Ketika Musibah Melanda

Tuesday, May 18, 2010

Janganlah bersedih jika dirimu ditimpa dengan musibah


Ketika diri ini diuji dengan musibah
BroHamzah
Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan izinNya, hari ini saya bangkit dengan kesegaran, keceriaan dan kepuasan.

Seharian, badan ini sakit dan rehat yang berpanjangan selama sehari memberi sedikit kerehatan kepada badan. Kerehatan ini adalah nikmat Allah SWT kepada saya.
Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Hampir seminggu lepas, saya tidak mencatat sebarang perkongsian di blog yang tidak seberapa ini. Namun, Alhamdulillah di saat ini Allah SWT berikan kekuatan untuk mencoretkan sesuatu. Semoga yang dicatatkan di sini, dikiran sebagai amalan yang baik. Tidaklah dilakukan apa jua perbuatan, hanyasanya untuk mencari keredhaan dan bekalan untuk hari pertemuan dengan Allah SWT.

Musibah melanda

Kebelakangan ini, Allah SWT memberi pelbagai ujian kepada diri ini. Selepas satu, satu ujian yang menimpa. Namun, dalam proses tarbiyah yang dididik oleh Baginda Rasulullah SAW ujian itu adalah tarbiyah daripada Allah SWT dalam rangka ubudiyah kepadaNya.

Dalam masa, seminggu saya travel Allah SWT izin 2 kali kereta (berbeza) yang dinaiki menghadapi masalah. Satunya, tayar pecah ( pecah jam sekitar 2.30 pagi di high way dalam perjalanan ke Pahang) dan satu lagi, kereta tidak dapat dihidupkan ( on the way ke Utara) . Ketika musibah itu menimpa, saya bertafakur bersendirian mengingatkan diri akan hikmah di sebalik semua ini. Saya fikir ini adalah KAFARAH. Ia adalah musibah yang diturunkan sebagai “tebusan” untuk menghapuskan dosa-dosa saya.
Pulang dari musafir yang panjang, badan terasa sakit. Muka mulai pucat dan saya gagahkan diri menghadiri liqa’ bersama-sama sahabat yang lain. Alhamdulillah, liqa’ memberi kekuatan dan banyak input yang saya dapat. Penekanan soal keimanan dan keperluan untuk sentiasa kembali memuhasabah diri telah menguatkan saya.

Semalam, badan saya lesu. Belakang badan sakit. Kepala terasa berat & pening-pening. Seharian, terbaring di katil tanpa berbuat apa-apa. Saya banyakan berwudhuk, minum air masak dan beristighfar. Mata di pejam dan nafas dihembus perlahan-perlahan dengan kalimah Allah SWT.

Ya Allah, ampunilah dosa ku.
Ya Allah, sabarkanlah diriku
Ya Allah, teguhkanlah imanku
Ya Allah, lihatlah aku sebagai hambaMu yang bersabar
Ya Allah, terimalah aku sebagai hambaMu
Ya Allah, sabarkanlah aku dengan ujian ini
Ya Allah, didikanlah aku dengan musibah ini
Ya Allah, sembuhkan lah penyakit dan musibah ini

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.”

( Surah Al- Zukhruf 43 : 48)

Musibah dan Keperluannya dalam kehidupan

Susunan Allah SWT, sangat mendidik jiwa. Bagi saya, musibah itu walaupun perit untuk dilalui tetapi ianya meninggalkan kesan kepada jiwa sekiranya kita menerimanya dengan redha.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Apakah manusia menyangka bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja dengan pengakuan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?,”

( Surah Al-Ankabut 29: 2)

Inilah ujian dan musibah. Ia adalah segala bentuk dan rupa sesuatu yang tidak disukai oleh manusia.Mungkin ia berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan, bencana, kepayahan, kejatuhan dan lain-lain. Hakikatnya, musibah ditakdirkan untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah SWT.



Hikmah Musibah

Terdapat banyak hikmah musibah. Ia adalah mesej yang besar daripada Allah SWT untuk seluruh ummat manusia agar mengambil iktibar, pengajaran dan ingatan. Banyak hikmah di sebalik musibah ini, antaranya ;
Pertama, menguji diri untuk kesentiasa bersabar. Musibah adalah medan latihan kesabaran.
Kedua, membersihkan diri dan hati daripada sifat-sifat tercela dan buruk

Ketiga, ujian, musibah dan ujian mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Ketika itu, diri ini tertunduk mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah SWT.
Keempat, menguatkan keimanan kita kepada Allah SWT. Ketabahan, keyakinan dan keikhlasan teruji, lantas dijika disandari segalanya kepada Allah SWT, keimanan akan tertingkat.

Kelima, ia menjadikan doa & taubat itu betul-betul ikhlas. Manusia yang baru ditimpa musibah berada dalam keadaan lemah dan tawaduk. Ia akan menghasilkan doa & taubat yang tulus.
Keenam, sesungguhnya pilihan Allah ialah pilihan terbaik berbanding pilihan seorang hamba. Begitu juga musibah yang melanda, ia adalah pilihan Allah SWT buat hamba-Nya.

Hikmah Kata Ibnu Ata’illah

Sambil berbaring, saya mencapai Majalah SOLUSI yang baru. Tajuknya sangat menyentuh hati. “HIKMAH MUSIBAH”. Saya membelek satu persatu helaian majalah. Terdapat satu kata-kata yang menyentuh jiwa saya ketika itu.

Seorang ahli hikmah, Ibnu Ataillah Askandari pernah berkata :

“ Sesiapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah SWT terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akan dan mata hatinya. Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu tanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”

Inilah kehidupan. Ia adalah ujian untuk hamba-hamba Allah SWT yang bergelar manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Dia yang menjadikan mati dan hidup adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan kamu yang terbaik amalannya.”
( Surah al Mulk 67 : 2)

Alangkah uniknya kehidupan ini, ketika musibah ia juga adalah saat yang sangat indah!

1 comments:

faris May 19, 2010 at 11:33 PM  

Hadith yang ke-42,

عن أنس t یقول: (( قال الله تعالى: یا ابن آدم، إنك ما دعوتني قال: سمعت رسول الله
ورجوتني غفرت لك، على ما آان منك، ولا أبالي. یا ابن آدم، لو بلغت ذنوبك عنان
السماء، ثم استغفرتني غفرت لك، یا ابن آدم، إنك لو أتيتني بقراب الأرض خطایا ثم لقيتني
لا تشرك بي شيئا لأتيتك بقرابها مغفرة )) رواه الترمذي وقال: حدیث حسن صحيح.


Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP