Bumi Syria Berdarah, pedulikah kita?

Sunday, February 12, 2012

Syria, Syria & Syria - Mereka saudara kita.

Bismillah, coretan ringkas ini saya kongsikan bersama.

(1.) Ada yang bertanya, apakah sebenarnya yang berlaku di bumi Syria? - Tiba-tiba heboh sahaja. Ketahuilah, apa yang berlaku ini bukan baru seminggu dua, tetapi sudah berbulan-bulan.

Bashar al-Assad

(2.) Sudah lama saya tidak berkongsi tentang isu semasa dan global. Untuk menulisnya, memerlukan masa, kajian, pemerhatian dan maklumat yang berfakta dan sahih. Justeru, dalam memahami dan cakna dalam isu apa yang berlaku di Syria ini - kita harus ambil tahu suatu perkara yang utama. Kenali, rejim yang sedang memerintah Syria sekarang iaitu, Bashar al- Asad.


Susuk tubuh yang menjadi "master mind"
kepada apa yang berlaku di Syria kini.

(3.) Kenali, mengkaji, membaca dan layari internet ini untuk mengambil tahu tentang siapakah pemerintah Syria ini. Keturunannya, sikapnya, kehidupannya dan kezaliman-kezaliman yang beliau lakukan. Dan - selidiki jua siapakah sekutunya.

Lambaian seorang diktator

(4.) Bashar al- Assad, adalah individu yang akan menjejaki rejim diktator yang telah tumbang, tewas dan dikalahkan oleh rakyat mereka sendiri. Husni Mubarak, Ben Ali, Muammar Gaddafi dan lain-lain telah tercatat sejarah hitam dalam revolusi kebangkitan rakyat era baru ini. Kita nantikan episod-episod seterusnya.

(5.) Jika, sahabat pembaca ingin berkongsikan maklumat, video, gambar-gambar serta apa jua yang berkaitan tentang isu Syria - saya alu-alukan. Sama-sama kita sebarkan untuk membantu saudara-saudara kita di sana. Sekiranya, diberikan kesempatan saya akan kongsikan untuk makluman sesama kita.

Selamatkan Syria, tanggungjawab kita bersama!

BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan

Read more...

Warkah Buat Bekas Tunangku

Thursday, February 9, 2012

Warkah titipan silam dalam kenangan.



Assalamualaikum WBT

Buat UkhtiFillah yang dihormati

Semoga berada dalam keadaan yang diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT sentiasa. Alhamdulillah, lafaz syukur dan penuh dengan rasa kehambaan dirafa’atkan kehadrat Allah SWT kerana diatas segala kurniaan nikmat yang pelbagai kepada kita semua. KepadaNya lah selayaknya rasa kesyukuran ini dizahirkan di dalam bentuk amalan dan ketaatan yang membulat.

Selawat dan salam ke atas Junjung besar Nabi Muhammad SAW, Rasul Dakwah, Rasul Tarbiyah dan Rasul Jihad yang mulia lagi terpuji sahsiah dan akhlaknya. Baginda adalah Qudwah Hasanah utama yang seharusnya kita contohi dan menjadikan kehidupan Baginda sebagai ruh qudwah yang hidup untuk diamalkan sepanjang perjalanan hidup kita di dunia.

UkhtiFillah,

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna pernah berpesan katanya :

“ Kebahagiaan kita tidak terletak pada Harta, tidak pada penampilan diri, tidak juga pada gemerlapan perhiasaan dan keindahan dunia. Ukuran kebahagiaan terikat erat pada HATI dan ruh manusia yang mendamba redha Allah SWT.”

Pastinya, setiap manusia yang hidup di dunia ini menginginkan kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup mereka. Secara fitrahnya semua jiwa-jiwa manusia hajatkan kebahagiaan yang benar-benar mendamaikan dan membahagiakan hati mereka. Namun persoalannya, kebahagiaan yang bagaimanakah yang seharusnya dimiliki oleh manusia?

Dalam fikrah yang kita yakini yang bersumberkan Al-Quran dan As Sunnah kebahagian dan kejayaan dalam Kehidupan kita diukur berdasarkan kepada keyakinan dan keimanan kita kepada Allah SWT. Keimanan kepada Allah SWT dengan menyakini janji-janji dan ancaman-ancaman Allah SWT. Inilah sumber dan punca utama kebahagiaan kita di dalam kehidupan.

Justeru itu marilah sama-sama kita pertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Sama-sama merenungi kata-kata ini :

“Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencipta perubahan dalam jiwa manusia dan menjadikan manusia itu dalam bentuk yang baru, sehingga berubah pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya.”

Prof Dr Yusof Al-Qardawi, Petikan Buku Iman dan Kehidupan.


UkhtiFillah,

Alhamduilillah, ana bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat mencoretkan sesuatu untuk anti. Allah SWT memberi kekuatan kepada ana untuk menulis dan mengarang setelah nikmat kebahagiaan menulis ini tarik seketika oleh Allah SWT. Mudahan segala yang dikongsikan ini dapat mendekatkan jiwa dan hati-hati kita kepada Allah SWT. InsyaAllah.

Sedar tidak sedar, tahun ini sudah masuk tahun ke tiga ulangan tahun pertunangan dan perkenalan kita. Begitu cepat masa berlalu, dan itulah hakikat masa yang berlalu. Sepanjang tempoh itu jugalah, kita saling kenal mengenali dengan keterbatasan yang ada. Sepanjang tempoh itu jugalah, pelbagai ujian Allah SWT yang hadir dalam kehidupan kita. Alhamdulillah, bagi ana tempoh pertunangan ini banyak memberi hikmah kepada ana.

Ukhtifillah budiman,

Untuk pengetahuan anti, ana sudah berbincang dengan keluarga ( Mak & Abah ) ana dan Mak anti tentang perancangan kita untuk disatukan pada tahun hadapan 2010. Semenangnya dalam perancangan ana, ana target untuk mendirikan baitul Muslim pada usia 25 Tahun. Ana sudah berbincang dengan Mak anti, dan insyaAllah nanti Mak anti akan perincikan. Mudahan Allah SWT permudahkan.

UkhtiFillah yang dihormati,

Ana mohon maaf kerana tidak dapat menulis dengan panjang lebar. Sekarang ini perlu fokuskan kepada kem dan kursus yang perlu ana kendalikan. InsyaAllah, jika diizinkan Allah SWT ana akan berkongsi ilmu, pengetahuan dan didikan hati dengan anti di lain waktu. InsyaAllah.

Syukran.

29 November 2009
10.59 Malam

Akhukifillah

BroHamzah
brohamzh@yahoo.com
http://brohamzah.blogspot.com




Catatan Seorang Hamba

(1) Warkah di atas adalah salah satu bingkisan yang saya nukilkan kepada bekas tunang saya, yang kini sudah menjadi isteri saya. Alhamdulillah. Tempoh perhubungan kami sepanjang fasa ini amatlah sederhana. Saya tidak pernah terfikir bahawa tempoh fasa ini selama itu. Namun, benarlah dengan nasihat dan panduan daripada ibu bapa, murabbi dan syuyukh – amat penting dalam mendirikan rumah tangga.

(2) Sesungguhnya, kita sebagai manusia dan insan merancang dengan kudrat dan usaha yang Allah SWT anugerahi, namun ketentuan Allah SWT yang mengatasi segalanya. Setelah hampir setahun kami disatukan, saya benar-benar menyakini bahawa sebagai hamba Allah SWT – kita sebenarnya kerdil, lemah dan dhaif. Banyak perkara yang kita tidak tahu dan tidak mampu tanpa bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.

Justeru, dalam soal persiapan, persediaan dan perlaksanaan mendirikan rumah tangga – memperbanyakan munajat, doa dan pergantungan kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan untuk mengharunginya adalah sesuatu yang amat-amat perlu & penting.

(3) Persepsi saya sebelum berkahwin dan selepas berkahwin tentang dunia baitul muslim juga berubah sama sekali. – Wujudnya perbezaan yang ketara antara alam sebelum perkahwinan dan selepas perkahwinan.

"Melihat rumah tangga seseorang berbeza dengan mengalami sendiri alam berumah tangga itu."

Kerana itulah, persediaan jiwa dan hati sangat penting untuk mengharungi dan menghadapi apa jua ujian-ujian dan kemanisan sepanjang tempoh ini. Mungkin sahabat-sahabat pembaca yang telah berkahwin ingin berkongsi akan hal ini - saya amat alu-alukan.

(4) Kemanisan, kelazatan, kenikmatan dan keberuntungan dalam kehidupan adalah kita dianugerahi pasangan hidup yang meneduhkan jiwa. Melihat, menatap dan saat hidup bersamanya – kita sentiasa disimbahi dengan kesabaran, ketabahan, ketenangan, & kebahagiaan. Dan, tanda hubungan suami isteri itu bahagia dan berkah – kedua-duanya semakin dekat, hampir dan sayang kepada Allah SWT.

Perkongsian pagi Jumaat yang indah.
Hujan yang menyejukan suasana pagi penuh dingin.

BroHamzah
17 Rabiu awal 1433 Hijrah
10 Februari 2012
Jalan Long Yunus, Kota Bharu
Kelantan

Read more...

Menghargai Insan Yang Dicintai Kerana Allah SWT

Monday, February 6, 2012

Menghargai Insan Yang Dicintai Kerana Allah SWT

Bismillah, titipan perkongsian ini dicoretkan.

Saat ini, hati kecil ini bercampur baur perasaannya. Mungkin sukar diungkapkan melalui kata-kata mahu pun tutur bicara. Dan, terasa berat untuk dititipkan melalui tinta mahupun pena. Namun, kuatnya rasa hati ini ingin berteduh dan menyapa sahabat pembaca yang budiman yang tidak jemu-jemu bertandang ke sini.

Lama benar rasanya, saya tidak berteduh berkongsi rasa dan cerita di teratak ini. Benar, awal tahun ini Allah SWT berikan lagi pengalaman baru buat saya. Banyak perkara ”baru” hadir serentak dalam titian –perjalanan- kehidupan saya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.



Putri Sulung Kami : 'Aliyah Mukhlisah


Dalam banyak-banyak perkara, antara yang paling berbekas, mengesani dan mempengaruhi jiwa saat ketika ini ialah :- kehadiran insan yang menyuburkan lagi kasih dan cinta antara kami – saya & zaujati – dalam baitul muslim kami, iaitu putri sulung kami. Sungguh, terlalu banyak perkara yang saya timba, rasa dan alami dengan kehadirannya.

Apakah kesimpulan yang saya dapat daripada semua ini ?

Hargailah setiap insan yang kita cintai kerana Allah SWT selagi mereka masih berdamping di sisi kita. Saya tersentuh dengan banyak hal. Antaranya :

(1) Pengorbanan dan susah payah Emak Abah.

Saya punyai 10 orang adik beradik. Semasa menjaga, bersengkang mata dan memelihara anak sulung saya ( baru seorang anak) – saya membayangkan perasaan emak abah menjaga, memelihara dan membesarkan kami 10 orang adik beradik.

Minggu pertama, saya demam dan selsema. Minggu dua, datang sakit yang lain dan minggu ketiga – diuji pula dengan penyakit yang lain. Itu baru seorang anak. Bagaimana pula dengan 10 orang anak? Saya menitiskan air mata apabila mengenangkan semua itu.

“ Mak & Abah, Ali kasih kepada kalian berdua kerana Allah SWT.”

(2) Keperitan, kesakitan dan kesabaran Zaujati.

Zaujati – banyak perkara saya belajar daripadanya. Setelah dua minggu, ibu mertua saya ( terima kasih mak atas segala pengorbanan, bantuan dan pertolongan) membantu kami ketika zaujati dalam tempoh berpantang dan pulang semula ke Perlis – saya perlu mengambil alih semua tugas rumah tangga ( saya kekok mengerjakannya. ^^).

Bermula dari bangun tidur sehingga melelapkan mata , - memandikan putri kami, memasak, membasuh, mengemas rumah, membasuh pinggan dan sebagainya – membuatkan saya bertambah sayang dan sangat-sangat menghargai seorang insan bergelar isteri.

Begitu penat mengurus hal rumah tangga! Dahulu, saya hanya melihat sahaja – pulang ke rumah, segala-galanya telah dibereskan oleh zaujati. Dan, ternyata ianya bukanlah semudah yang disangka-sangka dan dirasakan.

Justeru, kepada para suami – ambil masa suatu hari suntuk, cuba berikan rehat kepada isteri kita sepenuhnya dan kita lakukan semua tugasannya. Ketika itu, sambil memasak pun air mata kita boleh berkaca-kaca mengenangkan susah payahnya menyediakan yang terbaik buat kita.

“ Sayang, abang cinta kepadamu kerana Allah SWT.”

(3) Keteduhan dan ketenangan wajah permata hati

Saya memandangkan mata, hidung dan seluruh raut wajah putri sulung saya. Bagaikan sesuatu perasaan yang belum pernah menerpa ke dalam relung jiwa saya. Masya-Allah, inilah kurniaan Allah SWT yang harus diperlihara dan dilaksanakan amanah ini sebaiknya.

Wajah suci bayi ini – seolah-olah memanggil kita untuk mengucupnya, melindungi dan mencorakannya dengan corakan yang selari dengan fitrah. Semakin ditatap, direnungi dan dihayati setiap inci raut wajahnya, semakin gementar di hati akan beratnya amanah dan tanggungjawab ini.

“ Mukhlisah, Abi sayang padamu kerana Allah SWT!.”

(4) Kebersamaan, ukhuwah dan setia kawan yang erat

Saat saya memerlukan bantuan, tunjuk ajar dan pertolongan – adik-adik saya, ramai kenalan, sahabat, sanak saudara, rakan sekerja dan jiran yang hadir membantu. Mereka menghulurkan bantuan tanpa rasa terbeban atau mengharapkan bantuan.

Ramai yang datang menziarahi kami.
Syukran. Syukran & Syukran

Masya-Allah, titipan doa dan munajat, tip-tip menjadi ayah, panduan menjaga anak, sedikit bantuan kewangan, hadiah kelengkapan bayi dan sebagainya – hadir ketika saya bagai terpinga-pinga dan “kosong” memikirkannya. Sesungguhnya, perkara inilah menguatkan saya untuk melalui dan menghadapi semua ujian-ujian kehidupan ini.

“ Buat semua, saya kasihkan kalian kerana Allah SWT.”

Syukran dan terima kasih banyak-banyak atas segala bantuan, sumbangan dan pertolongan.
Kerana cinta yang harum ini, melebarkan lagi jalinan persaudaraan sesama kita.

Moga Allah SWT meredhainya.

Nota :

a. Sehingga 6 Februari 2012, demam kuning anak kami masih tinggi. Pelbagai usaha telah dilakukan. Saya akan terus berusaha, berdoa, berdoa dan berdoa – kepada-Nyalah kami berserah.

b. Jika, sahabat pembaca ada petua untuk sembuhkan demam kuning ini sangat-sangatlah saya alukan. InsyaAllah, saya akan ikhtiyarkan. InsyaAllah.

BroHamzah
Kampung Paya Batu, Jalan Long Yunus
Kota Bharu Kelantan.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP