Baiki Hubungan Dengan Allah SWT
Sunday, January 3, 2010
Oleh : BroHamzah
Satu kekuatan yang sangat menonjol di dalam Sirah para sahabat, tabiin dan juga ulama terkemuka Islam adalah kuatnya hubungan mereka dengan Allah SWT.
Saya teringat satu kisah tentang Kisah seorang Ulama Besar di Baghdad yang bernama Muhammad Bin Aslam, atau nama panggilannya Abu Al-Hassan al-Tusi. Beliau merupakan seorang Ulamak yang hebat.
Beliau sangat kuat beribadah di tempat yang tersembunyi daripada manusia. Beliau berkata :
Setiap malam, beliau akan bangun bermunajat kepada Allah SWT ditengah malam sambil menangis sehingga ke pagi. Lalu setiap kali hendak keluar rumah, beliau segera membasuh muka dan bercelak mata agar tidak ada yang mengetahui perbuatannya.
MasyaAllah, hebatnya hubungan Ibnu Aslam ini dengan Allah SWT. Semua penduduk Baghdad pada masa itu sangat mencintai dan menghormati Ibnu Aslam dan Abu Nuaim meriwayatnya bahawa pada hari kematiannya, terlihat ratusan ribu bahkan jutaan manusia dating untuk mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan.
Melihat peristiwa yang mengagumkan ini, Imam Ahmad Bin Nasr al-Khuza’I berkata kepada murid-muridnya :
“ Wahai saudara-saudaraku sekalian. Perbaikilah hubunganmu dengan Allah SWT. Tidakkah kalian melihat Ibnu Aslam ini, ketika ia memperbaiki hubungannya dengan Allah SWT, maka Allah SWT memperbaiki berjuta-juta manusia melaluinya?”
PERUBAHAN MASYARAKAT
Inilah sebenarnya RAHSIA disebalik kejayaan para ulama dan murabbi besar di dunia dalam mereka melakukan pengislahan dalam masyarakat. Mereka menjaga hubungan jiwa dan hati mereka dengan Allah SWT. Tarbiyah mereka praktikal dalam melakukan segala bentuk Ibadah secara teliti dan ikhlas kepada Allah SWT.
Ikhlas ini adalah kuncinya. Dan Mereka benar-benar menjaga hati mereka agar sentiasa HIDUP, SEGAR dan MENGINGATI ALLAH SWT.
Hubungan hati mereka dengan ALLAH SWT sentiasa hidup apabila semua Ibadah-ibadah yang wajib dan sunnat dilakukan secara serius, kosisten dan bersungguh-sungguh tanpa cuai dan leka.
Apabila membaca kisah ini, apa perasaan kita?
Adakah kita tersentak?
Atau kita rasa sangat kagum dengan mereka?
Atau kita tidak merasai apa-apa?
SAAT INI
Saya mengajak diri saya dengan rendah diri, marilah kita lihat hubungan kita dengan Allah SWT. Apatah lagi jika kita ini berada dalam kelompok mereka yang sangat sayangkan Islam dan berjuang untuk Deen ini.
Hati yang berhubungan dengan Allah SWT adalah KUNCI dan CAHAYA kepada kejayaan Dakwah dan Tarbiyah.
Sama-sama kita bertekad untuk kuatkan tarbiyah Dzatiyah dengan memfokuskan Hubungan Hati dengan Allah SWT.
Kini, inilah CORE BUSSINESS kita yang utama.
Membaiki hubungan hati dengan Allah SWT.
Tadi semasa Liqo’ Mingguan KTD, Tuan Haji Rosdi, selaku Ketua HEP KTD dalam Tazkirahnya ada menyebut :
“ Kita adalah organisasi sederhana dan bergerak dengan kemampuan yang terbatas. Modal besar kita adalah hubungan kita dengan Allah SWT.InsyaAllah, Allah SWT akan membantu kita.”
Beliau memberi pesanan ringkas kepada semua Staff agar menjaga 2 perkara penting iaitu menjaga Solat harian diawal waktu dan secara berjemaah. Dan yang kedua sentiasa menjamah hidangan daripada Allah SWT iaitu Al-Qur’an. Saranan beliau agar semuanya meletakan Target untuk membaca Al-Quran agar ia dapat menguatkan hubungan hati dengan Allah SWT dan juga iman kepadaNya.
0 comments:
Post a Comment