Nota Tarbiyah : Perlu Kembali Kepada TIH

Tuesday, April 6, 2010

Tarbiyah perlu disemai sejak daripada kecil lagi


Nota Tarbiyah ; Perlu Kembali Kepada Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah.

Al Imam asy Syahid Hasan al Banna telah menyedari hakikat ini dan merasai bahawa
“umat ini semestinya kembali bangkit, namun khazanah (aset) umat ini untuk kembali telah terkuras habis, kecuali satu: itulah pemuda!”

Hasan al Banna telah mengungkapkan kata-kata: “nahnu fi ‘asyri at taqwin, fakawwinu anfusakum ( kita sekarang sedang berada di abad pembentukan peribadi, maka bentuklah diri kalian masing-masing).”

Umat yang serba lemah ini tidak mungkin mampu bangun dan berjuang untuk membangunkan semula Islam tanpa melalui proses Tarbiyyah Islamiyyah yang sebenarnya, sebagaimana Rasulullah s.a.w. telah membangunkan generasi al Qur’an yang unik tersebut.

Imam Hasan al Banna menyedari bahawa tarbiyyah ini jalannya panjang dan kesulitannya banyak. Hanya sedikit orang yang sabar menempuh jalannya yang panjang dan kesulitannya yang banyak , iaitu orang yang berkemahuan keras. Tetapi Hasan al Banna yakin pula bahawa tarbiyyah itulah satu-satunya jalan yang dapat menyampaikan kepada tujuan dan matlamat islami dan tidak ada jalan lain.

Asy Syeikh Mustafa Masyhur telah berkata:
“Tarbiyyah bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya tidak akan dapat diraih kecuali melalui tarbiyyah”.

Oleh itu untuk kita membangunkan individu muslim yang berkemampuan untuk mendukung Risalah Ilahi dan seterusnya membangunkan rumah tangga da’wah dan terbangunnya masyarakat yang diredhai Allah dan kita tidak ada pilihan lain melainkan melalui proses Tarbiyyah Islamiyyah harakiyyah.

Pengertian Tarbiyyah Islamiyyah

Tarbiyyah dari segi bahasa berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Manakala dari segi istilah, perkataan Tarbiyyah membawa pengertian cara terbaik (ideal) dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung (berupa kata-kata) mahupun secara tidak langsung (berupa keteladanan, sesuai dengan sistem dan wasilahnya yang khas) untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik.

Tarbiyyah Islamiyyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber Rabbani. Atau dalam pengertian yang lebih khusus Tarbiyyah Islamiyyah bererti proses mempersiapkan individu dengan persediaan yang menyentuh seluruh aspek kehidupannya, meliputi: ruhani, jasmani dan aqli (akal fikirannya). Ianya bersifat integral dan komprehensif.

Tarbiyyah Islamiyah adalah proses penyediaan manusia yang soleh , yakni agar tercipta suatu keseimbangan dalam potensi, matlamat, ucapan dan tindakannya secara menyeluruh. Keseimbangan di sini bermaksud jangan sampai kemunculan suatu potensi menyebabkan lenyapnya potensi yang lain. Dengan proses tarbiyyah inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah s.a.w. sehingga berjaya melahirkan Generasi Rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Ali ‘Imran: 110)

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP