Duduk sebentar, Kita Beriman Sejenak

Sunday, April 11, 2010

Beriman di mana-mana sahaja , tidak terbatas di sesuatu tempat tertentu

MARI KITA DUDUK SEBENTAR. KITA BERIMAN SEJENAK

Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah baru selesai daripada permusafiran ke Utara pada minggu lepas. Syukur dapat bertemu para murabbi dan sahabat-sahabat yang banyak mendidik dan memberi kalam nasihat. Sungguh, seorang mukmin itu salah satu dari kenikmatan dan kegembiraan baginya ialah bertemu dengan jiwa-jiwa mukmin yang di dalamnya hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Saya mengajak diri saya.
Dan diri kalian untuk sama-sama kita mengkoreksi diri.
Melihat diri akan hakikat keimanan kita kepada Allah SWT.

Para mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan.Tarikan pertama ialah tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal soleh dan azam kebaikan.

Tarikan kedua pula ialah tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya. Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, terus berlaku.

Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis tafakkur dan saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak kebenaran. Memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan. Memeriksa ilmu dan iman daripada tergelincir yang membawa kepada bid'ah atau kecuaian yang membawa kepada meninggalkan mana-mana perintah Allah dan petunjuk.

Mu'az bin Jabal telah menterjemahkan perasaan ini dengan satu perkataan yang
telah menjadi satu fasal daripada perlembagaan orang-orang yang beriman. Beliau telah berkata ketika mengingatkan sahabatnya:

(Marilah kita duduk untuk beriman sejenak).

Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad-Dardaa’ RA sambil memegang tangannya:

(Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak).

Lalu kita mengambil perkataan ini daripada mereka berdua. Kita menyeru para mukmin muslim untuk duduk sejenak dengan setiap nasihat untuk ia beriman dan mengkaji diri, ilmu dan kesungguhannya.

Musafir kali ini, saya sempat bersembang dan bertemu dengan seorang lagi Murabbi yang banyak mendidik dan memotivasikan saya sewaktu sekolah menengah dan IPT. Individu yang saya maksudkan ialah Dr Azizan Bin Ahmad. Jika berkesempatan, saya akan kongsikan serba sedikit pengalaman bersamanya.InsyaALLAH.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP