Ramadhan, kini aku berada dibucu-bucu tangganya

Saturday, July 24, 2010

Ramadhan, kami menantimu dengan penuh pengharapan

Ramadhan, Kini aku berada dibucu-bucu tangganya.

Oleh : BroHamzah

Sedar atau pun tidak sebenarnya, sekarang kita sudah berada di dalam bulan Sya’ban. Dan tidak lama lagi kita semua akan bertemu dengan kehadiran bulan yang sanga ditunggu-tunggu oleh orang-orang mukmin yang soleh, ikhlas dan sangat sukakan kebaikan dan amalan soleh.

MasyaAllah, begitu pantas masa itu berlalu. Sekejap sahaja putaran masa itu, saya kira baru sahaja merasai berlalunya bulan Ramadhan tahun lalu kini, Ramadhan hadir dengan satu pengharapan dan satu peluang untuk kita meraih janji-janji Allah SWT.

Ramadhan Bulan Kerinduan dan Kecintaan.

Pernah digambar di dalam sirah para sahabat Rasulullah SAW bahawa mereka adalah satu kelompok manusia yang sangat merindui dan mencintai kehadiran Bulan Ramadhan al-Mubarak.

Rasulullah SAW mengajarkan kepada mereka satu doa yang mengambarkan satu pengharapan yang besar agar dapat menjejaki kaki dan merasai penghayatan ibadah di Bulan yang barakah ini.

Doanya yang membawa maksud : “ Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan bulan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

Satu harapan daripada doa yang sentiasa diulang-ulang agar mereka dapat menghirupkan lagi udara ibadah di dalam Bulan Ramadhan. Kenapa para sahabat begitu teruja dengan kehadiran Ramadhan?

Sudah tentu, padanya terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang sangat banyak dan berharga. Jelas kepada kita, Ramadhan adalah bulan yang sangat indah dan cukup istimewa dihati orang-orang yang beriman. Inilah bulan pendidikan dan bulan peningkatan Iman.

Kecintaan dan kerinduan ini semestinya natijah atau buah kepada keimanan yang diproses oleh Baginda Rasulullah SAW kepada para sahabat sehingga lahirlah keperibadian sedemikian rupa. MasyaAllah, satu bentuk gelombang arus yang berhajatkan kepada kebaikan dan ia menjadi trend yang sihat dan soleh pada zaman Rasulullah SAW. Inilah generasi yang disebut sebagai Generasi Al-Quran yang unik.

Kita harus mencontohi mereka dalam beramal.

Kita wajar menjadikan segala tindak tanduk mereka untuk kita ikuti dan teladani.

Mereka inilah yang patut dijadikan role model dalam kita mengejar keredhaan Allah SWT.


Latihan Ramadhan adalah melahirkan mukmin bertaqwa

Firman Allah SWT :

“ Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

( Al- Baqarah 2 : 183)

Bulan Ramadhan melahirkan peribadi bertaqwa, bebas dan merdeka. Ramadhan adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh mukmin sejati untuk melatih diri untuk mencapai taqwa seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hasilan produk inilah yang ingin dicapai agar segala yang dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan membuahkan natijah yang nyata dan diredhai oleh Allah SWT.

Justeru itu, persiapan dan persediaan perlu dilakukan sebelum menjejaki kaki memasuki bulan Ramadhan. Persiapan dan persediaan ini, adalah langkah-langkah awal untuk mempersiapan diri kita merangkumi seluruh aspek agar Ramadhan dilalui dengan penuh persediaan yang rapi.

Ramadhan yang kita lalui sebenarnya adalah untuk memperolehi taqwa.

Inilah sebenarnya harapan dan impian kita, dalam melalui proses pentarbiyah di Bulan Ramadhan.

Bagaimana persiapan kita dalam menghadapi Ramadhan?

Ayuh kita semak,

Pertamanya, mulakan dengan membiasakan kehidupan kita dengan Al-Quran. Kenapa Al-Quran? Kerana Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Lakukan langkah-langkah praktikal. Mulakan membaca Al-Quran setiap hari, tambahkan jumlah ayat yang dibaca berbanding sebelumnya. Disamping itu, luangkan masa mendengar bacaan Al-Quran. Pasang kaset atau mp3 di kereta atau dimana-mana yang sesuai dengan keluangan anda.

Kedua, lakukan warm up dengan membiasakan diri dengan berpuasa sunat sunat setiap Isnin dan khamis. Ini bagi membiasakan biologi badan anda dengan mengosongkan perut di siang hari. Latihan ini akan memberikan satu proses pembiasaan bukan sahaja kepada aspek fizikal tetapi juga aspek rohani dan minda anda kerana ia mempunyai hubungkait yang rapat.

Ketiga, latihkan diri anda untuk tidur awal dan bangun awal seolah-olah anda telah berada di Bulan Ramadhan. Bukan itu sahaja, latih juga untuk melazimi diri dengan ibadah sunat di awal pagi seperti membaca Al-Quran dan Qiamullail.

Keempat, lazimi diri dengan berwudhuk dan selalu melalukan ibadah-ibadah sunnat. Biasakan diri dengan solat-solat sunnat seperti solah sunnat Dhuha, solat sunnat Rawatib dan lain-lain. Bayangkan ganjaran ibadah-ibadah sunnat di Bulan Ramadhan dan tanamkan azam untuk mempertingkatkannya kerana Allah SWT.

Kelima, berikan masa dan peluang untuk bersendirian supaya datang berzikir kepada Allah SWT dan juga sentiasa dapat memuhasabah diri sekerap yang mungkin terutama waktu sebelum tidur. Pohonlah keampunan kepada Allah SWT di atas segala kecuaian, dosa dan maksiat yang dilakukan dan mohonkan kekuatan dan kebaikan kepada Allah SWT.

Keenam, tambah ilmu sebanyaknya. Semak dan rujuk mereka-mereka yang lebih arif seperti ustaz-ustaz dan para alim ulama berkaitan Ramadhan. Hasilan bacaan dan menuntut ilmu bersama mereka akan menambahkan keghairahan anda untuk menyambut Ramadhan dan beribadah semahu-mahunya.

Ketujuh, pertingkatkan amalan sedeqah, infaq dan amal jariah. Laburkan wang untuk golongan miskin dan anak yatim. Rancangkan bajet kewangan untuk disedekah kepada mereka-mereka yang diperlukan dan plan untuk adakan majlis berbuka untuk masyarakat setempat di rumah mahupun di masjid.

Kelapan, Luangkan sedikit masa bersama ahli keluarga, rakan, atau sesiapa sahaja di sekitar anda dan berbincanglah perancangan berkaitan persiapan Ramadhan yang bakal tiba, harapan dan sebagainya.

Ramadhan, ia adalah soal kita.

Sesungguhnya, ingatan di atas adalah untuk diri saya sendiri. Semoga ia juga menjadi sesuatu yang bermanfaat untuk anda jua. Sekian, selamat melakukan persiapan Ramadhan.

Read more...

I Pasti Mati

Wednesday, July 21, 2010

Bagi yang memahami makna ayat ini dan melaksanakan tuntutannya, maka berbahagialah

I Pasti Mati

Oleh : BroHamzah

Suatu hari, di pejabat saya sedang mengemas kinikan senarai emel yang terdapat dalam simpanan emel saya. Kemudian, saya dapati emel Tuan Haji Hassan tiada ada dalam senarai emel saya. Justeru, terus saya minta emel beliau.

“ Haji, saya hendak emel haji. Nak masukan dalam list emel,’’ pinta saya.

Haji tersenyum.

“ Anta catat emel ana ini, ipastimati@yahoo.com ,”kata Haji Hassan.

“ Apa Haji?, ulang sekali lagi,” ujar saya.

“ I pasti mati @ yahoo dot com,” ulang Haji Hassan.

“ ooo..unik Haji punya emel. I pasti mati. Maksudnya saya pasti mati la kan,” Kata saya.

“ Ya, ana buat macam tu sebab nak ingatkan diri ana, bahawa suatu masa nanti ana akan mati juga,”terang Haji Hassan.

Penerangannya membuatkan saya tersentuh dan tersedar. Suatu hakikat lagi, iaitu kematian.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.

Menggali energi kematian, kita akan tertanya-tanya apakah bentuk simpanan bekalan yang telah kita usahakan.

Dalam satu pertemuan, Dr Abdullah Sudin memberikan satu gambaran yang jelas tentang satu hakikat serta realiti yang sedang berlaku dewasa ini. Ramai di kalangan manusia malah ada jiran tetangganya begitu sibuk dan berkerja keras untuk mencari wang untuk membina rumah. Akhirnya, rumah itu siap di kala penghujung usia.Belum sempat merasai kenikmatan memiliki rumah rumah baru, lalu dijemput pulang oleh Allah SWT. Rumah itu ditinggalkan untuk anak-anak menjadi rumah pusaka namun akhir ia menjadi using sepi tidak bertuan.

Rumah ditinggalkan , kerana anak-anak tidak menetap di kampung kerana merantau jauh dinegeri orang. Akhirnya rumah yang tidak berpenghuni kosong dimamah usia dan runtuh dimakan anai-anai.

Seharusnya kita sekarang sibuk memikirkan rumah “bekalan” untuk kita bawa pulang dan dipersembahkannya kepada Allah SWT.

Inilah projek perumahan yang harus kita fikirkan secara serius dan berfokus. Kehidupan ini bukan kehidupan dunia sahaja. Malah sedar atau tidak kita mempunyai kehidupan yang kekal dan kehidupan itu adalah fokus utama dalam soal membina kehidupan.

Kehidupan akhirat, ia kekal selamanya

Selalu sahaja saya bermonolog dan berbicara dengan diri.

Kehidupan dunia ini selalunya sampai bila?

Biasa sekitar 60 atau ke 70 tahun.

Kemudian, kehidupan akhirat ini pula sampai bila?

Jawabnya

Sampai bila-bila.

Sampai bila-bila.

Sampai bila-bila.

Maknanya ia tiada penghujung. Ya , sampai bila-bila.

Projek Mati

Semasa belajar di MATRI, saya mempunyai seorang Ustaz Al-Quran yang memiliki suara yang sangat menyentuh hati iaitu Ustaz Abdul Hadi Othman. Selalu beliau mengingatkan kami semua dengan satu ungkapan iaitu “ Projek Mati.”

Katanya, seharusnya kita mempunyai projek mati yang akan menjadi tabungan, dana atau bekalan kepada diri kita untuk kita bawa pulang bertemu dengan Allah SWT. Selalu sahaja ustaz menyemarakan dan mengingatkan kami agar menjadikan projek mati atau sina’atul hayah ini sebagai agenda utama dalam perancangan kehidupan.

“ Ini perkara terpenting dalam hidup. Projek ini adalah projek berkaitan dengan kelangsungan kehidupan kita di alam yang tempoh kehidupannya adalah selama-lamanya.” Kata Ustaz.

Dan persoalannya adakah kita semua sudah mempunyai perancangan yang menjangkau sejauh perancangan menuju ke alam akhirat?

Apakah projek-projek atau amalan-amalan yang akan kita letakan ia sebagai tabunngan dan bekalan untuk kita persembahkannya di hadapan Allah SWT kelak?

Mari Muhasabah diri tanpa jemu

Hendaklah kita, ( saya dan anda semua) sentiasa melakukan muhasabah dan koreksi diri tanpa alpa dan lupa. Sewajarnya kita sentiasa menjaga makna dan semangat perintah Allah SWT ini :

“ ..dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)..”

( Al- Hasyr : 18 )

Hassan Al-Basri memberi pandangnya :

“ Seorang mukmin itu adalah bertanggungjawab atas dirinya sendiri. Ia selalu menghisab dirinya kerana , Allah SWT. Sesungguhnya, hisab pada hari Kiamat kelak akan dirasakan ringan oleh orang-orang yang suka mengadakan muhasabah diri sewaktu hidup di dunia.”

Bayangkan. ( Saya selalu cuba membayangkan apabila hati keras dan luka kerana dosa)

Bayangkan saat ini kita berkumpul di padang Masyar kelak. Di hadapan kita, ditayangkan umpama sebuah skrin yang besar yang mempersaksikan segala amalan baik dan buruk kita sewaktu di dunia dahulu di hadapan seluruh manusia. Ketika itu, kita menyaksikan segala rupa dan bentuk amalan kita sendiri.

Ada saatnya tersenyum, riang dan bahagia

Dan ada masanya kita terkelu, sedih dan menyesal.

Dan ketika itu sebenarnya kita banyak menyesal dan menyesal. Bebanan kisah lampau alam dunia menghantui kita.

Allah SWT berfirman :

“ Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebaikan dihadapkan (di mukanya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakan, ia ingin kalau kiranya antara ia dan hari itu ada masa yang jauh.”

( Ali Imran : 30)

Ketahuilah diriku

Sedarlah wahai teman

Kita semua pasti akan MATI!

Read more...

Kau Terbilang Dihati

Tuesday, July 20, 2010

www.ktd.edu.my

KTD - Kau Terbilang Dihati

Oleh : BroHamzah


Bergantinya siang dan malam saban waktu,

Dicelah-celahnya pastinya diwarnai dengan pelbagai warna perasaan dan cetusan jiwa.

Ada kalanya kita disuburi dengan perasaan keriangan, kebahagian dan kesukaan.

Ada saatnya juga, diselubungi dengan kesedihan, kekecewaan dan kedukaan.

Dan inilah kehidupan.


Bulan ini adalah bulan ke 7, saya berkhidmat di Kolej Teknologi Darul Naim. Bermakna sudah 7 bulan berlalunya masa kehidupan saya di KTD sebagai salah seorang staf, pekerja dan juga ahli keluarga besar KTD. Detik-detik berada di sini telah menjadi sebahagiaan daripada kebahagiaan hidup saya.

Bersama Prof Datuk Dr Abu Azam Yassin dan Tuan Haji Rosdi Baharom ketika Majlis Konveksyen KTD awal tahun ini. Saya dan Irwan diamanahkan menjadi pengerusi majlis.


Keluarga Besar KTD

Berada di KTD, memberi erti dan makna yang besar kepada jiwa dan hati saya. Berumpamaan yang mudah, di sini saya hidup di keliling oleh ayahanda, bonda dan adik beradik saya yang sangat ramai. Saya sangat selesa dan tenang di sini kerana hubungan “kekeluargaan” yang terjalin di KTD adalah hubungan kekeluargaan berteraskan persaudaraan kerana Allah SWT. Kami berkumpul di dalam satu kilang memproses manusia untuk menghasilkan produk yang boleh memahami tuntutannya kepada RabbNya, Masyarakat dan Islam itu sendiri.

Bermula daripada ketua Eksekutif, staff akademik, staff Hal Ehwal Pelajar, staff pentadbiran dan sokongan yang kini mencecah 90 orang sehingga kepada para pelajar KTD yang berjumlah hampir 750 orang, semuanya kini sedar atau pun tidak telah menjadi KELUARGA BESAR KTD.

Ketua Ahli Lembaga Pengelola KTD, Prof Datuk Dr Abu Azam Yassin adalah individu yang saya kenali melalui KTD ini. Orang mudah didekati dan hidupnya simple. Apabila berbicara dengannya, pasti akan ada idea-idea yang bernas dan membuatkan saya terfikir panjang.

Ketua Eksekutif KTD, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman


Ayahanda yang sangat dikagumi, Dr Abdullah Sudin Bin Abd Rahman adalah seorang ayah dan juga ketua yang sangat prihatin tentang keadaan dan sentiasa memotivasikan kami untuk berkhidmat kerana Allah SWT dengan cara yang terbaik. Begitu juga, tempat rujukan dan watak seorang ayah yang begitu menonjol pada diri Tuan Haji Hassan, Pengawai Khas KE yang mesra dan sentiasa membuat saya tersenyum bersamanya. Berjiwa muda dan selalu memberi panduan kepada saya untuk berkerja dengan sistematik dan mengikut saluran yang betul.

Bersama KE, Tuan Haji Hassan serta para pelajar cemerlang semester lepas


Pengurus-pengurus KTD dari pelbagai bahagian , Puan Hamidah, Puan Malinda,Puan Esiana, Puan Halimah dan lain-lain semua sedang berusaha gigih untuk memberikan khidmat yang terbaik dalam membangunkan KTD ini. Semangat kerja inilah yang sangat menonjol sepanjang keberadaan saya di KTD. Pengurus Bahagian Komunikasi Koprat, Che Sulaiman pula sentiasa mengemukakan dan mencari idea-idea yang bernas untuk menaikan imej KTD dan selalu berbincang dengan saya cara untuk mempertingkatkan mutu kerja di KTD dengan baik. Begitu, juga Pengurus Pemasaran KTD yang ligat dan aktif orangnya, En Razali Marof. Orang bersemangat muda dan kuat bekerja. Saya pernah keluar bersamanya dan melihat sendiri bagaimana beliau bekerja. Getus hati saya, luar biaasaa..

Pengurus HEP yang sangat disayangi di KTD, Tuan Haji Rosdi Baharom tidak pernah jemu melayan karenah para siswa dan siswi KTD. Setiap hari perlu bertemu dengan para pelajar yang ingin meluah perasaan, berkongsi masalah, dan memohon nasihat serta pedoman. Biasa sahaja, jika kita melihat pelajar yang menangis sebaik keluar dari bilik Tuan Haji Rosdi. Kekadang saya terharu melihat semua ini, walaupun beliau tidak sihat dan selalu jatuh sakit ia tidak penah memadamkan semangat dan tekadnya untuk melayan para pelajar dan juga staff dengan layanan dan khidmat yang terbaik.

Tuan Haji Rosdi selalu berkata : “ KTD telah menjadi tempat ubudiyah dan persiapan yang terbaik sebelum ana dijemput pulang menghadap Allah SWT.”

Ia bagaikan satu kata-kata yang menyentap jiwa saya. Ia kata-kata yang simple tetapi mempunyai makna dan erti yang mendalam.

Pernah juga beliau menyebut : “ Antum semua yang muda-muda ini, adalah anak ana. Anta, Irwan, Nidzam, ( beliau menyebutkan staff yang muda-muda seorang demi seorang), ana sudah anggap macam anak ana. Anak dakwah dan tarbiyah. Ana akan curahkan sepenuhnya kasih sayang ini sepenuhnya kepada anak-anak ana dan berkongsikan segala perasaan untuk dakwah dan tarbiyah ini.”

Sebak. Terharu. Pilu.

Keistimewaan KTD

Kerap dan acapkali, ramai adik-adik dan pelajar akan tanya saya ;

“ Apa istimewanya KTD?,”

Bagi saya, ada 3 sebab utama

Pertama, di KTD ada pendidik dan murabbi yang benar-benar boleh menjadi qudwah dan contoh buat saya. Setiap hari saya bergaul dengan mereka. Saya hidup bersama-sama mereka untuk mengambil hikmah dari tutur bicara, kalam nasihat, tingkah laku dan amalan kebajikan mereka.

Qudwah yang hidup, satu contoh yang kini saya bertekad untuk jadikan satu amalan yang semestinya saya amalkan ialah mengekalkan wudhuk dan sentiasa berada dalam keadaan wudhuk. Perkara ini, saya pelajari dan lihat daripada amalan harian yang dilakukan oleh Dr Abdullah Sudin. Wudhuk tidak pernah putus. Sama ada di pejabat atau diluar mahupun semasa travel bersama, beliau sentiasa memelihara wudhuk. Perkara ini, saya lihat dan saya cuba laksanakannya.

Begitu juga dengan Tuan Haji Rosdi yang menjadi mentor atau masul kepada liqo’ (pertemuan) mingguan saya. Kalamnya sentiasa membakar syuur kami untuk beramal dengan ikhlas dan selalu mengingatkan kami akan memperbaharui tekad dan keazaman untuk berjuang di jalan Allah SWT.

Pensyarah di sini berdedikasi, dan mempunyai cita-cita yang tinggi. Mengajar dan mendidik berlaku serentak. Walaupun, ada yang tidak mempunyai pengalaman yang lama dalam mengajar mereka tetap mencuba dan mengajar dengan pelbagai kaedah dan usaha untuk memberikan yang terbaik.

Kedua, di KTD kita bangunkan sistem pendidikan yang bersepadu dalam soal akademik dan pembinaan akhlak secara seimbang . Dalam erti kata lain, tarbiyah itu disistemkan dan diinstitusikan secara nyata dan digerakan secara bersepadu. Dr Abdullah Sudin, selalu mengulangkan motto dan trend mark KTD yang begitu popular di kalangan pelajar iaitu “ Mengajar Biar Pandai, Perangai Biar Juruh, Hidup Boleh Tumpang.” Ia memberikan gambaran yang menyeluruh berkaitan dengan hasilan atau out put yang ingin kita hasilkan daripada kilang penghasilan manusia ini, iaitu manusia yang memahami tuntutan ubudiyah kepada RabbNya, serta memelihara hubungannya sesama manusia serta mempunyai semangat untuk berjuang membela dan menegakan kebenaran di mana sahaja beliau berada.

Ketiga, suasana dan biah KTD yang kondusif. Kita ingin bangunkan suasana KTD dengan suasana yang soleh, baik dan tarbawi. Ia menjadi satu faktor yang sangat penting bagai mewujudkan suasana-suasana yang dapat memberikan rangsangan dan suntikan kepada para siswa dan siswi untuk melaksanakan kebaikan di dalam kehidupan mereka.

Jika kita memahamai teori pendidikan yang menyatakan bahawa, apa sahaja yang berlaku disekeliling seseorang akan memberi kesan dan pengaruh kepada hati dan dalamannya. Bayangkan jika, suasana yang berlaku di sesebuah tempat itu adalah suasana yang tidak baik, dipenuhi kemungkaran dan kemaksiatan nescaya individu-individu yang berada dalam suasana itu akan terkesan dan memberi impak kepada sikap dan kelakuan mereka malah akan turut terjebak dengan suasana itu.

Antara perkara yang menarik perhatian saya, di KTD ini telah disusun pelbagai pengisian bagi memenuhi tuntutan jiwa dan dalaman. Bagi staff KTD, setiap hari Isnin pagi akan diadakan Liqo’ Pagi yang diisi dengan bacaan Al-Quran dan tazkirah selama 45 minit oleh pentazkirah yang berbeza. Sebulan sekali, akan diadakan solat Hajat secara berjemaah. Turut disusun ialah kelas bacaan Al-Quran yang dikhususkan untuk staf lelaki dan perempuan. Elemen pembinaan ini ruhani ini disistemkan dan dimasukan ke dalam aktiviti MESTI BUAT atau WAJIB di senarai tugasan pekerja KTD. Perlaksanaan dipantau agar ia berlaku secara menyeluruh dan berkesan kepada para pekerja. Ini tidak termasuk pelbagai aktiviti dan program yang berlaku secara bulanan, semester dan tahunan.

Bagi, pembangunan jatidiri pelajar KTD telah membangunkan satu sistem pendidikan sahsiahnya yang tersendiri yang disebut PESAT atau Program Pembangunan Sahsiah Pelajar. Ia adalah program wajib yang akan dilalui oleh para pelajar selama 3 tahun berada di KTD. Setiap minggu akan ada program mingguan dan pelbagai aktiviti lain yang berbentuk rekreasi dan sebagainya sebagai medium kepelbagaian dalam melaksanakan program pembinaan keperibadian pelajar.

Cabaran, Ujian dan Dugaan

KTD adalah medan ujian dan cabaran bagi saya untuk mendewasakan dan mematangkan diri saya. Di mana sahaja kita berkerja, sudah tentu akan timbul pelbagai masalah dan konflik kerana kita berurusan dengan manusia yang terdiri daripada pelbagai ragam, dan karenah.

Teringat satu kata-kata : “ Dunia adalah pentas ujian.”

Sudah pasti, setiap hari kita akan temui pelbagai masalah dan ujian. Namun bagaimanakah sikap kita dalam menghadapinya? Tenang,? Tention? Gelabah? Sabar? Berfikiran Positif ? atau terus melepaskan kemarahan? Atau bagaimana?

Dan di sinilah saya belajar bagaimana menghadapi konflik dan permasalahan.

Ya, KTD. Di sini saya mempunyai ramai staff yang berpengalaman dan selalu berbincang dengan mereka dan Alhamdulillah, setiap kali wujudkan permasalahan ia akan selesai dengan cara yang terbaik. Alhamdulillah. Think Positive. (“,)

Ada apa dengan KTD?

KTD, ada yang menyebut : “ Koleh Terbaik Dunia.” Ada juga : “ Kolej Tarbiyah Dakwah.”

Agak bersemangat : “ Kolej Tentera Dakwah.”

Yang nakal-nakal : “ Kolej T’ada Duit”. Dan agak kelakar : “ Kolej Tekanan Dalaman.”

Bagi yang pernah belajar di sini : “ Kau Tidak Dilupa.” Dan “ Kau Terindah DiDunia.”

Namun, bagi saya KTD juga adalah “ Kau Terbilang Dihati.”

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP