Allah SWT Uji Kita, Kerana Dia Sayangkan Kita

Wednesday, December 21, 2011

Allah SWT : - Sayangkah kita kepada-Nya?




Bertaqwalah ketika berbicara, kerana Dia pasti menguji apa yang kita kata.
Bertaqwalah ketika melakar tinta, kerana Dia akan menguji segala
yang dicoret oleh pena
Bertaqwalah ketika menghubungkan persaudaraan, kerana Dia akan menguji ketulusan ukhuwah yang dibina


Murabbi merapati diri dengan langkahan penuh ketenangan dan kedamaian. Senyuman tidak pernah lekang walaupun seketika. Sentiasa dan sentiasa mengukir senyuman yang benar-benar memikat.

Diam tanpa bicara.

“ Kenapa ini? Ada masalah?,” Ujarnya lembut tanpa keras atau buat-buat. Sinar matanya memberikan suatu sinar harapan.

Air mata tertumpa jua dihadapannya. Terasa lemah bersangatan.

“ Akhi..,” Bicaranya bermula.

“ Sesungguhnya, kita ini benar-benar berhajatkan kepada Allah SWT.”

“ Walaupun sehebat mana kita, segagah mana pun kita, selantang dan setinggi mana pun ilmu kita. Kita adalah hamba Allah SWT,”

“ Allah SWT uji anta, sebab Allah SWT sayang anta,” Katanya dengan bahasa-bahasa yang sederhana tetapi suaranya menyejukan jiwa.

“ Kita dididik untuk menghubungkan semua perkara :- baik, gembira, musibah, ujian dan dugaan yang menimpa dengan Allah SWT. Rasailah kehadiran dan kebersamaan Allah SWT dalam setiap peristiwa yang menimpa anta. Lihatlah ia dengan pandangan keimanan dan amatilah ia sedalam-dalamnya bahawa, kita sebenarnya berhak diuji oleh Allah SWT,”

“ Pastikan setiap yang terjadi, benar-benar tarbawi agar ia mendidik hati, jiwa, perasaan dan nurani,” Katanya lagi.

“ Akhi, kita hamba-Nya kan?,”

Kepala terasa berat untuk mengganguk.

“ Ya. Kita hamba-Nya. Saat diuji, - segala kekerdilan, kelemahan, kekurangan, kedhaifan dan keaiban diri kita terserlah. Dan, ketika itu kita rasa kita hilang segala tempat pergantungan. Bagaikan putus harapan”

“ Tetapi, untungnya kita sebagai hamba Allah SWT. Kita ada Dia. Kita ada tempat pergantungan. Kita ada tempat persandaran dan kita ada tempat untuk mengadu dan meluah.”

“ Hadapilah semua yang terjadi dalam kehidupan anta dengan ketaqwaan, keimanan, kepasrahan, keyakinan dan kebergantungan hanya sanya kepada-Nya.”

“ Akhi, bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa!.”

“ Akhi,..” Bicara terhenti seketika. Tangan murabbi memegang halus penuh rasa ke bahu ini.

“ Pergilah ambil wudhuk – kemudian dirikan solat sunat dua rakaat. Di penghujung sujud rendahkanlah dirimu serendah-rendahnya dan mohonlah keampunan daripada-Nya. “

“ Dan, tadahlah tangan seusai itu – mengadulah kepada-Nya, luahkanlah segala isi hati yang tidak tertanggung, munajatkan kepada –Nya, merintihlah sepuas-puasnya dan menangislah di hadapan-Nya.”

“ Akhi, bertaqwalah kepada Allah SWT!.”

“ Akhi, pujuklah hati dengan lantunan ayat-ayat cinta-Nya dan bingkisan peringatan hadis daripada junjungan Mulia – Nabi Muhammad SAW.”

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

( Al Fatir 35 : 15)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“ Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya Allah akan mengujinya dengan kesusahan.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Bertaqwalah ketika memberi, kerana Dia akan menguji keikhlasan hati
Bertaqwalah ketika menerima, kerana Dia berhak untuk mengambilnya semula
Bertaqwalah ketika meniti kehidupan, kerana Dia mengamati dan menilai setiap perbuatan
Bertaqwalah ketika ditegur atau dikritik menguris rasa, kerana Dia sedang menguji kerendahan jiwa
Bertaqwalah kepada-Nya, kerana kamu adalah hamba!



Catatan Seorang Hamba

(1) Antara kenikmatan dan kemanisan dalam kehidupan adalah memiliki murabbi (pendidik) dan pembimbing yang berjiwa besar dan berakhlak mulia. Mereka umpama , ibu ayah, sahabat, guru, pemimpin dan individu yang sangat-sangat halus dalam mendidik serta mengambil berat tentang diri kita.

(2) Kita sebenarnya :- Sangat kerdil, lemah, tiada upaya dan tiada nilai apa-apa. Tiada ilmu kita yang wajar dibanggakan, tiada kehebatan kita yang boleh diwar-warkan dan tiada apa-apa tentang “nilai” diri yang boleh diheboh-hebohkan. Ramai manusia akan tersungkur, sedar dan insaf akan hakikat ini apabila mereka diuji dan ditimpakan dengan musibah.

(3) Bertaqwa. Berhati-hatilah kita dalam melakukan apa jua di alam dunia ini. – Berkata-kata, memberikan teguran, menulis, menjalinkan hubungan kemanusiaan dan apa jua aktiviti harian. Allah SWT akan menguji kita dengan apa yang kita perkatakan, nukilkan, tuliskan, berikan dan sebagainya.

Allah SWT menguji saya selepas saya kongsikan satu perkongsian berkenaan bangun selepas azan Subuh. Selepas itu, 4 hari berturut-turut badan sakit dan tidak boleh bangun sebelum azan Subuh. Saya melihat hati, mengamati diri dan benar-benar insaf akan ujian Allah SWT ini. Di sebalik itu, tersimpan hikmah yang harus diselidiki.

(4) Justeru, antara ibrah yang ingin dikongsikan – Kita adalah hamba Allah SWT yang hina, kecil, kerdil dan tiada apa-apa. Maka, bertaqwalah kita kepada-Nya dengan sebenar-benar taqwa.

Koreksi Diri Di Hujung Tahun 2011

BroHamzah
Kampung Paya Batu, Jalan Long Yunus
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim

12 comments:

Travelog Nur December 21, 2011 at 4:54 PM  

Salam alaik.

Rasa tidak mampu untuk terus mencoret perkongsian setelah berkali-kali diuji. Senang untuk berkongsi dengan yang lain, tapi sukar untuk menembak diri sendiri. Terasa sia-sia apabila setiap huruf,perkataan dan ayat malah bicaranya tidak terkesan pada hati sendiri.
Akhirnya, mengambil keputusan untuk berhenti mencoret buat seketika. Betulkah tindakan ana ni abg ali?

BroHamzah December 21, 2011 at 7:16 PM  

Travelog Nur

Jika itulah yang boleh mendekatkan hati dan jiwa kepada Allah SWT, lakukan ia kerana Allah SWT.

Semoga Allah SWT jernihkan jiwa dan luruskan hati.
BroHamzah

rimbunhijau December 21, 2011 at 7:32 PM  

alhamdulillah..
sangat terkesan pada diri.
terima kasih ya atas tulisannya.

BroHamzah December 21, 2011 at 9:09 PM  

rimbunhijau

Alhamdulillah, ianya daripada Allah SWT dan akan kembali kepada Allah SWT.

Kita adalah hamba-Nya!
BroHamzah

pengembara kecil December 21, 2011 at 9:14 PM  

terima kasih atas perkongsian..
betul-betul mengetuk hati..

moga penulisan dan nasihat brohamzah jadi saksi penyebaran agamaNYA di akhirat kelak,.. Insyaallah..

BroHamzah December 21, 2011 at 11:06 PM  

pengembara kecil

Kepada Dialah kembali. Segala puji dan puja untuk Allah SWT yang memberikan hidayah iman dan Islam kepada kita.

Semoga kita kembali kepada-Nya dengan hati yang tenang, bahagia dan tenteram.

BroHamzah

alFarafisyah December 22, 2011 at 2:13 AM  

Subhanallah.

Sangat tepat pada situasinya.

Terasa setiap baris ayat melekap di hati

Semoga Allah redha

Jazakallahu khairan atas perkongsian

BroHamzah December 22, 2011 at 5:55 AM  

alFarafisyah

Allah SWT sangat-sangat menyayangi kita. Kita adalah hamba-Nya.

Ayuh, kita dekatkan diri sedekat-dekatnya dengan Allah SWT.

BroHamzah

NooR AzLen BinTi HaRoN December 24, 2011 at 1:11 AM  

assalammualaikum..

tepat pada masanya...perkongsian yang bermakna.

"Kita berhak diuji oleh ALLAH"

BroHamzah December 24, 2011 at 8:20 PM  

Noor Azlen Bt Haron

Walaikumusalam,
Kita adalah hamba-Nya dan selama-lamanya kita hamba-Nya. Kita berubudiyah, menyembah dan menjadikan Allah SWT sebagai Rabb, Ilah dan tempat pergantungan semata-mata. InsyaAllah

BroHamzah

Fatimah Az Zahrah December 25, 2011 at 6:44 AM  

assalamualaikum.
jazakallahu khaoiron kathira atas perkongsian ini..
mmg betul allah uji sbb allah sygkan kita.
allah makbulkan doa kita krn allah sygkan kita,
allah lewat makbulkan doa kita krn allah menguji kita,
allah tidak memakbulkan doa kita krn allah telah sediakan yg terbaik untuk kita,
krn kasih sayang allah mendahului kemurkaannya..
rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara adakah patut didiamkan atau meluahkan krn tidak mahu perkara ini ibarat api dlm sekam krn mungkin ia boleh makan dalam jd nak minta pandangan yg mana satukah yg sesuai spy hati setiap org tidak rasa dicalari walaupun sedikit????

BroHamzah December 25, 2011 at 6:18 PM  

Fatimah Az Zahrah

Walaikumusalam,

Redha, Berbaik sangka, Qana'ah (rasa cukup) dan pasrah dengan penuh kerendahan adalah lambang sifat mukmin.

Benar, ia sukar untuk dijelmakan melainkan yang benar-benar mukmin.

Mendidik hati, jiwa dan hati adalah agenda utama dalam diari mukmin. Allah SWT sayang mukmin yang sebegini.

Semoga kita menjadi mukmin yang berusaha.
Mudahan kita menjadi mukmin yang punyai harapan yang meninggi untuk redha-Nya.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP