Di Ambang Tahun 2010 - Cita-cita & Harapan

Wednesday, December 30, 2009

Saya ada cita-cita dan harapan untuk diri, keluarga dan Ummah ini!

Di Ambang Tahun 2010 – Cita-cita & Harapan

Oleh : BroHamzah


2010, akan ku jejaki

Melangkah dengan segenap kekuatan rohani

Membina impian seorang insani

Mengorak langkah mencipta visi dan misi

Agar Redha Ilahi menjadi pasti


2009, ku tinggal pergi

Doa kupanjat kepada Ilahi

Atas segala kurniaan tidak terperi

Akan terus disyukuri

Hingga ke akhir hayat nanti


KITA DAN MASA

Esok, 1 Januari 2010. Saya, anda dan kita semua akan memulakan 1 tahun yang baru. Bertambah lagi usia dan umur. Bermakna kita semakin membesar dan semakin dewasa. Dan yang penting, kita semakin menghampiri detik-detik pertemuan dengan kematian dan pertemuan dengan Allah SWT

Hampir seminggu saya menganalisis dan melihat kembali pencapaian dan peningkatan saya dalam tahun 2009. Alhamdulillah, ada yang tercapai dan ada yang belum memuaskan hati dan jiwa saya. Pada 1 Januari 2009, saya telah menyenaraikan 49 perkara yang akan saya laksanakan dan lakukan sepanjang 2009. Alhamdulillah 80 % telah Berjaya dicapai. Yang belum dicapai, akan saya lakukan post mortem dan akan ditingkatkan usaha kearah pencapaiannya pada tahun 2010. Seperti biasa, saya akan melakukan Pernyataan Misi atau Mission Statement yang telah 3 tahun saya amalkan dan biasakan dalam hidup saya. Inilah rahsia dan tips saya dalam merancang dan membina TEKAD dan AZAM dalam menghadapi kehidupan.

MISSION STATEMENT

Dalam menyenaraikan Misi dan Target saya dalam setahun, saya akan memecahkan MISI ini kepada 5 pecahan yang lebih kecil. Saya kecilkan skop-skop target berdasarkan beberapa bidang dan fokus. Berikut adalah pecahan yang saya lakukan :

SKOP 1 : Dakwah & Tarbiyah

SKOP 2 : Kerjaya dan Akademik

SKOP 3 : Pengurusan Kewangan

SKOP 4 : Peningkatan Kemahiran Insaniah (Soft Skill)

SKOP 5 : Hubungan Sosial & Ilmu Pengetahuan Umum

Kenapa saya buat begini? Bagi setiap SKOP akan saya senaraikan TARGET, AZAM, IMPIAN & CITA-CITA yang ingin saya capai dan laksanakan. Dan saya juga akan letakan TARIKH/MASA untuk dicapai target tersebut dan juga perancangan serta pelan tindakan untuk setiap skop tadi agar ia menjadi suatu yang realiti.

Mission Statement ini pernah saya kongsikan secara formal apabila saya masukan ia ke dalam modul Fasilitator ketika mengajar dalam Kursus Intensif Bahasa Arab, Kepimpinan dan Dakwah (KIBAR) awal tahun 2009. Secara umumnya, agar sukar untuk saya jelaskan kepada para peserta tanpa ia dilakukan secara praktikal. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka mendapat gambaran secara umum.

Semalam, semasa pulang dari Kota Bharu menuju ke Pulau Pinang, saya habiskan masa dengan menyenaraikan seberapa banyak mungkin TARGET & AZAM saya untuk tahun 2010. InsyaAllah, bermula esok saya akan susunkan ia mengikut SKOP yang biasa saya lakukan.

KENAPA PENTING MENETAPKAN TARGET & AZAM KITA?

Soal pentingnya untuk menetapkan matlamat, target dan azam bergantung kepada nilaian dan pandangan sisi seseorang kepada kehidupannya. Ada sesetengah kita yang sangat memandang serius tentang kehidupannya dan ia mempunyai wawasan yang jelas tentang apa yang ingin dicapai dalam hidupnya.

Baru-baru ini, saya sempat bersembang melalui YM dengan seorang sahabat dan junior saya semasa sekolah dahulu. Hilal Asyraf namanya. Kini, beliau semakin dikenali sebagai seorang penulis novel dan mempunyai websitenya sendiri. ( http://langitilahi.com)

Hilal Asyraf yang saya kenal adalah seorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi dan kekuatan beliau adalah TEKAD & AZAM yang kuat untuk merealisasikan impiannya. Saya sempat berbual tentang perancangan untuk tahun hadapan. Wah! Jangan terkejut, tahun depan beliau mempunyai banyak plan yang akan memberangsang kita untuk terus memajukan diri dan menggilapkan potensi dalam menyebarkan dakwah ke seluruh alam.

Tahun 2008, Hilal Asyraf ada menyatakan bahawa dia akan menerbitkan novel yang bertemakan ukhuwah dan tarbiyah Islam. Ketika itu, saya hanya menjadi pendengar dan seakan-akan tidak mempercayainya. Namun dalam hati saya,melihat dirinya yang bersungguh-sungguh dan berkobar-kobar saya amat yakin impiannya itu akan tercapai. Dan tahun 2009, Hilal Asyraf telah membuktikan kepada saya, bahawa dia benar-benar serius dan akhirnya kini novelnya telah berada di pasaran.

Sebenarnya, banyak perkara yang saya belajar daripada Hilal Asyraf ini. Walaupun masih muda, beliau ada sesuatu yang luar biasa. Iaitu BERJIWA BESAR dan BERWAWASAN JAUH. Daripada Hilal juga, saya belajar apa itu erti TEKUN, USAHA & BERSUNGGUH-SUNGGUH.

AYUH KITA BINA CITA-CITA & HARAPAN

Sukarkah kita untuk menjadi hebat dengan diri sendiri.?

Payahkah kita mengoptimumkan keupayaan diri untuk dimanfaatkan oleh Islam?

Masih ragukah kita dengan proses pendidikan yang kita lalui hari ini?

Tidak yakinkah kita bahawa kita sebenarnya sentiasa mampu melakukan sesuatu perkara jika kita ada cita-cita dan harapan?

Saya ingin mengajak kepada semua sidang pembaca, rakan-rakan dan teman-teman untuk membina cita-cita dan harapan yang tinggi. Kita tajamkan diri dengan proses Dakwah dan Tarbiyah sehingga kita mampu memberi apa yang kita ada semaksima yang mungkin.

Kita bina semua ini kerana modal untuk meraih kejayaan sudah berada di dalam genggaman kita. Modal itu adalah KEMAHUAN, CITA-CITA & HARAPAN. Dengan adanya kemahuan, kita mampu membina semua kejayaan dengan langkahan yang jitu dan padu. Jika diuji dengan warna-warni ujian dan cabaran, pasti kita akan sanggup menghadapinya kerana apa? Kerana kita ada kekuatan yang sangat besar iaitu KEMAHUAN!


AKHIRNYA

Ayuh teman, kita bina cita-cita dan harapan.

Agar diri kita sentiasa menjadi insan dan seseorang.

Insan yang berguna dan bermanfaat kepada orang di sekelilingnya

Menjadi seseorang yang ada maruh, cita-cita dan impian.

Dan akhirnya kita dapat MEMBERI sesuatu kepada masyarakat dalam rangka ubudiyah kita kepada Allah SWT.

Semoga tahun 2010, menjanjikan produktiviti yang lebih baik, cemerlang dan cermat berbanding tahun 2009.

Hiduplah untuk sesuatu yang tinggi dan mulia.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP