Seorang Demi Seorang - Gugur Dari Medan Ini. Aku Bila Lagi?

Friday, October 19, 2012



Bersama gerabak Dakwah : pilihan , terpaksa atau secara tidak sengaja?



Berjuang, berkorban dan terkorban

Perjuangan memerlukan pengorbanan, kesungguhan, kecekalan dan kesabaran yang maksima tanpa batas. Komitmen tidak berbelah bagi, - iltizam dan intizam yang 100 %. Bahkan ia amat-amat menuntut seluruh kehidupan kita untuk mencapai segala matlamat yang ingin dikecapi dalam medan perjuangan ini.

Namun, saban waktu dan hari.

Dari detik ke detik,
Minit ke minit,
Jam ke jam,
Hari ke hari,
Minggu ke minggu,
Bulan ke bulan,
Tahun ke tahun,

Perajurit, tentera, pekerja dan penggerak dakwah kian keguguran,keciciran lagi kefuturan. Semakin dakwah berkembang dan melebar, semakin kuat goncangan dan kian tumbuh subur pelbagai fitnah dan ujiannya.

Hati dan jiwa mana yang tidak tercuit, terusik dan terpana dengan pelbagai bentuk tarikan, dugaan dan cabaran. Tekanan, stress dan segala bentuk himpitan-himpitan dunia membuatkan hati tidak senang, jiwa kian tertekan dan akal menjengah pelbagai peluang serta kesempatan untuk mencipta keuzuran.

Antara berjihad dan berehat. Jika dibuat tawaran - tentunya pilihan kedua itu lebih disukai, dicintai dan digemari. Namun sering kali mendapat pukulan yang menggugah jiwa daripada  sang murabbi :

“ Penyakit orang yang tidak beramal ialah suka berehat dan bersantai-santai.”

Apabila kuat bekerja, berkarya dan mencipta gagasan, teruji pula dengan suatu hakikat :

“ Penyakit orang yang beramal ialah riya’ dan ujub.”

MasyaAllah – beramal pun ada ujiannya. Tidak beramal atau bekerja pun ada mehnahnya. Justeru, apa lagi yang kita hajatkan daripada semua ini?

Memujuk Diri

Semakin melangkah untuk suaikan diri dengan kehidupan dan perjuangan, semakin ramai pula manusia-manusia yang pelik-pelik lagi aneh yang ditemui. Cakapnya berdegang-degang, tapi amalannya pula sebaliknya. Ada yang macam ini macam itu, tetapi kehidupannya lain benar-benar daripada yang sepatutnya.

Hairan dengan tindakan, perkataan dan ucapan. Biar benar ini seorang dai? Provokasi, kontroversi dan budaya politik mempolitikan hidup subur dalam dunia “dakwahnya”. Keaslian dakwah dan tarbiyah kian luntur dan dimamah usia.

Manusia, manusia dan manusia. Itulah manusia -  wahai sahabat!

Hati perlu sentiasa dipujuk, dibelai dan diasuh selalu. Pujuklah hati ini dengan penyejuk yang benar-benar dingin lagi mengamankan. Usahlah menjadi penghukum atau jaguh dalam menilai sesiapa pun di sekitar kita. Jika tidak, sakit jiwa dibuatnya.

Hari demi hari, tekanan – stress – ujian – dugaan – cabaran – mehnah bertambah dan akan terus bertambah. Bebanannya  mencukakan wajah sang pendakwah yang dulunya bersemangat waja dan aktif dalam gerak kerja. Namun, kini ianya semakin terbeban lagi terhimpit – semuanya dibuat kerana terpaksa dan terpaksa. Bukan lagi, tercetus atas kesedaran, kefahaman dan keyakinannya tetapi dibuat kerana terperangkap dalam budaya kerja dakwah!

Nadi perjuangannya sudah luntur. Jika dahulunya, ruh cinta itu subur – kini benih-benih benci mulai berputik! Tiada lagi persaudaraan, tiada lagi lapang dada dan tiada lagi keikhlasan. Semuanya adalah bebanan, bebanan dan bebanan!

Akar kebencian mulai menusuk tanah keimanan dan akhirnya suatu pemilihan dan keputusan sama ada atau  tanpa sedar akan dibuat. Apakah dia?

“Mufarah dari medan ini!”
“Gugurkan diri!”
“Keluar dari landasan perjuangan!”

Fullstop! – Settel!

Berhenti Seketika – Tekan Butang “Pause”

[Sengaja ditulis sedemikian rupa, bagi suspen sedikit. Ingin membawa suatu dimensi berbeza daripada penulisan biasa.]

Itulah hakikat sebuah perjuangan di celah-celah kehidupan ini. Bukan semudah itu bicara dan beraksi di gelanggang perjuangan. Sudah ramai yang memilih untuk gugur daripada terus bersama dengan gagasan dakwah atas pelbagai alasan dan asbab. Kita pula? Kita juga tidak tahu bagaimana masa hadapan kita nanti.

Justeru, keaslian dan keberadaan dalam proses tarbiyah ini kita rencanakanlah ia secara fitrah. Ia bukannya paksaan sesiapa. Ia juga bukan keranan ikut-ikutan. Tetapi, ia adalah suatu pemilihan secara sedar, faham dan yakin.

Bukan kerja kita hendak memaksa orang untuk berkerja untuk Islam. Apatah lagi bergabung bersama kelompok dakwah. Tetapi kita punyai peluang untuk mengajaknya, mendidiknya, menyuntik kesedarannya dan memanduinya untuk berkhidmat bersama Islam. Kerana apa?

Mehnah dalam perjuangan ini sangat pedih, perit dan melukakan jiwa. Jika tanpa persediaan – sesiapa sahaja akan gugur, tercicir dan mudah tewas. Tertewasnya kita, gugurnya kita, futurnya kita atau apa jua yang sewaktunya akan berlaku secara kita sedar dan tidak sedar.

Hakikatnya, Kita Tiada Pilihan

Namun, kita tiada pilihan. Jalan inilah yang akan menyelamatkan kita daripaa azab api neraka Allah SWT. Jalan inilah yang akan membawa kita kepada keredhaan Allah SWT dan syurga-Nya.

Ramai yang pada awalnya begitu bersemangat memasuki gelanggang dakwah ini – rasa-rasa kerja-kerja sebegini amat menyeronokan. Program-programnya best sahaja, aktiviti-aktivitinya superb dan sebagainya. Dan, ada juga menyertai gerombolan ini kerana kepentingan-kepentingan tertentu. Namun, ketahuilah musuh-musuh utama muslim bergiat aktif, produktif dan sistematik. Syaitan akan mencari titik-titik kelemahan dan peluang untuk “menggugurkan” kita.

Turun naik iman kita, penat lelah dalam bekerja dan keperitan cacian pelbagai manusia – tentunya akan menguris segala kekuatan yang ada. Lukaan itu dalam, perit dan sakit. Jika tidak dirawat sesegara mungkin, alamatnya ia akan kian parah. Jadi apa yang perlu kita buat?

Jadikan ia sebagai warna warni dalam perjuangan. Ia menghiasi rencah laluan panjang ini dan kita jadikan ia sebahagian daripada kehidupan kita. Kita hadapi, lalui dan rasai. Jika ada masalah, kita pakat-pakat selesai bersama. Jika ada kekurangan, kelemahan dan keaiban – sama-sama kita baiki dan pertingkatkan mana yang kurang itu.

Justeru, apa juga yang berlalu - kita harus semak semula Noktah Bidayah (Titik permulaan) di saat penggabungan kita dengan perjuangan ini di awal-awal masa dahulu. Soal diri, tanya hati dan muhasabah segala-galanya. Kita sendiri yang mampu menjawabnya!

Pada masa yang sama, untuk terus kekal sehingga ke akhir hayat – kita perlu mengambil pendekatan sederhana dalam berharakah. Ambillah rukhsah apabila perlu tetapi amalkan azimah untuk mendidik, melatih dan mempertingkatkan pengorbanan kerana insan-insan yang membiasakan dirinya dengan rukhsah tidak dapat menanggung dan melakukan azimah. Bimbang, dirinya tidak mampu untuk terus istiqamah dan akan gugur serta tercicir akibat kegagalan itu!

Justeru, kita terus baiki komitmen, keiltizaman dan pengorbanan kita dari semasa ke semasa. Ambil masa, waktu dan sebagainya. 

Yang terpenting, berlaku peningkatan demi peningkatan.

Penutup : Jika kepenatan dan kelelahan, berehatlah sebentar  + kumpul semula kekuatan

Dalam setiap fatrah dan fasa, selalu ada pekerja-pekerja dan penggerak-penggerak dakwah yang kepenatan dan kelelahan. Jika mereka lelah dan penat kerana membawa panji kebenaran, nescaya Allah SWT akan menguatkan mereka kembali. Mereka akan “berehat” sebentar melalui cara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk mereka.

Namun, jika mereka lelah dan penat kerana tergoda oleh gemerlapnya dunia, maka akan ada pekerja lain yang akan menggantikannya.

Ketahuilah, bahawa perjuangan dan dakwah itu tidak akan pernah kehabisan serta kekeringan pekerja dan penggerak. Bersama atau tidaknya kita dalam dakwah ini, kereta dakwah akan terus melaju menuju Syurga.

Yang tertinggal adalah kita, yang memilih untuk gugur, futur, tercicir dan berehat tidak membuat apa-apa!

---------
BroHamzah
Di saat, diri ini di persimpangan dan dilemma yang berpanjangan
Sahabat, Doakan Diriku!

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP