Sembang Tarbawi - Taqwa

Sunday, August 30, 2009


Sembang-sembang Tarbawi - Taqwa.

“ Marilah, sama-sama kita berazam dan bertekad untuk menjadikan Ramadhan pada tahun ini adalah yang terbaik dalam Sejarah hidup kita,” Saya mulakan kelas pada pagi itu dengan penuh bersemangat.

Bersemangat dengan menjalani kehidupan di Bulan yang penuh keberkatan, keampunan dan kerahmatan.

“ Outcome atau Output kepada Ramadhan nanti, ialah kita ingin menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa,” nasihat saya lebih berfokus kepada objektif Ramadhan.

“ Justeru, para pelajar sekalian. Marilah sama-sama kita lakukan perancangan dan pelan tindakan untuk RAMADHAN 1430 H ini dengan serius dan teliti.” Gesaan saya sebenarnya untuk diri dan para pelajar yang ada.

Alhamdulillah marilah sama-sama kita panjatkan rasa perhambaan dan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana memberi peluang, kesempatan dan ruang untuk kita berada di Bulan Ramadhan.

Meraih Janji Allah SWT ; TAQWA.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dirindui oleh jiwa-jiwa yang beriman dan mengharapkan kasih sayang dan belas ihsan Allah SWT. Bulan membuah kecintaan dan mengarap rasa kerinduan yang mendalam kepada kekasih kita yang sebenar.

Bagi yang melalui Ramadhan dengan penuh keimanan dan menghitung-hitung amalannya, ia akan merasai tiupan sepoi-sepoi bayu keimanan,jiwanya disinari dengan sinaran kerohanian dan kehidupan itu dibekali dengan bekalan ketaqwaan.

“ Bulan ini, Allah banyak mudahkan kita untuk melakukan segala amal ibadah. Ini tanda kasih sayang dan rahmat Allah SWT,” Saya teruskan ingatan berkaitan Ramadhan kepada para pelajar.

“ Kamu semua tahu, apa yang akan kita perolehi dalam bulan Ramadhan?,” soal saya.

“ Taqwa.”Ada yang memberi respon. Alhamdulillah.

“ Apa itu Taqwa?”, Soal saya lagi.

Suasana kelas diam dan semuanya tersenyum-senyum.

TAQWA natijah Ramadhan Al-Mubarak

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT telah berfirman yang menjelaskan bahawa Ibadah puasa ini diwajibkan kepada Ummat Muhammad seperti ummat-ummat terdahulu. Allah SWT berfirman di ayat terakhir dengan ungkapan “mudah-mudahan” kamu menjadi orang bertaqwa. Mudahan-mudahan itu tersirat maksudnya. Ada yang mendapat taqwa dan ada yang tidak memperolehinya.

“ Saya ada soalan, penting ke Taqwa dalam kehidupan kita?”, ada seorang pelajar menyoal.

“ Soalan yang baik.Taqwa itu sangat signifikan dalam hidup kita.”Ujar saya.

Ambil Al-Quran. Cuba rujuk surah-surah berikut.

Pertama, Al-Anfal : 29

Kedua, Al-Hadid : 28

Ketiga, At-Talaq : 2-3

Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apa yang kita dapati?

Kita akan dapati bahawa ketakwaan kepada Allah SWT adalah merupakan Asas Gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).

Banyak sebenarnya takrifan Taqwa yang diberikan oleh para Ulama.Antaranya :

“ Bahawa Allah tidak melihat engkau ketika mana ia menegah engkau dan bahawa Allah tidak mengurangi (merugikan) engkau ketika mana ia memerintahkan.”

“ Taqwa ialah memelihara diri daripada Azab Allah dengan mengerjakan amal Soleh dan takut kepada Nya ketika terang dan tersembunyi.”

Pernah dengar kita Saidina Umar Al-Khattab menyoal seorang sahabat, Ubai Bin Kaab tentang Taqwa.

Ubai bertanya : “ Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri? “

Umar menjawab : “ Bahkan!”

Ubai bertanya lagi : “ Apa yang engkau lakukan?”

Jawab Umar : “ Aku berhati-hati dan berusaha melepasinya.”

Ubai berkata : “ Maka itulah yang dikatakan Ketakwaan.”

Rumusan dan Kesimpulan tentang Taqwa

“ Jadi, para pelajar.Apa kesimpulan tentang perkongsian Ustaz pada pagi ini.?” Saya cuba mengakhiri tazkirah pagi itu dengan membuat satu simpulan yang mudah untuk mereka.

"Ketaqwaan adalah merupakan suatu hasil yang JITU, serta buah yang semulajadi bagi perasaan yang dilimpahi dengan keimanan yang mendalam, yang sentiasa berhubungan dengan Allah SWT. Lahir satu perasaan yang sentiasa takut kepadaNya, kegerunan dan ketakutan dan seksaanNya, keinginan serta kesungguhan (ketamakan) kepada keampunan dan kurniaan pahalaNya.”

Dengan Taqwa, jadilah engkau insan yang Soleh, mukmin yang bertakwa lagi berhati-hati, muslim yang warak dan lelaki yang ikhlas.

Saya melangkah keluar dari dewan Kuliah dengan satu perasaan, mudahan Taqwa itu milik saya, dana para pelajar yang cuba memahami kata-kata itu dengan hati, jiwa dan perasaan mereka.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP