Saya Seorang Abi, Abah, Ayah dan Baba

Tuesday, October 2, 2012



" Abi, saya comel tak?," Ujar Mukhlisah.



Pengalaman menjadi seorang abi  (bapa)  kepada seorang putri benar-benar membungakan hati saya. Suatu pengalaman yang membuatkan saya teruja dalam ketenangan.^^. Kelihatan cool sahaja, tetapi setiap detik yang ditempuhi hanya saya dan zaujati sahaja yang tahu, alami dan rasai. Di sebalik raut wajah saya ini, ada kisah-kisah yang sangat menyeronokan, meletihkan dan pelbagai lagi perasaan yang timbul.

Menjadi seorang abi bukannya semudah memberi jawapan apabila ditanya :

“ Engkau dah berapa orang anak?”

Biasanya, kita akan jawab :

“ Baru seorang.”
“ Alhamdulillah, dan tiga.”

Realitinya, bukan semudah itu untuk menjadi seorang abi, abah, ayah atau baba.

Tentunya untuk menjadi seorang abi, abah, ayah, baba atau papa memerlukan suatu persiapan dan persediaan yang tersendiri. Sebenarnya, banyak perkara yang perlu difikirkan, direncanakan, dirancang dan dilaksanakan untuk menjadi seorang bapa. Pelbagai adjustment, penyesuaian dan kecekapan yang kita perlukan untuk “bersiap” menjadi seorang bapa.

Pengalaman sendiri adalah cara yang terbaik dalam membina kemahiran dan keyakinan. Asas kunci dan prinsipnya ialah mencuba. Mencuba yang bagaimana?

Mencuba dengan ilmu dan “mencedok” pengalaman orang lain yang kita yakini dan percayai. Bukan main cedok sahaja.

Perubahan Hidup

Dikurniakan cahaya mata – merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT. Maha suci Allah SWT yang menganugerahkan sepasang suami isteri anak untuk memberikan suatu lagi bentuk dimensi kehidupan kepada manusia.

Sebagai seorang bapa – harusnya kita melibatkan diri dengan bayi kita sendiri. Ia adalah suatu pengalaman yang sangat signifikan kepada seorang bapa. Amat merugikan bagi seorang bapa yang memiliki anak tetapi hubungannya dengan anak tersebut amat terbatas dan terdapat jurang yang jauh antara keduannya.

Dengan penuh rendah diri, saya kongsikan beberapa tips yang saya ambil daripada pengalaman, pembacaan dan pengamatan saya yang baru sahaja mempunyai seorang anak. Justeru, tentunya ia terbatas dan segala perkongsian amatlah dihargai.

Tips – Melibatkan Diri Anda Dalam Dunia Bayi

(1) Pamerkan kasih sayang, kecintaan dan hubungan keinsanan

Apabila kita menunjukan kasih sayang dan memberi respon kepada isyarat-isyarat bayi, sesuatu kimia semulajadi akan terhasil di otak bayi yang dipanggil neuropeptide. Kimia badan ini penting dalam memainkan peranan terhadap pembinaan emosi bayi.

Ia bukan sahaja menggembirakan dan menyeronokan bayi kita, tetapi ia membina hubungan antara kita dan si manja. Si manja kita akan mulai sedar bahawa kita dengan dirinya mempunyai suatu hubungan yang istimewa.

Macamana hendak buat ? – Pamerkan riak wajah yang meniru wajahnhya seperti menjelir lidah, berkerut, keluarkan bunyi, senyum dan sebagainya. Semua ini akan membantu kita untuk membina perhubungan dan komunikasi antara kita dan bayi.

Smile^^.

(2) Mencuba segala-galanya.

Untuk merasai pengalaman menjadi bapa yang sejati seharusnya kita lakukan semua perkara yang berkaitan dengan bayi kita. Memandikannya, menukarkan lampin, memakaikan baju, buatkan minuman susu, bermain dengannya dan sebagainya.

Kemahiran keibubapaan perlukan latihan. Bak kata mat salleh, practice make prefect. Dan, latihan yang terbaik ialah kita lakukannya sendiri, alaminya sendiri dan rasai setiap perkara yang berkaitan. Kita akan lebih berkeyakinan dan menjadi lebih baik dengan pengalaman sendiri.

Keyakinan inilah yang kita perlukan!

(3) Memberanikan diri dan buat sendiri.

Ambil masa yang berharga lagi berkualiti untuk meluangkan masa bersama bayi kita seorang diri. Ia amat penting untuk kita membina suatu ikatan yang tersendiri antara kita dengan bayi kita. Berikan peluang dan ruang kepada isteri kita untuk berehat dan melepaskan lelahan menjaga bayi kita.

Dalam masa yang sama, jika keadaan semakin rumit atau susah – bayi mulai menangis, meraung-raung dan tidak senang duduk – jangan terus melulu kepada isteri. Kita sebagai bapa, tenangkan hati dan cuba selesaikan masalah itu dengan sendiri.

Berlatih memujuk, buatkan susu, cuba lihat apa punca bayi kita meragam dan juga kita tidurkan dia. Jika berjaya, anda akan merasai suatu kepuasan dan tertingkatnya keyakinan anda untuk “mengasuh” bayi anda sendiri.

(4) Belajar bercakap dengan si kecil anda

Apabila bersama bayi anda, cubalah bercakap, berinteraksi dan berkomunikasi dengannya. Murabbi saya berpesan agar antara kalimah awal yang mesti kita sematkan kepada bayi-bayi kita adalah :

“Allah”
“Assalamualaikum”
“ Allahuakbar”
“ La Ilaha illallah.”

Ini asas komunikasi yang terawal. Biarlah perkataan pertama yang keluar daripada mulut bayi kita adalah Allah SWT. Rabb yang menciptakannya. Secara tidak langsung, penanaman tauhid berlaku.

Di samping itu, mula-mulalah bercakap-cakap dengannya tentang apa yang ada dipersekitarannya. Hubungannya dengan Allah SWT. Contoh :

“ Itu burung. Siapa yang ciptakan burung? - Allah SWT yang ciptakan burung. Dan tidak ada yang menciptakan burung selain Allah SWT”

Wujudnya elemen pernyataan dan penafian!

Mungkin akan kata, bayi masih kecil – mana dia faham. Sebenarnya, dalam psikologi bayi ini amat-amat membantu dirinya untuk merasa selamat dan gembira. Ia umpama makanan untuk otak bayi tersebut. Dan yang terpenting, ia membina kemahiran bahasa dan komunikasi daripada usia yang muda.

Hakikatnya, bayi tidak perlu memahami perkataan untuk mendapat kelebihan untuk bercakap. Semuannya adalah sebahagian daripada proses untuk memulakan tumbesaran yang lebih efektif dan terarah kepada suatu yang baik dan selamat.

(5) Luangkan masa untuk bermain

Sebenarnya tidak perlukan masa yang lama untuk bermain dengan si kecil kita. Sekadar 5 sehingga 10 minit sudah memadai. Permainan apakah yang sesuai?

Antaranya, kita membuat mimik muka berkerut, menjelir lidah dan senyum kepadanya. Sebutlah kalimah-kalimah yang baik bagi merangsang minda dan otaknya.

Perkataan, ritma dan cerita membina kemahiran bahasa dan memorinya. Hal ini kita boleh semak dengan rujukan yang lebih berautoriti.

Permainan “cak cak” boleh membina kemahiran bayi kita dalam komunikasi dan menyampaikan emosinya. Perkataan yang boleh kita guna juga ialah Allah, Allah dan Allah.

Sebuah perkongsian - sekadarnya

Itu serba sedikit yang boleh saya kongsikan. Mungkin ada bapa-bapa, ayah-ayah dan papa-papa ingin kongsikan pengalaman mereka dalam usaha menjadi bapa yang sejati lagi mithali.

Kursus-kursus Islamic parenting kini menjadi salah kursus yang kian mendapat tempat di kalangan masyarakat. Dan, saya dan isteri sedang menyusun satu perancangan untuk menfokuskan pendidikan putri kami ini untuk mendedahkannya dengan Al-Quran dan penanaman tauhid.

Isteri saya meletakan target anak kami boleh membaca Al-Quran di usia 4 tahun, memandangkan beliau dapat membaca Al-Quran seawal usia 4 tahun. Justeru, banyak perkara yang perlu kami lakukan untuk menjayakan misi ini. Doakan.

Tugas pendidikan anak-anak bukan dipertanggungjawabkan di bahu isteri semata-mata tetapi ia adalah amanah besar dan penting bagi bapa dan ibu!

Catatan Seorang Hamba

(1) Antara pengalaman yang melelahkan ialah menjaga dan bersengkang mata menjaga anak saya ketika dia demam, selsema dan tidak sihat. Sedih melihat, saya tidak boleh tidur dan bermujahadah tahap yang paling tinggi. Dan, apa yang dirasi ialah semakin sayang dan menghargai pengorbanan emak dan bapa membesarkan diri ini sehingga kini.

(2) Sinergi, kerjasama dan hubungan dua hala suami isteri amat penting dalam tugas membesarkan anak-anak. Selepas ini, saya hendak cedok banyak-banyak ilmu keibubapaan daripada Mak Abah dan juga Ibu Mertua saya. Boleh kongsi-kongsikan di sini jika berkesempatan.

BroHamzah
Baru kebah dari demam dan selsema.
Terus berjuang!

2 comments:

syamilsynz October 5, 2012 at 12:44 PM  

Nak kena tuntut ilmu dari org yg berpengalaman jadi ayah ni.

brohamzh October 6, 2012 at 8:29 PM  

Syamilsynz

Perlu menuntut ilmu daripada mereka yang punyai ramai anak dan berpengalaman.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP