KIBAR - Menjadi Pelayan Ummat

Wednesday, December 30, 2009

Rekreasi Kembara Alam KIBAR 2009
Dikendalikan sepenuhnya oleh Fasilitator Kelab RMC Training Centre

K.I.B.A.R - Menjadi Pelayan Ummat

Luahan Rasa : BroHamzah

FASILITATOR TERBAIK

“ Ana sebenarnya ada meminta adik-adik peserta untuk memilih abang-abang dan kakak-kakak Fasilitator yang mereka rasakan yang terbaik di kalangan antum semua, “ Ujar saya kepada Fasilitator KIBAR Lepasan UPSR pada malam post mortem terakhir.

“ Setiap adik-adik perlu memilih hanya seorang sahaja dikalangan antum fasilitator yang terbaik bagi mereka dan ana juga meminta mereka nyatakan sebab mereka pilih abang atau kakak fasi tersebut.” Saya jelaskan kepada para Fasilitator tentang “undian rahsia” yang saya buat tanpa pengetahuan mereka.

“ Di tangan ana ada kertas yang ditulis oleh adik-adik tentang antum dan ana akan serahkannya kepada antum semua untuk dibaca,” ujar saya sambil menyerahkan kertas tersebut kepada semua Fasi.

Sambil mereka membaca kertas masing-masing, saya memerhatikan riak wajah dan air muka mereka. Ada yang tersenyum dan ada ketawa. Kebanyakan berubah air muka. Saya tersenyum sendiri.

“ Inilah luahan hati adik-adik terhadap antum. Cuba antum baca dan teliti. Apa punca mereka memilih antum sebagai Fasilitator kegemaran mereka?,” Soal saya.

Itulah antara intipati post mortem terakhir KIBAR 2009 baru-baru ini. Saya banyak menekankan kepada Fasilitator dibawah kendalian saya tentang peranan dan tugas fasilitator yang berkesan dalam menjayakan sesebuah kem. Malam itu, sengaja saya berikan kertas undian Fasilitator terbaik kepada mereka. Kebanyakan mereka mendapat tempat dihati dan dipilih oleh adik-adik.

Jika dilihat kepada faktor-faktor kenapa mereka dipilih sudah menerangkan kepada saya bahawa dalam memikat dan memenangi hati manusia kita perlukan kekuatan yang utama iaitu SENYUMAN, PERHATIAN dan SENTUHAN KASIH SAYANG. Berikut adalah beberapa komen dan sebab adik-adik memilih seseorang Fasi itu sebagai Fasilitator pilihannya yang saya sempat baca :

Kakak ini sangat baik hati dengan saya

Dia seorang penyayang dan mengambil berat tentang saya

Sangat Memahami jiwa saya

Abang ini suka buat lawak dan bergurau dengan saya

Dia rajin tolong adik-adik terutamanya jika ada masalah

Kakak suka senyum dan sentiasa Tanya khabar tentang saya

Abang selalu tekun membantu saya membaca Al-Quran

Itu adalah sebahagian yang ditulis oleh adik-adik peserta.

“ Apabila antum baca komen adik-adik, apa yang antum rasakan?,” Soal saya kepada semua Fasilitator.

“ Inilah kunci untuk menambat jiwa dan hati manusia,” Saya simpulkan.

KHADIMUL UMMAH

Visi kita sebagai trainer dan fasilitator adalah Khadimul Ummah atau Pelayan Ummat,” Inilah perkara yang selalu saya ulang-ulangkan kepada mereka.

Menjadi Pelayan kepada para peserta dan menjadi pemudah cara yang baik memerlukan pemahaman kepada jiwa manusia. Malam itu kami berkongsi banyak perkara tentang pengalaman dalam kem ini.

Fasilitator atau pemudah cara adalah individu yang sangat penting di dalam menjayakan keberkesanan sesebuah kem. Konsep yang selalu saya bawakan bersama-sama rakan-rakan dalam mengendalikan kem adalah fasilitator perlu sentiasa bersama para peserta. Merekalah yang akan menjalinkan hubungan hati dan membina jambatan hati dengan para peserta. Bagi saya tugasan Fasilitator ini adalah medan praktikal dalam melatih diri untuk menjadi dai’ yang tulin.

“ Kita berhubung dengan manusia atau para peserta melalui jiwa dan perasaan. Bukannya kata-kata atau tindakan arahan semata-mata. Dengan jiwa dan hati, kita akan menyentuh hati dan perasaan mereka,” Saya menambah simpulan yang saya buat.

KIBAR ITU BERLALU PERGI

KIBAR lepasan UPSR sudah 2 minggu berlalu, namun hati dan jiwa saya masih terawang-awang merentasi suasana kem tersebut. Segala kenangan bersama semua Fasilitator dan adik-adik peserta masih lagi dalam minda dan bayangan perasaan saya. Sukar untuk saya gambarkan melalui tulisan dan kata-kata.

Antara perkara yang saya belajar dari kem ini ialah ;

Pertamanya

Kebanyakannya para peserta merupakan pelajar darjah 6 dan tidak pernah berpisah dengan ibu bapa mereka. Dan boleh saya katakan hampir kesemua mereka pertama kali berpisah dengan keluarga untuk tempoh yang agak lama. Dan disebabkan inilah saya belajar cara untuk memujuk mereka. Kenapa? Ramai dikalangan adik-adik yang menangis ingin pulang ke rumah. Seingat saya ada 4 orang yang menangis di depan saya merayu untuk pulang. Saya rendahkan diri dan memujuk dengan kata-kata yang lembut.

“ Adik sayang emak tak?,” Soal saya dengan nada yang berhikmah.

“ Sayang,” Jawabnya sambil menahan tangisan.

“ Kalau adik sayangkan emak dan abah adik, adik kena buktikan kasih sayang tersebut.” Pujuk saya dengan kata-kata yang lembut.

“ Buktikan kepada abang, adik akan teruskan bersama abang di kem ini sehingga tamat KIBAR. Kalau sayangkan emak dan abah, adik kena jadi anak yang baik dan soleh. Emak dan Abah hantar ke kem ini mesti ada harapan yang tinggi.” Saya terus memujuk dengan kasih sayang.

Alhamdulillah. Ada respon yang baik daripadanya.

“ InsyaAllah, abang. Saya cuba.” Jawab adik tersebut.

Itu pengalaman yang baru bagi saya. Kenapa ye? Saya ini sebenarnya tidak pandai memujuk. Tetapi kerana pengalaman ini, saya belajar satu perkara baru.


Kedua

Saya belajar erti kasih sayang, merendahkan diri dan mengasihi manusia. Saya belajar bagaimana mengendalikan manusia dengan perasaan dan jiwa bukannya semata-mata dengan arahan melalui kata-kata dan memahami erti kasih sayang dan kepentingannya.

Sebuah kem itu akan hidup dan meninggalkan makna kepada para peserta apabila mereka merasai sesuatu yang baru dan meninggalkan kesan kepada hati mereka. Dan perkara yang paling menyentuh hati mereka apabila layanan dan kemesraan yang diberikan adalah melalui sentuhan kasih sayang dan perhatian yang ikhlas tanpa dibuat-buat. Daripada pemerhatian saya, kebanyakan Fasilitator KIBAR telah berjaya melakukan perkara ini. Mereka benar-benar berjaya membuktikan mereka adalah pelayan ummat kepada adik-adik peserta.

Tidak jemu melayan dan bersabar dengan karenah para peserta. Saya memerhati dan dari sinilah saya belajar melalui para Fasilitator. Tahniah buat antum!

SAAT PERPISAHAN

Setiap pertemuan pasti ada saat perpisahannya. Setelah 15 hari bersama, kami lalui KIBAR ini banyak pengalaman dan pengajaran yang kami timba. Ini bukan sahaja kepada para peserta tetapi untuk semua pihak. Termasuklah urusetia dan fasilitator sendiri.

Kami akhiri KIBAR dengan sesi sharing moment dan bersalaman. Saat paling sayu adalah ketika bersalaman dengan adik-adik. Kesemua adik-adik gagal mengawal perasaan dan akhirnya gugur jua titisan air mata membasahi pipi masing-masing. Dan saya jua tidak dapat menahan sebak. Bayangkan 15 hari bersama, tentunya bibit-bibit hubungan keinsanan itu sudah terbina dan perpisahan itu bermakna kami akan pulang ke tempat masing-masing, dan entah bila akan bertemu kembali.

Saya sebagai Kem Komandan ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada semua yang terlibat terutama Pengarah KIBAR Ustaz Zainudin Zakaria dan tenaga pengajar KIBAR yang banyak membantu seperti Ustaz Wafi, Ustaz Hairey, Ustaz Aswadi dan lain-lain. Timbalan saya Abdul Qawiem Baki, Azhar Hilmi ( Kem Kom pelatih) dan juga Siti Hajar Atiqah. Tidak lupa juga kepada Fasilitator yang hebat-hebat. Antum adalah yang TERBAIK!! Akhirnya buat adik-adik KIBAR 2009, Abang Ali akan sentiasa merindui adik-adik semua. Jumpa Lagi!.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP