah! – Bayangkan diri kita, hati kita, dosa-dosa masa silam, maksiat hari ini, kekotoran hati, kejijikan pada jiwa akibatnya dan kerosakan yang telah berlaku kepada fitrah kesucian kita. Justeru, bagaimana ini terjadi? Sementara kita semua berdosa dan bermaksiat? Apakah nanti, tidak aka nada yang memasuki syurga?

Bukan begitu, malah ramai yang menjejaki dan dimasukan syurga tanpa azab. Cuma, ingin dibawakan di sini – bahawa syurga hanya akan dihuni oleh insan, hamba Allah dan manusia yang benar-benar suci. Kerana itu, Maha Suci Allah SWT – yang menjadikan sebelas terminal penyucian. Ia adalah medium dan media menyucikan diri untuk menghuni syurga : 4 di dunia, tiga di alam kubur dan 4 di akhirat. Ingat 4 – 3 – 4 !

Terminal-terminal Penyucian

Sebelum saya berkongsikan tentang perkara ini, harus difahami dan diyakini bahawa – sebagai insan kita – bahawa kita akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Untuk meraih rahmat-Nya dan kasih sayang-Nya : kita harus melakukan, melaksanakan dan berusaha membersihkan hati, menjernihkan sanubari dan memperbaharui keputihan jiwa sendiri. Caranya, bagaimana? – Ayuh kita semak terminal penyucian ini.

Terminal : Empat [4] di alam dunia

[1] Taubat

Saudara sidang pembaca – terminal pertama, utama dan terpenting ialah terminal taubat. Ia harus diperbaharui, dimurnikan dan disegerakan.

Taubat – ertnya ialah kembali : rasa menyesali, takut dan ingin kembali kepada Ilahi. Sebuah perasaan yang menggugah perasaan, ia penuh nikmat dan diganjari dengan kemanisan yang tidak terungkap dengan bicara kata. Ia menyucikan diri dari segala dosa dan noda, lalu kembali kepada rabb dengan segala kesedaran, kefahaman, keyakinan dan kesungguhan.

Kita contohi, Sufyan ats- Tsaury RA – seorang tabi’in yang warak yang menimba ilmu daripada sahabatnya berkata : “ Suatu hari aku duduk-duduk menghitung dosa-dosaku.Lalu aku berkata pada diriku, “ Kau akan bertemu Allah, wahai Sufyan, Dia akan menanyakan padamu dosa demi dosa.”

[2] Istighfar

Kesinambungan terminal pertama ialah – mengamalkannya iaitu melalui kaedah ini.

Beristighfarlah dari dosa yang tidak kita ingat. Rasulullah SAW beristighfar 100 kali setiap hari dengan penuh kerendahan, penyesalan dan rasa perhambaan. MasyaAllah – insan yang mulia, maksum (terpelihara dari dosa) dan agung ini sentiasa membersihkan dirinya. Justeru apakah yang menghalang untuk kita berbuat demikian?

[3] Kebaikan

Terminal seterusnya ialah memperbanyakan kebaikan dan amalan-amalan soleh. Saudara, tahukah saudara dan saudari sekalian – amalan-amalan soleh umpama haruman yang akan menyemarakan bau-bau yang menyenangkan dan membahagiakan sesiapa sahaja.

Dan – perbuatan kebaikan akan menghapuskan perbuatan yang buruk, keji dan jijik. Ia membakar dan melenyapkan segala perbuatan-perbuatan yang mengabaikan diri kita.

Ada satu kisah. Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata : “ Aku telah mencium seorang wanita daripadanya,” sehingga turun ayat :

“ Dan, dirikanlah solat itu pada pagi dan petang (siang) dan pada permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.”

( Hud (11) : 114)

Lelaki itu bertanya , “ Wahai Rasul, apakah ini untukku?,” Rasul menjawab, “ Untuk melakukan itu dari umatku.” [3]

[4] Musibah yang menghapuskan

Musibah, ujian, dugaan – berbentuk kesakitan, keperitan, penderitaan, kehilangan, kematian, bencana dan apa jua bentuknya : ketahuilah ia adalah bentuk terminal penyucian hati kita. MasyaAllah – sangat-sangat indah didikan Allah SWT kepada kita.

Betapa kasihnya Allah SWT. Dia menghadirkan segala bentuk musibah adalah untuk menyucikan kita. Musibah yang berbentuk peringatan, hentakan dan goncangan – agar kita sedar, kembali insaf dan kenal hakikat diri. Saat ditimpa musibah, yakinlah bahwa inilah bentuk penyucian diri dan tarbiyah daripada Allah SWT buat diri kita.

Demi Allah, di dunia ini – kita hanya mempunyai empat [4] terminal ini sahaja.

Semoga bermanfaat. InsyaAllah.

6 comments:

Qawiem Khairi March 31, 2011 at 2:16 AM  

sgt tersentuh dgn terminal penyucian,
terima kasih abg ali,
insyaAllah,
akan cuba utk mengamalkn,

insan lemah,
~ MQ ~

BroHamzah March 31, 2011 at 6:09 PM  

1)- MQ

Alhamdulillah, ianya daripada Allah SWT. Semoga Allah redha kita semua.

BroHamzah

bittersweet cacophony March 31, 2011 at 7:08 PM  

moga kuat menerima proses penyucian hati berbentuk ujian, InsyaAllah~

iman airie March 31, 2011 at 8:57 PM  

assalam..
x puas rasanya baca nasihat ustaz..syukran jazilan ustaz. ana dalam proses nak lagi.jatuh,bangun,jatuh,bangun..rasa seolah-olah ana ni hipokrit ustaz.. perlukan banyak tembakan ilmu..

ustaz,ana ada membaca blog isteri ustaz yang menceritakan pengalaman lepas bertunang,semasa bertunang yang memang lama ana katakan, boleh tak ustaz sebagai lelaki pula berkongsi pengalaman menahan semua dugaan bertunang yang lama. ana sebagai lelaki, ingin belajar atas pengalaman ustaz dalam blog ini sebagai lelaki dah bergelar suami dan ana bakal bergelar suami,insyaAllah..aminn..

BroHamzah April 1, 2011 at 6:38 AM  

1)- orange

InsyaAllah. Semoga Allah berikan kekuatan.

BroHamzah

BroHamzah April 4, 2011 at 12:41 AM  

1)- iman airie

Wassalam, afwan - baru berkesempatan meresponnya. Berkaitan bertunang, saya sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk berkongsi, namun pernah terlintas dalam hati saya.

Mungkin suatu masa akan saya kongsikan juga. InsyaAllah.

Cuma, secara umum - jadikanlah tempoh pertunangan itu adalah tempoh yang sangat berkat, menepati syara dan menghidupkan ruh islamik yang hidup. InsyaAllah.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP