Membuka Lembaran Baru

Wednesday, January 4, 2012

Sinaran harapan sentiasa ada
untuk kita semua.

Membuka Lembaran Baru

Bismillah, dengan nama-Nya coretan ini dinukilkan.

Saya kongsikan coretan ringkas ini sebagai membuka lembaran baru bagi tahun 2012. Tiada apa yang terlintas untuk dicatat dan dicoretkan sebenarnya. Namun, setelah direnungi dan difikirkan – setiap fasa dalam perubahan kehidupan harus dilalui dengan persedian dan persiapan. Semoga tahun 2012 ini akan dimulakan dengan suatu niat, matlamat dan perancangan yang jelas.

(1) Tahun 2011, yang berlalu telah memberikan suatu pengalaman dan kesan yang sungguh mendalam kepada saya secara peribadi. Maha Suci Allah SWT, yang telah menetapkan semua ini. Dan , sesungguhnya – saya hanyalah hamba-Nya yang lemah, dhaif, kerdil, kecil dan tiada sebarang upaya.

Fasa demi fasa berlalu, dan semakin hari ia berlalu – saya sentiasa bertekad dan berusaha mengutip ibrah, pengajaran dan nilai pendidikan terhadap apa yang ditempuhi dalam kehidupan.

Kian ramai manusia yang ditemui, dirapati dan diteladani – saya dapati bahawa sesungguhnya terdapat pelbagai jenis, ragam, kerenah dan sikap manusia. Manusia yang bertopengkan pelbagai jenis, bentuk dan aneka rupa wajah. Namun, benarlah - sebaik-baik manusia adalah manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT!

Setiap hari berhadapan dengan pelbagai “ramuan” kehidupan – ada saat tenang, damai dan tenteram – ada ketikanya dihimpit ujian yang tertimpa-timpa. Semuanya, mengajar saya untuk memiliki persedian jiwa yang tahan diuji. – Sahsiah keperibadian yang stabil!

Dan, jika dinukilkan terdapat banyak perkara yang boleh dikongsikan. Namun, cukuplah sekadar itu.

(2) Tahun 2012, kekadang saya terasa debaran untuk melaluinya. Tahun ini, saya akan lalui lebih banyak cabaran, pengalaman dan ujian dalam pelbagai bentuk. Saya tidak tahu apakah ia? Tetapi, perasaan itu hadir dengan tiupan kencang!

Tugas, amanah dan kerjaya yang akan menuntut lebih kesabaran, penelitian dan kesungguhan. Sepanjang, tahun 2011 – saya tidak pernah terlintas untuk menjadi seorang editor dan penulis namun, Allah SWT berikan pengalaman ini. Banyak perkara yang ditimba, dicedok dan diamati. Saya terima cabaran itu! Dan tahun ini, saya perlu persiapkan lagi untuk itu.

Perubahan fasa untuk terus menerus menjadi hamba Allah SWT. Daripada seorang, kini berdua. Dan daripada berdua, insyaAllah akan “bertiga”. Sebagai seorang lelaki dan juga semua – berdebar itu tetap ada untuk melangkah ke fasa bergelar – abi, ayah, abah, papa dan dady!. ^^

Yang pasti, tahun ini mesti lebih baik. Wujudnya pembaharuan, peningkatan dan perubahan kepada saya secara khususnya. Apakah yang perlu berubah, ditingkatkan dan diperbaharui?

(3) Pencapaian, komitmen dan kecekalan. Betapa sesungguhnya, kekuatan yang hakikat itu adalah daripada Allah SWT. Tiada yang lain, melainkan Dia.

Untuk lebih banyak bersabar,
Untuk lebih kuat dan tabah dengan sebarang ujian dan dugaan,
Untuk lebih kukuh dan stabil saat diuji,
Untuk lebih konsisten dan istiqamah,
Untuk lebih berhimmah dan berhikmah,
Untuk lebih meningkat dan tertingkat,

Kita – Saya dan Anda – harus memiliki kekuatan ruh, jiwa dan nurani dalaman yang kuat, jernih, bersih dan utuh. Maknanya, apa? : Hubungan dengan Allah SWT yang sentiasa murni, berhubungan 24 jam , dipelihara dan dijaga.

Kerana itu,

Al-Quranul Karim – sebagai sumber utama kekuatan – harus dibaca, difahami, diteliti dan dihayati lebih kerap dari sebelumnya.

Lidah, hati dan jiwa lebih – kerap membaca dan mengulangi zikrullah dalam setiap nadi kehidupan.

Amalan Zikir al-Mathurat harus lebih kerap dari sebelumnya. Jika sebelum ini, hanya sebagai rutin sahaja - kali ini ia dibaca dengan lebih penghayatan, perasaan dan jiwa yang berinteraksi.

Solat fardu diamati dengan lebih terfokus. – Kesempurnaannya, kekhusyukannya, perlaksanaanya dan berjemaahnya sentiasa disemak selalu.

Solat sunnat – sebagai tambahan – Qiamullailnya, Dhuhanya, Taubatnya dan Hajatnya. Ia harus dilazimi.

Kesentiasaan berwudhuk yang diteruskan dari semasa ke semasa.

Membuang, menghakis dan menanggalkan segala keaiban-keaiban, dosa-dosa dan maksiat yang menghitamkan dan mengotori hati secara teguh, bersungguh dan penuh tekad.

Dan, semua amalan-amalan yang boleh membersihkan hati, merawat jiwa dan menjernihkan nurani. – Ia diperkemaskan, diperkasakan dan ditekankan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan tanpa jemu, bosan dan lesu.

Akhirnya, :- Kepada Allah SWT jualah kita akan kembali.

Justeru, marilah kita perkukuhkan ubudiyah kita hanya sanya kepada Allah SWT.

Coretan Awal Tahun 2012
BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu

2 comments:

alFarafisyah January 7, 2012 at 7:23 AM  

jazakallahu khairan atas perkongsiannya.Semoga kita semua sentiasa menjaga hubungan kita dgn Yang Maha Sempurna setiap detik dan saat.

BroHamzah January 7, 2012 at 4:39 PM  

alFarafisayah

Alhamdulilah, semoga bermanfaat.
BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP