Daerah Kebaikan - Ia bermula subur dengan benih-benih
nasihat-menasihati dan tegur-menegur.
Dengan Nama Allah SWT, kita mulakan perkongsian ini.
“ Sesiapa
yang tidak sedar dirinya lalai, dia sebenarnya sedang lalai!,” – Murabbi
Tarbiyah.
Benar,
kelalaian adalah penyakit hati yang menghinggapi kebanyakan kita. Kelalaian
yang akan membawa kita kepada suatu jurang yang menjarakan antara kita dan Allah SWT. Sama ada kita sedar
atau tidak, kita sering terpedaya dan tertipu.
Lalai – itu
barah yang merbahaya. Bermula hal kecil-kecil ia akan mengundang bencana yang
dahsyat. Lalai juga, telah membuatkan ramai manusia dari ummat terdahulu
sehingga kini menyimpang daripada kebenaran dan jalan yang lurus.
Lalai boleh
bermula daripada hal-hal yang kecil. Sesuatu yang dekat dan hampir dengan kita.
Perkara yang selalu dilakukan dan dikerjakan.
Lalai
dengan perkara-perkara yang harus. Lalai dengan kebanyakan perkara yang kita
lakukan. Lalai dengan hiburan-hiburan yang asalnya mubah. Lama kelamaan, ia
mengasyikan sehingga kita lupa asas keutamaan dalam diri.
Lalai
dengan bentuk-bentuk hiburan kejiwaan. Lagu-lagu yang melalaikan. Hiburan
sinetron, drama lelehan air mata, filem-filem aksi yang berlambakan dalam
pasaran dan majalah-majalah picisan yang menghaburkan fitnah-fitnah melata.
Lalai
dengan isteri, anak-anak dan keluarga. Itu pernah terjadi dan disebut oleh
Allah SWT di dalam kalamnya. Terpesona dan terpana hingga yang wajib dipandang
sepi.
Lalai
dengan kejayan, kemenangan dan kegemilangan yang dianugerahi oleh Allah SWT.
Terusik dengan pujian, pujaan dan penghargaan.
Lalai
dengan kemahsyuran, kepopularan dan sebagainya terhadap diri kita. Tanpa sedar,
ujub dan riak hadir bersarang di hati sendiri. Terasa diri diagung-agungkan
sehingga lupa dataran dan lautan.
Lalai
dengan pandangan, cetusan dan pendapat diri sendiri. Berkeras, mengeras dan ego
tidak berkesudahan. Lalu, terperangkap dengan apa yang diwar-warkan.
Lalai
dengan amal-amal yang banyak, tersebar dan diiklankan. Tanpa sedar, amal
sebegitu juga mampu merosakan jiwa dan merencatkan proses peningkatan diri.
Keikhlasan luntur dan akhirnya, tersasar daripada matlamat yang suci.
Lalai
dengan kesibukan-kesibukan harian yang terus menerus berlalu tanpa henti.
Sehingga kita bergerak umpama robot memenuhi semua tuntutan hidup yang tidak
berkesudahan. Berkejar-kejar sehingga kelelahan, kepenatan dan kelesuan.
Dan,
sesungguhnya banyak lagi kelalaian kita yang tidak diungkapkan atau
disenaraikan.
Justeru,
apakah yang kita dapat daripada hal ini?
Kita adalah
manusia yang tidak terlepas daripada kekhilafan, kesalahan, kesilapan dan
kemaksiatan. Justeru, marilah sama-sama kita belajar mendidik hati untuk
menerima teguran, berlapang dada kepada nasihat dan peringatan serta terus
menerus belajar merendahkan diri.
Kerana apa?
Kerana
inilah kunci kepada “pelebur” kelalaian. Kita perlukan kata-kata, teguran,
nasihat dan apa jua peringatan daripada mereka-mereka yang alim lagi berhikmah,
berilmu, berpengalaman, berusia dan
lebih dewasa daripada kita.
Bukankah Allah SWT telah berfirman dalam kalamnya :
" Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
( Surah Al-Asr 103 : 1-3)
Wahai
sahabat pembaca, alangkah manisnya hidup ini sekiranya kita dapat bersua muka,
tegur -menegur, nasihat- menasihati dan ingat-mengingati dalam suasana
persaudaraan yang penuh keamanan. Saat itu, segala-galanya kita curahkan kerana
Allah SWT tanpa sebarang kepentingan dan rebutan beralaskan gemerlapan dunia.
Saat itu,
keikhlasan dan kejujuran adalah modal ukhuwah ini. Ketahuilah, dunia hari ini
sudah kehilangan suasana insan yang bersilaturahim, berkasih sayang dan
bersahabat kerana Allah SWT. Yang ada, berkawan, bergeng dan berkenalan kerana
“projek”, kerana kepentingan “masa hadapan”, kerana hal-hal dunia yang tidak berkesudahan
dan kerana hal-hal yang melalaikan.
Justeru,
sahabat pembaca – diri ini perlukan sahabat, teman dan taulan yang sudi memimpin
tangan ke lorong Ilahi, menegur jika diri ini kealpaan menguasai diri dan menarik tangan ke landasan andai
tergelincir hingga terseliuh "kaki".
Masihkah,
ada yang sudi?
BroHamzah
1 Jamadilakhir 1433 H
23 April 2012
Buat Kita Yang Sentiasa Lalai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
kadang-kadang apabila kita dlm keadaan lalai,semua kata2 pujangga @ tazkirah @ peringkatan dr ustaz2 ,semua tu tak dpt beri kesan utk kita sedar dari kelalaian dan bertindak utk meninggalkannya...kenapa?..adakah sebab tahap iman terlalu rendah?
please comment
Anonymous
Saat hati kotor, jijik dan hitam - ia tidak akan mengesani apa-apa yang hadir kepadanya. Kerana, nasihat itu umpama cahaya dan cahaya tidak akan menyinari permukaan yang kotor dan hitam.
Imam al-Ghazali, menyebut hati umpama cermin. Bayangkan hati yang kusam dan suram, tentunya pantulan tidak berseri-seri jika perkara yang dipantulkannya juga hilang serinya.
BroHamzah
Post a Comment