Sukarnya Istiqamah
Friday, January 21, 2011
Sukarnya Istiqamah
Oleh : BroHamzah
Dua tiga hari ini, saya disapa dan ditegur oleh beberapa orang adik-adik peserta JDK melalui FB, emel dan mesej. Alhamdulillah, bertanya khabar dan mengeratkan lagi persaudaraan yang sedia terjalin. Bukan mereka sahaja, tetapi daripada rakan-rakan baru yang berkesempatan membaca artikel saya di blog ini atau di website Langit Ilahi.Com.
Alhamdulillah, syukran buat semua. Salam ukhuwah fillah daripada BroHamzah buat semua. Saya senang dengan persahabatan dan perkenalan ini. Mudahan ia menjadi bibit-bibit permulaan untuk jalinan kemesraan yang lebih erat dan kuat.
Beberapa pertanyaan
Ada yang bertanya berkaitan isu konsisten dalam beramal dan biasanya saya menyebut dalam istilah Arab iaitu Istiqamah.
“ Abang, doakan saya istiqamah dengan apa yang saya perolehi sepanjang kursus tempohari. Rasanya begitu sukar untuk konsisten dengan apa yang abang ajar,” Ujar seorang adik melalui ruangan sembang maya.
“ Alhamdulillah, saya mendapat banyak ilmu dan sehingga kini saya masih konsisten dengan al-Mathurat setiap pagi dan membaca al-Mulk setiap malam sebelum tidur,” Komentar seorang adik yang lain.
“ Saya tidak pernah terfikir bahawa saya boleh melakukan apa yang kita buat sepanjang kursus, Kini saya sudah boleh menjadi Imam dalam solat,” Tambahnya lagi.
Alhamdulillah.Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Kepada Allah jualah kita mengaturkan rasa penuh kesyukuran dan perhambaan kepada-Nya. Dialah yang memberikan segala kekuatan kepada kita untuk melaksanakan dan melakukan semua ini. Dialah Allah SWT, Rabb dan Ilahi yang mengurniakan perasaan untuk terus menerus tunduk dan patuh kepada-Nya.
Saya pernah katakan kepada para peserta dalam sebuah kursus :
“ Bukan mudah untuk kita istiqamah dalam beramal, kecuali ianya adalah rahmat dan bantuan daripada Allah SWT. Tugas kita ialah berazam, bertekad dan berusaha dan terus berusaha.”
Bagi saya, berjaya dan berkesannya sebuah kursus, kem dan apajua program ialah para peserta dapat membumikan dan meneruskan apa yang mereka perolehi sepanjang kursus setelah kursus itu tamat. Maknanya, mereka berjaya mengaplikasikannya secara nyata dan konsisten dalam kehidupan mereka.
“ Tapi, itu macam mustahil la abang. Di tempat kursus, kami ada suasana yang akan merangsang kami untuk melakukannya dan fasilitator yang mendorong untuk kami membuatnya,” Cetus seorang peserta.
“ Tiada yang mustahil, kecuali jika kita punyai hasrat, keinginan dan cita-cita yang tinggi,” Komen saya ringkas.
Pengalaman di JDK 2010/2011
Saya ingin berkongsi kisah dan pengalaman ketika mengendalikan suatu kursus di ILIM, Besut. Antara didikan yang kami perolehi ialah bangun Subuh awal sebelum azan Subuh. Pada minggu pertama kursus, saya kelihatan para peserta kelihatan begitu tertekan dan agak berat melakukannya. Namun, dengan kesabaran dan komitmen yang ada – saya jelaskan kepada peserta dengan didikan tarbawi.
“ Baginda Rasulullah SAW adalah insan yang bangun awal setiap pagi. Baginda dirikan solat Tahajud, solat Taubat dan solat Witir. Inilah kehidupan mukmin, sentiasa cergas, proaktif dan dinamik,” Didikan itu memberikan kesan kepada saya secara tidak langsung.
Saya percaya dan yakin bahawa kehidupan yang terbaik adalah kehidupan baginda Rasulullah SAW. Mencontohi kehidupan baginda adalah suatu keutamaan dalam kehidupan mukmin. Bermula saat itu, kami memaksa diri untuk bangun awal sebelum Subuh. Dan melazimi waktu itu dengan solat Tahajud.
Alhamdulillah, setelah memasuki minggu ke dua dan ketiga kelihatan mereka sudah dapat menyesuaikan diri dan biasa dengan rutin harian ini sehingga kursus tamat. Namun, persoalannya adakah ia akan terhenti setakat ini sahaja?
“ Apa yang adik-adik lakukan di sini, harus berjalan dan dilaksanakan apabila pulang ke rumah nanti. Didikan yang kita terima adalah didikan amaliyah. Proses tarbiyah yang praktikal bukannya teori semata-mata. Inilah kehidupan yang diwarnai dengan keimanan dan kemanisan bertawakal kepada Allah SWT.” Jelas saya kepada mereka.
Tarbiyah bangun awal
Saya berpandangan, bahawa proses mendidik diri bangun awal sebelum Subuh adalah proses yang sangat penting dalam pembangunan keinsanan dan keimanan. Saya membaca banyak kisah Nabi, para sahabat, para alim ulamak dan juga pejuang-pejuang agama Allah SWT kebanyakan mereka telah mendidik diri serta melazimi kehidupan mereka dengan bangun awal sebelum subuh.
Mereka bangun awal dengan niat dan harapan yang sangat mulia dan agung. Iaitu menyendiri dan bermunajat kepada Allah SWT. Rupa-rupanya inilah rahsia kekuatan mereka dalam mengharungi samudera kehidupan.
Saya begitu terpegun dengan kata-kata seorang ulama soleh, Al-Fudhail bin Iyadh : “ Jika matahari telah terbenam, saya merasa gembira akan datangnya gelap. Sebab, orang-orang akan tidur sementara saya menyendiri bersama Allah SWT.”
Inilah perasaan yang halus, bening dan jernih. Perasaan yang agung ini tidak akan muncul melainkan dari hati orang yang betul-betul telah mendalaminya. Alangkah indahnya saat itu, menyendiri bersama kekasih hati.
Solat Tahajud, adalah lambang kemuliaan seorang mukmin. Ia akan mengangkat darjat tertinggi di sisi Allah SWT bagi yang istiqamah dan ikhlas melaksanakannya. Malah, hamba Allah yang melazimi solat malam akan sentiasa bersinar wajah dan berseri-seri wajahnya.
Hasan Al-Basri pernah ditanya, “ Mengapa orang yang rajin bertahajud di malam hari merupakan orang yang paling rupawan wajahnya?,” Beliau menjawab, “ Sebab mereka menyendiri bersama Ar-Rahman, Dia pun mengenakan baju cahaya untuk mereka.”
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan pada sebahagian malam hari solat Tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabb-Mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” [1]
Tips Istiqamah bangun awal sebelum subuh
Mungkin ini sebagai pengulangan atau info tambahan buat diri saya dan adik-adik yang bertanya. Semoga kita belajar untuk istiqamah. Konsisten itu adalah lambang keseriusan dan kesungguhan kita.
(1) Sebelum tidur pastikan kita tidak memperbanyakan makan atau minum. Pastikan perut kita berada dalam keadaan selesa.
(2) Tidak melakukan dosa dan maksiat di siang hari. Inilah penyebab utama kenapa kita sukar untuk bangun awal. Ia menjadi bebanan yang menyeksakan.
(3) Sebelum tidur, ambil wudhuk dengan jiwa yang tenang. Dirikan solat sunat Taubat 2 rakaat dan mohon keampunan kepada Allah SWT. Jika berkesempatan baca surah Al-Mulk sebagai penutup malam hari.
(4) Pastikan tempat tidur selesa, bersih dan selamat. Sebelum tidur – baca doa sebelum tidur, bacaan 3 Qul dan hembus ke tapak tangan lalu disapu keseluruh tubuh ( seperti yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW).
(5) Tidur mengiring ke kanan dan berniatlah untuk bangun awal sebelum Subuh. InsyaAllah akan dipermudahkan oleh Allah SWT.
(6) Cuba lah dulu, jika ada apa-apa masalah boleh tinggalkan komen di bawah. Kita boleh perbincangkannya diruangan komentar nanti.
Sekian, sedikit perkongsian untuk manfaat bersama. InsyaAllah.
[1] Al-Isra 17 : 79
8 comments:
alhamdulillah, tips yang baik ustaz,
moga semua yang membaca akan dapat mencari kekuatan diri untuk istiqamah bangkit awal sebelum subuh
insyaAllah amin.
sedang cuba untuk istiqamah, dan takut pabila tinggalkan sehari, diri ini tidak akan istiqamah lagi.
MABRUK! syukran jazilan ya akhi!
may allah bless us.....
will try to routine it daily.
INSYAALLAH!
-peserta JDK zon tengah
1)- Hamba Ilahi
Alhamdulillah, gunakan kaedah ANSUR MAJU. Beransur-ansur tetapi ada kemajuan.
Ada proses peningkatan dan kemajuan setiap hari.InsyaAllah
1)- Anonymous
Alhamdulillah, do ur best! InsyaAllah
btol 2..jzk atas pringtan..bgtu sukar utk istiqamah dgn semua yg ana dpt..mybe hnye sparuh dpt d lakukan buat masa kini..
doakan moga ana trus istiqamah n moga2 Allah mnguatkan hati ini
1)- Alia Bt Abdul Sani
Ya, jika tidak semua tetapi sekurang-kurangnya separuh pun sudah memadai. InsyaAllah, yang penting istiqamah.
Alhamdulillah, menunjukan usaha yang baik.
Syukran atas perkongsian
mmg benar. istiqamah tu payah. jiwa dan mental berperang untuk lawan nafsu. btw, tips yg berguna. thanks! =)
1)- Nabilla Nasir
Disebalik kepayahan itu, ada kemanisan dan didikan yg berbekas dihati.
Dalam sejarah dunia, kita dapati yang banyak mendidik generasi awal dahulu adalah kepayahan, kesukaran, pengorbanan dan keperitan.
Untuk menjadi seperti mereka kita harus melalui semua ini.
Syukran atas coretannya.
Post a Comment