Remaja dan Keunikan Dunia Keremajaan

Tuesday, November 24, 2009

Remaja Mulia, Ummah Menantimu


Remaja dan Keunikan Dunia Keremajaan
Oleh : BroHamzah

Hari ini, apabila menyebut tentang remaja pastinya kita akan memberikan beberapa gambaran mengenai golongan ini. Saya sukakan alam remaja dan ingin berkongsi berkaitannya. Kenapa tidaknya, kerana saya juga adalah remaja dan sedang melalui alam remaja dan berada dalam dunia remaja yang penuh dengan misteri dan kompleks.

Zaman remaja adalah zaman peralihan daripada kanak-kanak menuju alam dewasa. Ia merupakan zaman yang penting dan genting. Ia penting kerana ia merupakan zaman proses pencarian indentiti diri dan ia juga merupakan tempoh masa yang sangat proaktif dan produktif. Zaman remaja adalah masa yang dihiasi dengan semangat berkobar-kobar dan keberanian yang luarbiasa. Masa muda ini jugalah ia menjadi tempoh penyediaan bekalan dihari tua.



Ia genting, kerana zaman inilah membuaknya perasaan ini mencuba. Mencuba segala sesuatu yang baru tanpa melihat kepada kesan positif dan negatif. Dan tempoh ini juga genting kerana tempoh ini bermulalah fasa pencarian diri dan indentiti sebelum melangkah kea lam dewasa yang lebih mencabar dan penuh dengan dugaan kehidupan.

Cabaran Mendidik Diri Semasa Remaja

Sewaktu di Tingkatan 4, saya mengalami krisis pencarian identiti yang agak kompleks dan proses pembinaan diri yang sangat merumitkan. Sepanjang tempoh itu, keperibadiaan saya tidak stabil dan emosi yang sering terganggu. Setiap input proses Tarbiyah akan saya terima dan diproses di dalam diri untuk melahirkan suatu kefahaman. Namun apabila disesuaikan dengan realiti, saya benar-benar keliru dan apa yang saya terima daripada kefahaman yang ada bercanggah dengan suasana yang ada. Ketika itu saya benar-benar tertekan. Jiwa memberontak dan kehidupan yang dilalui benar-benar membebankan.

Ketika itu saya berjalan tanpa bimbingan dan panduan. Namun Alhamdulillah, di sana terdapat insan-insan yang ikhlas dan jujur hatinya dalam membantu saya dalam memperbaiki diri dan tidak jemu untuk melorongkan saya ke arah jalan yang benar. Di penghujung tingkatan 4, saya mulai berminat untuk mengkaji tentang alam remaja. Ketika itu saya banyak membaca buku-buku yang berkaitan psikologi remaja dan segala berkaitan misteri alam remaja. Bermula saat itu lah saya mulai sedar, alam yang sedang saya lalui ini adalah alam yang sangat KRITIKAL, GENTING dan SANGAT PENTING dalam fasa-fasa pembesaran kehidupan saya.

Keunikan Dunia Remaja



Mendidik remaja merupakan satu cabaran besar bagi ibu bapa. Seringkali ibubapa menitiskan air mata kerana gagal dalam mendidik anak-anak remaja mereka. Berdasarkan pengalaman-pengalaman dalam mengendalikan program-program atau kem-kem yang melibatkan remaja , saya mulai sedar kepada suatu hakikat bahawa remaja mempunyai keunikan mereka yang tersendiri .



Saya pernah membaca satu artikel yang ditulis oleh seorang Murabbi saya berkaitan dunia remaja :



“ Mereka (remaja) ini mempunyai dunia mereka sendiri dengan bahasa, nilai dan budaya mereka sendiri. Berinteraksi dengan remaja dengan mengabaikan hakikat ini adalah satu tindakan sia-sia yang akan menatijahkan kegagalan dan kekecewaan. Oleh itu, kita perlu memahami dunia mereka terlebih dahulu supaya kita benar-benar dapat berinteraksi dengan jiwa mereka. Kita perlu ziarah dan menetap di dunia mereka untuk satu tempoh hingga kita dapat memahami bahasa, nilai dan budaya mereka sebelum kita melakukan sebarang tindakan untuk membetulkan mereka. Penguasaan kita dalam bahasa mereka akan memudahkan kita memahami dan menghayati nilai dan budaya mereka. Semakin fasih kita berbahasa dengan bahasa mereka, semakin mudah untuk kita bergaul dan diterima sebagai ‘warga’ mereka dan barulah mudah untuk kita memahami nilai dan budaya mereka.”



Salah satu halangan yang paling besar ketika proses pencarian identiti semasa remaja, adalah PENGARUH Rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya adalah faktor utama kepada perubahan dalam diri seorang remaja. Benar atau tidak? Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Dengan siapa kita berkawan, bergaul dan bersama akan mempengaruhi corak pemikiran dan ia akan memberi kesan yang besar kepada proses pencarian identiti seorang remaja.

Remaja Hari Ini



Di era Millinium ini cabarannya terlalu berbeza. Ketika berdepan dengan globalisasi (perkongsian maklumat dan budaya) remaja kita membesar tanpa sentuhan kasih sayang. Kemewahan dan kesibukan duniawi hasil dari cara hidup kapitalis menjadikan hati-hati anggota keluarga sering berjauhan. Kalau kemiskinan dan kekurangan mengasah jiwa manusia agar menjadi kental dan tabah….tetapi kemewahan menjadikan jiwa manusia lemah dan manja.



Saya suka mengambil analogi Prof Hamka berkaitan persekitaran dan perkembangan jiwa manusia, katanya “Ikan di sungai lebih baik dan sedap isinya dari ikan di kolam”. Ya, ikan di sungai hidupnya sentiasa menentang arus. Hari-hari yang ditempuhinya adalah perjuangan atau survival diri. Manakala ikan di kolam hari-hari yang dilaluinya adalah hari-hari libur, santai dan kerehatan kerana itu isinya hanyir dan tawar berbanding ikan di sungai. Kesusahan menjadikan pemikiran kita tajam dan jiwa lebih matang.



Ketika kehidupan terlalu menekan manusia akan lebih cenderung pada nilai-nilai asasi kehidupan. Perjuangan mereka ialah untuk kesatuan, kebersamaan dan kepentingan bersama. Sedangkan kesenangan dan kemewahan menyibukkan kita dengan keinginan dan impian yang lebih bersifat peribadi. Ibnu khaldun dalam kitabnya Muqaddimah pernah menyebut “ Pemuda-pemuda yang lahir dan membesar dalam suasana yang sukar dan tertekan lebih memikirkan keperluan masyarakat dari keperluan diri sendiri manakala pemuda yang lahir dan membesar dalam suasana kemewahan lebih mengutamakan diri sendiri dari masyarakatnya”.

Mencari Remaja Mulia dan Hebat



Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Ya’la :



“ Sesungguhnya Allah SWT sangat kagum pada pemuda yang tidak ada baginya masa muda( waktu bergembira dan bersuka ria) .”

Siapa pemuda yang hebat yang kita ingin miliki? Hari ini kita kehilangan tokoh-tokoh keperibadian yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat. Lihatlah remaja yang ada. Hanyut dibuai mimpi-mimpi palsu dan tenggelam dalam gelora nafsu yang sentiasa menipu.

Kita inginkan pemuda seperti Mus’ab Bin Umair yang teguh mempertahankan keyakinannya walaupun diancam oleh Ibunya yang dikasihi. Kita hajatkan susuk tubuh pemuda umpama Bilal Bin Rabah yang tabah menghadapi segala ujian dan seksaan hebat oleh pihak Kafir Musyrikin. Kita idamkan pemuda yang berpandang jauh dan hebat kepimpinan seperti Sallahudin Al-Ayubi yang Berjaya menawan kota empayar musuh Islam. Kita impikan pemuda yang hatinya sebersih Hassan Al-Banna yang memimpin Gerakan Islam yang hebat di usia yang begitu muda.

Wahai remaja mulia? Di mana kalian ketika ummah ini benar-benar memerlukan kalian?

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP