Nilai Sebuah Kesabaran
Wednesday, October 7, 2009
Sketsa Kehidupan ~ Nilai Sebuah Kesabaran
Oleh : BroHamzah
http://brohamzah.blogspot.com
Kisah kehidupan
Seorang petani miskin mengharapkan perubahan dalam hidupnya. Dia selalu mengimpikan agar suatu keajaiban berlaku. Pada suatu pagi seperti biasa, dia pergi ke belakang rumahnya untuk melihat tanaman dan juga angsa kesayangannya.
Alangkah terkejutnya petani itu apabila mendapati di dalam reban, angsa itu ada sebutir telur emas. Petani itu tidak mempercayai dirinya tetapi kemudiannya menjerit kegembiraan, menyanyi sambil melambung-lambung telur emas tersebut. Dia segera menjual telur emas tersebut. Sebagai pulangan, dia membawa balik makanan da minuman yng enak-enak.
Keesokan paginya, dia tidak sabar-sabar pergi ke belakang rumah untuk melihat ke dalam reban angsanya. Sekali lagi dia mendapati ada sebutir telur emas di sana. Petani itu melompat kegembiraan, segera keluar ke pekan menjual telur emas dan membawa pulang banyak barangan keperluan rumah.
Kehidupan petani itu telah benar-benar berubah. Dia tidak perlu lagi bekerja keras, sebaliknya hanya mengharapkan angsanya untuk terus bertelur. Riak kemewahan ini memang mengembirakan.
Keesokan paginya dia pergi ke reban angsa di belakang rumahnya dan seperti hari semalam, ada sebutir lagi telur emas tersedia untuknya.
Hari itu dia mula berfikir sendiri, “Alangkah baiknya kalau angsa ini bertelur tidak hanya sebutir sehari. Tidak perlulah aku menunggu-nunggunya setiap pagi…”
Otaknya mula ligat berfikir sambil matanya tertumpu kepada angssanya dengan pandangan jengkel dan terkilan. Kemudian dia mula berfikir, “Aku tidak boleh bersabar lagi dan perlu bertindak pantas. Aku perlu mendapat lebih banyak telur emas!”
Tanpa berfikir panjang dia terus menerkam dan menangkap angsanya. Secepat kilat dia memberkas dan dengan sebilah pisau tajam dia terus membelah perut angsa malang tersebut.
Alangkah terkejutnya setelah angsa itu terkulai laya, dia tidak menemui walaupun sebutir telur emas di dalam perut angsanya. Dia sangat kesal namun tiada apa yang boleh dibuat untuk menyelamatkan angsanya itu dan angsa itu akhirnya mati….
Walau seberat mana kesedihan yang ditanggung. Sepahit mana kepedihan hati untuk mengakui hakikat, kehidupannya kembali seperti dulu, susah melarat.
Begitulah sebenarnya yang berlaku dalam kehidupan manusia, mereka merasakan bahawa untuk bersabar itu susah, tetapi sebenarnya untuk menanggung akibat dan bahana daripada tidak bersabar itu jauh lebih susah. Justeru itu, sekiranya kita berhadapan dengan ujian dan kesukaran hidup katalah pada diri sendiri: Bersabarlah dan terus bersabar!
Pilihlah untuk bersabar, akibat kalau tidak bersabar itu nanti jauh lebih sukar daripada kesukaran saat ini.
Apa yang kita dapat?
Saya adaptasikan kisah di atas dari sebuah buku yang saya baca iaitu U Turn Jalan Pintas, Tulisan Ustaz ZulRamli. Kisah ini ada pengajaran dan iktibarnya.
Seringkali dalam kehidupan kita, kita impikan pelbagai impian dan cita-cita. Tetapi semua itu menuntut pergorbanan, kesungguhan dan kesabaran yang tinggi daripada kita. Kesemua ini memerlukan satu perubahan yang besar dalam kehidupan kita. Dan yang pastinya untuk berubah kita perlukan kesabaran.
Si petani dalam kisah diatas gagal untuk bersabar seketika, akhirnya ia rugi untuk sepanjang hayatnya. Dan kita jika gagal untuk belajar bersabar, bermakna kita sedang belayar menuju ke pulau kegagalan.
Belajar Untuk Bersabar
Dalam proses tarbiyah amaliyah yang sama-sama kita lalui ini, kata kunci keberhasilan dan kejayaan dalam mendidik diri kita adalah BERSABAR. Kita bersabar mendidik diri untuk patuh dan taat kepada perintah Allah SWT dan bersabar untuk tidak melakukan maksiat kepadaNya.
Bersabar memerlukan proses dan latihan intensif yang panjang dan rapi. Jika kita tidak melatih diri untuk sabar, apa lagi modal yang terbaik untuk kita lakukan untuk menempah tiket keberhasilan untuk kita berjaya.
Bersabarlah dalam meniti kehidupan dalam meraih kejayaan yang sebenarnya dihujung perjalanan kehidupan kita.
0 comments:
Post a Comment