Nota Dakwah : Kata-kata Mereka Memukau Dunia

Thursday, January 27, 2011

Dai', Sang Penyeru yang gigih menyeru ummah kepada kebenaran dan cahaya Allah SWT


Nota Dakwah : Kata-kata Mereka Memukau Dunia
Oleh : BroHamzah


“ Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit ” [1]

Perkataan yang baik, ialah adalah sesuatu yang menyejukkan jiwa malah ia sebenarnya mampu membangkitkan perasaan untuk terus bergerak dan memacu perubahan diri.

Kalimah yang baik adalah perkataan yang dapat memberikan ketenangan, kebahagiaan dan ketenteraman kepada sanubari insan yang mendengarnya dengan jiwa yang lapang.

Kata-kata yang baik dapat menegakan prinsip, menghidupkan roh, mendorong seseorang menuju kebenaran dan membina generasi yang berwawasan.

Kata-kata yang baik, mampu mengetuk jiwa, mendiamkan perasaan gundah, membuka mata, memukau seisi dunia dan menciptakan ketenangan yang luar biasa.

Inilah penangan kata-kata, bicara dan seruan kebaikan. Dan, kebaikan itu adalah daripada Rabb yang HAQ – Allah SWT.

Terima kasih kepada yang memberikan respon, komentar dan coretan kepada artikel public speaking yang lepas. Saya sangat-sangat menghargainya.

Jumaat yang barakah ini, saya tergerak hati untuk kongsikan dengan anda - sesuatu. Mengenali dan mengimbas kembali, para khatib yang hebat dalam peradaban dunia. Kata-kata mereka memukau dunia, dan jiwa-jiwa manusia sangat dahagakan mutiara yang terbit daripada bibir mereka.

Khatib terhebat dalam sejarah dunia

Di dalam banyak-banyak sunnah Rasulullah SAW, ada satu yang sangat menonjol dalam diri Rasulullah SAW : Baginda merupakan seorang khatib, juru dakwah dan pemidato yang terhebat.
Lisannya yang jujur di dalam penyampaian telah mempengaruhi ramai orang untuk dekat dan menghampirinya. Lisannya yang tulus itu, dapat menyapa roh dan jiwa manusia sehingga terpaut kepada tutur katanya yang indah lagi mempesona.

Ketika berbicara, seolah-olah mutiara yang keluar dari bibir baginda memancar terang sehingga ia kelihatan begitu cantik dan menarik. Bercahaya menyinari wajah baginda dan para sahabat terpegun dan terpaku di hadapannya tanpa banyak bicara.

Mereka tenggelam dalam layar bicara insan yang agung ini. MasyaAllah.

Tutu katanya, menghidupkan semangat para pejuang generasi awal dan memotivasikan jiwa mereka sehingga bangkitkan untuk beriman kepada yang Esa. Jiwa mereka berkobar-kobar memperjuangkan risalah yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.

Bagi mereka : “ Hidup tanpa perjuangan adalah sebuah keaiban.”

Ruh perjuangan sentiasa ditiup dengan nyalaan yang membara tanpa mengenal keputus asaan, kekecewaan dan kepenatan yang melelahkan.

Mereka mampu memacu dan mengharungi samudera kehidupan dengan seni keberanian yang sangat luar biasa. Di dada mereka tertanam keimanan yang benar sehingga mereka sangat-sangat mencintai kehidupan akhirat. Matlamat mereka jelas – mencintai Allah SWT.

Apakah rahsia yang membangkitkan jiwa mereka sehingga ke tahap ini?

Ya. Mereka sentiasa dimotivasikan oleh baginda Rasulullah. Sentiasa.

Dengan kalamullah yang menjadi motivasi terulung.
Hadis yang mulia yang menjadi panduan hidup.

Melalui apa ? – Melalui kalimah toyibbah, melalu tutur bicara yang menghangatkan dan kata-kata pembangkit semangat.

Seni kepimpinan ummah zaman berzaman

Bahkan, bukan baginda sahaja begitu. Para sahabat yang lain, juga mempunyai kekuatan dalam berbicara.

Thariq bin Ziyad, panglima tentera yang sangat hebat. Bala tentera di bawah pimpinannya telah mengharungi ketumbukan musuh Islam yang hebat dari segi keupayaan dan kelengkapan senjata perang. Namun, dengan kelantang pidato dan terikan ruh jihadnya – pasukan muslimin dapat membuka pintu kemenangan dan mengangkat panji Islam di udara kejayaan.

Saidina Ali Bin Abi Talid – diberi jolokan pintu ilmu. Apabila beliau berbicara, maka pecahlah segala pintu keterangan dan meleraikan segala kebuntuan. Khutbahnya, pidatonya dan penyampaianya mengalir seakan-akan seluruh kalimatnya adalah batu tulisan yang mengandungi keindahan, keagungan dan keunikannya.

Para ulama yang soleh lagi warak – Ibnu al-Jauzi juga begitu. Suasana kuliahnya sangat hening. Sangat menghibakan jika ia membicarakan soal dosa, taubat dan muhasabah. Linangan air mata para pendengar dan anak muridnya terdengar terisak-isak tanda tersentuh dan timbulnya penyesalan dalam diri. Ada yang meratap sehingga pengsan dan ada yang tersungkur di bawah rangkaian nasihatnya.

MasyaAllah, betapa bersih dan halusnya perasaan beliau.

Seorang khatib yang bergetar jiwanya kerana kesedihan dan kepiluan kerana takutkan kepada Allah SWT akan memberikan satu tusukan rasa kepada pendengarnya sehingga membuatkan air mata mengalir membasahi pipi yang kering.

Ahnaf bin Qais – tidak dikenali ramai – adalah seorang lelaki yang kurus kering dan lemah serta bermata cekung. Akan tetapi, apabila dia berkhutbah, maka dia menarik seluruh cahaya, mata, telinga dan hati untuk memberikan seluruh tumpuan kepada bicaranya.[2]

Begitu juga seorang tokoh pembaharuan dalam dunia gerakan Islam – As Syahid Imam Hassan al-Banna. Beliau jarang sekali menulis buku atau kitab. Tetapi, dalam sejarah hidupnya – beliau menjadi juru dakwah yang banyak menyampaikan didikan kepada masyarakat sekelilingnya dengan kata-kata nasihat, tutur bicara yang memikat dan lisan yang penuh berkat.

Seingat saya, beliau selalu telah mewujudkan satu forum atau kuliah umum untuk mengajak hati-hati manusia untuk mengingati Allah SWT dan melihat jiwa dengan proses didikan Al-Quran. Kuliah ini dinamakan Haditsuts Tsulatsa atau Atthifatus Tsulatsa, kerana ia diadakan secara rutin pada hari Selasa, di pejabat Pusat Ikhwanul Muslimin.

MasyaAllah, kuliah ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat setempat. Saban minggu, mereka ternanti-nanti dengan penuh kerinduan untuk berada dalam majlis ta’lim ini untuk mengisi kekosongan hati dan jiwa mereka. Mereka begitu asyik mendengar curahan hati Imam al-Banna sehinggakan, kuliah ini melimpah dengan kehadiran orang ramai luar daripada kawasan daerah.

Jika anda berhajat untuk membaca intisari dan intipati penyampaian kuliah Hassan al-Banna ini bolehlah dapatkan sebuah buku yang mengumpul semula kuliah-kuliah Imam Hassan al-Banna ini. Tajuknya, ialah Hadist Tsulatsa’ : Ceramah-ceramah Hasan al-Banna, karya Ahmad Isa ‘Asyur. Selain itu juga, saya pernah membaca buku yang mengumpulkan Khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam Hassan al-Banna yang bertajuk Khutbah Jumaat Hassan al-Banna yang disusun oleh Syeikh Isom Talimat.

Kesemua ini adalah khazanah ilmu dan bicara murabbi ummah yang sangat berharga dan mendidik jiwa saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Kekuatan Bicara dan Dakwah Bil Lisan

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" [3]

Inilah contoh, qudwah dan role model yang diketengahkan untuk kita jadikan iktibar. Jika dilihat kepada mereka, terdapat beberapa ciri yang boleh kita jadikan panduan dan tips untuk peningkatkan diri :

(1) Keikhlasan dan kejujuran mereka dalam menyampaikan kalimah al-Haq. Kesungguhan, keseriusan dan penuh dengan sifat kasih sayang kerana Allah SWT menjadikan siri penyampaian mereka menyentuh perasaan dan mengerakan rasa untuk melakukan perubahan dalam diri pendengar.

(2) Kefasihan dan kelancaran mereka dalam mengungkapkan ayat-ayat Al-Quran dan selalu menyandarkan kepada hadis Rasulullah SAW sebagai hujjah dan rujukan utama penyampaian mereka, membuatkan bicara mereka hidup dan segar. Inilah tali penghubung yang mengikat jiwa-jiwa manusia kepada keimanan dan keyakinan yang benar kepada Allah SWT.

(3) Memiliki kepakaran dalam bidang sastera sehingga barisan-barisan kalimah yang ada dalam tutur bicara mereka begitu indah, sangat menarik dan memikat untuk didengari. Gaya bahasa yang sederhana tetapi memukau serta penuh dengan nada-nada yang menakjubkan sehingga kisah-kisah, sirah-sirah dan cerita-cerita yang disampaikan benar-benar hidup di mata pendengar.

(4) Mereka mempunyai kualiti yang tinggi : Mampu menghidupkan bicara mereka di dalam hati, fikiran dan perasaan mereka. Mereka sentiasa memelihara hubungan hati dengan Allah SWT, sentiasa melakukan persiapan jiwa, emosi, fikiran dan rohani sebelum memulakan penyampaian ceramah, tazkirah atau khutbah.

(5) Mereka selalu membuat latihan kendiri untuk proses pengamalan, pengoperasian dan pembumian dalam kehidupan. Mereka hidup di dalamnya dan selalu berlatih dan berlatih. Ini juga adalah rahsia untuk menjadi seorang khatib, pemidati dan juru bicara yang petah berkata-kata.

Sebenarnya, ummat ini sangat-sangat memerlukan khatib, dai dan sang penyeru yang pakar, memiliki perasaan dan menguasai keadaan. Tujuan keberadaan mereka adalah untuk menyampaikan risalah kebenaran dengan pengaruh yang kuat dan mengesani perasaan insan. Ia mampu memberikan penerangan yang jelas tentang manhaj Al-Quran dengan ruh kehangatan yang memuncak, daya tarikan yang mendidik dan semangat yang membara. InsyaAllah.

Penutup – Komentar seorang hamba.

(1) Apa perasaan kita apabila membaca perkongsian di atas? – Seharusnya kita memasang azam dan tekad untuk bergerak menuju ke arah itu. Boleh dan mampukah diriku? Tepuk dada, tanyalah iman kita. Kita lakukan dengan kemampuan yang ada.

(2) Perkara yang terpenting ialah kita berkeupayaan untuk mengamalkan apa yang kita perkatakan. Allah SWT sangat murkai, mereka yang banyak menasihati, berbicara dan berkata-kata tetapi ia tidak berbekas pada hatinya. Positifkan hal ini, akulah yang pertama yang akan melaksanakannya.

(3) Marilah kita meluruskan niat dan perasaan untuk sentiasa mempertingkatkan diri kita. Dan salah satu kemahiran yang perlu ada di dalam diri ummat Muhammah ialah kemahiran public speaking, pengucapan awam ,dan berkhutbah dengan baik. Ayuh kita gerakan wawasan ini.


_______________________________

[1] Surah Ibrahim (14) : 24
[2] Khutbah Motivasi Terbaik, karya Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni
[3] Surah Fusillat (41) : 33

6 comments:

BroHamzah January 28, 2011 at 1:22 AM  

1)- Noor Azlen Bt Haron

Alhamdulillah. Syukran. Padat & penuh makna. ('',)

Nurul Iman "Yakinlah Allah Kan Ada ^^," January 28, 2011 at 2:22 AM  

salam ziarah akh.. sejarah ini harus kita kembalikan..sebaik2 teladan..

BroHamzah January 28, 2011 at 6:47 AM  

1)- nadya solahuddin

Wassalam, salam ziarah kembali. InsyaALlah, ayuh kita yang mulakan wawasan ini.

BroHamzah

فراس الزهرأ January 28, 2011 at 8:06 PM  

jazakaalah..
tarbiyah allah melalui hamba..

masih menuntun lisan..

BroHamzah January 29, 2011 at 12:05 AM  

1)- Firas al-Zahra

Syukran atas coretannya.

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP