Menghitung hari, saat-saat dinanti

Sunday, August 8, 2010

Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan

Menghitung hari, saat-saat dinanti

Oleh : BroHamzah

Debaran kian dirasai

Malam bergantian siang

Sinaran matahari diselang-selingkan dengan cahaya rembulan malam

Dicelah-celahnya terdapat ibrah dan pengajaran buat setiap insan

Bagi yang beriman, saat pertemuan dengan RabbNya menjadi impian abadi

Allah mempergantikan malam dan siang. Sungguh pada yang demikian itu, pasti terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan (yang tajam).”

( An Nur (24) : 44 )

Menghitung hari, saat –saat dinanti

Agar Iman disanubari terus mekar menyuburi hati

Jiwa terus membara dengan keimanan dan keyakinan kepada Ilahi

Penantian kita semakin menghampir waktunya. Beberapa hari, InsyaALLAH jika diizinkan oleh Allah SWT untuk menjejaki bulan yang penuh dengan tawaran, keistimewaan, keunikan dan kebaikan yang tidak terfikir oleh keterbatasan akal manusia.

Bulan yang dibuka seluas-luasnya gerbang jannah bagi seluruh manusia mendapat keberkatan dan rahmatnya.

Rasulullah SAW pernah bersabda : “ Ketika Ramadhan tiba, semua gerbang syurga terbuka.”

( Riwayat Abu Hurairah)

Dan baginda juga bersabda juga : “ Ketika Ramadhan tiba, semua gerbang syurga dibuka, semua pintu neraka ditutup, semua syaitan dibelenggu.”

( Riwayat Abu Hurairah)

Bulan keampunan, keberkatan, kegembiran dan kenikmatan bagi jiwa-jiwa beriman iaitu Bulan Ramadhan Al – Mubarak. Alhamdulillah pagi ini, saya dan para staff KTD dihidangkan dengan santapan rohani oleh Al-Fadhil Ustaz Mohammed Awang berkaitan Review atau Muraja’ah ( Ulangkaji) berkaitan Ramadhan. Bagi saya, ia merupakan satu pengisian yang sangat baik dengan sentuhan peringatan untuk jiwa sebagai persiapan menghadapi Ramadhan yang mulia ini.

Ustaz memulakan pengisian dengan membaca sepotong ayat Al-Quran daripada Surah Al-Baqarah ayat yang ke 185. Bermaksud :

“ Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan bagi manusia sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza ( antara haq dan yang batil).”

( Al- Baqarah (2) : 185)

Persiapan dan persediaan Ramadhan 1431 H

Ramadhan harus dihadapi dan dijalankan dengan perancangan. Aspek-aspek ibadahnya harus dilihat secara mendalam, serius dan berfokus. Tahun ini merupakan tahun pertama saya menjalani ibadah Ramadhan di Kelantan dan sudah pasti ia merupakan satu pengalaman yang baru.

Antara perancangannya ialah saya berhajat untuk melaksanakan solat Terawih di beberapa masjid di sekitar Kota Bharu . Saya dimaklumkan bahawa, terdapat beberapa masjid yang menjemput Imam-imam dari Negara Timur Tengah khusus untuk menjadi Imam solat terawih. Alhamdulillah ini sesuatu yang sangat menarik. Melaksanakan ibadah dengan tenang, dan mendengar alunan bacaan lantunan ayat-ayat Allah SWT dengan bacaan yang merdu pastinya akan mengamit perasaan kehambaan dan kekerdilan diri ini.

Harapan dan Impian

Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik bagi saya. Akan diusahakan sebaik mungkin dan dijalankan dengan rapi, penuh pengharapan, kesungguhan dan keyakinan menggunung kepada Allah SWT.

Semoga saya mampu bersahur, berqiamullail, bertadarus Al-Quran, melaksanakan ibadah solat sunat Terawih, berzikir, berkerja, bermain, tidur , bermuhasabah dan sebagainya dengan kata kerja yang berkualiti dan bermutu menepati syara’ serta ikhlas kerana Allah SWT.


0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP