Agar Mata Penamu Berbekas

Saturday, March 3, 2012

Benarkah - kita kehilangan sesuatu dalam
berkarya, berkongsi dan menulis?

Bismillah, saya mulakan tinta di teratak teduhan ini dengan nama :
Allah SWT- Rabbul ‘Alamin.

Berkarya, menukil, menulis dan bertinta – ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dijelmakan dalam apa jua medium atau lakaran yang kita ada.

Namun, “ada” sesuatu yang lebih besar daripada itu yang harus dilihat ialah, apa yang kita tulis, lakarkan dan catatkan itu benar-benar berbekas, berpengaruh dan berkesan.

Dan – impak dan kesan yang lebih utama dan penting ialah tulisan kita itu memberikan “bekas” kepada diri kita sendiri. Itulah penulisan, perkongsian tinta, karya dan mata pena yang terbaik.

Ia menyentuh hati kita terlebih dahulu, dan menjadikan kitalah orang “pertama” yang tersedar, terbangkit dan termotivasi hasil daripada perkongsian kita melalui medium ini.

Itulah dilemma bagi mereka-mereka yang menjadikan penulisan ini sebagai medium perkongsian mereka dalamberkongsi ilmu, menasihati, memperingati dan menyebarkan kebaikan kepada sesiapa sahaja.

Boleh sahaja,- memperindahkan bahasa-bahasa puitis dalam setiap karya yang dihasilkan agar jiwa-jiwa sang pembaca tersentuh, tersentak dan sebagainya. Namun, yang menjadi musibah dan “malang” bagi sang penulis apabila hatinya sendiri kaku dan beku – bahkan tidak terkesan dengan apa yang dinukilkannya.

Memelihara kebersihan, kejernihan dan “keputihan” – hati, niat dan keikhlasan dalam beramal adalah perkara yang begitu sukar dalam kehidupan ini. Begitu juga dalam penulisan ini. – Apabila ada yang “mengangkat” , memuji, memuja, mengeji, menghina dan sebagainya – jiwa sendiri boleh berubah warnanya.

Apatah lagi, jiwa-jiwa yang menukilkan tinta daripada mata pena itu sendiri tidak beramal, bergerak melaksanakan dan begitu jauh untuk “menghayati” apa yang disarankannya itu. Inilah musibah buat sang pengkarya!

Ia mewar-warkan kebaikan dan kebenaran, namun dirinya sendiri jauh daripada hakikat kebenaran itu!

Ia mengheboh-hebohkan segala bentuk nasihat, tetap bicara nasihat itu - tidak melekat di dalam kehidupannya sendiri.

Ia mencegah segala rupa kemungkaran – dosa-dosa, maksiat-maksiat dan noda-noda, namun dirinya sendiri terus menerus tenggelam dalam perbuatan terkeji dan terkutuk itu.

Ia seperti pejuang yang bermati-matian menyatakan tiang kebenaran, tetapi dalam diam ia sedang meruntuhkan “asas-asas” kebenaran yang kononnya tertanam mendalam di jiwanya.

Dan – lebih memburukan jika ia melahirkan sifat kepura-puraan dan bentuk lakonan yang akan menghancurkan dirinya sendiri tanpa sedar!


Sentiasa Mengaudit Diri!

Sahabat pembaca, takutnya saya menyatakan hal ini. Kerana, sedar atau tidak – kita “sedang” menuju ke arah ini. Jika kita suka, gemar dan asyik memberikan nasihat, peringatan dan sebagainya – tetapi hati kita sendiri jauh daripada Allah SWT. Maka – goncangkan diri kita bahawa kita berada dalam keadaan yang sangat-sangat merbahaya!

Bahkan, dibimbangi – ia akan mengundang kemurkaan Allah SWT dan bencana yang akan merosakan masa depan akhirat kita. Kerana itu, murabbi saya sering mengulangi ayat ini. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al Kitab, tidakkah kamu berfikir? ”

(Al-Baqarah 2 : 44)

Saya membacanya berulang-ulang kali !

“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al Kitab, tidakkah kamu berfikir? ”

Sekali lagi, saya terus membaca untuk memahaminya.

“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri…”

Allah Allah Allah Allah Allah
Allah Allah Allah Allah
Allah Allah Allah
Allah Allah
Allah

Ya Allah, adakah kami begini ? Adakah kami ini tergolong dalam golongan-golongan sebegini? Sibuk dan terlalu sibuk menyeru dan mengajak manusia kepada Allah SWT – tetapi kami lalai dan alpa untuk mengajak diri sendiri untuk mendekati dan hampir dengan Allah SWT.

Ya Allah, lalainya kami.
Ya Allah, hinanya kami.
Ya Allah, kerdilnya kami.
Ya Allah!


Catatan Seorang Hamba

(1) Mudahan Allah SWT, sentiasa merahmati, meredhai dan memayungi kita dengan kasih sayang dan cinta-Nya kepada hamba-hambaNya. Itulah tujuan, matlamat dan target kita dalam kehidupan yang fana ini.

(2) Murabbi berpesan, - dalam keghairahan, keasyikan dan keseronokan kita menyebarkan dan menyampaikan kebenaran, nasihat dan peringatan – amatilah “kesan” dan pengaruh terhadap diri kita terlebih dahulu. Itu lebih prioriti dan aula. Di samping, kita menggerakan motto Mustafa Masyur ini, Islah Nafsaka Wad’u Ghairaka. ( Perbaikilah Dirimu, dan Ajaklah Orang Lain.)

(3) Kelalaian kita, kealpaan kita, kelemahan kita & kekerdilan kita ;- sering kali menjauhkan kita daripada Allah SWT. Jauh sejauh-jauhnya, sehingga hilangnya kemanisan, kelazatan dan kenikmatan dalam beramal soleh. Ketika ini, berhentilah sejenak dan soallah diri sejujurnya. Wahai diri, engkau begitu sibuk tentang soal, keadaan dan perihal orang lain, tetapi keadaan dirimu – engkau abaikan? Tidakkah itu petanda bahawa engkau telah kehilangan “sesuatu” dalam hidupmu?

---------------------------------------------------

Hilangnya : Kepekaan Jiwa, adalah musibah terbesar dalam kehidupan mukmin.

BroHamzah
Kampung Paya Batu, Jalan Long Yunus
Kota Bharu, Kelantan

Read more...

Sulitnya Bangun Sebelum Azan Subuh

Tuesday, February 28, 2012

Ada sesuatu yang menakutkan dan mengerikan ,
sehingga menyebabkan kita sukar untuk bangun daripada buaian lena yang panjang.


Bismillah, saya kongsikan catatan ini.

Sahabat pembaca, perasan atau sedar kah kita – kadang-kadang kita begitu sukar dan sulit untuk bangun awal di sepertiga malam? Mudah kata, bangun dan terjaga dari tidur sebelum azan Subuh dilaungkan dan dikumandangkan.

Walhal, ada saatnya kita begitu mudah bangkit daripada lamunan tidur yang nyenyak dan melenakan kita.

Selimut yang ringan itu, terasa begitu berat seperti besi yang mengeras.

Kepala sendiri bagaikan ditolak sesuatu yang memberatkan. Seolah-olah ada konkrit seberat 100 tan menghempas ke muka kita.- Ia melekat erat berbekas di wajah.

Mata yang terpejam itu, bagaikan di”gam” kan oleh gam cap gajah buatan tahi “mata” sendiri.

Pernah kah kita mengalami keadaan dan situasi sebegini?

Jika saya – sejujurnya, pernah bahkan sentiasa dan selalu. Hambatan, kekangan dan ujian untuk bangkit dan bangun daripada tidur adalah mujahadah dan perjuangan yang terbesar saya di awal pagi yang dingin dan hening itu!

Itulah yang saya alami. Saya mencari-cari apa sebabnya, apa puncanya dan kenapa boleh jadi sebegini ? Mungkin tidur lewat sangat kot. Tetapi tidak juga, kerana saya selalu tidur awal, sekitar jam 11.30 sehingga 12.00 tengah malam biasanya, saya sudah “kaku” di atas katil.

Tidur dengan tenang dan nyaman sekali.

Saya, membelek-belek sebuah buku mencari sesuatu dalam kitab, Tazkiyah hasil tulisan Ustaz Cahyadi Takariawan dan Ghazali Mukri. Buku yang penuh dengan taujih untuk jiwa. Buku yang mereka rumuskan daripada sebuah kitab “ Al Bahrur Ra’iq fiz Zuhdi war Raqa’iq” karya Dr Ahmad Farid.

Perkongsian yang ingin saya petik dan kongsikan di sini ialah berkisar, - kenapa begitu sulit, payah dan sukarnya untuk kita gerakan diri untuk bangkit di awal pagi yang hening untuk mendirikan qiamullail dan melaksanakan munajat khusus kita dengan rabb kita.

Pernah suatu ketika, ada orang bertanya kepada Ibnu Mas’ud RA :

“ Kami tidak mampu dan boleh bangun malam.”

Jawab Ibnu Mas’ud :

“ Ini kerana, dirimu dijauhkan oleh dosa-dosamu.”

Kisah lainnya, ada orang berkata kepada tabiin yang soleh lagi warak iaitu Hassan al-Basri :

“ Saya tidak boleh bangun malam. Berikanlah aku penawarnya!,”

Kata Hassan al-Basri dengan tenang :

“ Janganlah kalian bermaksiat kepada Allah SWT di siang hari, nescaya Dia akan membangunkan kalian di hadapan-Nya di malam hari.”

At-Tsauri pernah berkata :

“ Saya terhalangi untuk melakukan qiamullail selama lima bulan kerana suatu dosa yang telah saya kerjakan.”

Apa yang boleh kita simpulkan? Apakah yang sebenarnya yang menjadi penghalang kita dalam usaha menghidupkan sunnah mengimarahkan malam bersama Allah SWT?

Jelas. Jawapannya ialah kerana hati kita kotor, hitam, jijik dan rosak. Ini semua lantaran dan asbabnya ialah dosa-dosa, maksiat-maksiat dan noda-noda yang kita buat berulang kali kepada Allah SWT!

Lantaran itu, antara nasihat yang berbekas dan menyentuh hati saya ialah :

“ Janganlah memperbanyakan dosa di siang hari, sebab perbuatan dosa akan menyebabkan hati keras dan terhalang untuk mendapat rahmat daripada Allah SWT.”

Jauh mengaudit diri, merenungi akan perjalanan waktu dan hari-hari yang telah berlalu. Persoalannya, bagaimana dengan kita semua? Terlalu, jauhkan kita daripada kasih sayang Allah SWT sehingga kita tidak terdetik dan tersedar langsung untuk berazam dan bertekad untuk menjadi ahli malam dan perindu syurga?

MasyaAllah, saya tersentuh lagi dengan kata-kata Ibnu Munkadir :

“ Tidak ada kelazatan di dunia ini, kecuali pada tiga hal iaitu qiamullail, bertemu dengan saudara-saudara seiman dan solat berjemaah.”

Catatan Seorang Hamba

(1) Bagaimana dengan kita? Soal untuk bangun awal pagi bukannya bergantung kepada kekuatan luaran dan fizikal kita semata-mata, tetapi ia bergantung kepada keadaan dan kekuatan dalaman kita iaitu kondisi hati kita. Bersihkan ia, jernihkan ia dan bagaimana hati ini hidup berhubungan dengan Rabb-Nya ? – Dan, inilah fokus kita apabila berbicara dengan soal kekuatan.

(2) Amalan bangun awal sebelum Subuh, adalah amalan para Rasul, para sahabat salafusoleh, para tabiin, para alim ulamak dan pejuang-pejuang agama Allah SWT daripada dahulu sehinggalah sekarang. Dah, ketahuilah ia menjadi kayu ukur kekuatan dan prasyarat untuk meraih bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.

(3) Jika kita, menyatakan kita adalah individu yang tegar dalam perjuangan deen, perjuangan agama dan perjuangan demi perjuangan – perhalusi hal-hal ini. Berwaspadalah, tentang hakikat kekuatan sebenar dalam perjuangan ini. Kuantiti, kualiti, angka, nombor dan sebagainya – harus diteliti sedalam-dalamnya dalam membicarakan tentang “akar” perjuangan. Ini kerana, sesebuah perjuangan akan rapuh jika tidak ditunjangi oleh akar kekuatan yang benar-benar utuh, kukuh dan mantap.

BroHamzah
Kampung Paya Batu, Kota Bharu
Kelantan, Malaysia

Read more...

Malu Menjadi Soleh

Saturday, February 25, 2012

Soleh dan solehah itu
suatu pilihan ?


Bismillah, dengan nama Allah SWT catatan ini dikongsikan.

“ Abang, kenapa saya ada satu perasaan sebegini..”

Suatu hari, kami bersembang-sembang setelah lama tidak bersua muka. Ketentuan Allah SWT mempertemukan kami.

“ Kenapa? Ada apa-apa yang tidak kena ke?,” Soal saya.

“ Entah la, saya sebenar rasa malu kalau dikatakan sebagai orang yang baik atau soleh,” Jujur bicaranya. Tanpa selindung-selindung.

“ Maksudnya?,” Sedikit kemusykilan terpapar di wajah saya.

“ Saya rasa,- segan dan sangat-sangat serba tidak kena bila orang labelkan sebagai budak baik, atau budak surau. Apatah lagi, budak soleh. Saya rasa tebal muka dan rasa tak suka disebut begitu,” Katanya lagi.

“ Saya rasa lebih baik, saya ini dikenal sebagai orang biasa-biasa sahaja. Rilek dan cool sahaja. No label-label atau apa-apa yang sewaktu dengannya,” Bicaranya diluaskan lagi.

Terdiam saya.

“ Semoga Allah SWT merahmati kamu wahai sahabatku.”

-----------------------------------------------------

Wahai sahabatku, kita ini bukan siapa-siapa. Kita bukan para sahabat nabi, bukan golongan alim ulamak dan bukan juga tergolong dalam kumpulan mereka-mereka berjuang bermati-matian sehingga menempa nama sebagai para syuhada’.

Wahai sahabatku, jika itulah yang merungsingkan jiwamu. Ketahuilah, ada sesuatu yang ingin aku kongsikan denganmu. Ya, aku tidak dalil, hujjah mantop atau apa-apa untuk menjawab persoalanmu kerana aku sedar siapa aku. Aku insan kerdil.

Wahai sahabatku, renungilah kata-kata Ibnu ‘Ataillah ini :-

“ Jika anda ingin mengetahui kedudukanmu di sisi Allah, maka perhatikanlah di mana Dia menempatkanmu.”

Mereka-mereka yang Allah SWT kasih, sayang dan cinta -, mereka-mereka ini mendapat tempat yang istimewa di sisi-Nya. Dan, antara tanda, kayu ukur dan parameter ialah mereka sentiasa berada dalam amal soleh,mencintai kebaikan dan suka mengerjakan kebajikan. Mereka hidup bahagia, tenteram dan nyaman dengan amalan-amalan itu.

Generasi awal dahulu, mereka digelar salafusoleh. ( Orang yang terdahulu yang soleh). Para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin mereka terkenal dengan kesolehan, kewarakan dan kezuhudan.

Para alim ulamak, cendiakawan Islam dan ilmuwan mereka tersohor dengan jolokan sheikh, al-huffaz , al-hafiz dan sebagainya. Ia menggambarkan suatu gelaran yang baik-baik.

Begitu juga, dengan para pejuang agama Allah SWT – mereka dipilih oleh Allah SWT untuk mendapat panggilan dan gelaran yang memuliakan mereka.

Mereka hidup dengan kemuliaan kerana amal-amal soleh, kebaikan dan kebajikan yang mereka kerjakan sehingga, Ibnu Abbas pernah berkata :

“ Sesungguhnya kebaikan itu penyebab wajah bercahaya, hati bersinar, rezeki dilapangkan dan dicintai oleh semua makhluk. Sesungguhnya pula kemaksiatan penyebab wajah hitam, hati gelap gulita, rezeki sempit dan dibenci oleh semua makhluk.”

Lama saya merenungi hal ini, sudah ramai yang berkongsi hal ini dengan saya. Sama ada, tidak suka dipanggil insan baik, budak soleh, budak sekolah agama dan sebagainya. – mereka merasakan ada alergik dengan hal ini.

Catatan Seorang Hamba

(1) Sungguh, saya temui bukan seorang atau dua yang berkongsi hal ini dengan saya. Sudah ramai. Terfikir saya, adakah ini juga boleh dikatakan suatu fenomena atau bagaimana? Malu dipanggil soleh atau solehah , dilihat sebagai budak baik – hanya suatu perkara yang kelihatan kecil dan remeh temeh. Namun, adakah ia boleh memberikan suatu gambaran terhadap keadaan jiwa dan hati seseorang? Saya berfikir lama.

Secara fitrahnya, manusia ini berhajatkan kebaikan. Jiwanya sangat-sangat sukakan kebenaran. Justeru, kesolehan dan kebaikan itu sangat-sangat dekat dengan jiwa manusia.

(2) Saya masih mencari jawapan tentang hal ini. Pernahkah anda merasai sedemikian?

BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan
Malaysia

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP