Hidup Biar Buleh Tupe

Sunday, February 21, 2010

Trademark KTD, yang selalu diwar-warkan oleh Ketua Eksekutif KTD


Hidup Biar Bulih Tupe
Oleh : BroHamzah

Sembang-sembang saya dengan Ketua Eksekutif KTD (http://www.ktd.edu.my/), Dr Abdullah Sudin Bin Abdur Rahman pada minggu lepas banyak memberi ilmu-ilmu dan perkongsian pengalaman yang baru bagi saya.

Dr Abdullah Sudin sememangnya dikenali sebagai seorang yang mempunyai watak kepimpinan yang disegani, orangnya peramah( tidak lokek dengan senyuman), sangat teliti dalam kerjanya, mempunyai daya pengaruh yang meluas, mempunyai daya fokus yang tinggi pada kerjayanya dan juga suka berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja.

Oleh itu, saya rasa amat beruntung kerana diberi peluang untuk mengenalinya dan berkerja di bawah bimbingannya. InsyaALLAH, dengan kesempatan dan kemampuan yang ada saya akan cuba berkongsikan dengan anda sekalian pengalaman dan perkongsian saya bersama tokoh pimpinan yang dihormari ramai ini.

SUKA MEMBANTU DAN BERKHIDMAT

Salah satu konsep yang ingin diterapkan oleh Dr Abdullah Sudin kepada Mahasiswa/I KTD adalah kecemerlangan yang holistik. Kebanyakan para pelajar cukup sinonim dengan trademark yang selalu diwar-warkan oleh KE KTD ini iaitu Belajar Biar Pandai, Perangai Biar Juruh dan Hidup Boleh Tumpang.

“ Saya sering mengingatkan para pelajar dengan kata-kata ini, “Belajar biar pandai, perangai biar berakhlak dan hidup biar orang lain boleh tumpang (menyumbang kepada orang lain)”. Orang profesional tetapi tidak berakhlak akhirnya akan rosak. Manakala akhlak yang baik tapi tidak boleh memberi manfaat maka tidaklah mencukupi. Biarlah pelajar-pelajar KTD yang keluar ke masyarakat sebagai profesional yang mempunyai kesedaran untuk membantu orang lain sehingga membentuk mata-mata rantai yang bantu-membantu.” Ulas Dr Abdullah Sudin tentang harapannya untuk pelajar KTD.

Teringat saya tentang sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Sebaik-baik manusia adalah mereka yang boleh bermanfaat kepada orang lain.”

Inilah indahnya ajaran Islam. Bermanfaat kepada sesiapa sahaja menjadikan seorang mukmin itu boleh berkhidmat kepada semua manusia yang ada disekelilingnya. Sikap bantu-membantu, bahu-membahu, suka memberi perkhidmatan dan tidak lokek inilah yang menjadi teras dan konsep utama yang ingin dibawa oleh Dr Abdullah Sudin kepada warga KTD.

PENGALAMAN PERIBADI

Suatu hari, semasa sesi sembang-sembang dengan KE dan staff KTD yang lain Dr Abdullah Sudin sempat berkongsi pengalamannya.

“ Apabila kita bantu orang lain, insyaAllah Allah SWT akan bantu kita. Saya sangat yakin tentang perkara ini. Banyak pengalaman hidup yang telah membuktikan bahawa sekiranya kita bantu orang lain, Allah SWT dan orang disekeliling akan bantu kita balik ,” Kongsi KE dengan kami petang tersebut.

Pengalaman Pertama

“ Dulu masa buat PhD di United Kingdom, hidup saya seperti sekarang juga. Suka buat kerja kebajikan dan sibuk dengan aktiviti membantu orang lain,” Beliau memulakan cerita.
Kami yang ada khusyuk mendengar dan memberi perhatian.

“ Saya buat PhD, hampir 3 tahun Setengah lebih kurang. Suatu hari, saya minta tangguh VIVA PhD saya daripada supervisor saya selama sebulan. Tetapi Supervisor saya tidak bagi.”

“ No Way,” Tegas Supervisor KE.

Supervisor KE sudah susun jadual untuk pemeriksa luar ( external examiner) dan jelasnya, agak sukar untuk mengubah jadual semudah itu. Jika permintaan Dr Abdullah dilakukan, ia akan menggangu banyak tugas yang lain.

Dengan akur, Dr Abdullah terima kenyataan ini. Tujuan beliau minta tangguh adalah untuk mengemaskan kajiannya tentang tesis PhDnya,jadi ini bermakna beliau perlu usaha keras untuk selesaikan PhD pada tarikh yang telah ditetapkan seperti awalnya.

Keesokannya, Dr Abdullah Sudin menerima panggilan daripada Supervisor.
“ Assalamualaikum, kamu ada telefon pemeriksa luar ke?,” Soal Supervisor Dr Abdullah.

“ Tidak,kenapa Dr?” Jawab Dr Abdullah.

“ Tadi, pemeriksa luar itu telefon saya. Dia minta tangguh Viva kita sebulan lagi. Katanya ada hal yang tidak boleh dielakkan,” Terang Supervisor itu.

Dr Abdullah terkejut dan sangat bersyukur. Allah SWT permudahkan urusannya. Kata KE, kalau difikirkan secara logik, tentunya perkara ini nampak mustahil tetapi ketentuan Allah SWT, perkara ini boleh berlaku.

Pengalaman Kedua

“ Ada satu lagi, pengalaman saya yang sangat menyakinkan saya tentang kebaikan jika kita membantu orang.” KE menyambung ceritanya.

Dr Abdullah bercerita kepada kami, kisah peringkat awal beliau mengambil alih Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) pada awal tahun 2004 dahulu. Ketika itu, kewangan KTD sangat tenat, dan beliau sendiri tidak bergaji untuk tempoh yang agak lama.
“ Kamu tahu di mana rezeki saya ketika itu,” Soalnya.

Saya menggeleng kepala.

“ Allah SWT izin, saya banyak dapat jemputan menyampaikan ceramah dan menjadi panel forum. Rezeki saya Allah SWT salurkan melalui ini. Kekadang ada ceramah, saya cakap tidak sampai sejam sekitar 30 ke 40 minit sahaja. Saguhati atau cederhati yang diberikan sampai mencecah RM 300 sehingga RM 500,” ujarnya dengan penuh kerendahan diri. MasyaAllah.

“ Bukan niat saya kepada wang itu, tetapi itu hakikat rezeki yang ingin Allah SWT tunjukan kepada kita.” Tambahnya lagi.

“ Inilah keyakinan saya tentang memberi khidmat kepada orang lain. Sebab itulah projek HALUAN yang saya usahakan sekarang ini bersama sahabat-sahabat saya menjurus ke arah khidmat bersama masyarakat. Kita perlu banyak memberi, tidak kiralah dalam bentuk apa pun sama ada wang, tenaga, buah fikiran, masa atau kudrat kita sendiri kerana di situlah nilai kehidupan kita,” KE mengakhiri perbualan kami pada petang itu.

Semoga kisah yang benar di atas meningkatkan motivasi kita dalam melaksanakan konsep “ Hidup boleh tumpang” dalam kehidupan seharian kita. InsyaAllah, saya akan cuba kongsikan dengan pada pembaca dengan kisah pengalaman dan ilmu yang saya perolehi bersama KE KTD ini dari semasa ke sama. InsyaALLAH.

Tambahan : Dr Abdullah Sudin juga merupakan Presiden Haluan Malaysia ( http://www.haluan.org.my/)

3 comments:

Mohamad Fakhruddin Abdul Ghani February 21, 2010 at 10:18 PM  
This comment has been removed by the author.
Mohamad Fakhruddin Abdul Ghani February 21, 2010 at 10:20 PM  

~Ngaji biar pandai...
perangai biar juruh..
hidup biar boleh tupe..

nak tahu rasa macam mana??
masuklah KTD ye..

BroHamzah February 21, 2010 at 10:51 PM  

Ya..bagus kempen nta. Bila dok sini baru tahu ERTI semua yang dikatakan oleh KE.

Jom Kita Ke KTD.
"KTD DI Hati Kita."

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP