Ibrah 2009 K.I.B.A.R
Monday, December 28, 2009
Ibrah 2009 – K.I.B.A.R
Cetusan Hati : BroHamzah Jr
Sedarkah kita?
Beberapa hari lagi kita akan memasuki tahun 2010. Ini bererti bertambah lagilah satu tahun umur kita. Dan meningkatkan juga pengalaman dan pelbagai aspek di dalam hidup kita. Penilaian dan melihat semula perjalanan laluan hidup kita menjadi agenda yang mesti kita lakukan pada saat ini.
Review, muhasabah, post mortem dan apa jua istilah yang diberikan pada dewasa ini, kita seharusnya sedar dan menjadikan ia sesuatu yang penting untuk dilakukan. Bagi mereka yang mempunyai wawasan dan matlamat yang jelas dan terang, ia akan merasai keperluan untuk melakukannya. Sama-sama kita lakukannya untuk melihat tahap diri sendiri dan bersedia untuk meningkatkan diri.
UKIRAN SEJARAH 2009
Alhamdulillah, susunan dan ketentuan ALLAH SWT saya diizinkan olehNya untuk berkerja, berkhidmat dan menetap di negeri Perlis Indera Kayangan ( Kini kebanyakan orang kata Darul Sunnah). Setahun di sini, saya berkerja dan mengajar di sebuah IPTA iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dan juga terlibat secara langsung dengan sebuah syarikat pembangunan Modal Insan iaitu RMC Training Centre. Tahun ini juga saya banyak ilmu, pengetahuan dan kemahiran insaniah (soft skill) yang saya perolehi. Dan yang menariknya kesemuanya adalah sesuatu yang baru buat saya. Jika ditanya apa perasaan saya, jawapannya adalah SYUKUR. Inilah nikmatnya dan kepuasannya.
Teringat saya pesan seorang Murabbi saya : “ Tarbiyah kita adalah tarbiyah amaliyah. Ia sentiasa menuntut perubahan dan peningkatan.” Proses tarbiyah yang dilalui sangat-sangat menuntut kepada peningkatan. Tanpa peningkatan, kita akan berada pada tahap biasa-biasa. Tahap yang tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kekadangan saya suka menyebut sebagai tahap yang akan menjumudkan kita. Tarbiyah yang berbentuk teori dan dibentang dalam bentuk falsafah yang memberatkan sehingga tarbiyah itu sendiri dirasakan sebagai satu bebanan dan menjemukan. Harapan kita, tarbiyah itu merubah cara kita berfikir, cara bertindak dan seterusnya cara kita membuat keputusan dalam hidup ini.
KIBAR 2009
Saya ingin kongsikan 1 kem yang banyak memberi pengajaran dan input yang sangat berguna kepada saya secara peribadi. Kursus Intensif Bahasa Arab, Dakwah dan Kepimpinan (KIBAR) khusus untuk Lepasan SPM yang berlangsung pada Januari sehingga Mac tahun inindan Kursus Intensif Bahasa Arab dan Pemantapan (KIBAR) khusus untuk Lepasan UPSR yang baru sahaja selesai minggu lepas yang berlangsung pada 1-15 Disember 2009. Kedua-dua kem ini ringkasan namanya adalah KIBAR. Saya mulai tahun 2009 dengan KIBAR dan mengakhirinya juga dengan KIBAR.
Apa istimewanya KIBAR kepada saya?
KIBAR telah mengajar saya erti memberi dan berkongsi dengan sejujurnya.
KIBAR juga telah membentuk saya untuk menjadi insan yang penyayang dan pemurah
Penyayang dengan bekalan kasih sayang dan Pemurah dengan bekalan senyuman dan perhatian.
KIBAR juga melatih saya untuk sentiasa menjadi pendengar yang baik dan juga pemerhati yang sentiasa peka dan sensitif dengan keadaan sekeliling.
KIBAR LEPASAN SPM 2009
Inilah kem yang paling lama saya kendalikan. 3 Bulan, ia bukanlah tempoh yang singkat. Namun, dalam tempoh masa ini saya lalui pelbagai perasaan. Saat gembira, ketawa, riang, marah, sedih, terkilan,terasa, jemu, bosan, tertekan, tenang, bahagia, damai dan sayu. Semua perasaan ini telah dianugerahi oleh Allah SWT kepada saya sepanjang tempoh itu. Dan yang paling sukar saya lupa adalah peserta-peserta KIBAR 2009 ini. Terutamanya peserta lelaki.
Qawiem Baki, Mohsin Suhor, Nur Muhammad Mohsin, Zulkarnain, Fian Mursyidi, Hafiz Maarof, Siddiqi Ismail, Naqib, Nu’man Afifi, Solehuddin Zul, Khairi Asri dan Syairazi. Dan juga tenaga penggerak KIBAR seperti Azri Bashiron, Cikgu Azmi dan Ustaz Zainuddin Zakaria.
Dengan mereka ini, saya belajar untuk merendahkan diri dan berkongsi segala ilmu dan pengalaman yang ada. Alhamdulillah, selepas 3 Bulan. Saya semakin akrab, kenal dan mesra dengan mereka. Apa yang saya dapat dari KIBAR LEPASAN SPM 2009 :
Pertama
Mengurus kem yang tempohnya memakan masa yang lama dan belajar bagaimana untuk me”maintain”kan mood serta perasaan mereka. Saya belajar untuk sentiasa bersama dan memahami mereka. Alhamdulillah, saya belajar bagaimana memenangi hati manusia dengan mereka ini.
Kedua
Belajar pengurusan dan mengurus kem dengan sistematik dan teratur. Saya dapat juga membentuk sistem pengurusan bagi kursus-kursus yang memakan masa yang lama dan panjang. Sistem ini akhirnya saya laksanakan dalam kem KIBAR LEPASAN UPSR baru-baru ini. Alhamdulillah.
Ketiga
Mengembangkan modul Fasilitator Berkesan dan Pengenalan Kepada Pengendalian Kem.Alhamdulillah perkongsian ilmu dan pengalaman mengendalikan kem selama 2 tahun dikongsikan bersama mereka. Alhamdulillah, separuh daripada mereka menunjukan minat untuk mendalami bidang kefasilitatoran ini. Dan hampir kesemua menunjukan peningkatan dalam mengembangkan kemahiran dalam mengurus kem dan menjadi fasilitator yang baik.
Keempat
Saya belajar merendahkan diri. Tinggal bersama mereka dan HIDUP dengan mereka. Usia yang berbeza bukanlah penghalang untuk menjalinkan silaturahim dan membina jambatan hati. Di sini saya sedar, kita manusia adalah sama dan yang membezakan kita adalah TAQWA. Kerendahan hati itu dibina atas kesedaran untuk memberi dan berkongsi dan akhirnya saya menerima kepuasan yang tidak terhingga. Alhamdulillah.
Itu KIBAR LEPASAN SPM, KIBAR LEPASAN UPSR bagaimana pula? Nantikan post seterusnya..
Sekian wassalam
0 comments:
Post a Comment