Bercahayakah cinta di hati kita?

Wednesday, August 17, 2011

Hati, tempat bertapaknya cinta. Bercahayakah hati kita dengan cinta yang sebenarnya?

Lafaz Bismillah menjadi pembuka bicara pada kali ini.

1. Ramadhan pada kali ini, membawa suatu pengertian yang bermakna buat diri saya. Saya menjalani Ramadhan dalam keadaan bermusafir yang agak panjang . Keadaan yang menuntut kekuatan jiwa yang lebih agar saya mampu memaksimakan setiap masa yang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam meraih janji-Nya iaitu ganjaran taqwa.

2. Alhamdulillah, biasanya di bulan Ramadhan tiada tazkirah, kuliah, forum atau ceramah yang saya libatkan diri. Namun, kali ini Allah SWT berikan suatu pengalaman yang baru. Berforum di siang hari Ramadhan dengan beberapa orang panel yang saya hormati, segani dan kagumi.

3. Forum bertajuk Cinta berpaksikan Wahyu, bertempat di Sekolah Menengah Ibnu Khaldun – saya diamanahkan sebagai moderator. Mengemudikan bahtera forum selama 2 jam memberikan ruang pengalaman yang baru kepada saya. Sudah lama tidak memainkan peranan sedemikian. Pada awalnya agak kekok, tetapi Alhamdulillah – ia berlansung dengan suasana yang tenang dan baik.

4. Panel-panelnya yang sangat arif dalam tajuk ini membawa para pendengar yang terdiri daripada lebih 400 orang pelajar SMIK dengan jayanya. Banyak ilmu-ilmu, panduan-panduan dan cara-cara untuk mengendalikan cinta ini berpandukan suruhan Allah SWT. Alhamdulillah, forum gabungan 3 panelis ini memberikan suatu makna baru buat para audien dalam memahami apa itu cinta.

5. Panel-panelnya, Abu Munzir atau Tuan Haji Rosdi Baharom ( Tinta Tarbawi.Com), Kakak Fatimah Syarha Bt Haji Mohd Nordin ( Blognya, Sebarkan Bahagia) dan Abu Ridhuwan atau Cikgu Razali Maarof ( Blognya, Usrah Keluarga) – telah memberikan suatu input yang sangat berguna buat kami semua sebagai pendengar forum. Alhamdulillah.

6. Abu Munzir, beliau memberikan suatu penjelasan berkaitan makna dan pengertian cinta yang sebenarnya. Membahasakan diri umpama gaya seorang ayahanda, perkongsian beliau memfokuskan kepada bagaimana cinta itu harus dilaksanakan bagi meraih keredhaan Allah SWT. Dan bagaimanakah untuk merawat jiwa jika telah melakukan bentuk-bentuk cinta yang tidak berlesen?

7. Kakak Fatimah Syarha, beliau berkongsi kisah-kisah cinta yang dipetik daripada sirah para sahabat dan sahabiyah pada zaman Rasulullah SAW. Kisah yang sangat menarik, iaitu diolag sepasang suami isteri yang soleh dan solehah iaitu Fatimah Az Zahra dan Saidina Ali bin Abi Talib pada malam hari pertama perkahwinan mereka. Dua, kisah cinta anak Abu Bakr, iaitu Abdullah dan isterinya Atiqah yang meruntun hati dan memperlihatkan bagaimana cinta itu menjadi ujian kepada mereka. Ingin tahu kisahnya?

8. Abu Ridhuwan, beliau membawa perkongsian kisah-kisah yang nyata. Apakah yang dikatakan cinta luar biasa dan cinta luar tabiat? Penyampaian penuh bersemangat, berkobar-kobar dan membara mengugah jiwa para pendengar. Gaya bersahaja itu memberikan suatu konsep bahawa cinta itu mampu menghasilkan natijah yang mulia dan suatu sudut yang lain ia juga boleh memberikan suatu hasil yang hina.

9. Banyak sungguh soalan-soalan yang diutarakan kepada panelis. Saya kira, tajuk cinta ini punyai kekuatannya apabila dibicarakan dan ia akan tetap evergreen sampai bila-bila dan kepada sesiapa pun. Kerana cinta itu adalah fitrah. Seperti nasihat Kak Fatimah Syarha ,” Kita perlu mengurus fitrah agar tidak menjadi fitnah, agar ia membawa rahmah dan berkah.”

10. Saya berhasrat untuk kongsikan sesi forum bersama mereka nanti. Mungkin, dalam perkongsian-perkongsian kuliah dan tazkirah saya mendatang dengan pelajar-pelajar saya. InsyaAllah, jika berkesempatan dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Satu kupasan berkaitan cinta dari sudut yang tarbawi, dan membawa perspektif yang dikutip daripada nilaian Islam yang syumul dan menyeluruh.

11. Ramadhan adalah bulan cinta. Bulan yang menyuburkan perasaan cinta terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW, terhadap ibu bapa, suami isteri, anak-anak, masyarakat dan ummah. Terasakah kita akan hakikat ini?

12. Semoga Ramadhan yang sedang kita lalui ini, akan menambahkan lagi perasaan cinta yang ada dalam hati serta perasaan kita terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW dan insan-insan yang berada di sekeliling kita.InsyaAllah.

Seusai permusafiran yang panjang,

BroHamzah
18 Ramadhan 1432 H
Kota Bharu, Kelantan

2 comments:

Anonymous,  August 17, 2011 at 6:10 PM  

salam ziarah.

Alhamdulillah.."Kita perlu mengurus fitrah agar tidak menjadi fitnah, agar ia membawa rahmah dan berkah.” dijadikan panduan dalam mencari Cinta yang abadi..insyaAllah.mohon BroHamzah berkongsi lebih lanjut sesi forum disini.jzzkllh.

BroHamzah August 17, 2011 at 6:34 PM  

Pengemis Cinta

Salam ziarah kembali,

InsyaAllah. Akan diusahakan. Boleh lihat post-post yang lepas dalam label "Cinta". Yang ini akan dikongsikan di waktu-waktu mendatang.InsyaAllah.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP