Fitrah Yang Menjadi Fitnah

Monday, October 5, 2009

Jangan Cemari Cinta Yang Suci

FITRAH YANG MENJADI FITNAH

Oleh : BroHamzah

Ahli Kelab Anti-couple Sebelum Nikah

Bercinta dan bercouple tu salah ke?

Berdosa ke?

Selalunya saya akan menjawab tidak berdosa malah dalam Islam boleh.

Terkejut Mahasiswa dan Para pelajar.

Ya, kita boleh bercinta dan bercouple dan berpasangan. Ini fitrah kita kan. Jiwa kita secara fitrahnya ingin disayangi dan menyayangi.

Kita boleh bercinta dan bercouple selepas kita berkahwin. Selepas kita mempunyai satu ikatan yang sah. Selepas kita menjalahi satu proses Ijab dan Qabul.

Salah Ke Bercinta?


Hati remaja dan para pelajar selalu berkata, apakah salah kami bercinta? Rasa cinta memang tidak salah. Ia adalah fitrah semulajadi (instinct) yang ALLAH SWT kurniakan kepada setiap manusia. Ingin bercinta dan dicintai adalah instinct. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasad perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah merasainya. Namun ALLAH tidak kurniakan cinta secara polos begitu saja. Dia juga pencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar.



Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalin hubungan cinta. Di sinilah selalunya remaja terjebak kepada kesalahan yang terlarang. Cinta terlarang adalah cinta yang menafikan peraturan yang telah ditetapkan oleh ALLAH swt. Ketika itulah FITRAH telah menjadi FITNAH. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Mengapakah perlu ada peraturan cinta? Jawabnya kerana ALLAH swt mencintai manusia hambaNYA. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan. Begitulah hubungan cinta hubungan cinta yang terlarang akan membawa banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman sudah pun mengajar kita bahawa jangan sesekali bermain cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragedi yang berlaku akibat hubungan cinta yg membelakangkan Tuhan!



Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat. Lebih banyak perlanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kuat tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi dengan pelbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala sehingga seseorang aka menjadi hamba kepada sesiapa yang dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang dicintainya. Lupalah diri pada pencipta cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakaNya. Bagaimanakah pula perasaan kita agaknya jika seseorang itu begitu leka dengan hadiah yang diberikan hingga terlupa bersalaman dan berterima kasih dengan pemberinya?



Pohon Cinta Terlarang



Allah SWT kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta terlarang. Seolah-olah
cinta dan pencipta cinta itu sudah tidak ada kaitan antaranya. Hukum ALLAH dilanggar bukan dengan rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas ALLAH mengharamkan sentuhan antara lelaki dan perempauan yang bukan muhrim. Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah peringatkan Nabi bahawa dalam keadaan itu syaitan adalah pihak ketiga. Lebih dari itu pun banyak berlaku. Buayafriend dan gelifriend hanyut dibawa perasaan cinta yang palsu dan menipu. Mereka tertipu dengan bayangan watak pasangan masing-masing yang penuh dengan kepura-puraan. Semuanyanya seolah-olah halal kerana cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja.



Akhirnya pohon cinta terlarang pun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikkan - zina, sumbang mahram, bohsia, bohjan, buang bayi lagi.Ketika itu indahkah cinta? Peraturan cinta bagai tanda-tanda dan lampu isyarat di atas jalan raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak tetapi pergerakkannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan. Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan cinta? Hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta ALLAH. Ertinya cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan ALLAH.



ALLAH memberikan kita fitrah itu lalu niatkan dengan fitrah itu boleh
menghampirkan diri kita kepada ALLAH swt. Cintailah sesiapa pun, tetapi
pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai ALLAH. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah diniatkan untuk ALLAH!.



Soalnya bagaimana?



Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki atau seorang perempuan menyempurnakan agamanya.

Sabda Rasulullah saw,



"Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakannya" . *



Semoga perkahwinan yang dibina adalah semata-mata kerana ALLAH, dengan tujuan untuk membina rumahtangga muslim, melahirkan keturunan soleh dan solehah, keluarga yang sanggup memikul amanah & dapat melaksanakan segala hukum dan perintah ALLAH swt. Semoga dengan perkahwinan itu juga akan dapat menjaga pandangannya, kehormatan dirinya serta hati dan juga perasaannya supaya sentiasa tunduk dan takut pada ALLAH swt, di samping dapat beribadat dan bertaqwa kepada ALLAH SWT.



Oleh itu, usahlah bercinta sekadar untuk bersuka-suka atau kerana ingin mengikut kawan-kawan. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sekadar untuk bersuka-suka.Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti bukan kerana ALLAH. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan pada sebelah pihak atau kedua-duanya sekali. Cinta jenis ini seburuk namanya - Cinta Monyet, Cinta Kera dan Sebagainya!



Hendaklah dipastikan semasa menjalin hubungan cinta tidak ada hukum ALLAH yang dilanggar. Antaranya, tidak ada pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada pengabaian perkara asas seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain. Hubungan cinta jangan sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan. Maka, remaja tidak seharusnya mengeluh,"



Cinta apa namanya ini jika tiada dating, tiada perbualan telefon
maraton..atau bahasa remajanya 'bergayut', tiada surat cinta, tiada sentuhan tangan, tanpa kerlingan dan senyuman?

Inilah yang saya namakan CINTA JAHILIYAH. Berjayanya musuh Islam menyuntik satu fahaman yang salah tentang Cinta. Akhirnya pada hari ini, kita lihatlah fenomena yang menyedihkan.Fenomena yang dahsyat dalam sisa-sisa keruntuhan akhlak anak-anak remaja dan pelajar pada hari ini.



Yakinlah, tidak ada keindahan dengan melanggar peraturan Tuhan. Putus cinta dan kecewa bercinta yang begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah disebabkan racun-racun cinta yang disangka baja ini. Justeru banyaklah cinta yang gagal disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak yang putus tanpa sempat menempuh perkahwinan.



Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi. Segala peraturanNya buat dengan rasa cinta terhadap hambaNYA. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu.Dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahannya. Bahkan jika diizinkan oleh takdirNya, cinta itu akan terus bersambung ke alam akhirat. Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi di syurga-empat pertama yang melahirkan cinta!

Ketika itulah FITRAH akan menjadi ANUGERAH!

3 comments:

MASTERMATH October 6, 2009 at 8:53 AM  

hmm...koreksi diri.....
ana penah ad rasa hati ngan seorg nih...
mcm mana ek...

brohamzh October 7, 2009 at 2:01 AM  

Ada perasaan..Itu perkara biasa.Ia fitrah.Cumanya bagaimana kita mengemudikannya..Itu persoalannya.Adakah syara atau nafsu yang memandu kita dalam menyelesaikan permasalahan perasaan ini.

Z-cReW October 20, 2009 at 9:47 AM  

Terima kasih atas post yg sangat2 menarik ni..
Di saat meniti zaman2 baru nak kenal erti cinta, couple, n sbgnya..alhamdulillah ada jugak pendapat yg boleh dijadikan panduan..

Yg dikatakan bercinta krn ALLAH tu pulak mcm mana ye?

Sbg contoh ade sepasang couple,
adekah dgn saling mengingati antara satu sama lain mengenai Allah, beri tazkirah, mengajak pasangan masing2 utk melakukan ibadah2 wajib dan sunat..dikira sbg bercinta krn ALLAH?

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP