Nota Tarbiyah : Resepi Kejayaan

Tuesday, October 4, 2011

Saban minggu, pertemuan jiwa itu adalah dalam rangka saling lengkap-melengkapi, ingat-memperingati dan nasihat menasihati. Terasa kuat dan bertenaga apabila "bar" jiwa dicas dengan charger - sentuhan keimanan!



Lafaz bismillah – Dengan Nama-Mu yang Agung dan Mulia – tinta ini dimulakan.

Syukur, lafaz itulah yang seringkali diulang-ulang saban detik dan waktu dalam pertemuan mingguan kami. Bagaikan tanpa jemu dan bosan – kalimah syukur – menjadi tunjang mengemudi bahtera pertemuan mingguan kami.

Pertemuan mingguanku bersama-sama sahabat-sahabat dan adik-adik sentiasa diperbaharui dan diteruskan. Kata murabbiku :

“ Kita akan laksanakan pertemuan ini hingga akhir hayat kita.”

Pertemuan mingguan itu bukannya, - hanya sebagai rutin yang diada-adakan bagi mengisi kelapangan waktu yang tersisa, ianya bukan kerana ingin mencukupkan syarat-syarat yang perlu ada dalam setiap aktiviti mingguan yang direncanakan atau kerana malu alah kepada siapa-siapa yang ada.

Tetapi, ia adalah pertemuan jiwa yang menjadi keperluan dan kemestian untuk saling ingat-memperingati dan yang lebih penting ia sangat urgensi bagi membentuk dan membina keperibadian kami untuk menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa memiliki kesedaran dan kefahaman Islam.

Dan, mampu melaksanakannya dalam penghayatan kehidupan dengan jiwa yang benar-benar mengharapkan keredhaan Allah SWT dan terus istiqamah sehingga ke akhir hayat.

Buat kalian, adakah masih berada dalam lingkungan pertemuan ini? Atau budaya On Off On Off yang sering menghiasi perjalanan kehidupan kita? Atau sudah lama tidak melakukan “persinggahan” ini kerana pelbagai bentuk halangan, alasan dan kesusahan?

Jika begitu, sesuatu tindakan harus dilakukan sesegera mungkin. Jangan biarkan budaya kebekuan dan kelesuan itu menguasai hayat kalian. Kata murabbiku :

“Usah biarkan, kalian terpana dan tertipu dengan perubahan fasa-fasa kehidupan.”

Jangan biarkan lidah kerap dan selalu terpacul dengan istilah “penyedap rasa” dan terus terpesona dengan zon selesa : beralasan dan terus beralasan.

“ Maaf, saya sibuk. Dan banyak kerja.”

“ Afwan, minggu ini saya tiada masa untuk bersama.”

“ Dan. Bermacam-macam lagi bentuk alasannya.”

Bimbang, di saat kita dipanggil dan dijemput Allah SWT serta dihadapkan di hadapannya kelak. Alasan inilah yang akan terus “terpacul” dari diri kita.

“ Ya Rabbi, maafkan saya. Saya terlalu sibuk semasa di dunia. Terlalu sibuk untuk menilai dan membentuk diri saya dalam rangka mendekati-Mu.”

Nauzubillah!

Pertemuan mingguan yang lalu, kami berkongsi suatu penggugah perasaan bersama-sama adik-adik dan sahabat-sahabat. Suatu peninggalan nasihat oleh murabbi dan ulama yang banyak meninggalkan sumbangan serta melaksanakan pengorbanan yang luar biasa untuk dakwah ini.

As-Syahid Imam Hassan al-Banna menjelaskan:


إنَّمَا تَنْجَحُ الفِكْرَةُ إذَا :

Sesungguhnya sesuatu fikrah (kefahaman) akan meraih kejayaan jika:

ا. الإيْمَانُ بِهَا،

Keimanan kepadanya yang kuat

ب. وَتَوَفَّرَ الإخْلاَصُ فِى سَبِيْلِهَا،

Tersedia keikhlasan dijalannya

ت. وَازْدَادَتِ الحَمَاسَةُ لَهَا،

Semangat untuk memperjuangkannya

ث. وَوُجِدَ الإسْتِعْدَادُ الَّذِيْ يَحْمِلُ على التَّضْحِيَّةِ وَالعَمَلَ لِتَحْقِيْقِهَا

Bersedia berkorban dan beramal untuk melaksanakannya

Lalu, Beliau memperincikannya lagi :

إنَّ أسَاسَ الْإيْمَانُ الْقَلْبُ الذَّكِيُّ،

Sesungguhnya ; -
Dasar keimanan adalah hati yang cerdik (pintar),


وَأسَاسَ الْإخْلاَصِ اَلْفُؤَادُ النَّقِيُّ،

Asas keikhlasan adalah jiwa yang jernih (bersih),

وَأسَاسَ الْحَمَاسَةِ الشُّعُوْرُ القَوِيُّ،

Asas semangat adalah perasaan bergelora (berkobar-kobar),

وَأسَاسَ الْعَمَلِ الْعَزْمُ الْفَتِيُّ

Asas amal adalah kemahuan yang kuat


Itulah kata kunci resepi kejayaan segala “projek-projek” untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika serius untuk menghampiri dan mendekat diri kepada-Nya. Amatilah keyword-keyword yang telah dirumuskan oleh Imam Hassan al-Banna ini :-

(1) Keimanan
(2) Keikhlasan
(3) Semangat
(4) Kesediaan beramal

Persoalannya, dimanakah tahap kita saat ini? Sesi muhasabah itu membuat aku sendiri terdiam sendirian.

Pertemuan itu benar-benar membawa erti buat kami. Alhamdulillah. Bersyukur atas pemilihan ini. Amiin.

8 comments:

L October 4, 2011 at 5:51 PM  

ok.... muhasabah diri sebentar,,,

derhaka pada ibu bapa??=)
http://lolz-l.blogspot.com/2011/10/6-jahanam-3.html

sea_lavender October 4, 2011 at 6:00 PM  

Alhamdulillah entry yg baik sekali sbg ingtan dan langkah mengejar keredhaan-Nya dalam hidup... Insya-Allah sme2 cuba berusaha dan sematkan 4 perkara tu : keimanan,keikhlasan,semangat dan kesediaan beramal~~

brohamzh October 4, 2011 at 6:10 PM  

L

Muhasabah, adalah salah satu jalan menuju kesempurnaan taqwa. Rujuk tulisan Sheikh Mustafa Mashyur dalam risalah Menuju ketaqwaan.

InsyaAllah
BroHamzah

brohamzh October 4, 2011 at 6:10 PM  

Sea_Lavender

Alhamdulillah, sama-sama membumikannya.InsyaAllah
BroHamzah

umat October 4, 2011 at 8:20 PM  

perkongsian yang sangat bagus.

brohamzh October 4, 2011 at 8:59 PM  

umat

Perkongsian ini yang beratnya ialah what's next?
Apakah tindakan susulan kita?

MasyaAllah
BroHamzah

Srikandi permata October 5, 2011 at 2:38 AM  

Alhamdulillah..buat hati nie muhasabah sebentar..
Banyak yang perlu ana perbaharui..Perkongsian yang memberi banyak manfaat..

brohamzh October 5, 2011 at 4:00 AM  

Srikandi permata

Semoga Allah permudahkan setiap usahanya.
BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP