Di Sebalik Pengorbanan Dua Insan Istimewa Ini

Monday, October 15, 2012



Abah Dan Emak - Dua Insan yang sentiasa hidup di jiwa anak-anak

Jumaat, 12 Oktober 2012

Hari itu, jiwa dan hatiku sangat “tersentuh” – terharu lagi sebak. Muka mungkin cool dan tiada apa-apa gambaran yang terpancar di wajah. Tetapi, saat itu adalah saat yang sememangnya dinanti-nantikan oleh abah, emak dan kami 10 adik-beradik semua.

Seawal jam 3.30 pagi, kami bangun dari tidur untuk bersiap bagi melaksanakan satu misi yang sudah lama tertangguh. Misi untuk menyempurnakan segala impian dan hasrat abah dan emak.

Ketika mengiringi, Abah dan Emak ke Kompleks Tabung Haji  Bayang lepas, Pulau Pinang bagi menghantar mereka ke Kota Makkah bagi menunaikan ibadah Haji tahun ini – aku terkenangkan segala jerih payah, kesusahan dan kesukaran mereka membesarkan kami semua. Tak ramai – 10 orang adik beradik sahaja!

Kami semua maklum dan tahu, duit Abah dan Emak sudah berkali-kali cukup untuk menunaikan haji. Namun, sering kali niat dan hajat ditangguhkan kerana  anak-anak.

Ya, untuk anak-anak. Untuk kami 10 orang adik-beradik.

“ Tak pa, bagi anak-anak besar dan belajar dulu.”
“ Banyak duit nak pakai untuk besarkan anak-anak”
“ Bagi hampa semua masuk MATRI dan Universiti dahulu,”

Bergaji sederhana, tentunya bukanlah pilihan yang tepat – kata orang – untuk abah dan emak untuk menyekolahkan kami di sekolah swasta sebagai tapak semaian pendidikan dan persekolahan.  Yuran yang pastinya mencecah ratusan ringgit dan kalau dikumpulkan semua pastinya mencecah ribuan ringgit tentunya membuatkan ibu bapa pusing kepala memikirkannya.

Tetapi, tidak bagi abah dan emak.

Ramai yang hairan, kaum kerabat juga tertanya-tanya, kenapa habiskan duit untuk pendidikan anak-anak sehingga “berlebihan” dan di luar kemampuan?

Abah pasti tersenyum.
Emak lagi la, tersengih sahaja.

Mereka ada perancangan, hajat dan impian untuk anak-anak mereka. Tentunya, untuk dapatkan sesuatu yang dihajati - perlu laburkan jumlah yang mahal dan tinggi harganya.

Malah, ada harga pengorbanan yang harus dibayar!

Sehingga kini, kami tiada rumah sendiri untuk didiami. Menyewa sahaja  untuk berteduh. Sudah bertahun, abah dan emak berjuang “menyara” kereta dan van uzur lagi second hand untuk melengkapkan keperluan kami. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini ,mampu untuk membeli kereta dan van baru.

Aku pernah tersentuh, apabila pernah salah seorang adik merungut :

“ Kenapa, emak tak beli kereta baru? Kereta ini buruk sangat,selalu rosak -  malu la nak naik.”

Wajah emak hanya diam sambil menyimpulkan sebuah senyuman yang terindah. Tenang sahaja, tetapi hatinya siapa yang tahu. Kami mengenali emak sebagai insan yang tidak pernah ambil hati, tidak mengungkit-ungkit apatah lagi mudah terasa.

Tetapi, itu yang kami tahu. Yang disebaliknya – hanya Allah SWT yang tahu!

Kerana apa semua ini dilakukan?
Untuk apa, pengorbanan ini dijelmakan?

Semuanya, adalah untuk anak-anak. Untuk 10 anak-anak yang mereka cintai kerana Allah SWT.

Untuk 10 anak-anak yang menjadi permata hati yang tidak mungkin dapat ditukar dengan segala apa jua yang berharga, mahal dan  bernilai di dunia ini.



Zaman muda - macam gambar saya dan zaujati sahaja.^^



Abah yang sangat baik hati

Ketika jari-jariku menaip keyboard ini, air mata ini berkaca-kaca. Aku sangat-sangat merindui abah dan emak. Linangan air mata yang hangat membasahi pipiku dan sungguh, aku rasa benar-benar rindukan mereka.

Abah adalah insan yang sangat baik hati. Beliau membesarkan kami dengan kasih sayang, cinta dan prihatian yang tidak berbelah bagi. Walaupun jika ada kekurangan dan kelemahan – aku padamkan semua itu kerana segala kebaikanya terlalu banyak dan memuncak.

Aku juga tidak pernah merungut, komplen atau membanding-banding abah dengan sesiapa. Bagi diriku, aku benar-benar bersyukur dan bersyukur mempunyai abah seperti beliau.

Cara beliau melayanku sebagai seorang anak, sahabat dan teman tentunya membungakan hatiku untuk terus mengaguminya, menghormatinya dan menyantuninya sebagai seorang “hero” dihati ini.

Sehingga kini, abah tetap ambil tahu, peduli dan cakna tentangku walaupun pada dasarnya, aku telah berumah tangga. Beliau akan bertanya khabar tentang keperluan harianku walapun  aku sudah bergaji dan punyai duit untuk menyara keluarga sendiri. Aku  semakin rasa bersalah.


Emak yang sangat bersih jiwanya

Apatah lagi apabila mencoretkan tentang emak, aku pastinya akan lagi hiba dan jiwa menangis sedu. Tiada mana-mana ibu atau emak boleh menggantikan tempatnya. Tiada dan tiada!

Jika sebutkan emak, aku terbayangkan proses penanaman keimanan yang beliau tanamkan dan semaikan untuk aku dan adik-adik. Bibirnya tidak pernah lekang menghubungkan apa sahaja berlaku dalam kehidupan kami dengan Allah SWT, dengan hari akhirat dan keimanan. Kami membesar dengan hal ini sama ada secara sedar atau tidak!

Firman Allah SWT yang bermaksud :

" Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah SWT, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya."

(Al-Baqarah 2 : 207)

Abah Emak adalah insan yang akan terus menerus terpahat di hatiku. Dan juga disanubari adik-adikku. Sukar untuk aku lukakan hati mereka dengan kedegilan, kenakalan, kebuasan dan hal-hal yang menguriskan rasa hati mereka.

Tetapi, apakan daya. Pastinya dalam usia yang meningkat senja. Jiwa mereka pastinya semakin halus dan mulus. Hal-halnya yang dahulunya, biasa-biasa kini akan lebih berbisa jika kami tidak berawas dan hilang peka.

Buat adik-adikku,

“Kita hanya ada seorang abah dan hanya  memiliki seorang emak. Kalian tiada  pilihan lain, kecuali untuk berbakti, berjasa  dan menyantuni mereka sehingga ke akhir usia. Apa pun kita, sesiapa pun kita sekarang dan di masa-masa mendatang, haramkanlah diri kalian untuk terus melupuskan ingatan dan  segala jasa budi mereka terhadap kalian.”

Abang semakin dan bahkan semakin menghargai Abah dan Emak apabila dikurniakan baru seorang cahaya mata. Baru seorang sahaja. Bukannya, sepuluh. Setiap kali, memandang wajahnya – pastinya raut ketenangan wajah abah dan emak menerpa di minda ini.

Satu sahaja persoalan yang akan ditimbul :

“ Bagaimana abah dan emak menjaga kami 10 orang adik-beradik yang pelbagai ragam, perangai dan karenah ini?. Ya Allah, ampunillah dosa-dosa mereka. Rahmatilah mereka dan kasihanilah mereka”

Air mata tertumpah dalam sujudku di saat merindui mereka yang kini di Kota Makkah. Adik-adikku, hubungi mereka – bertanyakan khabar, kiriman salam dan sebagainya – selagi mereka masih lagi bersama kita.

Abah, Mak – Ali menyayangi dan mengasihi Abah dan Emak Hanyasanya Kerana Allah SWT!

-----------------------------

BroHamzah
Kini baru aku mulai belajar menangis untuk kedua orang tuaku

Coretan ini dedikasi khas buat kedua orang tuaku yang kini aman di Kota Makkah.
Juga, tidak dilupakan buat adik-adikku di mana sahaja kalian berada, maafkanku kerana sehingga kini masih gagal menjadi seorang abang yang baik. Diri ini masih gagah berusaha dan akan terus berusaha.

2 comments:

musafir kehidupan October 18, 2012 at 2:52 AM  

~Tersentuh.
Terima kasih Bro atas perkongsian...
Semoga Allah merahmati Bro sekeluarga...
Teringin bertemu dengan Bro dan Kak Maryam.

brohamzh October 18, 2012 at 6:23 AM  

musafir kehidupan

Semoga bermanfaat perkongsian ini. Hargailah dan santunilah kedua ibu bapa kita selagi mereka masih bersama dengan kita.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP