SMA Ibrah Memulakan Langkah
Friday, January 1, 2010
SMA Ibrah Memulakan Langkah
1 Januari 2010, saya mulakan pagi di tahun baru ini dengan menghadiri satu gotong royong khidmat masyarakat di Sekolah Menengah Agama (SMA) Ibrah yang terletak di Tanjung Putus, Seberang Perai Utara Pulau Pinang.
Sebenarnya, SMA Ibrah bakal memulakan pengambilan pelajar Sulungnya pada esok hari, 2 Januari 2010. Alhamdulillah, usaha menubuhkan sebuah lagi sekolah yang menitik beratkan pendidikan Akhlak dan Akademik seharusnya disokong 100 % oleh semua pihak. Bagi saya ini merupakan satu usaha yang murni dalam melahirkan generasi Masyarakat yang bertaqwa dan mampu memimpin masyarakat ke arah kesejahteraan pada suatu hari nanti.
Institusi pendidikan merupakan sebuah pusat pendidikan yang amat penting dalam membina sebuah masyarakat yang mempunyai nilai-nilai hidup yang baik dan selari dengan tuntutan agama. Proses pendidikan yang dituntut oleh Islam seharusnya menepati dan bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Alhamdulillah, dengan lahirnya sekolah seperti SMA Ibrah ini ia dapat memenuhi keperluan semasa dalam mendidik anak bangsa menjadi manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT.
Ramai penduduk kampung dan juga individu-individu yang turun membantu dalam gotong-royong ini. Saya suka suasana sebegini. Ia memberi gambaran ikatan kerjasama yang erat berteraskan Aqidah yang satu dan semangat ukhuwah yang sihat ke arah menyuburkan hubungan silaturahim kerana Allah SWT. Tahniah kepada semua yang sanggup membantu.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan kewangan boleh melawati website sekolah ini. (www.ibrah.moonfruit.com). Semoga bantuan anda ini akan menjadi saham yang berguna di akhirat kelak dan menjadi salah satu penyumbang yang besar ke arah melahirkan masyarakat yang berguna.
0 comments:
Post a Comment