Ujian Terperit Dalam Hidup - "Gangguan" Makhluk Ghaib

Sunday, July 8, 2012


Di Sebalik Alam Itu, Ada Hikmahnya Buat Kita

Ujian Yang Terperit Dalam Hidup

Setiap kita, - saya dan anda – tentulah tidak sunyi dan sepi daripada ujian-ujian, musibah, dugaan dan mehnah kehidupan. Di saat ditimpa ujian yang hadir tanpa diundang dan dipinta, ketika itu hati kita terasa benar-benar dekat dan hampir dengan Allah SWT.

Percaya atau tidak, saat itu hati begitu teduh sekali. Terasa sayu-sayu dan mudah tersentuh dengan ayat-ayat Allah SWT. Jiwa begitu lembut untuk dijinakkan. Dan – air mata kita mencurah-curah dengan titisan kehangatan dan penyesalan. Berkaca-kaca membasahi pipi kita yag kering.

Daripada semua ini, saya dapati ada suatu musibah yang sangat perit apabila menimpa kita dan kita tidak tahu di mana titik penyelesaiannya. Tahukah kalian, apakah ujian atau musibah yang saya maksudkan?

Ujian : Apabila jiwa dan hati kita kosong dan terputus hubungan dengan Allah SWT.

Pengalaman Saya : Mimpi Gangguan Makhluk Ghaib

Tahun 2012, saya melangkah ke fasa perubahan yang begitu ketara sepanjang kehidupan saya. Banyak perubahan yang saya lalui tanpa saya sangka dan jangkakan. Perubahan fasa kepada seorang ayah, perubahan kerjaya dan beberapa hal lagi di luar dugaan saya.

Dicelah-celah itu, Allah SWT uji saya dengan sesuatu yang tidak pernah saya duga. 6 bulan yang lalu, saya masih ingat beberapa hari seusai isteri melahirkan anak sulung saya, - saya di”sapa” beberapa mimpi yang aneh dan pelik-pelik dalam lamunan tidur saya.

Sebenarnya, saya adalah seorang insan yang sangat-sangat jarang bermimpi dan apatah lagi untuk ingat apa yang saya mimpikan. Tetapi, beberapa minggu itulah hampir setiap malam saya “terjun” ke alam mimpi yang sungguh mengerikan buat saya.

Mimpi pertama, saya melayang ke sebuah tempat di Gua Musang, saya dibawa dengan menaiki van pelancongan sekumpulan manusia yang tidak saya kenali. Suasananya begitu benar-benar terjadi. Saya melawat beberapa tempat yang aneh-aneh yang tidak mampu yang catatkan disini. Saya tersedar dengan wajah dan air muka yang pucat. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Saya mulai kurang selera untuk makan. Hilang keinginan untuk menyamah makanan walaupun dihidangkan makanan yang saya suka. Badan menjadi sangat-sangat letih dan lemah.

Malam berikutnya, saya melayang ke sebuah tempat yang sunyi, gelap dan sepi. Saya keseorangan, saya kesunyian dan saya benar-benar tinggal bersendirian. Saya tersedar dengan dada berombak-ombak kencang. Apakah yang sebenarnya terjadi?

Malam seterusnya, adalah malam yang mengerunkan & mengejutkan saya. Rumah saya seolah-olah diserang oleh makhluk hitam yang ganas. Pintu dan dinding rumah digores dan diserang bertubi-tubi. Kesan cakarannya membelah dinding berbatu. – Seolah-olah dalam filem seram pun ada. Saya ternampak bayi kecil berubah wajah  yang sangat “horror” dan darah pekat  kemerahan membasahi ruangan rumah. Saya berlawanan dengan semua ini dengan zikrullah dan mendirikan solat hajat kepada Allah. Dan, dalam mimpi itu sekumpulan kawan-kawan sekolah lama saya hadir bersama-sama saya untuk mendirikan solat hajat di rumah saya.

Saya terjaga dengan istighfar yang panjang. Apakah semua ini?

Dua minggu, pelbagai mimpi yang hadir. – Binatang merayap – kala jengking, anjing mata bersinar, bayi senyum dan menangis, gelak tawa manusia dan pelbagai lagi. Macam-macam, sehingga saya semakin lemah. Ada kalanya, saya rasa bimbang dan risau untuk tidur.  Ketika itu juga, saya menguruskan keperluan isteri dan anak saya yang baru lahir. Jiwa saya kosong, hati terasa keras, amalan ibadah  harian kian merudum dan berkurangan.

Gangguan luar di alam realiti juga, ada. Bunyi-bunyi di tengah malam yang memecahkan kesunyian malam. Atap rumah berbunyi seperti benda jatuh dengan dentuman yang kuat.  Ketika itu emak mertua dan abang ipar saya ada di rumah, mereka juga mendengar hal yang sama.– Semua itu dilawan dengan zikrullah, munajat dan doa.

Allah SWT izin hampir setiap hari Jumaat, ketika waktu Subuh saya akan sakit seluruh badan, susah untuk bangun pagi dan sakit dibahagian pinggang dan kepala. Namun, saya lawan dan terus lawan.

Sebulan berlalu, berat badan kian susut. Hampir 5 kg turun tanpa sedar.  Makanan yang dijamah hanya untuk alas perut agar tidak kosong. Sehingga, suatu hari seorang teman saya menegur saya,”

“ Kenapa nampak cekung sahaja ini?Pucat muka anta ini. Takkan dapat anak terus jadi macam ini,” Katanya sambil bergurau.

Saya tersenyum tawa. Seusai itu, saya ke bilik air membasuh muka saya. Cermin ditatap. Wajah saya benar-benar pucat. Kelihatan tidak bermaya, lesu dan benar-benar kepenatan. Saya rasa sangat-sangat lemah. Jiwa kosong, apabila solat kemanisannya hambar dan tidak merasai apa-apa. Saat itu, saya masih ingat – saya mengambil keputusan untuk bertemu beberapa orang murabbi dan ustaz. Saya kongsikan dan luahan apa yang saya rasa.

Saya ceritakan kepada mereka satu per satu. Daripada simpton, ciri-ciri mimpi saya – boleh disimpulkan saya terkena gangguan makhluk ghaib (halus). Sama ada disihir, disantau dan terkena buatan orang, saya tidak pasti.

Mulanya, ramai yang terdiam seketika.

“  Anta kena lawan, kuatkan jiwa. Banyakan berzikir,” Kata seorang murabbi saya. Lalu, beliau menghulurkan secawan air zam zam kepada saya. Saya minum menenangkan perasaan.

“ Banyakan berdoa dan amalkan zikir al-mathurat. Itu senjata kita. Allah SWT adalah Rabb kita. Dialah Maha Agung dan Kuat,” kata seorang ustaz.

“ Baca ayat As-Syifa’ dan jadikan wirid harian anta,” Kata big boss saya.

“ Beginilah, malam ini kita buat solat hajat beramai-ramai di rumah anta. InsyaAllah,” Kata seorang murabbi yang lain.

Saya terasa kuat mendengar nasihat, panduan dan pedoman mereka. MasyaAllah, hati saya seolah-olah terisi. Dan – hari itu kerja pejabat saya benar-benar terganggu. Lalu, saya luahkan masa solat hajat di bilik sehingga beberapa rakaat. Kemudian, saya baca Al-Quran dan memasang bacaan zikir melalui laptop. Berkumandang aluan zikir penyejuk jiwa. Saya tenteram, bagaikan air sejuk dialirkan ke dalam tubuh dan di luar fizikal saya. Air mata berkaca-kaca ketika itu.

“ Ya Allah, aku hanya bergantung kepada-Mu!,”

Tiga minggu berlalu, keadaan semakin baik. Tetapi, “gangguan” masih ada. Saya teringat murabbi saya di Perlis, lalu saya hubunginya meminta nasihat.

“ Anta download ayat Ruqyah Syar’iyyah di blog ana. Kemudian, baca dengan air tadahan di hadapan dan hembus ke dalam air. Ambil air dan guna spray untuk sembur di sekeliling rumah,” Nasihatnya. Murabbi saya ini merupakan  pengamal dan perawat Darus As-Syifa.

“ Setiap kali habis solat, baca Al-Fatihah 7 kali. InsyaAllah, sebagai pendinding,” Katanya lagi.

Saya akur, dan buat apa yang dipinta. Hampir sejam saya pasang mp3 Ruqyah Syar’iyah dan membacanya. Ia mengandungi ayat-ayat Al-Quran dan zikir yang mathur (datang daripada Rasulullah SAW).  Suatu yag pelik apabila membaca Ruqyah ini ialah saya menjadi sangat-sangat mengantuk dan sukar untuk habiskan bacaan. Saya gagahkan untuk habiskan bacaan walaupun sudah terlelap beberapa kali. Air itu saya spray sekeliling rumah disetiap penjuru yang ada. MasyaAllah, malam itu juga dengan izin Allah SWT tiada mimpi dalam lena saya.

Saya terus melakukannya sehingga beberapa kali.

Alhamdulilllah. Alhamdulilllah. Alhamdulilllah.




Mencari Hikmah Di Sebalik Musibah

Gangguan masih tetap ada sehingga  hampir dua bulan. Tetapi sedikit tanpa memberi kesan kejiwaan dan psikologi kepada saya. Air mata saya tertumpuh dengan ujian ini, bukan bimbang atau takut kepada makhluk ghaib itu – tetapi kerana saya rasa benar-benar jauh daripada Allah SWT.

Lemah. Lemah. Lemah.
Kosong. Kosong. Kosong.
Hambar. Hambar. Hambar.
Jauh.Jauh.Jauh.

“ Akhi, Allah SWT uji anta kerana Allah SWT sayang anta. Apabila jadi sebegitu apa yang anta rasa?,” Soal seorang teman.

“ Ana rasa kosong dan sangat-sangat lemah!,” Ujar saya.

“ Jadi, apa yang anta buat?,” Tanyanya.

Saya terdiam.

“ Ana akan lebih mudah untuk membaca Al-Quran, berzikir, mendirikan solat dan mencari ketenangan serta kekuatan.” Kata saya.

“ Itulah hikmah ujian Allah SWT ini kepada anta,” Ujarnya lembut menerpa ke telinga saya.

“ Ya, Allah!,” Saya bagaikan tersedar akan sesuatu.

Saya kembali melihat apa yang berlaku. MasyaAllah.  Inilah ujian yang terperit bagi saya : Terputusnya hati saya dengan Allah SWT dan inilah ujian yang terbaik buat saya, kerana inilah titik mula saya untuk terus kembali kepada Allah SWT.

Saya suka untuk memetik suatu kata-kata yang diungkapkan oleh Hudzaifah al-Maraysi, kepada Yusuf bin Asbath di dalam kitab Jawahir Sifatus Shafwah karangan Syeikh Ibnul Jauzi, :

“ Tidak ada musibah besar yang menimpa seseorang kecuali keras hati.”

Ramadhan kian menghampir, inilah bulan kekuatan saya. Basuhan kerohanian akan terus subur di bulan penuh keberkatan, kerahmatan dan kemuliaan ini. Saya ingin repair, rawat dan overhaul  semua fakulti keinsanan saya yang kian “rosak” ini.

Ya Allah, terimalah hamba-Mu ini.


Catatan Seorang Hamba

(1)    Saya kehilangan berat badan sehingga 7 kilogram. Sedang usaha menambahkan semula. Mencari formula – jika ada tips mohon kongsi-kongsikan. Teringat nasihat seorang murabbi, Dr Baharuddin : “ Ustaz, anta kena makan banyak sedikit.” Senyum sahaja. Syukran Doc.

(2)    Saya ingin memohon maaf kepada semua, rakan sepejabat, sahabat handai dan kenalan yang berurusan kerja dengan saya sepanjang tempoh “ujian” ini. Performance kerja saya benar-benar merundum dan saya tidak jadikan ini alasan kepada kekurangan dan kelemahan yang berlaku. Seharusnya, saya harus kuat, tabah dan cekal melaluinya. – Motto saya, terus tersenyum walaupun jiwa lara.

(3)    Selepas peristiwa ini, semakin kerap saya mendalami ilmu berkaitan gangguan makhluk ghaib ini. Rahsia penawarnya ialah keyakinan kita kepada Allah SWT. Jika kita kuat (ruh dan jiwa), dan membulat pergantungan kepada Allah SWT, insyaAllah – selesai segala masalah.

BroHamzah
Setiap kita punyai ujian yang berbeza.
Soalnya, bagaimana kita mengambil ibrah dan hikmah daripadanya.

12 comments:

NooR AzLen BinTi HaRoN July 8, 2012 at 9:29 PM  

assalammualaikum

boleh amalkan habbatussauda.Alhamdulillah,respon drp customer ana mberangsangkn.

trdapat dlm soft gel,minyak dan serbuk habbatussauda.

BroHamzah July 8, 2012 at 10:17 PM  

Walaikumusalam,

Syukran atas perkongsian dan maklumat. Boleh detailkan maklumatnya. Laman website dan sebagainya.

Syukran.
BroHamzah

Khadeejah Haleem July 9, 2012 at 8:49 AM  

Cara makan Habbatussauda' yg paling baik ialah makan bijinya...., beli biji habbatussauda', gigitnya..lalu telan. Wallahu'a'lam.., Insya Allah.., Allah bantu.

Ckin Kembaq July 9, 2012 at 7:01 PM  

zikir al-ma'thurat..inshaAllah yakin..cubaan menganggu kebahagiaan la tu..

Jannatulnaim July 9, 2012 at 8:05 PM  

alhamdulillah..
syukran atas perkongsia ni,
kekadang saya juga rasa taku t nk tidur sbb pernag ad gangguan seperti ad yang ,menimdih badan saya semasa tidur, dan pd masa yang sama lidah jd keras n susah nk baca ayat al-quran..

NooR AzLen BinTi HaRoN July 10, 2012 at 2:05 AM  

http://www.facebook.com/pages/Produk-Habbatus-sauda/184458791673353

atau ke facebook saya untuk tempahan

http://www.facebook.com/wardah.addin

BroHamzah July 12, 2012 at 1:05 AM  

Syahidah Thohirah

Syukran dan terima kasih atas info yang berguna itu.

BroHamzah

BroHamzah July 12, 2012 at 1:06 AM  

Ckin Kembaq

InsyaAllah, zikir al-Mathurat sentiasa diamalkan sebagai penghubung jiwa dengan Allah SWT.

BroHamzah

hamba Allah July 14, 2012 at 12:32 AM  

ikhtiar, baca ayat kursi 11x sblm solat subuh. InsyaAllah. Doa Abu Darda' r.a juga

BroHamzah July 14, 2012 at 8:56 PM  

hamba Allah

Syukran atas saranannya. Alhamdulillah.

BroHamzah

فراس الزهرأ July 15, 2012 at 8:01 AM  

bismillah..

ayah saya juga seorang pengamal perubatan islam. abi selalu pesan, rahsia penawar bagi gangguan makhluk halus ni ialah keyakinan kita kepada Allah SWT. hanya itu.

yes exactly right!
moga ALLAH terus bantu kita.

BroHamzah July 15, 2012 at 6:36 PM  

Firas Az-Zahra'

Alhamdulillah, syukran atas perkongsian. Itulah yang saya rasakan.

KEYAKINAN MEMBULAT KEPADA ALLAH SWT.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP