'Aliyah Mukhlisah - Permata Hati Abi Wa Ummi

Wednesday, January 18, 2012


‘Aliyah Mukhlisah – Permata Hati Abi wa Ummi - Usia 1 hari.


11 Januari 2012

“ Abang.. Abang..” Terdengar suara zaujati memanggil menembusi lamunan lenaku.

Pagi itu hening. Seawal 4 pagi, zaujati mengejutkan saya, memaklumkan bahawa ada tanda-tanda bahawa beliau akan melahirkan anak kami.

Air ketuban telah keluar!

Terkejut saya. Jika mengikut due date – 3 minggu lagi. Dalam keadaan sebegitu, saya hubungi beberapa individu yang boleh dirujuk. Maka, cadangan mereka ialah – bahawa ke hospital sesegera mungkin.

Seusai Subuh, seawal 7 pagi kami berdua ke hospital Kota Bharu dengan harapan untuk mendapatkan kepastian status keadaan kandungan zaujati. Namun, tidak terlintas dalam hati - bahawa zaujati akan bersalin pada hari itu juga. Bahkan pagi itu, saya keluar dengan berpakaian kemas untuk ke pejabat. Berbaju kemeja kelabu tanpa kolar dan seluar slack hitam penuh gaya!
Masa berlalu dan terus berlalu.

Lama saya menanti di luar bilik menunggu, jam menunjukan jam 10.00 pagi. Saya gelisah lalu menghantar mesej kepada zaujati :

“ Lama lagi ka?”

“ Tak tau nak tanya siapa. Tadi, doktor kata tunggu keputusan. Macam doktor tengah cek fail. Doakan. Tidak mahu masuk wad.”

Lama, saya menanti. 20 minit kemudian, saya mesej sekali lagi.

“ Macamana?”

“ Ada 5 orang doktor di sini. Mereka tengah bincang. Mungkin kena scan!,”

Isteri saya memaklumkan bahawa, doktor ingin bertemu.

“ En Ali Irfan,…,” Doktor menyebut namaku.

Eh, macam cerpen pula perkongsian kali ini. Afwan, sekadar titipan ringkas sahaja. Tetapi itulah, detik-detik awal ketika berdebar menanti kelahiran cahaya mata. MasyaAllah – biar pun setelah seminggu berlalu, apa yang dilalui masih melekat dalam minda, hati dan ingatan saya. Kepenatan, keletihan, kelelahan dan pelbagai perasaan yang bercampur baur. Namun, Alhamdulillah – Allah SWT memudahkan segala urusan saya ketika itu.

Sujud syukur saya dengan kurniaan, pemberian dan anugerah Ilahi. Seorang putri sulung yang sihat, sejahtera dan tenang raut wajahnya. Setiap kali memandangnya, jiwa saya bahagia, tenteram dan damai. MasyaAllah.

“ Anakku…” Getus hati kecil saya. Saya tersenyum penuh kesyukuran.


Ahlan Wasahlan Ya Ameeratuna! ( Selamat datang, putri kami). Usia 4 hari ketika di dalam wad 4, Hospital Kota Bharu.


Penyejuk dan buah hati.

Kami sepakat untuk menamakan putri sulung kami ini dengan nama :

‘Aliyah Mukhlisah

Ia membawa makna seorang wanita yang mulia dan ikhlas. Nama ini sangat dekat di hati kami semasa tempoh zaujati mengandungkan anak kami ini lagi.

Besar harapan, agar ameeratuna ini menjadi seorang wanita solehah yang mulia akhlak serta keperibadiannya dan sentiasa ikhlas dalam setiap amalannya kerana Allah SWT.

Semoga Allah SWT berikan saya dan zaujati kekuatan untuk mendidik ,membesarkan dan memelihara amanah yang besar ini. InsyaAllah.


'Aliyah Mukhlisah di usia 6 hari - Terus membesar dan membesar.

Persiapan menjadi Abi wa Umi

Saya masih ingat ketika bersembang-sembang dengan murabbi beberapa hari setelah mengetahui bahawa zaujati telah mengandung. Bagaikan suatu nasihat dan amanat, murabbi berpesan :

“ Satu sahaja yang ingin ana pesankan kepada anta sebagai persiapan untuk menjadi seorang abi, : tingkatkan ibadah anta – wajib dan sunat !.”

“ Kuatkan dan pelihara hubungan hati dengan Allah SWT.”

“ Melaksanakan amanah ini bukan hanya dengan kudrat semata-mata tetapi kita perlu kepada munajat!.”

“ Kukuhkan jiwa dan hati dengan banyakan berdoa, berdoa dan menangis di hadapan Allah SWT!.”

Terdiam, saya. – Melihat diri, menilai hati dan mengkoreksi peribadi.

“ Ya Allah, kepada-Mu aku memohon kekuatan, petunjuk dan hidayah!.”

Catatan Seorang Hamba

(1). Alhamdulillah, hanya sanya kesyukuran ini dipanjatkan kepada Allah SWT atas segala kurniaan, anugerah dan pemberian ini. Cahaya mata adalah amanah yang harus dipelihara, dididik dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang, ruh perasaan dan didikan keimanan yang benar. Mudahan, kami dilorongkan oleh Allah SWT ke arah itu. Tidak upaya dan kudrat, melainkan Allah SWT!

(2). Tidak mudah mengalas tanggunggjawab sebagai abi dan ummi. Terbayang emak saya yang membesarkan saya dan 9 orang adik yang lain dengan penuh kesabaran, ketekunan dan kesungguhan. Perjalanan kami suami isteri – hanya titik mula sebuah perjalanan yang masih jauh. Jujurnya, mengalir air mata saya – melihat kesakitan yang ditanggung oleh isteri saya. Masya-Allah!

(3). Buat adik-adikku, melangkah ke alam perkahwinan ia menuntut banyak pengorbanan, kesungguhan, kepasrahan dan kecekalan jiwa. – Di alam ini, seharusnya kita perlu banyak membicarakan tentang tanggungjawab kita lebih banyak daripada hak-hak kita yang harus kita perolehi dan kecapi. Justeru, bertimbangkanlah dengan penuh kesedaran, tanggungjawab dan keyakinan dalam melangkah ke alam perkahwinan ini. InsyaAllah, kalian akan temui kemanisannya walaupun jalan-jalannya penuh berliku, mencabar dan banyak ujiannya.

(4). Tiga hari saya demam, selsema dan sakit badan. Mungkin, kejutan menjadi seorang abi.^^. Apapun, syukran Ya Allah – kerana memberikan pengalaman yang sangat berharga ini kepada hamba-Mu yang kerdil ini.

BroHamzah
Kampung Paya Batu,
Jalan Long Yunus, Kota Bharu
Kelantan

Read more...

Qurratul 'Aini - Cahaya Mata Kurniaan Ilahi

Thursday, January 12, 2012


Qurratul ‘Aini – Cahaya Mata Kurniaan Ilahi

Bismillahirahmanirahim.

(1). Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah. – Zaujati (Isteri saya) selamat melahirkan anak sulung kami - srikandi mujahidah - pada jam 11.13 malam, Rabu 11 Januari 2012 di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ) atau lebih famousnya Hospital Kota Bharu.

(2). Kini, kedua-duanya sihat, stabil dan sejahtera. Kami benar-benar rasa bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan dan anugerah Ilahi ini. MasyaAllah – tidak tergambar perasaan. Hanya mampu tersenyum dan berwajah-wajah ceria penuh berseri!

(3). Kian terasa amanah dan tanggungjawab daripada Ilahi yang harus kami pikul. Amanah ini adalah amanah yang semesti kami - ambil dengan penuh kesedaran, berjiwa penuh tanggungjawab dan merasai hakikat ubudiyah ini dengan sejelas-jelasnya.

(4). Nama puteri sulung kami ini, secara rasminya akan dikongsikan kepada sahabat-sahabat, rakan-rakan dan teman-teman dalam tempoh 7 hari mendatang. Cadangannya sudah ada. InsyaAllah. Tetapi, jika ingin memberikan cadangan amat-amat dialu-alukan.^^. Tetapi dengan satu syarat. – Harus bermula dengan huruf A dan M bagi gandingan 2 nama & makna yang baik, islamik dan bererti.

(5). Gambar srikandi kami – buat masa ini, kami tidak dapat kongsikan buat tatapan sahabat handai. Kerana, putri sulung kami yang tercintai ini masih dalam penjagaan rapi doktor untuk rawatan selanjutnya. ( Gambar tidak boleh diambil).

(6). Kami hajatkan perkongsian, tunjuk ajar dan panduan daripada sahabat-sahabat pembaca sekalian tentang dunia “keibubapaan” dan tips penjagaan anak. Jika punyai pengalaman, ilmu dan pengetahuan – sudi-sudilah kongsikannya. Kami sangat berbesar hati.

(7). Kami memohon doa dan solat hajat daripada kalian semua agar Allah SWT sentiasa memberikan kemudahan, kelancaran dan bantuan dalam setiap urusan kami. InsyaAllah, kepada Allah SWT jualah kita bergantung dan berharap.

Sekian,

BroHamzah & Zaujah
12 Januari 2012
Hospital Kota Bharu, Kelantan

Read more...

Membuka Lembaran Baru

Wednesday, January 4, 2012

Sinaran harapan sentiasa ada
untuk kita semua.

Membuka Lembaran Baru

Bismillah, dengan nama-Nya coretan ini dinukilkan.

Saya kongsikan coretan ringkas ini sebagai membuka lembaran baru bagi tahun 2012. Tiada apa yang terlintas untuk dicatat dan dicoretkan sebenarnya. Namun, setelah direnungi dan difikirkan – setiap fasa dalam perubahan kehidupan harus dilalui dengan persedian dan persiapan. Semoga tahun 2012 ini akan dimulakan dengan suatu niat, matlamat dan perancangan yang jelas.

(1) Tahun 2011, yang berlalu telah memberikan suatu pengalaman dan kesan yang sungguh mendalam kepada saya secara peribadi. Maha Suci Allah SWT, yang telah menetapkan semua ini. Dan , sesungguhnya – saya hanyalah hamba-Nya yang lemah, dhaif, kerdil, kecil dan tiada sebarang upaya.

Fasa demi fasa berlalu, dan semakin hari ia berlalu – saya sentiasa bertekad dan berusaha mengutip ibrah, pengajaran dan nilai pendidikan terhadap apa yang ditempuhi dalam kehidupan.

Kian ramai manusia yang ditemui, dirapati dan diteladani – saya dapati bahawa sesungguhnya terdapat pelbagai jenis, ragam, kerenah dan sikap manusia. Manusia yang bertopengkan pelbagai jenis, bentuk dan aneka rupa wajah. Namun, benarlah - sebaik-baik manusia adalah manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT!

Setiap hari berhadapan dengan pelbagai “ramuan” kehidupan – ada saat tenang, damai dan tenteram – ada ketikanya dihimpit ujian yang tertimpa-timpa. Semuanya, mengajar saya untuk memiliki persedian jiwa yang tahan diuji. – Sahsiah keperibadian yang stabil!

Dan, jika dinukilkan terdapat banyak perkara yang boleh dikongsikan. Namun, cukuplah sekadar itu.

(2) Tahun 2012, kekadang saya terasa debaran untuk melaluinya. Tahun ini, saya akan lalui lebih banyak cabaran, pengalaman dan ujian dalam pelbagai bentuk. Saya tidak tahu apakah ia? Tetapi, perasaan itu hadir dengan tiupan kencang!

Tugas, amanah dan kerjaya yang akan menuntut lebih kesabaran, penelitian dan kesungguhan. Sepanjang, tahun 2011 – saya tidak pernah terlintas untuk menjadi seorang editor dan penulis namun, Allah SWT berikan pengalaman ini. Banyak perkara yang ditimba, dicedok dan diamati. Saya terima cabaran itu! Dan tahun ini, saya perlu persiapkan lagi untuk itu.

Perubahan fasa untuk terus menerus menjadi hamba Allah SWT. Daripada seorang, kini berdua. Dan daripada berdua, insyaAllah akan “bertiga”. Sebagai seorang lelaki dan juga semua – berdebar itu tetap ada untuk melangkah ke fasa bergelar – abi, ayah, abah, papa dan dady!. ^^

Yang pasti, tahun ini mesti lebih baik. Wujudnya pembaharuan, peningkatan dan perubahan kepada saya secara khususnya. Apakah yang perlu berubah, ditingkatkan dan diperbaharui?

(3) Pencapaian, komitmen dan kecekalan. Betapa sesungguhnya, kekuatan yang hakikat itu adalah daripada Allah SWT. Tiada yang lain, melainkan Dia.

Untuk lebih banyak bersabar,
Untuk lebih kuat dan tabah dengan sebarang ujian dan dugaan,
Untuk lebih kukuh dan stabil saat diuji,
Untuk lebih konsisten dan istiqamah,
Untuk lebih berhimmah dan berhikmah,
Untuk lebih meningkat dan tertingkat,

Kita – Saya dan Anda – harus memiliki kekuatan ruh, jiwa dan nurani dalaman yang kuat, jernih, bersih dan utuh. Maknanya, apa? : Hubungan dengan Allah SWT yang sentiasa murni, berhubungan 24 jam , dipelihara dan dijaga.

Kerana itu,

Al-Quranul Karim – sebagai sumber utama kekuatan – harus dibaca, difahami, diteliti dan dihayati lebih kerap dari sebelumnya.

Lidah, hati dan jiwa lebih – kerap membaca dan mengulangi zikrullah dalam setiap nadi kehidupan.

Amalan Zikir al-Mathurat harus lebih kerap dari sebelumnya. Jika sebelum ini, hanya sebagai rutin sahaja - kali ini ia dibaca dengan lebih penghayatan, perasaan dan jiwa yang berinteraksi.

Solat fardu diamati dengan lebih terfokus. – Kesempurnaannya, kekhusyukannya, perlaksanaanya dan berjemaahnya sentiasa disemak selalu.

Solat sunnat – sebagai tambahan – Qiamullailnya, Dhuhanya, Taubatnya dan Hajatnya. Ia harus dilazimi.

Kesentiasaan berwudhuk yang diteruskan dari semasa ke semasa.

Membuang, menghakis dan menanggalkan segala keaiban-keaiban, dosa-dosa dan maksiat yang menghitamkan dan mengotori hati secara teguh, bersungguh dan penuh tekad.

Dan, semua amalan-amalan yang boleh membersihkan hati, merawat jiwa dan menjernihkan nurani. – Ia diperkemaskan, diperkasakan dan ditekankan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan tanpa jemu, bosan dan lesu.

Akhirnya, :- Kepada Allah SWT jualah kita akan kembali.

Justeru, marilah kita perkukuhkan ubudiyah kita hanya sanya kepada Allah SWT.

Coretan Awal Tahun 2012
BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP