Tarbiyah Di Kem JATIDIRI

Thursday, February 11, 2010


Wira JATIDIRI 1st batcth



Tarbiyah Daripada Allah SWT melalui KEM JATIDIRI
Oleh : BroHamzah

Tulisan ini merupakan tulisan yang terakhir yang akan saya nukilan berkaitan dengan KEM JATIDIRI. Mungkin selepas ini hanya sekadar berbentuk gambar dan coretan ringkas. Tulisan saya ini lebih bersifat peribadi dan segala yang dinyatakan di sini adalah cetusan hati dan perasaan nurani saya. Semoga perkongsian ini mendatang faedah buat semua.

Catatan ini agak panjang, tetapi insyaAllah ia sangat berguna bagi mereka yang hajatkan kepada input dan ibrah daripada seorang hamba yang lemah dan dhaif. Bacalah dengan jiwa yang tenang, insyaAllah saudara akan memperolehi sesuatu yang baru.

PENGALAMAN BERHARGA

Pertamanya saya rasa sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana memilih saya untuk terlibat menjadi sebagai salah seorang insan yang akan berada di dalam kem sebegini. Tidak terfikir bahawa saya akan menjadi kem komandan memandangkan saya tidak terlibat daripada awal. Semua ini penyusunan dan perancangan Allah SWT kepada saya.

Ketika dimaklumkan supaya perlu berkhidmat di Kem ini semasa peralihan tempat di Sri Pantai, saya agak keberatan sebenarnya. Sebab biasanya apabila mengendalikan kem saya akan terlibat daripada awal perangkaan kem sehingga kepada perlaksanaan kem. Oleh itu, untuk kem ini saya perlu mengambil masa untuk suaikan diri dengan kem dan menjiwai setiap aktiviti kerana ia sangat penting untuk keberkesanan aktiviti kem. Saya mengambil tanggungjawab dan amanah ini juga sebagai tanggungjawab dan khidmat saya untuk manfaat bersama dan disamping niat saya untuk membantu sahabat saya, Saudara Zulkifli Willi.

“ Anta boleh kutip pengalaman di sana dan cuba yang terbaik,” Nasihat ringkas daripada Murabbi saya ketika saya meminta nasihatnya sebelum memulakan tugas sebagai Kem Komandan Utama.

“ InsyaAllah,” Saya cuba yakin diri saya. Kepada Allah SWT saya pohon kekuatan.


Bila teringatkan kem ini, ia membuatkan saya tergelak, tersenyum bersendirian. Ada masanya lucu dan menggelikan hati. Macam-macam yang berlaku. Saya terfikir juga sekiranya Hilal Asyraf join sekali kem ini kemungkinan akan lahir sebuah Novel baru yang bertajuk “ JATIDIRI”. Dalam JATIDIRI terkandung pelbagai tema dan kisah. Di sini ada kisah pengorbanan, bingkasan sebuah percintaan, bingkai persahabatan, perjalanan sebuah kehidupan, erti keimanan dan kepasrahan, makna sebuah perjuangan, juga pergolakan dalam memahami erti ukhuwah dan sebagainya.Semoga kisah JATIDIRI ini bukan berakhir di sini sahaja.

TARBIYAH DARIPADA ALLAH SWT

Minggu pertama di Kem JATIDIRI, adalah minggu yang paling mencabar bagi saya. Pelbagai peristiwa yang berlaku di sini. Mungkin tidak perlu saya perincikan, namun ia benar-benar memberi tekanan dan dugaan bagi saya dan juga urusetia. Cabaran dan ujian itu datang bersilih ganti dalam pelbagai rupa dan bentuk. Dan ada ketikanya saya benar-benar lemah dan down untuk mengurus kem ini. Ketika inilah, tarbiyah yang amaliyah daripada Allah SWT itu hadir dalam hidup saya.


Saya ada sebut kepada adik-adik peserta :

“ Di dalam kem ini, abang merasai pelbagai perasaan. Ada saatnya abang rasa gembira, seronok dan ada saatnya sedih, kecewa dan terkilan. Ada ketikanya rasa dekat dengan Allah SWT dan ada ketikanya begitu jauh daripada Allah SWT.”

“ Abang percaya dan yakin bahawa kem ini penuh dengan keberkatan dan rahmah daripada Allah SWT. Kerana ia berpaksikan kepada keimanan kepada Allah SWT.”

Kem ini melibatkan jumlah pihak pengurusan yang ramai dan antara masalah yang kerap berlaku adalah miscommunication. Banyak maklumat dan penyelarasan yang bertindih serta tidak selaras menyebabkan saya agak tertekan ketika mengendalikan kem. Namun, semua ini dapat diselesaikan apabila saya bawa berbincang dan sentiasa berfikiran positif.

Bagi saya, inilah kehidupan. Tanpa cabaran, ujian, masalah dan kesusahan kita tidak akan belajar untuk menghargai kehidupan itu sendiri. Saya teringat kata-kata Ibnu Qayyim Al-Jauziyah : “ Sekiranya kita memilih jalan keimanan bermakna kita memilih kesukaran dan kepayahan.” Melalui kem ini saya belajar erti kehidupan, ketabahan, kesabaran dan juga erti sebuah kenikmatan.

Kem ini sendiri sebenarnya mempunyai matlamat yang besar iaitu untuk menyediakan latihan dan pengisian berguna yang berteraskan keimanan kepada Allah SWT untuk generasi masa hadapan. Justeru, cabaran dan ujian yang paling besar adalah untuk mengurus kem yang berkapisiti besar. Dan ini semua memerlukan pengorbanan yang besar. Pengorbanan yang meliputi pengorbanan masa, tenaga, fikiran dan juga wang ringgit.

MERAIH KEKUATAN YANG LUAR BIASA

Mungkin ramai peserta tidak tahu bahawa pada suatu ketika, hampir semua Urusetia sepenuh masa hampir berputus asa untuk meneruskan kem ini. Mana tidaknya, pelbagai masalah, cabaran dan dugaan yang timbul. Namun Alhamdulillah Allah SWT sentiasa memberikan kami kekuatan.

Ketika jiwa terasa lemah dan hati mulai goyah, munajat kepada Allah SWT adalah kekuatan yang sangat ampuh. Seusai solat, saya akan tadahkan tangan memohon bantuan dan kekuatan daripada Allah SWT.

Setiap malam ketika post mortem, saya selalu ingatkan kepada semua urusetia dan fasilitator supaya menjaga hubungan dengan Allah SWT. Bantuan Allah SWT akan tiba jika hubungan bersih ini dipelihara dengan serius dan bersungguh-sungguh.

Membaca Al-Quran juga merupakan Ibadah yang memberi kekuatan yang sangat kuat ketika jiwa mengalami kegoncangan dan kelesuan. AL-Quran ditatapi dengan sepenuh jiwa, agar roh kekuatan itu sentiasa mengalir dalam jiwa dan hati.

KENANGAN INDAH DALAM BINGKAI KEHIDUPAN

Bagi saya, kenangan yang indah di kem ini adalah kerjasama dan ukhuwah semasa urusetia, fasilitator dan para peserta. Yang sangat menyentuh hati saya adalah hubungan kerjasama erat saya dengan seorang sahabat saya Saudara Zulkifli Willi. Sejujurnya, Zul Willi adalah inspirasi saya dan pendorong utama saya dalam menggerakkan kem ini. Kenapa?

Beliau melakukan setiap gerak kerja bersungguh-sungguh, tidak merungut, banyak bersabar dan sentiasa tersenyum. Banyakkan kami terpaksa melayan kerenah, ragam dan fill pelbagai pihak.( Peserta, pihak resort, urusetia, penceramah, driver bas dan juga sesiapa sahaja yang terlibat). Namun semua ini dihadapi dengan buah ketenangan dan kesabaran.

PERISTIWA YANG MENYENTUH NURANI

Saya teringat satu peristiwa yang tidak akan saya lupakan. Pada suatu malam di Kem JATIDIRI kami telah mengadakan pertandingan debat dan tajuk sangat kontrovesi iaitu “ Kem JATIDIRI adalah kem yang terbaik untuk lepasan SPM.” Sememangnya, malam itu adalah malam luahan hati para peserta tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap kem. Ketika itu saya bersama Zul Willi di bilik operasi bersebelahan dengan dewan utama tempat pertandingan debat berlangsung.

Saya duduk berhampiran dengannya sambil berehat kerana benar-benar keletihan, begitu juga dengan Zul Willi. Raut wajahnya pucat dan matanya kemerahan mungkin menahan mengantuk. Walaupun kami di bilik sebelah, setiap hujjah para peserta kami dengar dengan jelas.

Ada ketikanya kami ketawa mendengar hujjah pencadang dan pembangkang peserta pertandingan debat. Kekadangan terkedu pun ada.

“ Ali, enta tahu apa yang ana tak suka tentang kem ini?”, tiba-tiba sahaja Zul bersuara.




“ Apa dia akhi?”, soal saya sambil memandang ke arahnya.




“ Ana ada sebut pada adik-adik. Bagi ana perkara yang paling ana tidak suka tentang kem ini ialah saat penghujungnya. Saat kita akan berpisah dan kem ini akan tamat. Kalau boleh ana mahu kem ini berterusan sampai bila-bila.” Jawabnya dengan tenang.

Saya benar-benar tersentuh dengan ungkapannya. Ketika itu mata Zul Willi kemerahan seolah menahan titisan air mata. Saya tahu, Zul Willi sangat sayangkan kem ini dan adik-adik peserta kem ini.

Kemudian, kami terus bersembang dan berkongsi berkaitan hal-hal kem. Dari sini, saya mulai mengenali rapat siapa Zul Willi yang sebenarnya. Dia seorang yang abang berhati nurani,sahabat baik hati, ayah yang priharin dan juga suami yang penyayang.

Inilah kenangan indah saya bersama teman-teman di Kem JATIDIRI. Saya lalui kem ini dengan perasaan dan jiwa yang diselubungi semangat Ukhuwah dan kerjasama yang erat serta sikap berlapang dada kepada sahabat.



POHONAN KEMAAFAN

Di sini, saya ingin memohon jutaan kemaafan kepada semua pihak termasuk Urusetia Induk, Urusetia AJK Pelaksana, Fasilitator, Para penceramah, Pak Cik Mak Cik Haluan Kelantan, Warga KTD, Ahli HALUAN Malaysia seluruh Malaysia yang hadir setiap minggu andaikata gerak kerja saya dan kami di unit operasi kem tidak memuaskan hati semua pihak. Saya sedar banyak perkara yang saya lakukan telah menguris perasaan dan tidak disenangi ramai pihak kerana saya tidak sempat untuk melakukan banyak kerja dalam satu masa. Banyak permintaan yang tidak sempat saya lakukan. Dan saya tidak dapat penuhi semua hajat yang dipohon.



Dalam konteks ini saya berpegang kepada kata-kata seorang Murabbi saya :



Jika kita mempunyai satu perasaan iaitu ingin memuaskan hati semua pihak, ini bermakna kita sudah berada di titii kegagalan, kerana kita sememangnya tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Yang hanya kita boleh lakukan adalah yang TERBAIK.”

Semalam saya dapat YM dan Mesej daripada beberapa orang adik-adik KEM JATIDIRI.

“ Abang Ali, ana pohon maaf atas kelakukan ana yang selalu menguris hati anta sepanjang kem ini.”


“ Abang, minta maaf banyak-banyak kalau ada salah dan silap sepanjang kem.”

Bagi saya, semua manusia akan melakukan kesilapan cuma bagaimana sikap kita untuk menanganinya. Sepanjang kem setiap malam sebelum tidur dan pejamkan mata, saya akan katakan kepada hati saya.


“ Ya Allah Ya Tuhanku, aku maafkan semua orang yang berada disekelilingku jika mereka ada melakukan kesilapan kepadaku. Rahmati dan ampunilah mereka.”

Esoknya saya bangun dengan jiwa yang baru untuk meneruskan hari-hari dalam kem ini. Tanpa rasa terkilan, terasa hati atau sebagainya. Alhamdulillah, inilah kekuatan saya dalam kem iaitu MEMAAFKAN ORANG dan BERLAPANG DADA.

KESIMPULAN

Catatan ini bukanlah untuk melemahkan atau mengkritik atau menyalahkan sesiapa yang terlibat. Cuma ia dinukilkan untuk kita mengambil pengajaran untuk khususnya untuk diri saya. Saya simpulkan tulisan ini dengan beberapa point ringkas.



1. Kekuatan yang paling ketara dalam kem ini ialah PENGORBANAN, KEIKHLASAN dan KESUNGGUHAN semua pihak dalam menjayakan kem ini



2. Kebergantungan kepada Allah SWT adalah sumber kekuatan yang paling kuat dalam melakukan sesuatu perkara



3. KEBERSAMAAN, ukhuwah dan jalinan kemesraan adalah ikatan jiwa yang akan memberikan kita kemanisan dalam bersahabat kerana Allah SWT.



4. Ketahuilah, dalam menjalankan kerja dan amanah yang besar ini di sana terdapat insan-insan yang menyayangi dan mengasihi kita kerana Allah SWT.



5. Sikap berlapang dada, maaf-memaafkan adalah kunci kepada persefahaman dalam menjayakan gerak kerja berpasukan



6. Dipercayai itu lebih utama daripada dicintai dan dikasihi. Kepercayaan seseorang kepada kita adalah satu penghargaan yang sangat mahal untuk diri kita. Peliharalah kepercayaan yang telah diberikan kepada kita.



7. Yang paling manis, saya mulai mengerti makna persahabatan itu bukan ketika senang sahaja tetapi ketika berhadapan dengan detik-detik sukar dan mencabar.

Buat adik-adik, antum adalah generasi pewaris Dakwah dan Tarbiyah di masa hadapan. Bukitkan kepada dunia, kita boleh melakukannya dengan bantuan Allah SWT. Jaga hati dan jauhi maksiat serta dosa yang boleh menjauhkan kita kepada Allah SWT.

Sekian.

Read more...

Murrabi Ummah

Wednesday, February 10, 2010

Al-Fadhli Ustaz Dahlan Mohd Zain - Tidak kenal erti jemu Mendidik Ummah
Murrabi Ummah

Oleh : BroHamzah

Satu perasaan yang ingin saya kongsikan dengan kalian sidang pembaca.
Perasaan ini telah lama saya pendam dan hari ini saya ingin meluahkan melalui medium ini.
Rasa hati saya kepada seorang insan yang amat saya kagum dan kasihi.

ZIARAH MURRABI

2 Minggu lepas, Alhamdulillah saya berkesempatan menziarahi seorang Murabbi dan juga Mudir sekolah saya dahulu iaitu Al-Fadhli Ustaz Dato’ Dahlan Bin Mohd Zain.(UDMZ) di HUKM. Sejak akhir-akhir ini, Ustaz selalu jatuh sakit dengan izin Allah SWT. Melihat keadaan yang uzur dan berbaring di katil wab membuatkan hati saya sayu. Semasa menziarahi Ustaz saya bersalaman dan memeluknya.


“ Ali ke ini?,” Soal Ustaz sambil memandang matanya kepada saya.


“ Ya Ustaz,” Jawab saya. Terharu juga, dalam keadaan begitu Ustaz masih meraikan pelawat-pelawat yang menziarahinya.

Semoga Allah SWT kuat dan tabahkan Ustaz. Semoga Ustaz cepat sembuh. Alhamdulillah, maklumat yang terkini yang saya perolehi Ustaz semakin baik kesihatan dan kini sudah pulang ke rumahnya di Perlis.

DAYA PENGARUHNYA

Saya mulai mengenali Ustaz semasa saya mulai menjejaki kaki ke sekolah lama saya iaitu MATRI. Sebuah sekolah yang menjadi tempat saya diproses untuk mengenali Allah SWT dan dididik supaya boleh bermanfaat kepada masyarakat pada suatu masa nanti. UDMZ adalah pengasas MATRI dan sejak daripada mula ditubuhkan sehingga kini, Ustaz adalah Mudirnya.

UDMZ yang saya kenal adalah seorang pendidik yang berjiwa besar. Kerendahan hatinya membuatkan saya sangat menghormatinya. Satu perkara yang menghairankan saya semasa tingkatan satu dahulu, Ustaz tidak suka pelajar mengucup tangannya apabila bersalaman dengannya. Pelik juga. Ini lambang kerendahan hati dan jiwa Ustaz. Ustaz tidak sukakan penghormatan yang berlebihan kepadanya.

PERISTIWA TINGKATAN 2

Saya masih ingat satu peristiwa semasa tingkatan 2. Suatu hari Ustaz Dahlan sakit kerana sakit goutnya dan ketika itu Ustaz tetap datang ke Sekolah seperti biasa. Dengan bertemankan tongkat Ustaz berusaha berjalan perlahan-lahan menuju ke Pejabat seperti biasa. Pagi itu Ustaz datang awal seperti biasa. Di kalangan guru-guru, Ustaz adalah orang yang awal akan hadir ke sekolah sekiranya tiada keuzuran. Inilah Qudwah yang sangat menyentuh hati.

Saya melihat dengan perasaan yang sangat terharu dan sebak. Ketika itu, ada seorang senior saya daripada Marhalah Khassah melihat Ustaz berjalan berteman tongkat daripada Mussola MATRI melalui jendela. Air matanya mengalir dan dia begitu sedih melihat keadaan Ustaz begitu. Saya bertanya kepadanya.

“ Kenapa abang sedih?,”Soal saya


“ Ana terharu melihat pengorbanan Ustaz mendidik kita. Tanpa jemu dan tidak pernah berputus asa. Enta lihat lah sendiri. Walapun dalam keadaan begitu, Ustaz masih gagahkan diri ke sekolah. Apa erti pengorbanan ini untuk kita semua,” katanya sambil melihat kepada Ustaz.


“ Ustaz mentarbiyah kita melalui qudwah yang hidup. Bagi ana inilah Murrabbi Ummah yang jarang kita temui di mana-mana.,” Sambungnya lagi

Saya tersentak. Kata-kata yang simple tetapi membuatkan saya berfikir dan tersentuh. Hari itu, barulah saya benar-benar rasa bersyukur kerana dapat mengenali seorang insan yang berhati mulia ini. Jiwanya penuh dengan cita-cita yang besar. Mendidik Ummah dan tidak pernah kenal kejemuan dalam berbakti kepada masyarakat.


KERENDAHAN HATI

Saya tahu Ustaz tidak suka dan tidak gemar dirinya diangkat dan dijulang-julang di tengah-tengah kemahsyuran. Kerendahan hati dan jiwanya membuatkan dirinya tidak perlu dihebah-hebahkan kepada sesiapa pun. Tetapi, keperibadian dan contoh yang ditunjukan Ustaz sentiasa hidup dan “popular” di hati anak didiknya dan dijiwa mereka-mereka yang mengenalinya.

Semoga Usaha dakwah yang dilakukan oleh Ustaz ini bersama-sama sahabat-sahabat seperjuangannya diredhai oleh Allah SWT.


Saya teringat satu kata-kata Ustaz :

“ Kita berjaya bukannya kerana bilangan ahli (pengikut) yang ramai dan kita gagal bukan kerana bilangan ahli ( pengikut) yang sedikit. Yang dinilai oleh Allah SWT adalah kesabaran dan ketabahan kita dalam mengharungi semua cabaran dalam medan dan jalan ini.” – (UDMZ)

Read more...

KEM JATIDIRI Membuka Dimensi Baru

Tuesday, February 9, 2010

Di sini Ia bermula


KEM JATIDIRI MEMBUKA DIMENSI BARU

Oleh BroHamzah

“ Ya Allah, Ya Tuhan ku ampunilah segala dosa-dosa, kesalahan-kesalahan, kesilapan-kesilapan, kelemahan-kelemahan dan kekurangan-kekuranganku dalam melaksanakan segala amanah yang dipertanggungjawabkan kepadaku.”

Pagi ini saya bangun dari tidur dengan rasa kesyukuran dan kehambaan kepada Allah SWT kerana masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan. Kehidupan yang dipinjamkan oleh Allah SWT ini seharusnya dilalui dengan jalan dan cara yang hanya diredhai oleh Allah SWT. Alhamdulillah, dengan sedikit kefahaman yang ada, saya cuba memahami hakikat ini.

Pagi ini berbeza dengan pagi-pagi sebelum ini. Sebelum ini, saya akan mulakan pagi dengan MINDA saya adalah untuk menguruskan KEM JATIDIRI. Namun, hari ini semuannya telah berakhir. Segala aktiviti harian JATIDIRI sudah pun tamat dan Alhamdulillah kem yang sangat panjang tempohnya ini iaitu 47 hari telah pun sampai dipenghujungnya. Majlis Penutupnya telah pun berlalui dan saya yakin para Urusetia, Fasilitator dan peserta Kem JATIDIRI akan menjadikan segala kenangan indah dan pahit kem ini sebagai kenangan yang sukar dilupakan. Cuma, saya agak terkilan kerana tidak sempat untuk berada dalam Majlis Perasmian Penutup kerana ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan segera di Sri Pantai ketika itu.

DIMENSI BARU

JATIDIRI telah membawa satu dimensi baru dalam pengurusan dan hubungan kerja bagi warga HALUAN dan KTD terutamannya dan khususnya bagi para AJK Pelaksana. Jika dilihat kepada kapisiti peserta, masa dan aktiviti kem ini JATIDIRI adalah kem yang sangat besar dan sangat luar biasa. Kenapa saya nyatakan begitu? Kerana kem ini memerlukan tenaga penggerak yang ramai, pengorbanan yang tinggi dan kesanggupan untuk menjalankan amanah yang besar. Tanpa bilangan tenaga penggerak sepenuh masa yang ramai, sudah tentu ia akan menjadi satu kesukaran dalam aspek pengurusan. Namun Alhamdulillah, tenaga sukarelawan yang sanggup berbakti dari KTD dan HALUAN telah membuktikan bahawa segala kesukaran itu dapat ditempuh walaupun banyak halangan dan cabarannya.

MINDA POSITIF
Pengorbanan, keikhlasan dan kesungguhan adalah kekuatan yang paling ketara tertonjol dalam kem ini.
Pengorbanan yang tinggi daripada Urusetia daripada KTD mahupun dari HALUAN termasuk HaluanSiswa dan Haluanita menjadi pendorong utama kem ini mampu dilaksanakan sehingga selesai. Pengorbanan ini adalah pengorbanan yang sukar diperolehi ditempat lain sekiranya ianya tidak dihubungkan dengan keimanan kepada Allah SWT

Keikhlasan dalam bekerja menjadikan kem ini dapat menyentuh hati ramai pihak walapun terlalu banyak cabaran yang mendatang. Saya selalu sebut kepada para peserta bahawa saya amat yakin kem ini penuh dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT. Ini kerana kita laksanakan kem ini adalah untuk kebaikan dan kebenaran untuk semua. Tunjangnya adalah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Kesungguhan yang ditunjukan oleh urusetia dan fasilitator dalam menggerakan kem ini sangat-sangat mengagumkan saya. Sedaya upaya, mereka ingin lakukan yang TERBAIK. Kesungguhan para peserta yang terlibat baik putera mahupun puteri menggambarkan keseriusan mereka untuk melaksanakan tugasan aktiviti yang diberikan. Walaupun keletihan dan kepenatan, para peserta tetap mencuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik. Terima kasih, adik-adik ku sekalian.

DISEBALIK SEMUA INI

Justeru, dikesempatan ini saya ini memohon jutaan kemaafan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kem ini diatas. Urusetia Induk,Presiden HALUAN Malaysia Prof Madya Dr Abdullah Sudin yang sentiasa meniupkan semangat dalam menjayakan kem ini, Pengerusi KEM JATIDIRI yang budiman iaitu Tuan Haji Nasir Saat yang sentiasa peka dan selalu membantu untuk memberikan yang terbaik.

Urusetia sepenuh masa, Ketua Operasi En Zaini Ghazali, Kem Komandan Zulkifli Willi, Saudara Jumat Salleh, Timbalan Kem Kom Saudari Hanisah, Hidayah, Syazwani dan juga kepada semua Fasilitator daripada KTD. Urusetia Operasi yang gigih melalukan kerja seperti Umeir dan Saif, tahniah antum adalah yang terbaik.

Dan juga kepada semua ahli Haluan seluruh Malaysia yang hadir membantu setiap minggu, syukran dan syukran. Kerjasama kalian amat dihargai. Buat Warga KTD yang tidak jemu membantu juga terima kasih sebanyaknya.

PENAMBAHBAIKAN DAN CADANGAN

Sekiranya ada cadangan dan penambahbaikan yang ingin dicadangkan untuk kem yang akan dating, saya sangat mengalu-alukan. Silakan. Boleh emelkan ke brohamzh@yahoo.com atau berikan komen anda di blog saya ini. http://brohamzah.blogspot.com

Cadangan anda amat penting supaya peningkatan demi peningkatan dapat ditingkatkan sama ada dari segi pengurusan kem mahupun pengisian kem. Doakan agar KEM JATIDIRI siri 2 dapat dilaksanakan di masa hadapan.
Saya akan kongsikan pengalaman KEM JATIDIRI dari semasa ke semasa. InsyaAllah. Sekian

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP