BERJIWA BESAR
Wednesday, August 26, 2009
"Setiap kita yakin bahawa semua kita akan mati tetapi manusia yang BERJIWA BESAR akan mengolah 'seni kematiannya'”
HASSAN AL-BANNA
Sesiapa yang menghendaki kejayaan dan kepuasan dalam kehidupannya, maka dia dapat menemukannya dalam iman dan hidayahNya.Sebab kedua unsur itulah rahsia dijaganya nikmat dan kebahagiaannya di dunia & akhirat
Seorang pemuda yang mempunyai cita-cita dan wawasan yang tersendiri. Mengimpikan agar suatu hari nanti dunia ini diwarnai dengan cahaya keimanan yang sebenar dan manusia hidup aman sentosa dibawah naungannya. Menjadikan weblog ini sebagai wadah perkongsian yang sihat dan seterusnya mempertingkatkan kualiti diri dari hari ke hari. Boleh dihubungi melalui emel brohamzah85@gmail.com
Semoga Persinggahan Di Laman Ini Akan Mendekatkan Diri Kita Dengan Allah SWT
“ Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh.” ~ Saidina Umar Al-Khattab
"Setiap kita yakin bahawa semua kita akan mati tetapi manusia yang BERJIWA BESAR akan mengolah 'seni kematiannya'”
HASSAN AL-BANNA
Sahabat,
Setinggi-tinggi rasa kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT kerana dengan izinNya dapat kita bersama diruang maya ini. Syukur juga diatas nikmat persaudaraan yang terbit hasil daripada proses didikan iman dan tidaklah kita dikatakan beriman selagi kita tidak merasa mahabbah ( kasih sayang ) sesama kita kerana cita-cita dan matlamat kita adalah sama.
Teman-teman yang Budiman,
Didoakan semoga semuanya kini sedang menghirup udara segar kurniaan Allah SWT dan merasai kenikmatan berubudiyah kepada Allah SWT dengan aman dan tenang. Alangkah indahnya dan damainya menjadi seorang muslim dan muslimah yang memahami segala tuntutan Rabbnya. Dengan iman dan ketaqwaan yang tertanam di dalam diri hati kita akan terasa amat tenang dan damai sedamainya. Melalui proses Tarbiyah Islamiyah Harakiyah inilah , hati dan jiwa kita dibentuk sehinggalah menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh Allah SWT. Teringat kata- kata seorang tokoh ilmuan terkenal, Prof Yusof Al-Qardawi :
" Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencipta perubahan dalam jiwa manusia dan menjadikan manusia dalam bentuk yang baru, sehingga berubah pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya."
Setelah sekian lamanya kita berada di dalam proses pendidikan jiwa ini dan melalui sendiri proses Riadah Qalbiah, bersungguh-sungguh membuang karat-karat jahiliyah yang wujud di dalam diri, bolehlah kita mengimbas kembali dan menyemak semula peningkatan diri kita dalam proses ini. Inilah tugas kita sebagai hamba Allah SWT yang amat berhajat kepadaNya. Di sinilah keperluan kita untuk melakukan muhasabah diri.
Sahabat-sahabat Fillah,
Sahabat-sahabat dan teman-teman yang sama-sama berada dalam proses pendidikan ini adalah orang yang istimewa dalam kehidupan kita. Hakikat ini mestilah dirasai sungguh-sungguh. Persaudaraan dan kasih sayang sesama kita adalah tunggak kekuatan dan keberkatan di dalam kehidupan kita. Ikatan persaudaraan berteraskan keimanan kepada Allah SWT inilah yang menyebabkan istimewanya kedudukan sahabat-sahabat dan teman-teman kita. Kita berkongsi pemikiran yang sama, mempunyai perjalanan hidup yang sama dan matlamat hidup yang sama. Hanya dalam suasana ini lah kita mencetuskan suasana yang baik dan kondusif dalam mendidik dan mengasuh jiwa kita. Dalam suasana ini lah kita dapat berbincang dan berinteraksi dari hati ke hati dengan selesa dan puas. Suasana ini diumpamakan sebagai taman-taman syurga yang dapat melahirkan nikmat persaudaraan dalam Islam.
Sahabat-sahabat yang berada di atas jalan yang benar ini merupakan segelintir insan yang telah diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT untuk memahami hakikat Islam yang sebenarnya dan melaksanakan Islam sebagai Ad-Deen dalam semua aspek kehidupan. Dalam suasana Islam yang asing kini, masih terdapat hati-hati yang menyerahkan secara dan sedar hati mereka untuk diproses dan dididik mengikut acuan Islam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Sahabat-sahabat sekalian,
Dalam hidup pasti kita akan diuji, terutamanya dalam soal persaudaraan ini. Jadi sekiranya timbul sebarang masalah dalam kita mengamalkan Islam, hendaklah kita serahkan penyelesaiannya mengikut jalan yang syara', Kita perlu bersikap positif dan berlapang dada dan banyakkan bersabar. Kita kena lihat bahawa kelemahan dan kekuatan sahabat sebagai bahan tarbiyah untuk kita. Bagi menyuburkan rasa ikatan ini, perlulah kita rasai bahawa masalah sahabat adalah masalah kita, kegembiraan sahabat adalah kegembiraan kita dan kesedihan sahabat adalah kesedihan kita.
Sahabat-sahabat yang dihormati,
Di sini juga ingin saya berkongsi dengan kalian, sedikit peringatan yang disampaikan oleh sahabat yang masih tetap segar dalam ingatan kerana kata-kata hikmat tersebut kian terasa kebenarannya. Seorang sahabat berpesan , catalyst atau pemangkin atau pencepat tarbiyah ialah kehadiran kita dalam program, tumpuan dan ulangkaji bahan-bahan dalam HQ, 'concentration' dalam solah dan berkerja memimpin satu persatu individu.
Dalam mengharungi proses ini, kita akan diuji dan diuji. Anggaplah ini sebagai satu tapisan untuk menilai tahap kualiti keimanan kita kepada Allah SWT. Jalan yang kita pilih ini tidak mudah, tidak ada ganjaran 'immediate' yang jatuh bergolek di hadapan kita. Hanya air mata redha dengan ujian dan cabaran yang mampu kita tumpahkan demi mengharapkan bantuan daripada Allah SWT. Ingin saya sampaikan bahawa jalan ini tidak dihampari dengan hamparan permaidani merah tetapi ia ditaburi dengan duri-duri serta kaca kesukaran dan kepayahan. Allah SWT akan menguji kita. Menguji saya dan menguji saudara pembaca sekalian. Semoga kita bersedia menghadapinya.
Saudara dan saudari sekalian,
Akhir kalam, marilah kita check balik titik tolak kita. Ketahuilah bahawa titik tolak kita di atas jalan ini adalah keimanan kita kepada Allah SWT. Inilah titik tolak yang betul dan shahih. Perlulah kita ingatkan kepada diri kita dan orang lain tentang keimanan kepada Allah SWT. Perkara ini selalu ditekankan oleh sahabat-sahabat awal di dalam perjumpaan dan penemuan mereka. Perkara inilah yang menjadi trend mereka dan kita perlu jadikan ia trend kita. Jika ada dikalangan kita tidak mengemari trend ini kita akan dapati ia berbeza. Berbeza kerana titik tolaknya tidak menjadikan keimanan itu sebagai masdar utama.
Sekian
Yang memerlukan doa kalian
BroHamzah
26 Julai 2009
Pertama: Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
Kedua: Melazimi membaca Al-Qur'an dan zikir al-mathurat sebelum terbit matahari.
Ketiga:Memelihara kesempurnaan solat kerana inilah kekuatan mukmin muslim yang utuh
Keempat: Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
Kelima: Jaga sedekah setiap hari. Walaupun hanya dengan sekuntum senyuman
Keenam: Jaga wudhuk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu'.
Ketujuh: Amalkan istighfar setiap masa agar terhapus segala dosa dan noda.
Kelapan : Perbaharui Azam dan Tekad untuk terus berkhidmat kerana Allah SWT
Kesembilan : Sentiasa ceria dan berfikiran positif kerana itulah watak seorang mukmin sejati
Kesepuluh : Memelihara Diri dengan keikhlasan yang tulus kerana Allah SWT kerana disitulah terletaknya nilai amalan di sisi Allah SWT.
© Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009
Back to TOP