Meraih Kebahagiaan

Wednesday, February 24, 2010

Bahagia itu apabila kita rindu untuk bersamaNya, menyerah diri kepadaNya dan suka perbanyakan sujud terhadapNya.

Meraih Kebahagiaan

Oleh : BroHamzah

Kebahagiaan itu bukan pada istana Sultan Brunei yang megah berdiri, bukan pula pada kecanggihan kelengkapan tentera Amerika yang serba lengkap, bukan juga pada rumah mewah menteri-menteri kerajaan, bukan pada simpanan harta menggunung para jutawan tersohor dunia, bukan juga pada empayar perniagaan para ahli koprat yang terkenal dan bukan juga pada taman-taman Mega yang dipenuhi dengan bunga-bungan yang berwarna-warni.


Kebahagiaan itu bukan berupa cek yang dapat ditunaikan, bukan berupa kenderaan canggih yang dapat diperjual-belikan, bukan berupa bunga yang dapat dicium bau yang semerbak harumnya, bukan berupa kain nan indah yang dibentangkan untuk menghiasi rumah yang indah.

Kebahagiaan itu adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dijalaninya, adalah kelapangan dada kerana prinsip yang diyakininya, dan adalah ketenangan hati kerana kebaikan yang dimilikinya. Kebahagiaan itu terletak pada keimanan, keyakinan dan ketaatan kepada Allah Yang Maha Membalas. Lihat pada Rasulullah SAW, baginda merupakan insan yang paling bahagia di dunia.

QUDWAH HASANAH



Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam adalah seorang yang sederhana, berlapang dada, optimis, semangatnya tinggi, perasaannya hidup dan mudah dalam semua urusannya. Baginda terlalu dekat di hati masyarakat, sederhana dengan keagungannya, hampir dengan semua orang lagi berwibawa. Baginda pemurah dengan senyuman, dicintai kerana ketinggian budi pekertinya, akrab dengan sesiapa pun sama ada yang jauh mahupun yang dekat. Baginda berakhlak mulia, cerah penampilannya, penuh rasa malu, suka berjenaka dan ramah penerimaanya. Baginda selalu gembira dengan pemberian Allah, sehingga tidak pernah kenal erti putus asa, tidak pernah tertekan jiwanya. Baginda sering memandang jauh kehadapan. Baginda adalah pemegang risalah, pembawa prinsip-prinsip hidup dan guru bagi umat manusia. Baginda juga adalah perbendaharaan peribahasa, gudang keutamaan lautan anugerah dan sumber cahaya.


Itulah contoh praktikal untuk kita. Hidup baginda penuh dengan kebahagiaan. Penuh dengan segala kebaikan. Tahukah saudara, ia bermula dengan iman dan keyakinan kepada Allah SWT? Inilah yang saya namakan ia sebagai hakikat kebahagiaan.

KEHIDUPAN YANG MEMBAHAGIAKAN


Imam Ahmad Bin Hanbal dipenuhi kebahagiaan dalam hidupnya, padahal pakaian putihnya penuh dengan tampalan yang dijahitnya dengan tangannya sendiri. Tempat teduhnya dperbuat dari tanah liat yang hanya memiliki tiga bilik. Makanannya hanya sepotong roti dengan dilumuri dengan minyak zaitun. Sekalipun demikian, dia merasa kesenangan, tenang, mantap, damai, hidup tanpa bebanan dan memperolehi nikmat ketenangan. Kenapa? Ini kerana dia memiliki hati yang kukuh, cita-cita yang tinggi, mencari pahala serta redha Allah SWT, dan beramal bersungguh-sungguh untuk akhirat dan syurga yang dirinduinya.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, hidup seorang diri, tidak mempunyai keluarga, tidak mempunyai rumah, tidak punyai pangkat dan kekayaan. Dia hanya memiliki sebuah bilik di sebelah Masjid Jami' Bani Umayyah, sebagai tempat berteduh. Untuk makan, hanya diperlukan sepotong roti. Dan pakaian hanya memiliki 2 helai baju yang dipakai bergantian. Namun insan yang dikhabarkan ini, syurga ada dalam dadanya, jiwanya jernih dan bersih. Pohonan keimanan dan ketaqwaan tertanam kukuh dalam kalbunya dan keyakinannya tetap teguh pada Allah SWT dan ajaran Rasulullahnya. Hidupnya bahagia, beliau tersenyum mendambakan syurga yang dirinduinya saban hari.


Hari ini, kita beranggapan kebahagiaan itu pada muatan kemewahan dalam rumah yang besar, berlimpahan segala sesuatu yang bernilai tinggi, serta hidup kita dikenali dan disanjuang manusia yang pelbagai. Bagi kita, hal-hal yang disukai, diminati akan membuatkan kita bahagia, senang, gembira dan hidup kaya raya. Akan tetapi, semua itu akan menjadi penyebab jiwa resah, tertekan dan hanya menambah pelbagai masalah saja.


Saudara-saudariku, marilah kita mencari Allah SWT dalam hidup kita. Mencari Allah SWT mempunyai jalan yang sukar dan penuh likuan yang berduri. Inilah harga yang perlu kita bayar untuk sesuatu yang bernilai dan berharga. Hasilannya adalah sebuah ketenangan dan kebahagiaan. Ketenangan adalah ketetapan hati kepada Allah SWT atau ketenangan jiwa kerana berserah diri kepada Allah Yang Maha Rahman. Ketenangan hanya akan didapatkan oleh orang-orang yang beriman dan ketenangan akan menyelamatkan mereka dari kebingungan, kekacauan, keraguan dan ketidakpuasan.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata : Rasulullah saw telah membaca ayat ini (maksudnya):



“ Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam ”




( Al-An’am : 125)



Lalu para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apakah itu melapangkan ?





Jawab Baginda : Cahaya yang dicampakkan ke dalam hati .





Mereka bertanya lagi : Wahai Rasulullah, adakah ia mempunyai tanda-tanda untuk mengenalinya ?



Jawab Baginda : Ya, ada.



Mereka bertanya lagi : Apakah dia?



Sabda Baginda saw : Mendekati ( menghampiri ) kepada tempat yang kekal ( akhirat ), menjauhi tempat yang menipu ( alam dunia ) dan bersedia untuk mati sebelum mati.




(Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Jarir At-Tobari. Disebutkan juga oleh Ibnu Kathir di dalam tafsirnya melalui beberapa jalan. )

Ketenangan, keimanan, kepasrahan dan kepergantungan kepada Allah SWT adalah kebahagiaan!

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP