Hari-hari bersama mereka,amat berbeza dengan hari-hari tanpa mereka.
Bagaikan sebuah "kehilangan."
Bismillah, syukur kerana saya mampu mencoret catatan ringkas di saat ini.
Saya merenung jauh - melangkaui sempadan yang ada. Sangat-sangat jauh dan melihat satu per satu masa-masa yang berlalu dalam kehidupan saya. Kini, usia sahaja bakal mencecah 27 tahun.
Hari Ibu adalah hari istimewa, special dan tersendiri buat kita semua. Setiap hari adalah hari-hari yang harus ada untuk ibu-ibu kita.
Dan, dalam hidup saya – saya punyai dua orang ibu. ^^
Ya. Ibu kandung saya & ibu mertua saya. Dua-dua adalah istimewa buat saya.
[Mak Nah & Mak Pah]
Tok Nah & Teita Pah – panggilan anak saya untuk mereka berdua.
Ibu-ibuku
Bercerita tentang ibu-ibu ini, tentunya meruntum hati kita. Terlalu banyak kisah-kisah yang menyentuh hati. Sesiapa pun, - macamana pun tahap pendidikan, pengalaman, kehebatan diri atau bagaimana dirinya – jika berbicara tentang ibu, pasti “terasa” sesuatu yang amat-amat berbeza perasaannya.
Kedua-dua ibu saya ini tentunya tidak selesa jika saya berkongsi kisah-kisah mereka secara maya sebegini. Mak saya, selalu berikan peringatan dua perkara : Jangan masukan gambarnya dan kisah-kisah cerita berkaitannya. Katanya, malu lah. [ Baca : Segan ]
Apa pun, ibu-ibu saya adalah insan luar biasa hebat pada mata saya. Hebatnya mereka kerana mereka punyai visi, kekuatan dan semangat untuk mendidik dan membesarkan kami sebagai hamba-hamba Allah SWT.
Ibu saya, - Puan Hasnah Bt Rashid
Mendidik kami 10 orang adik-beradik dengan penuh keimanan, kesabaran dan dedikasi yang tinggi.
Bayangkan 10 orang anak. Jarak usianya – dekat-dekat.
Saya bertanya : “ Emak bahagiakah membesarkan kami?,”
“ Alhamdulillah.” Jawapan ringkas emak saya untuk semua soalan yang ditanya kepadanya.
Mak saya orangnya biasa-biasa, tenang-tenang dan very humble person. Dan antara perkara yang saya belajar daripada emak saya ialah : “ Keimanan, istiqamah, ketenangan dan kelembutan.”
Saya masih terbayang-bayang, - kesungguhan mak saya membuat pelbagai aktiviti di antara kami adik beradik semasa kecil – buat pertubuhan kelab anak-anak soleh sesama kami, bercerita Sirah-sirah nabi sebelum tidur, buat pertandingan kuiz pelajaran, tidak jemu mengajar saya dan adik-adik Al-Quran setiap hari dan juga – mengajar intensif bahasa Inggeris setiap hari.
Semua masih kukuh dalam memori saya. Terima kasih Mak atas pengorbanan itu.
Mak mertua saya, - Puan Sharifah Bt Ismail
Beliau - seorang wanita yang cekal, tabah dan punyai semangat juang yang tinggi. Membesarkan empat orang anaknya (termasuk zaujati tercinta) seorang diri setelah pemergian suaminya beberapa tahun yang lalu.
Saya selalu bersembang dengan zaujati tentang kecekalan maknya mengharungi kehidupan bermula dari kecil sehingga lah kini. MasyaAllah – sesungguhnya Allah SWT menguji seseorang dengan kadar kemampuan yang ada padanya.
Mak mertua saya ini, orangnya periang, ceria, sangat-sangat ramah dan sangat caring! – Semasa fasa pertunangan saya – bakal ibu mertua saya inilah yang banyak memberikan tips-tips untuk mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah.
Apa yang saya timbanya daripada ibu mertua saya ialah : “ Hidup ini harus cekal dan kuat untuk menghadapi apa jua kemungkinan dan ujian, pengurusan hidup yang bersistematik dan sentiasa merancang dengan sebaiknya.”
Saya masih ingat, ketika dalam tempoh pertunangan saya dengan bekas tunang saya itu. ( Baca : Zaujati). – Mak mertua saya menelefon saya suatu hari. Bertanya khabar, dan sembang-sembang seketika. Lalu beliau bertanya :
“ Ali, kenapa tidak contact Maryam. Katanya lama dah Ali tak hubungi tanya khabar?,” Tanyanya.
Gulp!. Terkejut saya, tak sangka. Memang saya masa itu sangat-sangat jarang hubungi bekas tunang saya itu. Ya lah, saya ini kan pemalu.
“ Kalau hendak jaga hati pun, hubungilah tanya-tanya khabar. Itu bukannya siapa pun – tunang Ali juga.” Katanya mak mertua saya sambil memberi panduan perhubungan antara saya dan anaknya.
Apabila difikir balik, sememangnya mak mertua saya sangat sporting, mudah berbicara dan bijak dalam membimbing saya. Itulah membuatkan saya rasa sangat-sangat bertuah memiliki mak mertua yang superb!
Gabungan Ibu-ibuku ini
Hasilnya, saya mendapat sesuatu yang besar dalam kehidupan :- iaitu didikan keimanan dalam jiwa kemanusiaan. Mereka berusaha keras untuk memberikan didikan terbaik agar anak-anak mereka membesar sebagai hamba Allah SWT yang diredhai-Nya.
Dan, inilah keberuntungan yang sangat-sangat saya syukuri. Punyai dua orang ibu yang boleh dipanggil ibu generasi dan juga “ superwomen.”
Saya mempunyai ibu. Anda juga begitu. Kita semua mempunyai ibu. Justeru, bagaimanakah kita “melihat” dan menghargai mereka dalam hidup ini?
Catatan Seorang Hamba
(1) Saya semakin memahami erti pengorbanan ibu, apabila memasuki fasa perkahwinan dan dikurniakan seorang anak. Jangan memandang remeh, biasa-biasa dan kecil – kepada seorang insan yang bergelar ibu, ummi, mama, mummy, amma dan mak!
(2) Zaujati juga telah menjadi ummi. Seronok melihat zaujati melalui fasa-fasa ini. Saya turut belajar menjadi seorang abi. Selepas ini, kena buat post special bertajuk “ Abah Dalam Hidupku.” Saya hanya ada seorang abah saja kerana, tidak sempat untuk mengenali dan bersama dengan ayah mertua. Ayah kepada zaujati telah kembali ke rahmatullah 8 tahun yang lalu. Semoga Allah SWT mencucuri ruh arwah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Ameen.
BroHamzah
Jalan Long Yunus, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim, Malaysia
Read more...
Nota Tarbiyah : Sayonara Tarbiyah!
Tuesday, March 6, 2012
Tanpa sedar, kita sedang berada dalam proses meninggalkan proses tarbiyah
kerana hilangnya kepekaan jiwa dan sensitiviti hati kita.
Ayuh kita semak segera!
Bismillah, - nota tarbiyah ini saya kongsikan hasil catatan beberapa tahun dahulu. Ianya sebagai check-list dan senarai semakan kita dalam memelihara keaslian dan keteguhan kita dalam melalui proses didikan untuk menjadi hamba Allah SWT. Kongsian ini, adalah titipan daripada murabbi Sir MAZA. Syukran Sir atas panduan yang diberikan.
Sahabat pembaca yang budiman,
Sedar atau tidak – kita rasa begitu selesa dididik, diasuh dan ditatang dengan biah-biah serta proses didikan oleh para pendidik kita. Timbul perasaan selesa, - biasa dan semakin hari segala didikan itu menjadi rutin semata-mata sehingga “hilangnya” proses yang seharusnya benar-benar berjalan dalam diri kita.
Murabbi saya pernah menyebut : “ Program berjalan, tetapi proses tidak berlaku.” Maknanya apa ? - kita hadir kesemua program yang direncana, disusun dan diaturkan. Hadir jasad, fizikal dan tubuh badan ke dalamnya. Tetapi, kehadiran jiwa – hati – kemahuan & kesungguhan dikesampingkan sehingga “proses” yang diharapkan berlaku – tidak hidup dan nyata dalam kehidupan kita.
Lama kelamaan, sedikit demi sedikit timbullah simpton-simpton sayonara tarbiyah. Ia itu bibit-bibit untuk memencil, menyendiri, menghilang dan “selamat tinggal” tarbiyah!
Justeru, murabbi saya – Sir MAZA – berkongsi dengan kami tentang faktor-faktor yang akan menyebabkan kita meninggalkan proses tarbiyah :
(1) Adanya Rawasib Tarbiyah
Apa itu rawasib jahiliyah? Rawasib Jahiliyah itu ialah karat-karat atau sisa-sisa amalan sewaktu kita dalam kejahilan. Sewaktu, tidak kenal apa itu Islam, apa itu proses penyucian jiwa dan tidak tahu kenikmatan Iman dan sewaktu dengan nya.
Maaf dinyatakan di sini, - semasa kita berada dalam proses ini – masih ada rawasib-rawasib atau bentuk-bentuk keaiban yang masih kita simpan, sayang dan “jauh” sama sekali untuk mengikisnya. Dan – tanpa kita sedari, inilah punca kita semakin hari semakin jauh daripada Allah SWT.
Justeru, cuba tanya diri kita. Apakah rawasib, keaiban atau dosa-dosa yang masih kita “reserve” dalam proses didikan ini. Mungkin sahabat baik atau murabbi kita tidak tahu – tetapi ketahuilah Allah SWT itu Maha Mengetahui!
Kaitannya dengan dosa, amat-amat akrab. Jika kita terus menerus bergelumang dengan perkara-perkara ini, maka akan hilang perasaan berkobar-kobar serta “himmah” kita untuk memperbaiki diri. Dan, inilah bencana dan musibah yang terbesar dalam diri kita.
(2) Tidak boleh berada di bawah
Ehmm.. Apa makna ini? Bermakna, kita tidak boleh berada di bawah didikan atau pantauan individu-invidu yang akan mendidik kita kerana asbab-asbab tertentu. Terutamannya, jika ia melibatkan faktor-faktor luaran. Contohnya, individu itu kelulusan akademiknya lebih rendah daripada kita.
Kita memiliki, Ijazah Sarjanan– tetapi individu bertanggungjawab ke atas kita hanya diploma. Kita “terasa” lain macam sahaja dengannya. Kita tidak selesa dan tidak “ngam” kerana faktor-faktor ini. Walhal, individu itu sudah lama berada dalam proses didikan ini – dan dia punyai kewibawaan dan pengalaman dalam proses ini.
Atau, - murabbi kita yang diamanahkan kita hanya golongan bawahan dari segi kerjaya. Kita pula, berpangkat – luar biasa hebat! – timbul pandangan semacam sahaja kita dengannya.
Justeru, jika hal ini ada dalam jiwa dan hati kita. Bermuhasabahlah, masih terdapat banyak perkara yang harus diperbaiki!
(3) Tiada penyerahan diri sepenuhnya (100%)
Aspek ini, sangat-sangat penting. Jika kita tiada penyerahan sepenuhnya kepada proses tarbiyah, tiada kepercayaan kepada murabbi yang akan mendidik kita – nescaya proses “sayonara” kita terhadap tarbiyah kian hampir.
Apakah yang dimaksudkan dengan serah 100 %?
Maknanya, jiwa kita – ketaatan kita – dan semuanya tentang diri kita dibulatkan untuk menerima panduan Allah SWT dan Rasulullah SAW sepenuhnya. Tiada juz’I – juz’I atau separuh-paruh mengikut kehendak kita semata-mata.
Hati kita dibuka seluas-luasnya untuk disinari nur hidayah Allah SWT.
Segala perbuatan dosa dan maksiat kita bertekad untuk buang kesemuannya.
Kita konsisten dengan amalan soleh.
Dan – kita iltizam dengan semua program tarbiyah yang disusun oleh pendidik kita.
Penerimaan kita harus membulat tanpa sebarang keraguan dan kesangsian. Dan – di sinilah rahsia keberhasilan dan kejayaan tarbiyah.
(4) Ada kepentingan diri di saat penglibatan dalam proses tarbiyah
Ya. Ini juga sangat-sangat penting. Ia berkaitan dengan keikhlasan dan kejujuran kita dalam mengabungkan diri dengan proses tarbiyah.
Tiada wujud aspek-aspek kepentingan diri. Hajatkan habuan keduniaan atau menjurus kepada keuntungan diri.
Eh, adakah macam tu? Ada…, banyak sebenarnya hal ini terjadi kepada kebanyakan individu yang menglibatkan diri dengan proses tarbiyah kerana maksud-maksud, tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat yang bukan kerana Allah SWT. Bukan kerana ingin membaiki diri, tetapi kerana lain.
Contoh? Hmm.. Sama-sama kita renungi dan kongsikan contohnya.
(5) Ego yang tidak berkesudahan
Faktor ini, adalah faktor yang akan melanda sesiapa sahaja. Sifat Ego adalah sifat syaitan dan jika kita tidak pelihara hati dan jiwa – ia akan menghinggapi diri kita.
Sifat Ego tidak aka nada kesudahan, jika tanpa kerendahan hati. Maaf jika dinyatakan, - sesiapa sahaja akan diuji oleh Allah SWT dengan keegoaan ini. Bagaimana?
Apabilan Allah SWT kurniaan kepada-Nya pelbagai nikmat, anugerah dan pemberian. Kecerdikan, kepintaran, kemahiran yang pelbagai dan kemasyhuran. Dan – jika hal ini bertapak di dalam jiwa kita cepat-cepat kembali kepad Allah SWT.
Bayangkan kelemahan, kekerdilan dan kekecilan kita.
Kita tiada apa-apa untuk diegokan, dibongkakkan dan sebagainya.
Jauhi Ego! - Kerana, kesannya ialah bibit-bibit kebencian akan tersemai di dalam jiwa manusia.
Itulah sedikit perkongsian yang ingin saya nyatakan. Buat kita semua yang berada dalam rahim didikan ini. Sifat dan sikap “taqwa”, berhati-hati dan penuh kepekaan sangat penting dalam membantu kita untuk terus kekal dalam suasana yang mampu memproses kita menjadi hamba Allah SWT.
Katakan Sayonara Jahiliyah,
Dan – bukitkan kita sayangkan tarbiyah!
Catatan Seorang Hamba
(1) Saya sangat tertarik dengan faktor pertama iaitu, Adanya Rawasib Jahiliyah. Ya, - kaitan dengan dosa, maksiat dan keaibanan sangat jelas. Ramai yang akan tersungkur di pertengahan jalan kerana mengabaikan hal ini. Saya kongsikan satu tajuk di Langit Ilahi dalam ruangan Himmah iaitu : Pembunuh Himmah No. 1 :- Cintakan Dosa!. Semoga bermanfaat.
(2) Murabbi saya sentiasa berpesan : - “ Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT, agar kita terus thabat dan kekal dalam jalan Islam yang hanif, lurus dan benar ini.” Kita tidak pernah tahu akhir hayat kita, bagaimana? – Berdoalah, pohonlah dan mintalah hanya sanya kepada Allah SWT – agar kita terus kekal dalam manhaj atau sistem Allah SWT bagi melahirkan hamba-hamba Allah SWT yang tunduk, patuh dan taat kepada-Nya!
BroHamzah
15 Rabiulakhir 1433 H
8 Mac 2012 M
Kolej Teknologi Darulnaim,
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Malaysia, Asia Tenggara.
Read more...
Labels:
Nota Tarbiyah
Agar Mata Penamu Berbekas
Saturday, March 3, 2012
Benarkah - kita kehilangan sesuatu dalam
berkarya, berkongsi dan menulis?
Bismillah, saya mulakan tinta di teratak teduhan ini dengan nama :
Allah SWT- Rabbul ‘Alamin.
Berkarya, menukil, menulis dan bertinta – ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dijelmakan dalam apa jua medium atau lakaran yang kita ada.
Namun, “ada” sesuatu yang lebih besar daripada itu yang harus dilihat ialah, apa yang kita tulis, lakarkan dan catatkan itu benar-benar berbekas, berpengaruh dan berkesan.
Dan – impak dan kesan yang lebih utama dan penting ialah tulisan kita itu memberikan “bekas” kepada diri kita sendiri. Itulah penulisan, perkongsian tinta, karya dan mata pena yang terbaik.
Ia menyentuh hati kita terlebih dahulu, dan menjadikan kitalah orang “pertama” yang tersedar, terbangkit dan termotivasi hasil daripada perkongsian kita melalui medium ini.
Itulah dilemma bagi mereka-mereka yang menjadikan penulisan ini sebagai medium perkongsian mereka dalamberkongsi ilmu, menasihati, memperingati dan menyebarkan kebaikan kepada sesiapa sahaja.
Boleh sahaja,- memperindahkan bahasa-bahasa puitis dalam setiap karya yang dihasilkan agar jiwa-jiwa sang pembaca tersentuh, tersentak dan sebagainya. Namun, yang menjadi musibah dan “malang” bagi sang penulis apabila hatinya sendiri kaku dan beku – bahkan tidak terkesan dengan apa yang dinukilkannya.
Memelihara kebersihan, kejernihan dan “keputihan” – hati, niat dan keikhlasan dalam beramal adalah perkara yang begitu sukar dalam kehidupan ini. Begitu juga dalam penulisan ini. – Apabila ada yang “mengangkat” , memuji, memuja, mengeji, menghina dan sebagainya – jiwa sendiri boleh berubah warnanya.
Apatah lagi, jiwa-jiwa yang menukilkan tinta daripada mata pena itu sendiri tidak beramal, bergerak melaksanakan dan begitu jauh untuk “menghayati” apa yang disarankannya itu. Inilah musibah buat sang pengkarya!
Ia mewar-warkan kebaikan dan kebenaran, namun dirinya sendiri jauh daripada hakikat kebenaran itu!
Ia mengheboh-hebohkan segala bentuk nasihat, tetap bicara nasihat itu - tidak melekat di dalam kehidupannya sendiri.
Ia mencegah segala rupa kemungkaran – dosa-dosa, maksiat-maksiat dan noda-noda, namun dirinya sendiri terus menerus tenggelam dalam perbuatan terkeji dan terkutuk itu.
Ia seperti pejuang yang bermati-matian menyatakan tiang kebenaran, tetapi dalam diam ia sedang meruntuhkan “asas-asas” kebenaran yang kononnya tertanam mendalam di jiwanya.
Dan – lebih memburukan jika ia melahirkan sifat kepura-puraan dan bentuk lakonan yang akan menghancurkan dirinya sendiri tanpa sedar!
Sentiasa Mengaudit Diri!
Sahabat pembaca, takutnya saya menyatakan hal ini. Kerana, sedar atau tidak – kita “sedang” menuju ke arah ini. Jika kita suka, gemar dan asyik memberikan nasihat, peringatan dan sebagainya – tetapi hati kita sendiri jauh daripada Allah SWT. Maka – goncangkan diri kita bahawa kita berada dalam keadaan yang sangat-sangat merbahaya!
Bahkan, dibimbangi – ia akan mengundang kemurkaan Allah SWT dan bencana yang akan merosakan masa depan akhirat kita. Kerana itu, murabbi saya sering mengulangi ayat ini. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al Kitab, tidakkah kamu berfikir? ”
(Al-Baqarah 2 : 44)
Saya membacanya berulang-ulang kali !
“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al Kitab, tidakkah kamu berfikir? ”
Sekali lagi, saya terus membaca untuk memahaminya.
“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri…”
Allah Allah Allah Allah Allah
Allah Allah Allah Allah
Allah Allah Allah
Allah Allah
Allah
Ya Allah, adakah kami begini ? Adakah kami ini tergolong dalam golongan-golongan sebegini? Sibuk dan terlalu sibuk menyeru dan mengajak manusia kepada Allah SWT – tetapi kami lalai dan alpa untuk mengajak diri sendiri untuk mendekati dan hampir dengan Allah SWT.
Ya Allah, lalainya kami.
Ya Allah, hinanya kami.
Ya Allah, kerdilnya kami.
Ya Allah!
Catatan Seorang Hamba
(1) Mudahan Allah SWT, sentiasa merahmati, meredhai dan memayungi kita dengan kasih sayang dan cinta-Nya kepada hamba-hambaNya. Itulah tujuan, matlamat dan target kita dalam kehidupan yang fana ini.
(2) Murabbi berpesan, - dalam keghairahan, keasyikan dan keseronokan kita menyebarkan dan menyampaikan kebenaran, nasihat dan peringatan – amatilah “kesan” dan pengaruh terhadap diri kita terlebih dahulu. Itu lebih prioriti dan aula. Di samping, kita menggerakan motto Mustafa Masyur ini, Islah Nafsaka Wad’u Ghairaka. ( Perbaikilah Dirimu, dan Ajaklah Orang Lain.)
(3) Kelalaian kita, kealpaan kita, kelemahan kita & kekerdilan kita ;- sering kali menjauhkan kita daripada Allah SWT. Jauh sejauh-jauhnya, sehingga hilangnya kemanisan, kelazatan dan kenikmatan dalam beramal soleh. Ketika ini, berhentilah sejenak dan soallah diri sejujurnya. Wahai diri, engkau begitu sibuk tentang soal, keadaan dan perihal orang lain, tetapi keadaan dirimu – engkau abaikan? Tidakkah itu petanda bahawa engkau telah kehilangan “sesuatu” dalam hidupmu?
---------------------------------------------------
Hilangnya : Kepekaan Jiwa, adalah musibah terbesar dalam kehidupan mukmin.
BroHamzah
Kampung Paya Batu, Jalan Long Yunus
Kota Bharu, Kelantan
Labels:
Nota Tarbiyah
Subscribe to:
Posts (Atom)