Baginda Rasulullah SAW, Cintaku kepadanya
Thursday, February 25, 2010
Oleh : BroHamzah
Sewaktu di tingkatan 2, saya pernah membaca sirah Rasulullah SAW dan para sahabat. Ketika itu, banyak kisah-kisah yang sangat luar biasa dan ia menjadi bahan tarbawi untuk saya sebagai didikan pembinaan asas kecintaan kepada Rasulullah SAW dan generasi para sahabat RA.
Satu perkara yang benar-benar meninggal kesan yang mendalam kepada jiwa saya adalah pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dalam perjuangan dan menegakan deen Islam. Ternyata jiwa dan hati baginda begitu mulia, dan tiada gambaran yang boleh diberikan melalui kata-kata tentang hakikat ini.
Pengorbanannya diluar batas kemanusiaan. Pernah Baginda berjalan-jalan ditengah padang pasir ketika tengahari yang panas yang kebiasaannya masyarakat Arab akan berehat di rumah. Apabila Baginda bertemu dengan dua orang sahabat maka ditanya kepada Baginda, kenapa Baginda SAW di situ, maka jawabnya “Aku lapar, sudah beberapa hari aku tidak makan”.
Bukankah Saidatina Khadijah isterinya adalah seorang janda yang cukup kaya dan Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang peniaga yang Berjaya dan disenangi?
Kemanakah perginya harta kekayaan Baginda?
Kenapa Baginda harus lapar?
Bahkan setelah dijamu makan oleh sahabat tadi, Baginda minta pula sedikit makanan untuk anaknya Fatimah RA, kata baginda “Sudah beberapa hari makanan tidak masuk ke dalam perutnya”. Kemanakah seluruh kekayaan Baginda dibelanjakan hingga Baginda dan anak kesayangannya itu terpaksa melalui hari-hari yang panas dalam kelaparan?
Untuk keimanan sampai ke hati-hati kita,
untuk kita mengenal Allah sebagai Ilah dan Rabb
dan untuk kita selamat dari azab neraka Allah SWT.
Kenapa baginda harus berkorban hingga begitu sekali? Begitulah mendalamnya cinta Baginda kepada kita ummatnya. Tak terbayangkah kita ketika Baginda berdepan dengan sakitnya sakaratul maut? Nama siapakah yang disebut-sebut Baginda? Bukankah Baginda menyebut … ummati! ummati! ummati!. Sekiranya kita benar-benar cintakan Baginda tentunya kita akan terdengar panggilannya itu setiapkali kita membaca kisah saat-saat kematinnya. Ya, kita tidak dapat dengar dengan telinga kita tetapi kita akan dengarkannya dengan jiwa dan nurani kita. Panggilan yang penuh kasih dan pengharapan agar kita nanti akan bersamanya di Akhirat nanti.
Cuba kita bayangkan hijrah Baginda ke Madinah. Perjalanan yang hampir 500 KM. Menempuh padang pasir yang kontang dengan batuannya yang tajam sedangkan musuh boleh muncul pada bila-bila masa sahaja.
Cuba kita bayang peristiwa di Ta'if. Setelah begitu hebat dakwahnya ditentang di Mekah, Baginda berangkat ke Ta'if dengan seribu harapan. Tidak ada unta yang menjadi tunggangan Baginda melainkan Keimanannya pada Allah SWT, Tidak ada tongkat melainkan Roja'nya pada Allah dan tidak ada bekalan selain Taqwanya pada Allah SWT. bagaimana pula layanan penduduk Ta'if yang merupakan tetangga Halimaton Sa'diah, ibu susuan Baginda? Apa yang mereka lemparkan pada tubuh Baginda?. saidina Zaid menjadikan dirinya sebagai benteng lalu hampir-hampir kepalanya pecah. Darah-darah baginda SAW mengalir dari betis-betisnya lalu membasahi bumi Ta'if. Adakah Baginda doakan kebinasaan kepada mereka yang begitu membencinya? lalu apa yang Baginda doakan?
Inilah secebis kisah perjuangan baginda SAW untuk kita menanamkan cinta dan rindu kita kepadanya. Semoga Sambutan Maulidur Rasul kali ini akan menyegarkan pohon cinta kita kepadanya. Marilah kita sirami pohon iman ini dengan menghayati sirah baginda diwaktu-waktu yang berharga ini. Semoga air mata kita tidak lagi terlalu berharga untuk Baginda Rasulullah SAW.
0 comments:
Post a Comment