Seorang Demi Seorang - Gugur Dari Medan Ini. Aku Bila Lagi?

Friday, October 19, 2012



Bersama gerabak Dakwah : pilihan , terpaksa atau secara tidak sengaja?



Berjuang, berkorban dan terkorban

Perjuangan memerlukan pengorbanan, kesungguhan, kecekalan dan kesabaran yang maksima tanpa batas. Komitmen tidak berbelah bagi, - iltizam dan intizam yang 100 %. Bahkan ia amat-amat menuntut seluruh kehidupan kita untuk mencapai segala matlamat yang ingin dikecapi dalam medan perjuangan ini.

Namun, saban waktu dan hari.

Dari detik ke detik,
Minit ke minit,
Jam ke jam,
Hari ke hari,
Minggu ke minggu,
Bulan ke bulan,
Tahun ke tahun,

Perajurit, tentera, pekerja dan penggerak dakwah kian keguguran,keciciran lagi kefuturan. Semakin dakwah berkembang dan melebar, semakin kuat goncangan dan kian tumbuh subur pelbagai fitnah dan ujiannya.

Hati dan jiwa mana yang tidak tercuit, terusik dan terpana dengan pelbagai bentuk tarikan, dugaan dan cabaran. Tekanan, stress dan segala bentuk himpitan-himpitan dunia membuatkan hati tidak senang, jiwa kian tertekan dan akal menjengah pelbagai peluang serta kesempatan untuk mencipta keuzuran.

Antara berjihad dan berehat. Jika dibuat tawaran - tentunya pilihan kedua itu lebih disukai, dicintai dan digemari. Namun sering kali mendapat pukulan yang menggugah jiwa daripada  sang murabbi :

“ Penyakit orang yang tidak beramal ialah suka berehat dan bersantai-santai.”

Apabila kuat bekerja, berkarya dan mencipta gagasan, teruji pula dengan suatu hakikat :

“ Penyakit orang yang beramal ialah riya’ dan ujub.”

MasyaAllah – beramal pun ada ujiannya. Tidak beramal atau bekerja pun ada mehnahnya. Justeru, apa lagi yang kita hajatkan daripada semua ini?

Memujuk Diri

Semakin melangkah untuk suaikan diri dengan kehidupan dan perjuangan, semakin ramai pula manusia-manusia yang pelik-pelik lagi aneh yang ditemui. Cakapnya berdegang-degang, tapi amalannya pula sebaliknya. Ada yang macam ini macam itu, tetapi kehidupannya lain benar-benar daripada yang sepatutnya.

Hairan dengan tindakan, perkataan dan ucapan. Biar benar ini seorang dai? Provokasi, kontroversi dan budaya politik mempolitikan hidup subur dalam dunia “dakwahnya”. Keaslian dakwah dan tarbiyah kian luntur dan dimamah usia.

Manusia, manusia dan manusia. Itulah manusia -  wahai sahabat!

Hati perlu sentiasa dipujuk, dibelai dan diasuh selalu. Pujuklah hati ini dengan penyejuk yang benar-benar dingin lagi mengamankan. Usahlah menjadi penghukum atau jaguh dalam menilai sesiapa pun di sekitar kita. Jika tidak, sakit jiwa dibuatnya.

Hari demi hari, tekanan – stress – ujian – dugaan – cabaran – mehnah bertambah dan akan terus bertambah. Bebanannya  mencukakan wajah sang pendakwah yang dulunya bersemangat waja dan aktif dalam gerak kerja. Namun, kini ianya semakin terbeban lagi terhimpit – semuanya dibuat kerana terpaksa dan terpaksa. Bukan lagi, tercetus atas kesedaran, kefahaman dan keyakinannya tetapi dibuat kerana terperangkap dalam budaya kerja dakwah!

Nadi perjuangannya sudah luntur. Jika dahulunya, ruh cinta itu subur – kini benih-benih benci mulai berputik! Tiada lagi persaudaraan, tiada lagi lapang dada dan tiada lagi keikhlasan. Semuanya adalah bebanan, bebanan dan bebanan!

Akar kebencian mulai menusuk tanah keimanan dan akhirnya suatu pemilihan dan keputusan sama ada atau  tanpa sedar akan dibuat. Apakah dia?

“Mufarah dari medan ini!”
“Gugurkan diri!”
“Keluar dari landasan perjuangan!”

Fullstop! – Settel!

Berhenti Seketika – Tekan Butang “Pause”

[Sengaja ditulis sedemikian rupa, bagi suspen sedikit. Ingin membawa suatu dimensi berbeza daripada penulisan biasa.]

Itulah hakikat sebuah perjuangan di celah-celah kehidupan ini. Bukan semudah itu bicara dan beraksi di gelanggang perjuangan. Sudah ramai yang memilih untuk gugur daripada terus bersama dengan gagasan dakwah atas pelbagai alasan dan asbab. Kita pula? Kita juga tidak tahu bagaimana masa hadapan kita nanti.

Justeru, keaslian dan keberadaan dalam proses tarbiyah ini kita rencanakanlah ia secara fitrah. Ia bukannya paksaan sesiapa. Ia juga bukan keranan ikut-ikutan. Tetapi, ia adalah suatu pemilihan secara sedar, faham dan yakin.

Bukan kerja kita hendak memaksa orang untuk berkerja untuk Islam. Apatah lagi bergabung bersama kelompok dakwah. Tetapi kita punyai peluang untuk mengajaknya, mendidiknya, menyuntik kesedarannya dan memanduinya untuk berkhidmat bersama Islam. Kerana apa?

Mehnah dalam perjuangan ini sangat pedih, perit dan melukakan jiwa. Jika tanpa persediaan – sesiapa sahaja akan gugur, tercicir dan mudah tewas. Tertewasnya kita, gugurnya kita, futurnya kita atau apa jua yang sewaktunya akan berlaku secara kita sedar dan tidak sedar.

Hakikatnya, Kita Tiada Pilihan

Namun, kita tiada pilihan. Jalan inilah yang akan menyelamatkan kita daripaa azab api neraka Allah SWT. Jalan inilah yang akan membawa kita kepada keredhaan Allah SWT dan syurga-Nya.

Ramai yang pada awalnya begitu bersemangat memasuki gelanggang dakwah ini – rasa-rasa kerja-kerja sebegini amat menyeronokan. Program-programnya best sahaja, aktiviti-aktivitinya superb dan sebagainya. Dan, ada juga menyertai gerombolan ini kerana kepentingan-kepentingan tertentu. Namun, ketahuilah musuh-musuh utama muslim bergiat aktif, produktif dan sistematik. Syaitan akan mencari titik-titik kelemahan dan peluang untuk “menggugurkan” kita.

Turun naik iman kita, penat lelah dalam bekerja dan keperitan cacian pelbagai manusia – tentunya akan menguris segala kekuatan yang ada. Lukaan itu dalam, perit dan sakit. Jika tidak dirawat sesegara mungkin, alamatnya ia akan kian parah. Jadi apa yang perlu kita buat?

Jadikan ia sebagai warna warni dalam perjuangan. Ia menghiasi rencah laluan panjang ini dan kita jadikan ia sebahagian daripada kehidupan kita. Kita hadapi, lalui dan rasai. Jika ada masalah, kita pakat-pakat selesai bersama. Jika ada kekurangan, kelemahan dan keaiban – sama-sama kita baiki dan pertingkatkan mana yang kurang itu.

Justeru, apa juga yang berlalu - kita harus semak semula Noktah Bidayah (Titik permulaan) di saat penggabungan kita dengan perjuangan ini di awal-awal masa dahulu. Soal diri, tanya hati dan muhasabah segala-galanya. Kita sendiri yang mampu menjawabnya!

Pada masa yang sama, untuk terus kekal sehingga ke akhir hayat – kita perlu mengambil pendekatan sederhana dalam berharakah. Ambillah rukhsah apabila perlu tetapi amalkan azimah untuk mendidik, melatih dan mempertingkatkan pengorbanan kerana insan-insan yang membiasakan dirinya dengan rukhsah tidak dapat menanggung dan melakukan azimah. Bimbang, dirinya tidak mampu untuk terus istiqamah dan akan gugur serta tercicir akibat kegagalan itu!

Justeru, kita terus baiki komitmen, keiltizaman dan pengorbanan kita dari semasa ke semasa. Ambil masa, waktu dan sebagainya. 

Yang terpenting, berlaku peningkatan demi peningkatan.

Penutup : Jika kepenatan dan kelelahan, berehatlah sebentar  + kumpul semula kekuatan

Dalam setiap fatrah dan fasa, selalu ada pekerja-pekerja dan penggerak-penggerak dakwah yang kepenatan dan kelelahan. Jika mereka lelah dan penat kerana membawa panji kebenaran, nescaya Allah SWT akan menguatkan mereka kembali. Mereka akan “berehat” sebentar melalui cara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk mereka.

Namun, jika mereka lelah dan penat kerana tergoda oleh gemerlapnya dunia, maka akan ada pekerja lain yang akan menggantikannya.

Ketahuilah, bahawa perjuangan dan dakwah itu tidak akan pernah kehabisan serta kekeringan pekerja dan penggerak. Bersama atau tidaknya kita dalam dakwah ini, kereta dakwah akan terus melaju menuju Syurga.

Yang tertinggal adalah kita, yang memilih untuk gugur, futur, tercicir dan berehat tidak membuat apa-apa!

---------
BroHamzah
Di saat, diri ini di persimpangan dan dilemma yang berpanjangan
Sahabat, Doakan Diriku!

Read more...

Di Sebalik Pengorbanan Dua Insan Istimewa Ini

Monday, October 15, 2012



Abah Dan Emak - Dua Insan yang sentiasa hidup di jiwa anak-anak

Jumaat, 12 Oktober 2012

Hari itu, jiwa dan hatiku sangat “tersentuh” – terharu lagi sebak. Muka mungkin cool dan tiada apa-apa gambaran yang terpancar di wajah. Tetapi, saat itu adalah saat yang sememangnya dinanti-nantikan oleh abah, emak dan kami 10 adik-beradik semua.

Seawal jam 3.30 pagi, kami bangun dari tidur untuk bersiap bagi melaksanakan satu misi yang sudah lama tertangguh. Misi untuk menyempurnakan segala impian dan hasrat abah dan emak.

Ketika mengiringi, Abah dan Emak ke Kompleks Tabung Haji  Bayang lepas, Pulau Pinang bagi menghantar mereka ke Kota Makkah bagi menunaikan ibadah Haji tahun ini – aku terkenangkan segala jerih payah, kesusahan dan kesukaran mereka membesarkan kami semua. Tak ramai – 10 orang adik beradik sahaja!

Kami semua maklum dan tahu, duit Abah dan Emak sudah berkali-kali cukup untuk menunaikan haji. Namun, sering kali niat dan hajat ditangguhkan kerana  anak-anak.

Ya, untuk anak-anak. Untuk kami 10 orang adik-beradik.

“ Tak pa, bagi anak-anak besar dan belajar dulu.”
“ Banyak duit nak pakai untuk besarkan anak-anak”
“ Bagi hampa semua masuk MATRI dan Universiti dahulu,”

Bergaji sederhana, tentunya bukanlah pilihan yang tepat – kata orang – untuk abah dan emak untuk menyekolahkan kami di sekolah swasta sebagai tapak semaian pendidikan dan persekolahan.  Yuran yang pastinya mencecah ratusan ringgit dan kalau dikumpulkan semua pastinya mencecah ribuan ringgit tentunya membuatkan ibu bapa pusing kepala memikirkannya.

Tetapi, tidak bagi abah dan emak.

Ramai yang hairan, kaum kerabat juga tertanya-tanya, kenapa habiskan duit untuk pendidikan anak-anak sehingga “berlebihan” dan di luar kemampuan?

Abah pasti tersenyum.
Emak lagi la, tersengih sahaja.

Mereka ada perancangan, hajat dan impian untuk anak-anak mereka. Tentunya, untuk dapatkan sesuatu yang dihajati - perlu laburkan jumlah yang mahal dan tinggi harganya.

Malah, ada harga pengorbanan yang harus dibayar!

Sehingga kini, kami tiada rumah sendiri untuk didiami. Menyewa sahaja  untuk berteduh. Sudah bertahun, abah dan emak berjuang “menyara” kereta dan van uzur lagi second hand untuk melengkapkan keperluan kami. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini ,mampu untuk membeli kereta dan van baru.

Aku pernah tersentuh, apabila pernah salah seorang adik merungut :

“ Kenapa, emak tak beli kereta baru? Kereta ini buruk sangat,selalu rosak -  malu la nak naik.”

Wajah emak hanya diam sambil menyimpulkan sebuah senyuman yang terindah. Tenang sahaja, tetapi hatinya siapa yang tahu. Kami mengenali emak sebagai insan yang tidak pernah ambil hati, tidak mengungkit-ungkit apatah lagi mudah terasa.

Tetapi, itu yang kami tahu. Yang disebaliknya – hanya Allah SWT yang tahu!

Kerana apa semua ini dilakukan?
Untuk apa, pengorbanan ini dijelmakan?

Semuanya, adalah untuk anak-anak. Untuk 10 anak-anak yang mereka cintai kerana Allah SWT.

Untuk 10 anak-anak yang menjadi permata hati yang tidak mungkin dapat ditukar dengan segala apa jua yang berharga, mahal dan  bernilai di dunia ini.



Zaman muda - macam gambar saya dan zaujati sahaja.^^



Abah yang sangat baik hati

Ketika jari-jariku menaip keyboard ini, air mata ini berkaca-kaca. Aku sangat-sangat merindui abah dan emak. Linangan air mata yang hangat membasahi pipiku dan sungguh, aku rasa benar-benar rindukan mereka.

Abah adalah insan yang sangat baik hati. Beliau membesarkan kami dengan kasih sayang, cinta dan prihatian yang tidak berbelah bagi. Walaupun jika ada kekurangan dan kelemahan – aku padamkan semua itu kerana segala kebaikanya terlalu banyak dan memuncak.

Aku juga tidak pernah merungut, komplen atau membanding-banding abah dengan sesiapa. Bagi diriku, aku benar-benar bersyukur dan bersyukur mempunyai abah seperti beliau.

Cara beliau melayanku sebagai seorang anak, sahabat dan teman tentunya membungakan hatiku untuk terus mengaguminya, menghormatinya dan menyantuninya sebagai seorang “hero” dihati ini.

Sehingga kini, abah tetap ambil tahu, peduli dan cakna tentangku walaupun pada dasarnya, aku telah berumah tangga. Beliau akan bertanya khabar tentang keperluan harianku walapun  aku sudah bergaji dan punyai duit untuk menyara keluarga sendiri. Aku  semakin rasa bersalah.


Emak yang sangat bersih jiwanya

Apatah lagi apabila mencoretkan tentang emak, aku pastinya akan lagi hiba dan jiwa menangis sedu. Tiada mana-mana ibu atau emak boleh menggantikan tempatnya. Tiada dan tiada!

Jika sebutkan emak, aku terbayangkan proses penanaman keimanan yang beliau tanamkan dan semaikan untuk aku dan adik-adik. Bibirnya tidak pernah lekang menghubungkan apa sahaja berlaku dalam kehidupan kami dengan Allah SWT, dengan hari akhirat dan keimanan. Kami membesar dengan hal ini sama ada secara sedar atau tidak!

Firman Allah SWT yang bermaksud :

" Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah SWT, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya."

(Al-Baqarah 2 : 207)

Abah Emak adalah insan yang akan terus menerus terpahat di hatiku. Dan juga disanubari adik-adikku. Sukar untuk aku lukakan hati mereka dengan kedegilan, kenakalan, kebuasan dan hal-hal yang menguriskan rasa hati mereka.

Tetapi, apakan daya. Pastinya dalam usia yang meningkat senja. Jiwa mereka pastinya semakin halus dan mulus. Hal-halnya yang dahulunya, biasa-biasa kini akan lebih berbisa jika kami tidak berawas dan hilang peka.

Buat adik-adikku,

“Kita hanya ada seorang abah dan hanya  memiliki seorang emak. Kalian tiada  pilihan lain, kecuali untuk berbakti, berjasa  dan menyantuni mereka sehingga ke akhir usia. Apa pun kita, sesiapa pun kita sekarang dan di masa-masa mendatang, haramkanlah diri kalian untuk terus melupuskan ingatan dan  segala jasa budi mereka terhadap kalian.”

Abang semakin dan bahkan semakin menghargai Abah dan Emak apabila dikurniakan baru seorang cahaya mata. Baru seorang sahaja. Bukannya, sepuluh. Setiap kali, memandang wajahnya – pastinya raut ketenangan wajah abah dan emak menerpa di minda ini.

Satu sahaja persoalan yang akan ditimbul :

“ Bagaimana abah dan emak menjaga kami 10 orang adik-beradik yang pelbagai ragam, perangai dan karenah ini?. Ya Allah, ampunillah dosa-dosa mereka. Rahmatilah mereka dan kasihanilah mereka”

Air mata tertumpah dalam sujudku di saat merindui mereka yang kini di Kota Makkah. Adik-adikku, hubungi mereka – bertanyakan khabar, kiriman salam dan sebagainya – selagi mereka masih lagi bersama kita.

Abah, Mak – Ali menyayangi dan mengasihi Abah dan Emak Hanyasanya Kerana Allah SWT!

-----------------------------

BroHamzah
Kini baru aku mulai belajar menangis untuk kedua orang tuaku

Coretan ini dedikasi khas buat kedua orang tuaku yang kini aman di Kota Makkah.
Juga, tidak dilupakan buat adik-adikku di mana sahaja kalian berada, maafkanku kerana sehingga kini masih gagal menjadi seorang abang yang baik. Diri ini masih gagah berusaha dan akan terus berusaha.

Read more...

Petua : Bila Si Kecil Selsema dan Demam Panas

Monday, October 8, 2012



Kasihan kan?

“Berpeluh dan kasihan”

Itulah gambaran yang sesuai saya nyatakan apabila si kecil saya menghidap penyakit selsema dan demam panas. Bagaikan melalui suatu pengalaman baru, saya dan zaujati benar-benar rasai saat menjaga anak kecil ketika dia sakit.

Apabila si kecil sakit, dia tidak punyai “bahasa” komunikasi yang mampu kita fahami dengan jelas kecuali bahasa tangisan dan rengetan yang menyentuh hati. Apa tidaknya, lelahan air matanya dan esakannya pastikan mengganggu jiwa si ayah dan si ibu daripada diam tidak berbuat apa-apa.

Ketika pertama kali melaluinya, saya kelam-kelam kabut dan terdiam bagaikan tidak tahu nak buat apa. Melihat zaujati yang bertindak segera untuk menenangkan tangisan bayi lantaran selsema dan suhu badan yang kian meningkat – membuatkan jiwa saya tersentuh. Jiwa keibuaan itu ada padanya. Segera, pantas dan cakna!

Serba sedikit petua, apabila si comel anda terkena demam panas :

Sebelum itu, apa tanda anak kita demam atau tidak?

Tips ini boleh membantu :

Suhu badan yang normal ialah 36.7 C. Justeru, gunakan thermometer yang boleh didapati dikedai-kedai farmasi. Sebaiknya, setiap famili ada thermometer ini. Sama ada, jenis letak di dahi, di mulut, atau ditelinga. Terpulang kepada bajet dan kemampuan.





Termometer - alatan sukat suhu badan

Jika tiada? ( Bagus soalan ini)

Letakan belakang tapak tangan di dahi anak anda. 5 saat. Jika rasa panas, tanda dia demam.Mudah bukan?.^^

PETUA APABILA SI COMEL ANDA DEMAM PANAS

(1) Sebagai ibu bapa, tenangkan hati. Banyakan istighfar. Ingatlah bahawa, musibah yang terkena pada anak bukannya untuk menguji si anak itu, tetapi ia adalah ujian dan dugaan untuk ibu bapa.

(2) Tenangkan hati, rileks dan jangan dikuasai emosi. Suami isteri perlu saling bantu-membantu dan bahu-membahu. Bukakan pakaian anak kita dan gunakan kain yang direndam dalam air untuk dilapkan ke bahagian muka, tangan, leher, badan, ketiak dan kaki. Selimutkan badannya. Pastikan suhu bilik berada dalam keadaan sederhana, jangan terlalu panas dan usah terlalu sejuk. Elakkan kipas yang kelajuannya 130 kilometer sejam dan aircond dibawah paras beku!

(3) Sambil-sambil itu berikan anak kita minuman air masak sekerap yang boleh, tujuaannya untuk mengelakan dehidrasi. Masa ini, kita akan lihat anak kita yang sebelum ini aktif, akan pasif. Memang syahdu la masa ini. Kalau silap gaya, boleh menitiskan air mata.

(4) Berikan ubat yang disarankan dan dibenarkan oleh doktor. Dapatkan rawatan sesegera mungkin jika anda dapati : - bintik-bintik dalam mulut, muntah-muntah yang kerap, cirit-birit, ruam pada badan dan anak alami kekejangan otot.

(5) Pantau keadaan anak secara berkala, pastikan ubat dan air masak diulang beri agar usaha untuk merawat itu ada. Ikhtiar itu penting dan dalam masa yang sama jadikan ia stesen muhasabah buat diri.

(6) Oh ya, satu lagi boleh berikan alat menyejuk suhu badan bayi kita. Coolfever khusus untuk bayi, boleh dibeli di mana-mana kedai runcit, farmasi dan supermarket – ia memang mudah diperolehi.


Bagaimana pula dengan selsema?

PETUA APABILA SI COMEL ANDA SELSEMA

Apabila demam, kita boleh lihat anak kita pasif dan merenget sahaja tetapi apabila selsema – lebih kasihan lagi! Dia tidak selesa, hingus yang meleleh dari hidung, nafas yang berbunyi dan pendek kata nampak “kesengsaraan” pada dirinya. Si kecil tiada kemahiran untuk hembus dan buang hingusannya.

 Justeru, apa yang sewajarnya kita buat?

(1) Pastikan anak-anak kita mandi seperti biasa, terutama jika umur di bawah 6 bulan. Tujuannya untuk pastikan suhu badan tidak meningkat.

(2) Cara moden biasanya untuk hilangkan selsema dengan makan ubat yang disyorkan oleh doktor. Nanti akan timbul kekangan, apabila anak meragam tidak mahu makan ubat. Justeru, harapannya kesabaran kita tertingkat dalam usaha memberikannya makan ubat.




Kenali alat yang pastinya diketahui oleh kebanyakan ibu bapa.


(3) Selain itu, kita boleh gunakan alat penyebut hingus bayi (rujuk gambar diatas). Banyak dijual dikedai dan farmasi. Mudah guna jika anak masih kecil, tetapi kalau dah besar pastinya dia akan mengelak. Kesabaran akan teruji lagi. Ganjaran pahala menanti lagi.



Anda kenal ini apa? Inilah kunyit. Kunyit Hidup!


(4) Cara tradisionalnya – gunakan kunyit hidup. Langkahnya, bersihkan kunyit hidup dan asahkan kunyit itu untuk ambil hasil asahan kunyit dan disapukan ke hidung bayi kita. Mujarab dengan izin Allah SWT, selsema boleh hilang. InsyaAllah.

Itulah serba sedikit petua, tips dan kaedah yang saya cedok daripada pengalaman orang tua, kawan-kawan, saranan doktor dan “tanya” pak Google. Semoga bermanfaat.

-----------------------

BroHamzah

Membelek-belek buku “Prophetic parenting - Cara Nabi Mendidik Anak” karya Dr Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid. Teruja! Buku ini begitu hidup. (Terima kasih banyak-banyak kepada yang sudi menghadiahkannya kepada kami)

Petikan mutiara kata di dalamnya :

“ Bersegeralah dalam mendidik anak sebelum kalian disibukkan oleh berbagai kesibukan. Sebab, semakin pandai akal orang dewasa, maka hatinya pun juga semakin sibuk.”

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP