Ramadhan, kini aku berada dibucu-bucu tangganya
Saturday, July 24, 2010
Ramadhan, Kini aku berada dibucu-bucu tangganya.
Oleh : BroHamzah
Sedar atau pun tidak sebenarnya, sekarang kita sudah berada di dalam bulan Sya’ban. Dan tidak lama lagi kita semua akan bertemu dengan kehadiran bulan yang sanga ditunggu-tunggu oleh orang-orang mukmin yang soleh, ikhlas dan sangat sukakan kebaikan dan amalan soleh.
MasyaAllah, begitu pantas masa itu berlalu. Sekejap sahaja putaran masa itu, saya kira baru sahaja merasai berlalunya bulan Ramadhan tahun lalu kini, Ramadhan hadir dengan satu pengharapan dan satu peluang untuk kita meraih janji-janji Allah SWT.
Ramadhan Bulan Kerinduan dan Kecintaan.
Pernah digambar di dalam sirah para sahabat Rasulullah SAW bahawa mereka adalah satu kelompok manusia yang sangat merindui dan mencintai kehadiran Bulan Ramadhan al-Mubarak.
Rasulullah SAW mengajarkan kepada mereka satu doa yang mengambarkan satu pengharapan yang besar agar dapat menjejaki kaki dan merasai penghayatan ibadah di Bulan yang barakah ini.
Doanya yang membawa maksud : “ Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan bulan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”
Satu harapan daripada doa yang sentiasa diulang-ulang agar mereka dapat menghirupkan lagi udara ibadah di dalam Bulan Ramadhan. Kenapa para sahabat begitu teruja dengan kehadiran Ramadhan?
Sudah tentu, padanya terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang sangat banyak dan berharga. Jelas kepada kita, Ramadhan adalah bulan yang sangat indah dan cukup istimewa dihati orang-orang yang beriman. Inilah bulan pendidikan dan bulan peningkatan Iman.
Kecintaan dan kerinduan ini semestinya natijah atau buah kepada keimanan yang diproses oleh Baginda Rasulullah SAW kepada para sahabat sehingga lahirlah keperibadian sedemikian rupa. MasyaAllah, satu bentuk gelombang arus yang berhajatkan kepada kebaikan dan ia menjadi trend yang sihat dan soleh pada zaman Rasulullah SAW. Inilah generasi yang disebut sebagai Generasi Al-Quran yang unik.
Kita harus mencontohi mereka dalam beramal.
Kita wajar menjadikan segala tindak tanduk mereka untuk kita ikuti dan teladani.
Mereka inilah yang patut dijadikan role model dalam kita mengejar keredhaan Allah SWT.
Latihan Ramadhan adalah melahirkan mukmin bertaqwa
Firman Allah SWT :
“ Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
( Al- Baqarah 2 : 183)
Bulan Ramadhan melahirkan peribadi bertaqwa, bebas dan merdeka. Ramadhan adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh mukmin sejati untuk melatih diri untuk mencapai taqwa seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hasilan produk inilah yang ingin dicapai agar segala yang dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan membuahkan natijah yang nyata dan diredhai oleh Allah SWT.
Justeru itu, persiapan dan persediaan perlu dilakukan sebelum menjejaki kaki memasuki bulan Ramadhan. Persiapan dan persediaan ini, adalah langkah-langkah awal untuk mempersiapan diri kita merangkumi seluruh aspek agar Ramadhan dilalui dengan penuh persediaan yang rapi.
Ramadhan yang kita lalui sebenarnya adalah untuk memperolehi taqwa.
Inilah sebenarnya harapan dan impian kita, dalam melalui proses pentarbiyah di Bulan Ramadhan.
Bagaimana persiapan kita dalam menghadapi Ramadhan?
Ayuh kita semak,
Pertamanya, mulakan dengan membiasakan kehidupan kita dengan Al-Quran. Kenapa Al-Quran? Kerana Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Lakukan langkah-langkah praktikal. Mulakan membaca Al-Quran setiap hari, tambahkan jumlah ayat yang dibaca berbanding sebelumnya. Disamping itu, luangkan masa mendengar bacaan Al-Quran. Pasang kaset atau mp3 di kereta atau dimana-mana yang sesuai dengan keluangan anda.
Kedua, lakukan warm up dengan membiasakan diri dengan berpuasa sunat sunat setiap Isnin dan khamis. Ini bagi membiasakan biologi badan anda dengan mengosongkan perut di siang hari. Latihan ini akan memberikan satu proses pembiasaan bukan sahaja kepada aspek fizikal tetapi juga aspek rohani dan minda anda kerana ia mempunyai hubungkait yang rapat.
Ketiga, latihkan diri anda untuk tidur awal dan bangun awal seolah-olah anda telah berada di Bulan Ramadhan. Bukan itu sahaja, latih juga untuk melazimi diri dengan ibadah sunat di awal pagi seperti membaca Al-Quran dan Qiamullail.
Keempat, lazimi diri dengan berwudhuk dan selalu melalukan ibadah-ibadah sunnat. Biasakan diri dengan solat-solat sunnat seperti solah sunnat Dhuha, solat sunnat Rawatib dan lain-lain. Bayangkan ganjaran ibadah-ibadah sunnat di Bulan Ramadhan dan tanamkan azam untuk mempertingkatkannya kerana Allah SWT.
Kelima, berikan masa dan peluang untuk bersendirian supaya datang berzikir kepada Allah SWT dan juga sentiasa dapat memuhasabah diri sekerap yang mungkin terutama waktu sebelum tidur. Pohonlah keampunan kepada Allah SWT di atas segala kecuaian, dosa dan maksiat yang dilakukan dan mohonkan kekuatan dan kebaikan kepada Allah SWT.
Keenam, tambah ilmu sebanyaknya. Semak dan rujuk mereka-mereka yang lebih arif seperti ustaz-ustaz dan para alim ulama berkaitan Ramadhan. Hasilan bacaan dan menuntut ilmu bersama mereka akan menambahkan keghairahan anda untuk menyambut Ramadhan dan beribadah semahu-mahunya.
Ketujuh, pertingkatkan amalan sedeqah, infaq dan amal jariah. Laburkan wang untuk golongan miskin dan anak yatim. Rancangkan bajet kewangan untuk disedekah kepada mereka-mereka yang diperlukan dan plan untuk adakan majlis berbuka untuk masyarakat setempat di rumah mahupun di masjid.
Kelapan, Luangkan sedikit masa bersama ahli keluarga, rakan, atau sesiapa sahaja di sekitar anda dan berbincanglah perancangan berkaitan persiapan Ramadhan yang bakal tiba, harapan dan sebagainya.
Ramadhan, ia adalah soal kita.
Sesungguhnya, ingatan di atas adalah untuk diri saya sendiri. Semoga ia juga menjadi sesuatu yang bermanfaat untuk anda jua. Sekian, selamat melakukan persiapan Ramadhan.
0 comments:
Post a Comment