Layari Langit Ilahi.Com Setiap Hari

Wednesday, November 30, 2011

Iklan, hebahan dan sebaran : -
Langit Ilahi.Com : Mari Menjadi Hamba!

Bismillah,

(1) Alhamdulillah, semoga sedikit perkongsian di dalam medan ini ada manfaatnya buat sahabat pembaca yang selalu menyokong, mendorong dan mendokong Langit Ilahi.

(2) Dengan gabungan team daripada pelbagai kepakaran, kebolehan dan juga think tank dalam team LI ini ( sekarang sudah mencecah 30 orang - secara sukarela) - pengunjung LI mencecah 33,000 setiap hari merupakan suatu bonus untuk kami berusaha untuk "berkongsi" dengan kalian.

(3) Saya ingin ucapkan syabas dan tahniah kepada sahabat-sahabat Team LI terutama akhi Hilal Asyraf sebagai master mind - yang bertungkus lumus untuk menggerakan usaha-usaha sebaran melalui alam maya ini. Semoga Allah SWT redha dan sentiasa memelihara niat, keikhlasan dan kebersihan hati kita dalam beramal kerana-Nya sahaja. Ya, kerana-Nya sahaja. Tiada yang lain.

(4) Harapannya, setiap yang kita laksanakan adalah medan ubudiyah kepada-Nya, medan untuk kita memenuhi gerak kerja secara jamaie' (berorganisasi) dan sentiasa saling bantu-membantu, lengkap-melengkapi dan sebagainya. InsyaAllah.


Mari Menjadi Hamba
BroHamzah
1 Disember 2011
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.

Read more...

Cerna Minda - Nyatakan pandangan anda!

Monday, November 28, 2011

Akal berfikir, Hati berzikir.

Cerna Minda : Nyatakan pandangan anda!

Bismillah, dengan nama Allah SWT saya kongsikan tinta ini.

Alhamdulillah, semakin hari kehidupan kita terus berlalu pantas. Sedar atau tidak, kekadang kita hampir-hampir tidak sedari bahawa usia semakin meningkat dan banyak perubahan yang berlalu di sekeliling kita. Itulah kehidupan, ia akan terus beredar, berubah dan sentiasa “mematuhi” sunnatullah.

Ia akan mengalami perubahan sejajar dengan tabi’atnya yang disusun, ditetapkan dan ditentukan oleh Allah SWT. Semoga kita adalah insan-insan yang sentiasa sensitif dan peka dengan perubahan serta sangat-sangat berhajat kepada perubahan yang akan memberikan sinaran harapan untuk jiwa dan hati kita semakin dekat, hampir dan sayang terhadap Allah SWT.

Berkongsi semula : Cerna Minda

Sudah lama, saya tidak berkongsi koleksi uji minda bersama sahabat pembaca. InsyaAllah – kali ini tergerak untuk kongsikan tentang satu uji minda berdasarkan situasi dan keadaan yang saya nyatakan dibawah. Harapannya, ialah sahabat pembaca boleh lontarkan pandangan, cetusan idea, pendapat dan jawapan yang paling :

TEPAT, BERPRINSIP, BIJAK, CERDIK, BERPANDANGAN JAUH, PEMIKIRAN TAJAM, TENANG, LOGIK, BERANI & PUNYAI PENDIRIAN YANG TEGUH.

Serta berikan hujah-hujahnya serta hal-hal yang boleh menyokong jawapan anda itu.




Kanak-kanak melintas landasan kereta api - " Bayangan Awal"


Situasinya begini : - baca dengan baik-baik dan fahami ia dengan mata hati!

Ketika anda sedang melintasi landasan keretapi anda mendapati ada sekumpulan kanak-kanak sedang bermain agak jauh dari tempat anda berada. Salah seorang dari mereka sedang leka bermain di satu landasan yang sudah lama tidak digunakan manakala yang lain bermain di landasan yang masih aktif.

Tiba-tiba sebuah keretapi penumpang bergerak laju menuju ke arah anda yang seterusnya akan melalui kawasan kanak-kanak yang sedang asyik bermain. ( Sungguh mencemaskan!)

Anda pada masa itu berada berhampiran intercharger (gear untuk mengubah laluan keretapi). Mustahil bagi anda untuk menghentikan keretapi tersebut. Mungkin yang mampu anda lakukan ialah menukar laluan keretapi ke landasan yang lain di mana terdapat seorang kanak-kanak yang sedang leka bermain.


Ini landasan kereta api. Memudahkan imaginasi anda.^^

Soalannya :

Apakah tindakan yang paling wajar yang perlu anda ambil dalam situasi tersebut ? Membiarkan keretapi penumpang merempuh sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di landasan aktif atau mengubah laluannya ke landasan di mana hanya terdapat seorang budak ?

Berikan jawapan kalian, hujjah anda dan nyatakan kenapa anda membuat keputusan sedemikian. Boleh tinggalkan jejak, komentar dan perkongsian di bawah ini. Dan kita lihat jawapan, pandangan dan “cernaan” minda sesama kita nanti. InsyaAllah.

Saya berikan peluang dan tempoh kepada semua sehingga awal Disember mendatang.
Menanti jawapan kalian. InsyaAllah, senyum-senyum selalu.

BroHamzah
29 November 2011
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Berubah, kenapa terlalu sukar?

Saturday, November 26, 2011

Sinaran harapan untuk berubah, masih tetap ada.


Himmah : Berubah, kenapa terlalu sukar?

Benar, sungguh sukar untuk berubah! Ramai yang sebenarnya hajatkan kepada perubahan demi perubahan, tetapi perubahan yang dilakukan tidak kekal lama. Kata orang, hangat-hangat tahi ayam. Kasar bunyinya, tetapi apabila direnungi – semenangnya itulah hakikat yang ada. Ya, itulah realiti yang berlaku kepada kita semua.

Beberapa tahun sebelum ini, saya sering bersama-sama sahabat saya mengendalikan kursus motivasi dan suntikan kesedaran hati kepada pelajar-pelajar sekolah dan juga institusi pengajian tinggi. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT selalunya kursus-kursus sebegini memberikan suatu pengalaman yang baik dan menyuntik kesedaran kepada para peserta.

Pengalaman mengikuti modul-modul serta pengisian-pengisian berteraskan Al-Quran serta alunan zikrullah dapat melembutkan hati mereka lalu memberikan suatu keinsafan dan kesedaran. Suasana yang dibina dan dibentuk dengan pendekatan sebegini mempunyai pengaruh dan kesannya yang tersendiri.

Jiwa mereka disentuh dengan hakikat perhambaan kepada Allah SWT. Hati mereka ditiup lembut dengan ayat-ayat Allah SWT yang melunakan dan meleburkan kekerasan jiwa. Akhirnya, mata mereka berkaca-kaca dengan linangan air mata yang membasahi pipi dan nurani dalaman mereka.

Masih segar suasana kem itu difikiran dan minda saya. Bahkan – saya sendiri rasa tenang, damai dan bahagia dengan biah-biah yang menyuburkan jiwa sedemikian rupa.

Pernah saya dihubungi oleh seorang adik peserta selepas beberapa minggu program berlalu. Katanya :

“ Saya sangat-sangat merindui suasana kem. Hajat benar untuk mengulanginya dan terus kekal dengan perasaan yang jarang-jarang saya rasai. Ramai kawan-kawan saya yang berubah, namun ianya hanya untuk beberapa minggu sahaja. Kemudian, kami akan kembali seperti asal.”

Tersenyum saya mendengar luahannya. Lalu saya kongsikan sesuatu kepadanya.

“ Sesiapa yang berubah kerana TERPAKSA dia sebenarnya adalah MANGSA, dan sesiapa yang berubah kepada Allah SWT kerana kesedaran yang JELAS dan NYATA, pasti ia akan BAHAGIA.”

Jika berubah kerana terpaksa dan buat-buat, ia adalah natijah atau kesan yang cetak. Berubah kerana suasana, kerana keluarga, kerana ikut-ikutan, kerana desakan ibu bapa dan sebagainya – ia adalah suatu bebanan perasaan yang menyesakan dada. Ingin berubah, tetapi tiada asas yang kukuh dan kuat. Masih samar-samar dan kabur dalam langkahan untuk berubah.

Ya. Inilah suatu hakikat yang sama-sama kita rasai sebelum-sebelum ini. Apabila hidayah “perubahan” dan kesedaran menerpa ke dalam diri kita – rasa penyesalan, keinsafan dan kesedihan akan segala kisah silam dan perbuatan yang menyalahi tuntutan Allah SWT. Justeru, timbul bibit-bibit keazaman dan usaha tekad untuk berubah, berubah dan terus berubah.

Namun, apabila suatu tempoh masa berlalu – kita menyedari bahawa perubahan itu tidak kekal lama. Suam-suam sahaja, kemudian sejuk kembali. Perasaan yang berkobar-kobar untuk menggerakan perubahan diri telah hilang dimamah usia dan ianya hanya tinggal memori. Dan – akhirnya, kita terus di takuk lama. Tidak berubah, zaman berzaman lamanya.

Titik tolak untuk berubah!

Justeru itu, apa yang perlu kita buat?

Saya masih ingat, seorang murabbi saya menyebut tentang perubahan. Jika kita ingin melakukan perubahan, kita perlu jelas dan fahami akan hakikat perubahan itu sendiri. Hampir semua orang ingin berubah, namun setelah masa berlalu mereka masih di tahap yang sama. Oleh itu, kita bukan sekadar merasa perlu berubah tetapi kita juga perlu tahu kenapa kita perlu berubah, apa perubahan yang perlu kita lakukan dan bagaimana perubahan itu patut bermula.
Inilah persoalan-persoalan awal yang perlu kita jawab sekiranya benar-benar ingin berubah.

Titik tolak melakukan perubahan, kata murabbi saya ialah :

“ Kenali kelemahan, keaiban dan kekurangan diri kita.”

Itu asasnya. Sedarkah kita bahawa kita ini sebenarnya insan yang lemah, kerdil lagi hina ?

Sekali sekala air mata ini berguguran jua. Sekuat mana kita, sekental mana fizikal luaran kita dan segagah mana daya tahan perasaan yang ada, akhirnya kita bagaikan “terpaksa” - akur bahawa kita sebenarnya insan yang sangat – sangat kerdil, hina dan lemah.

Ujian demi ujian. Dugaan demi dugaan serta musibah yang bersilih ganti hadir mengusik setiap sanubari kita. Apabila musibah itu tiba, maka sedarlah diri kita bahawa sesungguhnya, kita sangat-sangat berhajatkan kepada Allah SWT. Ya, dalam segala hal, tindakan dan peristiwa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ (Oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia, kamulah Yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

( Al- Fatir 35 : 15)

Inilah tandanya dan signalnya : kita sangat-sangat perlukan Allah SWT. Kita ini sangat-sangat lemah!

Justeru, berhentilah seketika. Saat itu, kita perhatikan insan-insan di sekeliling kita dan amatilah setiap wajah mereka. Ketika itu, rehatkan juga minda kita. Dan – koreksi diri kita sedalam-dalamnya. Lihatlah hati kita yang berada di dada kita. Bersihkah ia? Jernihkah ia? Atau sebaliknya? Semua ini adalah titik mula untuk mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang tercalit pada diri kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.”

( Ar Ra’du 13 : 11)

Takut untuk berubah

Takut untuk berubah? Benarkah?

Ya.

Kebanyakan manusia sebenarnya takut dan sukar menerima perubahan walaupun zahirnya mereka sangat inginkan perubahan. Tapi sayang perubahan kepada kebaikan tidak berlaku secara mukjizat atau sekelip mata umpama magis yang memukau anak-anak mata manusia. Kita, kita dan kita semua – yang bertanggungjawab untuk berubah dan semua itu ada harga yang perlu kita bayar.

Sedar atau tidak, semua manusia – saya, anda dan mereka – hajatkan kepada perubahan tetapi tidak sanggup untuk membayar harganya. Harga bagi sebuah perubahan adalah pengorbanan, kesukaran dan kepayahan. Kita sentiasa harapkan perubahan yang bersifat “instant” , segera dan mudah – sedangkan perubahan tidak semudah yang kita angan-angankan.

Murabbi saya juga selalu mengulangi kata-kata ini :

“ Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi. Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan sesuatu yang mustahil. Kenikmatan tidak mungkin diperolehi dengan kenikmatan pula. Setiap sesuatu yang bernilai tinggi pasti ada harganya. Kejayaan tidak akan diraih dengan kesenangan,mahupun kenikmatan. Ini kerana kedua-dua itu hanya akan datang selepas keperitan, kesusahan dan kesengsaran.”

Saya sering menyoal sesuatu perkara :

Kenapa perubahan itu terlalu sukar?

Sebenarnya perubahan menuntut kita untuk meninggalkan sesuatu tabiat atau kebiasaan yang salah kepada yang betul. Untuk merubah tabiat atau kebiasaan-kebiasaan yang sudah mendarah daging dalam jiwa kita bukanlah mudah melain kita benar-benar bertekad, berazam dan menjiwai sebab serta alasan untuk kita berubah.

Oleh itu, perubahan yang sebenarnya bermula dari dalam diri kita iaitu apabila kita membina matlamat hidup yang jelas sehingga kita sanggup berkorban untuk mencapai apa yang kita benar-benar hajati. Tanpa memiliki kejelasan matlamat dan himmah yang tinggi adalah terlalu sukar untuk kita berubah.

* Artikel ini disiarkan di Langit Ilahi.Com

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP