Minda Kelas Pertama

Thursday, October 29, 2009

Generasi Yang Mencintai Allah SWT adalah Generasi Yang Hebat

Minda Kelas Pertama

Oleh : BroHamzah

“ Para Sahabat RA dibawah didikan Rasulullah SAW memiliki minda kelas pertama. Kenapa? Mereka mempunyai misi dan visi hidup yang menjangkaui alam Dunia. Mereka nampak akhirat dengan mata mereka sendiri.” Ujar Ustaz Abdul Hadi Osman ketika tazkirah Subuh pagi tadi.

Setiap kali Solat Subuh, saya akan menunaikannya di Surau MATRI. Saya sukakan suasana pagi yang tenang dan kesejukannya yang dingin. Memulakan pagi hari dengan Al-Quran dan Solah Sunnat sebelum Subuh, memberi kenikmatan dan kekuatan kepada saya. Dan yang lebih membahagiakan saya, apabila mendengar pengisian rohani oleh Ustaz Abdul Hadi. Bersahaja, santai dan penuh dengan untaian kalam-kalam nasihat yang memikat.

Pagi tadi, Ustaz menyebut tentang Minda Kelas Pertama. Hari ini, sistem pendidikan perdana menwar-warkan tentang perlunya mendidik manusia untuk mencapai standard minda kelas pertama. Sudah pasti kayu ukurnya adalah berkiblatkan Negara-negara yang maju dan hebat. Minda kelas pertama dinilai dari segi keintelektualan yang tinggi dan tahap akademik yang membanggakan.

Namun, pagi ini Ustaz memberi satu penjelasan yang mudah. Minda Kelas Pertama yang ingin Islam lahirkan adalah minda kelas pertama yang diambil daripada Para Sahabat di bawah didikan Rasulullah SAW.

“ Mereka HEBAT dan sangat HEBAT kerana mereka berpandangan JAUH. Mereka melihat dunia ini melalui pandangan keimanan kepada Allah SWT.” Ujar Ustaz Abdul Hadi Osman

Kehidupan mereka dipenuhi dengan keimanan. Mereka mulakan pagi hari mereka dengan membaca Al-Quran dan Solat Subuh sebagai tanda kehambaan mereka kepada Allah SWT. Keimanan mereka benar-benar menyerap dan dihayati dalam setiap detik kehidupan mereka.

“ Kami didik antum bukan hanya untuk CEMERLANG akademik, boleh mendapat kerja yang hebat dan dikenali masyarakat. Tetapi kami didikan antum supaya berjaya dunia dan akhirat dan akhirnya boleh bersama-sama dalam menegakkan deen Islam.”

“ Kita semua akan pulang kepada Allah SWT. Yang terpenting dalam hidup kita adalah KEREDHAAN Allah SWT.” Bibir Ustaz Abdul Hadi terus menerus mengungkapkan mutiara-mutiara nasihat.

Saya benar-benar tersentuh dengan nasihat Ustaz Itu. Mungkin bagi orang lain, ia merupakan kata-kata biasa, namun bagi saya ia adalah ungkapan yang membangkitkan dan menghidupkan. Dengan nada yang lemah lembut, kata-kata dan peringatan Ustaz akan sentiasa menyentap hati saya. Saya boleh mengingati setiap kata-katanya yang tidak jemu-jemu menasihati dan memberi peringatan.

DIDIKLAH HATI

Apakah Rahsia para sahabat begitu hebat dan Berjaya memiliki Minda Kelas Pertama yang diiktiraf oleh Allah SWT? Jawapannya kerana hati mereka dididik untuk mengingati Allah SWT dan banyak mengingati Mati. Mereka memandang dunia ini dari sudut pandangan yang berbeza daripada masyarakat yang tidak berminda. Mereka memfokuskan hidup mereka kepada Akhirat dan menjadikan Dunia ini medan yang terbaik untuk menuju akhirat yang kekal abadi sebagai hari pertemuan dengan Allah SWT.

Dalam dunia yang ada pada hari ini, kita akan mengalami banyak ujian dan cabaran. Ibnu Taimiyah RA adalah menyebut :

“ Sekiranya kita memilih jalan keimanan bererti kita memilih jalan ujian dan dugaan.”

Apabila dilanda Ujian dan Dugaan, ingatlah ia merupakan tanda kasih sayang Allah SWT.Berbaik sangka la dengan Allah SWT dan binalah hubungan hati terus menerus kepada Allah SWT. Merasai keperluan untuk melihat keadaan hati kita adalah satu tuntutan yang penting bagi sesiapa sahaja yang berada dalam proses pendidikan hati.

Saya teringat kata seorang senior saya kepada saya :

“ Orang Mukmin sentiasa merindui suasana Iman dan Ukhuwah, dan merekalah yang berusaha membinannya.”

Keperluan kepada suasana yang hidup dan segar yang dihubungkan dengan keimanan amat perlu untuk jiwa-jiwa yang merindui kehangatan dalam mendambakan cinta Allah SWT. Kemanisan beriman itu akan zahir secara jelas melalui kehidupannya.

TERUSKAN USAHA-USAHA INI

Buat semua, janganlah berputus asa dalam mendidik diri. Andai diri kita selalu kecundang dan tewas, bangkitlah semula. Seorang Murabbi yang sangat saya hormati Cikgu Mohd Abduh Zainal Abidin atau lebih dikenali Sir Abduh pernah berpesan :

“ Putus Asa bukanlah sifat orang Mukmin.”

Jangan kecewa dan bersedih. Binalah kekuatan hati dengan menghubungkan ia dengan ruh Al-Quran. Giatkan majlis-majlis Ilmu dan sebarkan Kefahaman Islam di mana sahaja kita berada. InsyaAllah, kekuatan itu akan diberikan oleh Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP