Revolusi Maidan Tahrir, Mesir bergolak?

Sunday, January 30, 2011


Kebangkitan Rakyat Mesir, satu era baru yang akan berlaku buat negeri Anbiya ini.


Revolusi Maidan Tahrir ( Medan Kemerdekaan) – Mesir bergolak?
Oleh : BroHamzah

Saya sebenarnya tidak tahu menyatakan apakah perasaan saya ketika ini. Perasaan apabila melihat apa yang sedang berlaku di Negara-negara Arab saat ini.

Sedih. Gembira. Teruja. Bersemangat. Kecewa. Atau apa?



Jalan-jalan di Mesir

Bermula dengan kebangkitan rakyat Tunisia yang akhirnya berjaya menumbangkan rejim Presidennya iaitu Presiden Zainal Abidin b. Ali yang telah memerintah lebih 24 tahun dengan era pemerintahan yang digambarkan sebagai zalim dan menindas. Sehingga beliau dan keluarga lari meninggalkan negera sendiri ke luar Negara. Bermula satu era yang menjadi tanda tanya dan persoalan banyak pihak? Selepas ini apa? What’s next?

Kebangkitan rakyat Tunisia, kelihatan memberikan satu cetusan ruh dan semangat baru untuk Negara-negara Arab yang lain, dan terkini yang sedang hangat diperkatakan ialah Mesir.

Mereka bangkit untuk berusaha melucutkan kuasa dan pemerintahan Presiden Husni Mubarak yang telah berkuasa lebih 30 tahun.

Suara mereka jelas : " Letak jawatan dan berambus daripada Mesir."

Itu yang saya faham. Wallahu'alam.

Selama beberapa hari, dunia luar terputus hubungan dengan Negara Mesir apabila pihak kerajaannya telah bertindak untuk menghalang sebarang perhubungan sama ada melalui telefon, internet dan sebagainya.


Demostrasi Rakyat - Mengulingkan Presiden Husni Mubarak yang telah memerintah Mesir selama 30 tahun


Di Maidan Tahrir - rakyat berkumpul

Saat itu, saya juga tertanya-tanya : Apa yang sebenarnya yang sedang berlaku di bumi anbiya Mesir. Saya perlukan maklumat, berita dan apa jua yang boleh memberikan gambaran yang sebenar. Sahabat-sahabat dan kenalan saya di sana – tidak dapat dihubungi. Saya agak resah, risau dan sedikit gelisah.

Risaukan keselamatan mereka. Saya dapati banyak info pagi ini, wallahu’alam benar atau tidak. Saya tidak mahu mengulasnya kerana tidak tahu ketepatan dan kesahihan beritanya. Wallahu’alam. Saya kongsikan gambar-gambar yang saya ambil daripada FB ini.

Salah satu bangunan yang dibakar dalam kebangkita dan protes rakyat Mesir



Suara rakyat Mesir - Amaran dan kemarahan untuk pemerintah



Penutup – Komentar seorang hamba

(1) Kerajaan yang menindas, zalim, kuku besi dan tidak berperikemanusiaan – serta tidak menjadikan Islam sebagai asas pemerintahan akan tumbang. Itu yang pasti.

(2) Marilah sama-sama kita doakan keselamatan, kesejahteraan dan kemudahan buat teman-teman, sahabat-sahabat dan rakyat Malaysia yang menetap dan belajar di sana. Semoga Allah memayungi mereka dengan rahmat, perlindungan dan kasih sayang.

(3) Buat rakyat Mesir, perjuangan dan kebangkitan anda adalah sesuatu era perubahan yang telah lama terpendam di dada seluruh rakyat yang inginkan kemerdekaan dan kemenangan.

(4) Saya jarang sekali menulis berkaitan isu semasa luar negara dalam blog, kali ini terpanggil dalam nada pertanyaan dan inginkan kepastian agar sama-sama kita semua mengambil cakna dan tahu. Atau - ada dikala pembaca yang baru sedang akan hakikat ini?


Penjara Abu Zaabal yang terletak di Kaherah. Apa sebenarnya yang berlaku?


Suasana di penjara Abu Zaabal, Kaherah Mesir

Read more...

Nota Dakwah : Kata-kata Mereka Memukau Dunia

Thursday, January 27, 2011

Dai', Sang Penyeru yang gigih menyeru ummah kepada kebenaran dan cahaya Allah SWT


Nota Dakwah : Kata-kata Mereka Memukau Dunia
Oleh : BroHamzah


“ Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit ” [1]

Perkataan yang baik, ialah adalah sesuatu yang menyejukkan jiwa malah ia sebenarnya mampu membangkitkan perasaan untuk terus bergerak dan memacu perubahan diri.

Kalimah yang baik adalah perkataan yang dapat memberikan ketenangan, kebahagiaan dan ketenteraman kepada sanubari insan yang mendengarnya dengan jiwa yang lapang.

Kata-kata yang baik dapat menegakan prinsip, menghidupkan roh, mendorong seseorang menuju kebenaran dan membina generasi yang berwawasan.

Kata-kata yang baik, mampu mengetuk jiwa, mendiamkan perasaan gundah, membuka mata, memukau seisi dunia dan menciptakan ketenangan yang luar biasa.

Inilah penangan kata-kata, bicara dan seruan kebaikan. Dan, kebaikan itu adalah daripada Rabb yang HAQ – Allah SWT.

Terima kasih kepada yang memberikan respon, komentar dan coretan kepada artikel public speaking yang lepas. Saya sangat-sangat menghargainya.

Jumaat yang barakah ini, saya tergerak hati untuk kongsikan dengan anda - sesuatu. Mengenali dan mengimbas kembali, para khatib yang hebat dalam peradaban dunia. Kata-kata mereka memukau dunia, dan jiwa-jiwa manusia sangat dahagakan mutiara yang terbit daripada bibir mereka.

Khatib terhebat dalam sejarah dunia

Di dalam banyak-banyak sunnah Rasulullah SAW, ada satu yang sangat menonjol dalam diri Rasulullah SAW : Baginda merupakan seorang khatib, juru dakwah dan pemidato yang terhebat.
Lisannya yang jujur di dalam penyampaian telah mempengaruhi ramai orang untuk dekat dan menghampirinya. Lisannya yang tulus itu, dapat menyapa roh dan jiwa manusia sehingga terpaut kepada tutur katanya yang indah lagi mempesona.

Ketika berbicara, seolah-olah mutiara yang keluar dari bibir baginda memancar terang sehingga ia kelihatan begitu cantik dan menarik. Bercahaya menyinari wajah baginda dan para sahabat terpegun dan terpaku di hadapannya tanpa banyak bicara.

Mereka tenggelam dalam layar bicara insan yang agung ini. MasyaAllah.

Tutu katanya, menghidupkan semangat para pejuang generasi awal dan memotivasikan jiwa mereka sehingga bangkitkan untuk beriman kepada yang Esa. Jiwa mereka berkobar-kobar memperjuangkan risalah yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.

Bagi mereka : “ Hidup tanpa perjuangan adalah sebuah keaiban.”

Ruh perjuangan sentiasa ditiup dengan nyalaan yang membara tanpa mengenal keputus asaan, kekecewaan dan kepenatan yang melelahkan.

Mereka mampu memacu dan mengharungi samudera kehidupan dengan seni keberanian yang sangat luar biasa. Di dada mereka tertanam keimanan yang benar sehingga mereka sangat-sangat mencintai kehidupan akhirat. Matlamat mereka jelas – mencintai Allah SWT.

Apakah rahsia yang membangkitkan jiwa mereka sehingga ke tahap ini?

Ya. Mereka sentiasa dimotivasikan oleh baginda Rasulullah. Sentiasa.

Dengan kalamullah yang menjadi motivasi terulung.
Hadis yang mulia yang menjadi panduan hidup.

Melalui apa ? – Melalui kalimah toyibbah, melalu tutur bicara yang menghangatkan dan kata-kata pembangkit semangat.

Seni kepimpinan ummah zaman berzaman

Bahkan, bukan baginda sahaja begitu. Para sahabat yang lain, juga mempunyai kekuatan dalam berbicara.

Thariq bin Ziyad, panglima tentera yang sangat hebat. Bala tentera di bawah pimpinannya telah mengharungi ketumbukan musuh Islam yang hebat dari segi keupayaan dan kelengkapan senjata perang. Namun, dengan kelantang pidato dan terikan ruh jihadnya – pasukan muslimin dapat membuka pintu kemenangan dan mengangkat panji Islam di udara kejayaan.

Saidina Ali Bin Abi Talid – diberi jolokan pintu ilmu. Apabila beliau berbicara, maka pecahlah segala pintu keterangan dan meleraikan segala kebuntuan. Khutbahnya, pidatonya dan penyampaianya mengalir seakan-akan seluruh kalimatnya adalah batu tulisan yang mengandungi keindahan, keagungan dan keunikannya.

Para ulama yang soleh lagi warak – Ibnu al-Jauzi juga begitu. Suasana kuliahnya sangat hening. Sangat menghibakan jika ia membicarakan soal dosa, taubat dan muhasabah. Linangan air mata para pendengar dan anak muridnya terdengar terisak-isak tanda tersentuh dan timbulnya penyesalan dalam diri. Ada yang meratap sehingga pengsan dan ada yang tersungkur di bawah rangkaian nasihatnya.

MasyaAllah, betapa bersih dan halusnya perasaan beliau.

Seorang khatib yang bergetar jiwanya kerana kesedihan dan kepiluan kerana takutkan kepada Allah SWT akan memberikan satu tusukan rasa kepada pendengarnya sehingga membuatkan air mata mengalir membasahi pipi yang kering.

Ahnaf bin Qais – tidak dikenali ramai – adalah seorang lelaki yang kurus kering dan lemah serta bermata cekung. Akan tetapi, apabila dia berkhutbah, maka dia menarik seluruh cahaya, mata, telinga dan hati untuk memberikan seluruh tumpuan kepada bicaranya.[2]

Begitu juga seorang tokoh pembaharuan dalam dunia gerakan Islam – As Syahid Imam Hassan al-Banna. Beliau jarang sekali menulis buku atau kitab. Tetapi, dalam sejarah hidupnya – beliau menjadi juru dakwah yang banyak menyampaikan didikan kepada masyarakat sekelilingnya dengan kata-kata nasihat, tutur bicara yang memikat dan lisan yang penuh berkat.

Seingat saya, beliau selalu telah mewujudkan satu forum atau kuliah umum untuk mengajak hati-hati manusia untuk mengingati Allah SWT dan melihat jiwa dengan proses didikan Al-Quran. Kuliah ini dinamakan Haditsuts Tsulatsa atau Atthifatus Tsulatsa, kerana ia diadakan secara rutin pada hari Selasa, di pejabat Pusat Ikhwanul Muslimin.

MasyaAllah, kuliah ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat setempat. Saban minggu, mereka ternanti-nanti dengan penuh kerinduan untuk berada dalam majlis ta’lim ini untuk mengisi kekosongan hati dan jiwa mereka. Mereka begitu asyik mendengar curahan hati Imam al-Banna sehinggakan, kuliah ini melimpah dengan kehadiran orang ramai luar daripada kawasan daerah.

Jika anda berhajat untuk membaca intisari dan intipati penyampaian kuliah Hassan al-Banna ini bolehlah dapatkan sebuah buku yang mengumpul semula kuliah-kuliah Imam Hassan al-Banna ini. Tajuknya, ialah Hadist Tsulatsa’ : Ceramah-ceramah Hasan al-Banna, karya Ahmad Isa ‘Asyur. Selain itu juga, saya pernah membaca buku yang mengumpulkan Khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam Hassan al-Banna yang bertajuk Khutbah Jumaat Hassan al-Banna yang disusun oleh Syeikh Isom Talimat.

Kesemua ini adalah khazanah ilmu dan bicara murabbi ummah yang sangat berharga dan mendidik jiwa saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Kekuatan Bicara dan Dakwah Bil Lisan

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" [3]

Inilah contoh, qudwah dan role model yang diketengahkan untuk kita jadikan iktibar. Jika dilihat kepada mereka, terdapat beberapa ciri yang boleh kita jadikan panduan dan tips untuk peningkatkan diri :

(1) Keikhlasan dan kejujuran mereka dalam menyampaikan kalimah al-Haq. Kesungguhan, keseriusan dan penuh dengan sifat kasih sayang kerana Allah SWT menjadikan siri penyampaian mereka menyentuh perasaan dan mengerakan rasa untuk melakukan perubahan dalam diri pendengar.

(2) Kefasihan dan kelancaran mereka dalam mengungkapkan ayat-ayat Al-Quran dan selalu menyandarkan kepada hadis Rasulullah SAW sebagai hujjah dan rujukan utama penyampaian mereka, membuatkan bicara mereka hidup dan segar. Inilah tali penghubung yang mengikat jiwa-jiwa manusia kepada keimanan dan keyakinan yang benar kepada Allah SWT.

(3) Memiliki kepakaran dalam bidang sastera sehingga barisan-barisan kalimah yang ada dalam tutur bicara mereka begitu indah, sangat menarik dan memikat untuk didengari. Gaya bahasa yang sederhana tetapi memukau serta penuh dengan nada-nada yang menakjubkan sehingga kisah-kisah, sirah-sirah dan cerita-cerita yang disampaikan benar-benar hidup di mata pendengar.

(4) Mereka mempunyai kualiti yang tinggi : Mampu menghidupkan bicara mereka di dalam hati, fikiran dan perasaan mereka. Mereka sentiasa memelihara hubungan hati dengan Allah SWT, sentiasa melakukan persiapan jiwa, emosi, fikiran dan rohani sebelum memulakan penyampaian ceramah, tazkirah atau khutbah.

(5) Mereka selalu membuat latihan kendiri untuk proses pengamalan, pengoperasian dan pembumian dalam kehidupan. Mereka hidup di dalamnya dan selalu berlatih dan berlatih. Ini juga adalah rahsia untuk menjadi seorang khatib, pemidati dan juru bicara yang petah berkata-kata.

Sebenarnya, ummat ini sangat-sangat memerlukan khatib, dai dan sang penyeru yang pakar, memiliki perasaan dan menguasai keadaan. Tujuan keberadaan mereka adalah untuk menyampaikan risalah kebenaran dengan pengaruh yang kuat dan mengesani perasaan insan. Ia mampu memberikan penerangan yang jelas tentang manhaj Al-Quran dengan ruh kehangatan yang memuncak, daya tarikan yang mendidik dan semangat yang membara. InsyaAllah.

Penutup – Komentar seorang hamba.

(1) Apa perasaan kita apabila membaca perkongsian di atas? – Seharusnya kita memasang azam dan tekad untuk bergerak menuju ke arah itu. Boleh dan mampukah diriku? Tepuk dada, tanyalah iman kita. Kita lakukan dengan kemampuan yang ada.

(2) Perkara yang terpenting ialah kita berkeupayaan untuk mengamalkan apa yang kita perkatakan. Allah SWT sangat murkai, mereka yang banyak menasihati, berbicara dan berkata-kata tetapi ia tidak berbekas pada hatinya. Positifkan hal ini, akulah yang pertama yang akan melaksanakannya.

(3) Marilah kita meluruskan niat dan perasaan untuk sentiasa mempertingkatkan diri kita. Dan salah satu kemahiran yang perlu ada di dalam diri ummat Muhammah ialah kemahiran public speaking, pengucapan awam ,dan berkhutbah dengan baik. Ayuh kita gerakan wawasan ini.


_______________________________

[1] Surah Ibrahim (14) : 24
[2] Khutbah Motivasi Terbaik, karya Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni
[3] Surah Fusillat (41) : 33

Read more...

Artikel Himmah LI : Januari 2011

Temui artikel Himmah : BroHamzah di Langit Ilahi setiap hari Rabu


Artikel Himmah LI – Januari 2011
Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Syukur kepada Allah SWT kerana memberikan kesempatan, peluang dan ruang kepada saya untuk berkongsi di alam maya ini melalui laman web Langit Ilahi. Bermula Januari 2011, saya diberikan satu amanah untuk berkongsi dan menulis dalam ruangan Himmah.

Artikel saya akan dimuatkan di dalam Langit Ilahi pada hari Rabu setiap minggu. Ini bermakna, saya akan menulis seminggu sekali berkaitan Himmah ini. Untuk pengetahuan, saya tulis mengenai Himmah hanya di Langit Ilahi. Jika berhajat untuk mengetahui tentangnya dan yang berkaitan : Boleh bertandang dan melayari Langit Ilahi.Com.


Alhamdulillah, sepanjang Januari 2011 ini saya telah berkongsi 5 artikel tentang Himmah. Tanpa saya sedari juga, dengan kerja harian yang semakin bertambah-tambah - rupa-rupanya sudah 5 artikel saya tulis. Begitu pantas masa berlalu. Berikut adalah tajuk-tajuk artikel Himmah bagi Januari 2011 :

(1) Uluwwul Himmah
(2) Bangkitkan Himmah!
(3) Biarkan Hatimu Berbicara
(4) Cetusan : Manajemen Himmah
(5) Kehidupan yang mengujakan

Penghargaan & Ucapan

Saya dengan rendah hati dan jiwa yang gembira, ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada para pembaca yang sudi meninggalkan komentar, cadangan dan pandangan di ruangan komentar dalam setiap artikel saya sepanjang Januari ini.

Sejujurnya, saya sangat-sangat menghargainya sebagai satu perkongsian dua pihak antara penulis dan pembaca. Idea, sumbanga saran, cetusan, luahan dan perkongsian anda telah banyak memberikan kekuatan dan motivasi untuk saya mengerakan fikiran untuk menulis tentang hal ini. Sebenarnya, tidak banyak buku rujukan atau tulisan-tulisan yang menghuraikan tentang Himmah ini. Jadi saya memberanikan diri untuk menerokainya sebagai salah satu aspek pembangunan diri dan pembinaan modal insan buat diri dan rakan-rakan sekalian. Wallahu’alam.

Sekiranya, anda ingin memberikan apa cadangan dan pandangan yang lain atau yang tidak pernah saya fikirkan mohon cetuskan di ruangan komentar di bawah ini. Bukan apa, dengan keterbatasan keupayaan saya ini – sememangnya begitu banyak kelemahan, kekurangan dan kekhilafan saya dalam artikel-artikel yang lepas. Jika hendak dibandingkan saya dengan penulis-penulis yang lain, saya masih jauh dari segi kemahiran penulisan ini. Bahasa masih kaku, tidak mampu mewujudkan hubungan interaksi antara pembaca dan penulis dengan baik dan seribu macam kekurangan. Saya bertekad untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa. InsyaAllah. Itu azam saya untuk tahun 2011 ini.

Mohon komentar anda, insyaAllah saya tidak kecil hati atau terasa.(‘’,).Malah saya sangat-sangat suka. Suka orang menunjukan kelemahan saya dan member terguran. Tolong ya. Jika tidak di sini pun, boleh berikan pandangan anda di artikel ruangan Himmah saya di Langit Ilahi.

Akhirul Kalam, syukran jazilan kepada semua. Anda adalah sumber inspirasi saya untuk terus maju ke hadapan.

Bangkitkan Himmah dalam kehidupan anda!
Keep Moving Forward!

Sekian
Yang memerlukan doa kalian,

BroHamzah
Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Read more...

Public Speaking - Medan Menjadi Khatib

Wednesday, January 26, 2011

Saya sangat fobio dengan alat ini - Gerun, takut dan gemuruh

Public Speaking – Medan menjadi khatib
Oleh : BroHamzah

“ Abang, macamana kita hendak latih diri supaya berkeyakinan bila bercakap di hadapan?,”

“ Saya ini pemalu sikit, segan kalau berdiri di hadapan orang ramai,”

“ Bercakap di hadapan, tidak mahu. Saya tidak boleh!,”

“ Ada tips supaya dapat bercakap di khalayak ramai dengan yakin dan lancar?,”

Itulah ragam yang selalu saya lihat apabila saya mengendalikan slot pengucapan awam atau public speaking. Kekadang tergelak saya lihat reaksi spontan dan gaya peserta yang berusaha dengan begitu keras untuk mempersembahkan kebolehan mereka berucap di hadapan orang ramai.

Apabila difikirkan dan diimbas kembali, saya dahulu juga adalah orang yang sangat anti dan tidak suka berucap di hadapan. Teringat, kisah-kisah awal apabila dipaksa berucap atau membentangkan sesuatu di hadapan kelas atau program – terketar-ketar, malu sangat-sangat dan gemuruh satu badan.

Peristiwa yang tidak boleh dilupakan

Semasa saya tingkatan 2 di sekolah menengah dahulu, saya telah diamanahkan untuk menjadi ketua kelas. Tingkatan 2 Al- Khawarizmi. Saya yang pemalu dan penyegan ini telah dilantik secara paksa rela oleh kawan-kawan satu kelas. Maka, saya akur dan pasrah sahaja. (‘’,)

Antara, tanggungjawab dan tugas ketua kelas ialah membuat pengumuman kepada ahli kelas di hadapan sebaik sahaja habis solat secara berjemaah di Musolla. Saya masih ingat, untuk pertama kalinya dalam sejarah hidup – kawan-kawan meminta saya untuk membuat pengumuman di hadapan dengan menggunakan mikrofon.

Gullpp! . Dada saya berombak-ombak. Peluh mulai membasahi keringat.

Saya masih ingat, saya perlu buat pengumuman selepas solat Jumaat. Maka pagi itu, saya menghafal dengan begitu tekun dan bersungguh skripnya.

“ Assalamualaikum wabaramatuhi wabarakatuh, kepada semua pelajar tingkatan 2 Al-Khawarizmi antum dikehendaki berkumpul di dalam kelas selepas solat Jumaat.”

Saya hafal dan ulang dengan begitu serius. Tidak mahu sebarang kesilapan yang berlaku. Ini pertama kali aku buat pengumuman. Getus hati kecil saya.

Takut ada
Gembira ada
Cemas pun ada.
Pendek kata semuanya ada.

Dipendekan cerita, selepas solat Jumaat selesai. Saya ready, well prepared – tip top- orang kata dan bersiap sedia dengan penuh keyakinan. Tiba-tiba, seorang kawan saya mendekati saya dan berbisik kepada saya.

“ Ali, perjumpaan kelas kita tangguh selepas maghrib. Ada problem sikit. Jadi tak payah buat pengumuman time ini.” Katanya perlahan.

Fuhh.. Ketika itu lega seluruh jiwa saya. Segala keresahan dan kegelisahan hilang serta merta. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Alhamdulillah.

Selepas itu, saya tenangkan diri dan membuat sedikit mind setting untuk melaksanakan pengumuman selepas maghrib. – Fakta : Anda perlu ingat ini merupakan kali pertama saya akan membuat pengumuman. Peristiwa ini sangat penting buat saya ketika itu.

Maka, tiba saat selepas maghrib. Seperti yang dijanjikan saya perlu buat pengumuman untuk mengumpulkan kawan-kawan satu kelas.

Saya melangkah dengan penuh gaya dan cermat. Ada keyakinan yang sangat baik. Saya terperasaan sedikit. Microfon yang menjadi alat yang sangat-sangat menakutkan itu, saya capai dengan tenang.

Maka saya berdiri dengan wajah yang bersahaja. Saya lihat begitu ramai abang-abang, kawan-kawan dan adik-adik tingkatan satu dihadapan saya. Lalu saya gagahkan diri untuk bersuara.

“ Assalamualaikum warahmatuhi wabarakatuh”

“ Kepada semua pelajar tingkatan 2 Al-Khawarizmi antum dikehendaki berkumpul di dalam kelas selepas solat Jumaat.”

Wah, begitu lancar saya membuat pengumumam tanpa tersekat-sekat. Hati saya kembang bangga.Tetapi tiba-tiba suasana Musolla menjadi sepi seketika.

Tiba-tiba, mereka ketawa - memecahkan suasana maghrib yang bening itu. Saya hairan dan saat itu baru saya perasaan. Saya tersalah membuat pengumuman. Skrip yang saya buat untuk “ selepas solat jumaat” terkeluar tanpa disedari.

Muka saya kemerahan menahan malu. Tertunduk sendirian. Aduh, malunya aku. Ketika itu dalam hati memang saya sangat-sangat malu. Saya bertekad selepas ini, saya tidak akan berucap di hadapan lagi.

Kesannya, beberapa bulan selepas itu saya tidak mahu membuat pengumuman atau berucap di khalayak ramai. Peristiwa itu membuatkan saya fobia dan fobia.

Saya mengambil masa yang sangat lama untuk melupakan peristiwa ini. Dan – masih berbekas sehingga ke hari ini.

Itulah sedikit perkongsian berkaitan hal ini.

Pengucapan awam dan keyakinan diri

Saya tidak begitu petah berucap atau berkata-kata di khalayak ramai. Kerana sifat malu yang ada dalam diri serta keyakinan diri yang rendah – saya jarang berdiri di hadapan untuk memberikan pandangan atau gagasan idea saya. Perkara ini berterusan sehinggalah saya ke universiti. Dan, semua orang tahu saya ini sebegini.

Namun, dalam keadaan sebegini saya berazam dan bertekad untuk melatih diri untuk tampil kehadapan dan berani bersuara. Ketika itu, saya sangat-sangat yakin – antara cara untuk saya tingkatkan keyakinan diri saya adalah dengan public speaking!

Di dalam tempoh itu, semasa di universiti saya banyak terdedah dengan aktiviti-aktiviti yang memerlukan saya tampil ke hadapan. Membuat pembentangan assignment, mengendalikan mesyuarat, menjadi fasilitator dalam kursus atau kem, menyampaikan tazkirah ringkas dan sebagainya.

Semua ini memerlukan kemahiran komunikasi dan pengucapan awam. Dan tanpa saya sedari, saya telah melangkah setapak demi setapak memahirkan diri dalam perkara ini.

Suatu hari, saya membuka laman web Irfan Khairi, seorang jutawan internet yang terkenal. Saya terbaca artikel motivasinya mengenai public speaking. Katanya, ramai individu-individu yang berjaya dewasa ini yang sangat baik dan bagus public speakingnya. Dan – skill ini katanya – boleh dipelajari, diasah, digilap dan sesiapa sahaja boleh melakukannya.

Tiba-tiba, jiwa saya termotivasi dan saya rasa sangat teruja. Dan saat itu, saya berazam – saya perlu kuasai teknik pengucapan awam dengan baik. Dan detik itulah, saya merangka perancangan untuk memacu diri dalam bidang public speaking ini.

Bermula dengan penyampaian tazkirah, menjadi pengerusi majlis, menjadi panel forum dan kini saya berpeluang memberikan ceramah – semuanya adalah daripada kemahiran yang saya pelajari ini iaitu teknik public speaking.

Saya ingin mengajak anda semua untuk menerokai kemahiran ini. Ia adalah sesuatu yang sangat menarik, menghiburkan dan ia memberikan kita motivasi keyakinan diri yang sangat-sangat bagus.Malah, saya selalu termotivasi apabila melihat mereka-mereka yang sangat baik corak ceramah dan pengucapan awamnya. Bagi saya, public speaking adalah latihan untuk menjadi khatib, pemidato, pendebat dan jurucakap yang mampu mempengaruhi pendengarnya. Perkara ini sangat penting, kerana melalu medium lisan ini ia mampu menjadi medan dakwah kepada masyarakat dan ummah.

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" [1]

Kemahiran menyampai dan menyeru manusia dimiliki oleh semua penyeru kebenaran. Baginda, Rasulullah SAW sendiri mempunyai kemahiran ini. Para sahabat yang dididik oleh Rasulullah juga begitu. Para pejuang dan dai zaman ini kebanyakannya, berlatih dan meningkatkan keupayaan pengucapan awam mereka.

Dan, persoalannya – kita pula bagaimana?

Penutup – Komentar seorang hamba

(1)- Kikiskan sifat malu dan segan anda. Mulai saat ini, bina mind setting untuk berani ke hadapan. Yakinlah, akan tertingkat satu keyakinan diri anda apabila anda tampil kehadapan dan membuat pengucapan awam kepada sesiapa sahaja. InsyaAllah.

(2)- Dewasa ini, kita perlukan ramai khatib, juru cakap dan juru dakwah yang menguasai lapangan public speaking. – Masa hadapan, kita perlukan dai’ yang mampu berkata-kata dengan hati dan menyeru manusia kepada kebaikan secara kolektif. Dakwah bil lisan harus menjadi agenda utama dai’ masa kini.

(3)- Saya gembira apabila melihat ramai bakat-bakat muda yang begitu petah berkata-kata dan berkeyakinan apabila memberikan pendapat. Inilah yang kita mahukan. Bermula dari sini, kita boleh mulakan latihan pengucapan awam yang lebih tarbawi, mendidik dan menyentuh hati.

(4)- Mungkin selepas ini kita boleh berkongsi tentang teknik dan kaedah untuk meningkatkan penguasaan pengucapan awam atau public speaking ini. Anda boleh berkongsi nanti. InsyaAllah.

----------------------------------------

[1] Surah Fusillat (41) : 33

Read more...

Tips Berblog - Agar Menjadi Amalan Soleh

Monday, January 24, 2011

Blog - ke mana hala tuju kita?


Tips Berblog : Agar Ia menjadi amalan soleh
Oleh : BroHamzah

Pertama, saya ingin ucapkan jutaan penghargaan buat teman-teman, rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang sudi meninggalkan jejak kalian diruangan komentar post saya yang lepas. Syukran, Alhamdulillah. Terasa wujudnya satu hubungan yang akrab antara kita semua. Saya dan anda dihubungkan hanya dengan ruangan maya yang jaraknya hanyalah dengan titipan dan coretan di bingkai-bingkai antaramuka blog kita.

Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Semoga Allah SWT merahmati anda semua. Mudah-mudahan kehidupan kita akan diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Ada yang bertanya kepada saya. Berkaitan tips berblog. Tersenyum saya. Kenapa soalan itu yang diajukan? Saya ini bukanlah orang yang arif benar tentang perkara ini. Hendak ketawa pun ada. Tetapi apabila difikirkan mungkin ada moleknya, saya kongsikan serba sedikit tips-tips berblog, menulis di ruangan blog dan apa-apa yang berkaitan dengannya. Perkongsian saya ini mungkin terbatas kepada pengalaman saya yang terhad, ilmu saya yang tidak seberapa dan pemerhatian saya yang mungkin tidak cukup matang. Semoga ia bermanfaat buat saya dan juga kalian, sidang pembaca yang budiman.

Tips Berblog

Hari ini, jika diamati ramai di kalangan komuniti masyarakat kita mempunyai blog. Rakan saya, - usianya sudah 30 an- anak sulungnya dalam darjah 4 sudah mempunyai blog sendiri. Teruja juga saya mendengar ceritanya. Katanya, anaknya yang membina blog itu sendiri dengan mempelajarinya secara pembacaan.

Advance kanak-kanak sekarang ini. Detik hati saya.(‘’,). Itulah penangan dunia maya, internet dan blog. Sesiapa sahaja sebenarnya boleh berblog. Tanpa batas umur, ilmu, kerjaya dan bidang kemahirannya. Jika anda punyai hasrat, kemahuan,keinginan dan cita-cita. Anda akan menjadi seorang blogger. Syaratnya, very simple : - Anda perlu ada blog.

Tetapi, blog bagaimana yang ingin kita miliki. Apakah intipati dan pengisian yang ingin kita ketengahkan dalam blog kita? Itu persoalan asas yang harus kita jawapan dengan nada yang jelas.

Saya selalu diingatkan, bahawa apa yang kita kongsikan, tuliskan, persembahkan dan catat di dalam blog akan dirakam, direkod, dinilai dan akan diadili dihadapan Allah SWT kelak. Yang baik atau yang buruk, yang bermanfaat atau sebaliknya – semuanya akan memberi kesan kepada akhirat saya. Kekadang, saya membaca kembali apa yang saya nyatakan di ruangan blog ini sama ada di ruangan post utama, diruangan shout box (sembang-sembang), ruangan komentar dan sebagainya. MasyaAllah, apa yang telah aku tulis ini. Sifat berhati-hati dan dicermati dengan TAQWA harus ada di dalam berblog ini.

Kerana apa? – Mudah-mudahan berblog ini juga akan menjadi medan untuk kita mengumpul bekalan amalan soleh. Boleh ke? Ya, sudah tentu boleh. Saya kongsikan dengan anda, beberapa tips berblog agar, ia menjadi amalan soleh yang berkat dan bermakna buat diri kita semua. InsyaAllah.


Rangkaian & Jaringan Blog yang bermanfaat

Tips Berblog – Agar Ia menjadi amalan soleh

Dengan nama Allah SWT, saya kongsikan sebagai peringatan buat diri dan juga manfaat buat kita semua. Sekiranya ada apa-apa yang kurang, mohon diteguri dan ditambah. InsyaAllah.

(1) Niat dan cetusan hati

Perkara utama yang harus diselidiki dan cermati dalam berblog ini ialah NIAT asal kita. Soal diri dengan jujur, ikhlas dan tanpa berpura-pura.

“ Wahai diri, untuk tujuan apakah aku berblog ini?,” Bermonologlah dengan diri dengan sebenar-benarnya. Pertanyaan ini sangat penting, agar kita benar-benar jelas akan matlamat, tujuan dan objektif kita membina, membuat dan berblog.

“ Alah, benda-benda macam ini pun hendak kena berniat baik ke?,”

“ Remeh temeh je ini,”

Saudara, kerana perkara remeh temeh la ramai yang tersasar jauh. Indahnya Islam, soal niat yang kecil ini menjadi perkara utama dan asas dalam beramal.

Ayuh saudara saudari, kita buat satu anjakan yang baru. Kita niatkan dan tajdidikan niat kita semuanya. Jika kita punyai blog, website dan apa jua platform di alam maya ini semuanya adalah untuk dijadikan ubudiyah kepada Allah SWT. Semoga amalan ini didepani dengan nilaian syara. Dalam soal ini, motto hidup saya tidak akan pernah berubah buat selama-lamanya iaitu : “ Syara sentiasa dihadapan, Allah is number One!,”

(2) Konsep dan Tema blog kita

Baik, seterusnya kita sembang-sembang pula soal yang tidak kurang pentingnya iaitu konsep dan tema blog kita. Inilah sebenarnya kekuatan blog seseorang.

Konsep dan tema yang diketengahkan. Ada orang, tema blognya ialah perkongsian dan catatan kehidupan sehariannya. Ada pula, menjadikan blognya medan untuknya membuat analisis isu-isu semasa, malah ada juga tempat ia berkongsi resipi-resipi masakan. Terpulanglah kepada kita. Yang penting, kita selesa, tenang dan suka akan konsep serta tema yang kita bawakan itu.

Banyak sebenarnya yang boleh kita kongsikan dalam blog : Hasil karya penulisan kita seperti cerpen, puisi, sajak dan sebagainya. Gambar-gambar yang ditangkap secara kreatif, catatan pengalaman kembara, kisah-kisah kehidupan yang membangkitkan motivasi diri, berita-berita dunia dan fakta-fakta yang jarang-jarang diketahui umum.

Nah, anda macamana pula? Sudah ada konsep dan tema blog anda?

(3) Rekabentuk, susunatur dan antaramuka Blog

Selalu kita dengar, fisrt impression atau pandangan pertama itu akan memberikan satu persepsi terhadap sesuatu yang kita lihat. Hal ini, sama dengan blog kita. Tidak dapat dinafikan, rekabentuk atau interface blog kita memainkan peranan yang sangat-sangat penting agar ia kelihatan menarik, smart dan memberikan satu impak yang berbekas pada pandangan seseorang.

Begini, blog kita ini umpama rumah kita. Seumpama, pondok tempat kita berteduh dan berehat. Bayangkan kalau pondok kita yang kita diami itu kemas, cantik, selesa dan indah. Tentu, kita suka bertandang dan tinggal di situ walaupun kadar tempoh yang lama. Bak kata orang , “kalau hati sudah terpikat, tinggal selama-lamanya pun tidak mengapa.”

Saya selalu menjelajah dan melayari ke alam maya untuk melihat blog-blog yang ada. Di sana, terdapat berpuluhan ribu malah mungkin jutaan blog yang pelbagai. Dengan template serta warna dan corak yang pelbagai – dunia maya ini dihiasi dengan blog-blog yang berbeza dari segi rekabentuk, konsep, susunatur dan sebagainya.

Bagi saya, blog yang baik adalah blog yang sedap mata memandang. Simple, kemas, pemilihan warna yang baik, tulisan yang mudah dibaca, mesra pengguna dan wujudnya interaktif antara pemilik blog dan pembacanya.

Bagi saya, terdapat beberapa blog yang sangat saya suka dari aspek persembahan interfacenya. Contoh seperti INI , INI , INI dan INI. Macamana? Apa pandangan anda?- Apakah persamaan antara keempat-empat blog atau website yang saya nyatakan ini? Soal cepu emas hari ini.

(4) Penggunaan bahasa , intipati dan prinsip asas

Seterusnya, aspek yang penting ialah penggunaan bahasa yang menjadi medium perantaraan antara penulis blog dan pembaca blog. Bagi saya, tulisan yang dipamerkan harus tulisan yang menggunakan bahasa baku yang tinggi. Maknanya, betul dari segi penggunaan bahasanya dan tidak terlalu “pasar” corak penggunaanya.

Jika boleh, elakan penggunaan bahasa pendek atau ringkasan yang sukar difahami. Kekadang, bahasa-bahasa sebegini akan menjemukan dan membosankan sesiapa sahaja untuk membacanya. Latihlah diri untuk menggunakan perkataan yang penuh ejaannya dan bahasa yang betul. Saya yakin, kita akan berpuas hati dengan perkongsian dan tulisan yang kita gunakan dalam blog nanti.

Di samping itu, kita nukilkanlah ia dengan bahasa jiwa dan bahasa hati. Tulislah dari lubuk hati dengan kerelaan hati dan kongsikan ia dengan jujur dan ikhlas. Inilah kekuatan bahasa yang tiada tandingannya.

Bak kata orang, tulisan yang ditulis dari hati akan jatuh menyimbah ke hati jua. (‘’,)

Intipati dan pengisian blog harus menjadikan Al-Quran dan As Sunnah sebagai rujukan utama. Ini adalah soal prinsip, pegangan dan maruah kita sebagai seorang muslim mukmin. Tidak dapat tidak. Ajakan kepada kebaikan, kebenaran dan kesolehah harus mendominasi seluruh artikel-artikel, video-video, kata-kata hikmah dan apa jua yang kita letakkan di blog kita.

Sehinggakan apa yang kita sembangkan juga sekiranya boleh, kita tarbawikannya sehingga ia menjadi indah, membahagiakan dan molek pada pandangan sisi syara’. InsyaAllah, jika inilah yang kita lakukan – masyaAllah – rahmat Allah SWT ke atas kalian.

(5) Sentiasa konsisten dan istiqamah

Selalu juga, kita menyebut : “ Mudah sahaja untuk memulakan sesuatu, tetapi hendak kekalkan ia untuk satu tempoh yang lama adalah cabaran yang sangat besar dan tinggi.”

Begitu juga dalam soal memaintainkan blog ini. Mudah sahaja untuk membuat blog, tidak sampai sejam pun. Tut..tut sudah siap. Yang sukarnya ialah untuk mengekalkan kadar pengisian blog kita secara berkala.

“ Tiada masa”
“ Sibuk memanjang”
“ Banyak kerja”

Inilah jawapan kegemaran saya dan kita semua apabila berhadapan dengan sesuatu yang menuntut komitmen peribadi. Memang dah tersedia jawapan ini sejak dahulu lagi, namun adakah ini sahaja jawapan yang kita sediakan untuk melakukan sesuatu yang akan menjadi bekalan amalan soleh kita?

Jika matlamat, objektif dan tujuan kita jelas, maka tunggu apa lagi? Kitalah yang akan berusaha mencari masa dan waktu untuk memberikan usaha yang terbaik. Semuanya kembali kepada kita. Dalam soal ini, cadangan teman-teman saya kepada saya dalam soal mengemas kini blog ialah :

Pertama, Ikhlaskan hati untuk mengemaskini kerana Allah SWT

Kedua, rancang dan susunlah waktu pemberian Allah SWT. 24 jam itu hargailah dengan bersungguh-sungguh

Ketiga, Disiplin, disiplin dan disiplin. Saya banyak belajar tentang ini melalui penulisan di blog. Semoga Allah permudahkan urusan saya.

Teringat pesanan sahabat saya, Hilal Asyraf :

“Kita sebenarnya mempunyai masa. Tetapi kita hanya tidak menyusunnya. Kita sebenarnya mempunyai masa. Tetapi kita tidak merancangnya. Akhirnya kita menyatakan, "Tak ada masalah."

Katanya lagi yang membuatkan saya tersentak : “Pokok pangkalnya, hendak menjadi seseorang yang hebat, dalam apa bidang pun, perlu pada disiplin. Ini adalah disiplin untuk mereka yang hendak menjadi unggul dalam medan ini.”

Terima kasih dan syukran buat HA kerana banyak memberi dorongan, sokongan, motivasi, nasihat dan inspirasi dalam soal ini.

Penutup – Komentar seorang hamba

(1)- Saya belajar dan memahami tentang masa dan waktu daripada penulisan blog ini. Belajar berdisiplin dan menghargai setiap waktu yang dianugerahi oleh Allah SWT kepada saya.

(2)- Blog adalah medan berubudiyah kepada Allah SWT. Kelihatan ia masih lagi menjadi sesuatu yang asing dan aneh di dalam masyarakat. Jika matlamat dan objektifnya jelas dan nyata – saya sangat-sangat yakin dunia Blog akan menjadi medan menyolehkan manusia untuk kembali tunduk serta taat kepada Allah SWT.

(3)- Semoga, berkurangnya blog-blog yang banyak mencaci, menabur fitnah, melebarkan berita-berita berbau kerosakan dan meleburkan keimanan yang bertapak dihati manusia. Saya sedih melihat blog-blog yang dipenuhi dengan aksi-aksi dosa, maksiat dan noda. Tercalar dan terguris kejernihan hati yang suci si pemilik blog dan mereka-mereka yang singgah “terbaca’ intipati blognya.

(4)- Ya Ilahi, ampunilah kami akan kejahilan kami. Semoga kami terus berada dalam payungan rahmat-Mu di dunia alam maya yang tiada sempadan ini, dunia fana yang sementara ini dan alam akhirat nan kekal abadi.

Read more...

Blog Anda?

Saturday, January 22, 2011

Membina jaringan Blog yang utuh


Blog anda?
Oleh : BroHamzah

Salam ceria buat semua yang melayari dan berkunjung ke teratak dan pondok saya yang tidak seberapa ini. Semoga persinggahan anda semua mendapat manfaat dan bertitik mula daripada sini kita akan terus menjalinkan hubungan persaudaraan di alam maya. Harapan saya ia bukannya setakat di sini sahaja, insyaAllah akan bertemu di alam realiti yang sebenarnya.

Mudahan-mudahan interaksi, komunikasi dan apa jua yang menghubungkan kita ini meletakan kita di atas satu landasan yang benar kerana Allah SWT. Bagi saya, inilah fokus dan agenda utama kehidupan saya – menjadikan segala-galanya untuk Allah SWT dan kerana Allah SWT.

Inilah tugas asasi dan ubudiyah yang sebenarnya. Allah SWT sebagai matlamat hidup.InsyaAllah.

Alam Maya

Kiranya, saya sendiri sudah lama melibatkan diri dalam alam internet atau alam maya ini. Kira-kira 8 tahun yang lalu, bermula zaman chatting versi lama sehingga ke versi terkini. Sehingga saya pun tidak terkejar akan kepantasan perubahan dan perkembangan teknologi maklumat. Semoga kecanggihan kemudahan sebegini, memberikan suatu yang berguna buat kita semua.

Blogger

Dan, salah satu kemudahan yang saya gunakan sepenuhnya ialah dunia blog. Dan, anda sendiri sedang membaca Blog kepunyaan saya. – Blog BroHamzah. Dan blog ini juga mempunyai sejarahnya. Saya ingin ucapkan terima kasih dan penghargaan buat semua yang sentiasa mengunjungi blog atau pondok saya ini dan sudi meninggalkan jejak serta komentar yang membina. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak dan syukran ala kulli hall.

Hajat dan permintaan

Saya ada satu hajat dan permintaan agar para pembaca, pengunjung dan sahabat-sahabat alam maya yang mempunyai blog sendiri dapat menyatakan alamat URL blog atau website masing-masing di ruangan komentar post ini. InsyaAllah, saya berhajat untuk membuat direktori senara blog teman-teman sekalian. InsyaAllah. Di masa yang terluang, selalu saya akan berkunjung ke blog teman-teman untuk menimba ilmu, perkongsian, pengetahuan dan membaca coretan buat ibrah bersama.

Jika boleh tulis sebegini :

Nama / Samaran :
Url Blog :
Tema Blog :

Itu sahaja, 3 item penting. Jika hendak tambah pun saya tidak kisah. (‘’,)

Segala kerjasama dan bantuan kalian amat-amat saya hargai. Sekian dahulu, semoga Allah reda kalian semua.

BroHamzah

Read more...

Sukarnya Istiqamah

Friday, January 21, 2011

Saya masih belajar untuk Istiqamah. Anda bagaimana?


Sukarnya Istiqamah
Oleh : BroHamzah

Dua tiga hari ini, saya disapa dan ditegur oleh beberapa orang adik-adik peserta JDK melalui FB, emel dan mesej. Alhamdulillah, bertanya khabar dan mengeratkan lagi persaudaraan yang sedia terjalin. Bukan mereka sahaja, tetapi daripada rakan-rakan baru yang berkesempatan membaca artikel saya di blog ini atau di website Langit Ilahi.Com.

Alhamdulillah, syukran buat semua. Salam ukhuwah fillah daripada BroHamzah buat semua. Saya senang dengan persahabatan dan perkenalan ini. Mudahan ia menjadi bibit-bibit permulaan untuk jalinan kemesraan yang lebih erat dan kuat.

Beberapa pertanyaan

Ada yang bertanya berkaitan isu konsisten dalam beramal dan biasanya saya menyebut dalam istilah Arab iaitu Istiqamah.

“ Abang, doakan saya istiqamah dengan apa yang saya perolehi sepanjang kursus tempohari. Rasanya begitu sukar untuk konsisten dengan apa yang abang ajar,” Ujar seorang adik melalui ruangan sembang maya.

“ Alhamdulillah, saya mendapat banyak ilmu dan sehingga kini saya masih konsisten dengan al-Mathurat setiap pagi dan membaca al-Mulk setiap malam sebelum tidur,” Komentar seorang adik yang lain.

“ Saya tidak pernah terfikir bahawa saya boleh melakukan apa yang kita buat sepanjang kursus, Kini saya sudah boleh menjadi Imam dalam solat,” Tambahnya lagi.

Alhamdulillah.Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Kepada Allah jualah kita mengaturkan rasa penuh kesyukuran dan perhambaan kepada-Nya. Dialah yang memberikan segala kekuatan kepada kita untuk melaksanakan dan melakukan semua ini. Dialah Allah SWT, Rabb dan Ilahi yang mengurniakan perasaan untuk terus menerus tunduk dan patuh kepada-Nya.

Saya pernah katakan kepada para peserta dalam sebuah kursus :

“ Bukan mudah untuk kita istiqamah dalam beramal, kecuali ianya adalah rahmat dan bantuan daripada Allah SWT. Tugas kita ialah berazam, bertekad dan berusaha dan terus berusaha.”

Bagi saya, berjaya dan berkesannya sebuah kursus, kem dan apajua program ialah para peserta dapat membumikan dan meneruskan apa yang mereka perolehi sepanjang kursus setelah kursus itu tamat. Maknanya, mereka berjaya mengaplikasikannya secara nyata dan konsisten dalam kehidupan mereka.

“ Tapi, itu macam mustahil la abang. Di tempat kursus, kami ada suasana yang akan merangsang kami untuk melakukannya dan fasilitator yang mendorong untuk kami membuatnya,” Cetus seorang peserta.

“ Tiada yang mustahil, kecuali jika kita punyai hasrat, keinginan dan cita-cita yang tinggi,” Komen saya ringkas.

Pengalaman di JDK 2010/2011

Saya ingin berkongsi kisah dan pengalaman ketika mengendalikan suatu kursus di ILIM, Besut. Antara didikan yang kami perolehi ialah bangun Subuh awal sebelum azan Subuh. Pada minggu pertama kursus, saya kelihatan para peserta kelihatan begitu tertekan dan agak berat melakukannya. Namun, dengan kesabaran dan komitmen yang ada – saya jelaskan kepada peserta dengan didikan tarbawi.

“ Baginda Rasulullah SAW adalah insan yang bangun awal setiap pagi. Baginda dirikan solat Tahajud, solat Taubat dan solat Witir. Inilah kehidupan mukmin, sentiasa cergas, proaktif dan dinamik,” Didikan itu memberikan kesan kepada saya secara tidak langsung.

Saya percaya dan yakin bahawa kehidupan yang terbaik adalah kehidupan baginda Rasulullah SAW. Mencontohi kehidupan baginda adalah suatu keutamaan dalam kehidupan mukmin. Bermula saat itu, kami memaksa diri untuk bangun awal sebelum Subuh. Dan melazimi waktu itu dengan solat Tahajud.

Alhamdulillah, setelah memasuki minggu ke dua dan ketiga kelihatan mereka sudah dapat menyesuaikan diri dan biasa dengan rutin harian ini sehingga kursus tamat. Namun, persoalannya adakah ia akan terhenti setakat ini sahaja?

“ Apa yang adik-adik lakukan di sini, harus berjalan dan dilaksanakan apabila pulang ke rumah nanti. Didikan yang kita terima adalah didikan amaliyah. Proses tarbiyah yang praktikal bukannya teori semata-mata. Inilah kehidupan yang diwarnai dengan keimanan dan kemanisan bertawakal kepada Allah SWT.” Jelas saya kepada mereka.

Tarbiyah bangun awal

Saya berpandangan, bahawa proses mendidik diri bangun awal sebelum Subuh adalah proses yang sangat penting dalam pembangunan keinsanan dan keimanan. Saya membaca banyak kisah Nabi, para sahabat, para alim ulamak dan juga pejuang-pejuang agama Allah SWT kebanyakan mereka telah mendidik diri serta melazimi kehidupan mereka dengan bangun awal sebelum subuh.

Mereka bangun awal dengan niat dan harapan yang sangat mulia dan agung. Iaitu menyendiri dan bermunajat kepada Allah SWT. Rupa-rupanya inilah rahsia kekuatan mereka dalam mengharungi samudera kehidupan.

Saya begitu terpegun dengan kata-kata seorang ulama soleh, Al-Fudhail bin Iyadh : “ Jika matahari telah terbenam, saya merasa gembira akan datangnya gelap. Sebab, orang-orang akan tidur sementara saya menyendiri bersama Allah SWT.”

Inilah perasaan yang halus, bening dan jernih. Perasaan yang agung ini tidak akan muncul melainkan dari hati orang yang betul-betul telah mendalaminya. Alangkah indahnya saat itu, menyendiri bersama kekasih hati.

Solat Tahajud, adalah lambang kemuliaan seorang mukmin. Ia akan mengangkat darjat tertinggi di sisi Allah SWT bagi yang istiqamah dan ikhlas melaksanakannya. Malah, hamba Allah yang melazimi solat malam akan sentiasa bersinar wajah dan berseri-seri wajahnya.

Hasan Al-Basri pernah ditanya, “ Mengapa orang yang rajin bertahajud di malam hari merupakan orang yang paling rupawan wajahnya?,” Beliau menjawab, “ Sebab mereka menyendiri bersama Ar-Rahman, Dia pun mengenakan baju cahaya untuk mereka.”

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Dan pada sebahagian malam hari solat Tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabb-Mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” [1]

Tips Istiqamah bangun awal sebelum subuh

Mungkin ini sebagai pengulangan atau info tambahan buat diri saya dan adik-adik yang bertanya. Semoga kita belajar untuk istiqamah. Konsisten itu adalah lambang keseriusan dan kesungguhan kita.

(1) Sebelum tidur pastikan kita tidak memperbanyakan makan atau minum. Pastikan perut kita berada dalam keadaan selesa.

(2) Tidak melakukan dosa dan maksiat di siang hari. Inilah penyebab utama kenapa kita sukar untuk bangun awal. Ia menjadi bebanan yang menyeksakan.

(3) Sebelum tidur, ambil wudhuk dengan jiwa yang tenang. Dirikan solat sunat Taubat 2 rakaat dan mohon keampunan kepada Allah SWT. Jika berkesempatan baca surah Al-Mulk sebagai penutup malam hari.

(4) Pastikan tempat tidur selesa, bersih dan selamat. Sebelum tidur – baca doa sebelum tidur, bacaan 3 Qul dan hembus ke tapak tangan lalu disapu keseluruh tubuh ( seperti yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW).

(5) Tidur mengiring ke kanan dan berniatlah untuk bangun awal sebelum Subuh. InsyaAllah akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

(6) Cuba lah dulu, jika ada apa-apa masalah boleh tinggalkan komen di bawah. Kita boleh perbincangkannya diruangan komentar nanti.

Sekian, sedikit perkongsian untuk manfaat bersama. InsyaAllah.

[1] Al-Isra 17 : 79

Read more...

Memori Indah JDK Zon Timur

Tuesday, January 18, 2011

Di sini ia bermula, ILIM Besut

Justify Full
Memori Indah JDK Zon Timur

Oleh : BroHamzah

Sunyi & Kelam

Pagi ini saya bangun dari tidur, berbeza daripada pagi-pagi yang sebelumnya. Jika sebelum ini, saya akan bangun seawal 5.00 pagi untuk bersiap diri, mandi dan berwudhuk dan terus mencapai healer lalu menekan punat siren sebagai bunyi amaran awal untuk mengejutkan para peserta daripada tidur.

Suasana pagi yang hening dan damai di sekitar Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Besut menjadi bingit seketika. Begitulah setiap pagi, semua adik-adik peserta JDK Zon Timur ( Syabab & Nisaa’) dilatih untuk bangun sebelum azan Subuh dan berkumpul untuk sesi roll call tepat jam 5.30 pagi.

Kursus JDK Zon Timur memberikan saya satu pengalaman yang berbeza dan berharga setiap kali detik waktu berlalu. Selama 22 hari mengendalikan kursus ini sebagai Kem Komandan – ia benar-benar mendidik saya untuk memahami ERTI MEMBERI & BERKORBAN!


Kem Komandan bersama Pengurus Kursus, En Jamil Bin Muda

Dialog Rutin

“ Assalamualaikum, perhatian kepada semua peserta – Syabab & Nisaa’- anda dikehendaki berkumpul di Dataran JDK dengan segera!,” Laungan suara itu memecahkan lagi suasana pagi yang tenang.

“ Dalam kiraan 20, SEMUA SEKALI – berkumpul di Dataran. 20 19 18 17 16 15 14 13 12 11...4 3 2 1 ”

Laungan itulah yang menjadi rutin harian saya sepanjang 22 hari. Tanpa jemu dan bosan saya melakukannya dengan tekun, bersungguh dan serius. Entah mengapa, sepanjang tempoh itu saya begitu bahagia berbuat demikian. (‘’,)

“ Para ulamak menyatakan bahawa, seorang mukmin itu dikira lalai dan lemah, jika dibangun ketika azan Subuh berkumandang. Seorang mukmin harus bangun sebelum azan Subuh,” Kata saya kepada adik-adik peserta saban hari.

Bermula bangun pagi sehingga ke saat adik-adik hendak melelapkan mata – saya menemani dan bersama mereka di sepanjang kursus ini. Kerana itulah, saya benar-benar merasai kebersamaan dan jalinan persaudaraan bersama mereka.

22 hari, mungkin bagi sesetengah orang adalah tempoh yang sangat lama bagi sesebuah kursus sebegini. Tetapi bagi kami, ia adalah tempoh yang sangat singkat dan pendek. Pejam celik, pejam celik – kursus sudah pun tamat dan selesai.

Jika ditanya tentang perasaan saya sepanjang kursus ini, - saya sebenarnya sukar untuk mengungkapkannya melalui kata-kata mahupun tulisan : Namun mungkin 1 perkataan ini mampu memberikan satu makna.

BAHAGIA.

Ya, saya bahagia menjalani kehidupan di dalam kursus ini. Wallahu’alam, mungkin urusetia, sahabat-sahabat fasilitator dan adik-adik peserta merasai perasaan yang pelbagai, beraneka dan berbeza daripada saya. Namun inilah, cetusan saya.


Adik-adik Nisaa' yang cekal

Sumber bahagia

Bagi saya, sumber kebahagiaan saya dalam mengendalikan kursus ini ialah kekuatan keimanan, ruh keyakinan kepada Allah SWT dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Sepanjang JDK ini, kami semua ditekankan tentang aspek ini. Setiap hari perjalanan kursus dimulakan dengan solat berjemaah, zikir al-Mathurat, hafazan Al-Quran, hafazan hadis pilihan, melazimi solat-solat sunat rawatid dan juga solat-solat sunat lain seperti tahajud, taubat, dhuha dan witir.

Inilah keyakinan saya, untuk bahagia ia harus bermula dengan hakikat keimanan yang nyata kepada Allah SWT. MasyaAllah, jiwa adik-adik sebenarnya lembut, bersih dan putih – kebanyakan mereka telah menghafal Al-Quran dengan jumlah hafazan yang berbeza sehinggakan ada dikalangan mereka sudah menghafaz 30 juzuk.

Pada hari pertama, ketika melakukan sesi taklimat kursus – saya berdiri dihadapan adik-adik dengan rasa sedikit gugup dan berdebar. Tidak tahu mengapa. Saya berdiri tegak lalu memandang wajah-wajah adik-adik lelaki dan perempuan. Saya melihat sinar cahaya pengharapan yang memancar di mata mereka. Saya kaku seketika.

Ketika itu, Allah SWT mengilhamkan saya untuk memberikan satu panggilan khusus buat mereka. Panggilan yang memberikan satu ruh semangat yang membara dan membangkitkan rasa kepemudaan.

“ Selepas ini, untuk adik-adik lelaki abang akan panggil dengan panggilan SYABAB!.”

“ Dan, adik-adik perempuan abang akan panggil dengan gelaran NISAA’!.”

“Boleh atau tidak?,” Soal saya.

“ Boleh !!!,” Laungan mereka yang kuat itu mengetarkan jiwa saya. Dan – saat itu bagaikan satu kekuatan yang luar biasa menyentap sanubari saya.

Bermula saat itu, saya dan sahabat-sahabat urusetia dan juga fasilitator berikrar, berazam dan bertekad untuk memberikan khidmat terbaik dalam mengenalikan kursus ini. Alhamdulillah, kami mengorak langkah dengan langkahan kesepaduan yang erat!


Nisaa' yang akan mengoncangkan dunia

JDK berlangsung dengan lancar

Saya sebenarnya, tidak mahu menceritakan panjang soal kursus ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dengan izin Allah SWT. Banyak manfaat, ilmu dan pengetahuan berguna yang diperolehi oleh kami dan adik-adik peserta. Saya sendiri, banyak menimba ilmu-ilmu baru. Alhamdulillah. Semoga ia menjadi bekalan dan panduan berguna buat kami di masa hadapan. InsyaAllah.

Cuma dikesempatan ini, saya sebagai kem komandan JDK Zon Timur ingin mencoretkan sesuatu khusus buat sahabat-sahabat – pak cik-pak cik & mak cik-mak cik Urusetia, adik-adik Fasilitator dan juga SYABAB & NISAA’ yang dikasihi. Semoga coretan ini memberikan manfaat.

1)- Penghargaan buat kalian semua kerana memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan kursus ini. Antara perkara yang paling menonjol di dalam kursus ini ialah pengorbanan, komitmen, kesungguhan dan kecekalan dalam memastikan kursus ini berjalan dengan lancar. Ada seorang pak cik datang dari Kuala Terengganu dengan menaiki motornya. Perjalanan yang jauh ditempuhi dengan semangat untuk berkhidmat mendidik dan berbakti. Terharu saya melihatnya. MasyaAllah.

2)- Salah satu cabaran dan dugaan menjadi kem komandan ialah bersiap sedia untuk tidak disenangi, disukai dan digemari. Watak sebagai kem komandan perlu saya gayakan dan persembahkan sebaik mungkin agar saya benar-benar menjiwai perjalanan kursus ini. Ketegasan, sikap prihatin, ceria, sentiasa bersemangat, mampu memotivasi, membangkitkan dan sebagainya perlu saya laksanakan dengan sehabis baik. Ada kalanya, sikap kem komandan ini menyebabkan adik-adik benci dan tidak suka terutama dalam soal disiplin. Saya tiada pilihan – tugas saya harus dilakukan dengan baik. Maafkan abang dalam soal ini!

3)- Banyak peristiwa sepanjang kursus ini telah memberikan satu impak yang baik kepada saya. Ada saat saya tersentuh dan sebak terutamanya ketika berkongsi rasa seaktu sesi REFLEKSI. Saya masih ingat, satu slot sesi refleksi tentang hati. Begitu lembut hati adik-adik peserta apabila disebutkan tentang koreksi hati. Ramai yang mengalirkan air mata apabila saya meminta mereka melihat mata hati mereka sendiri. Gugurnya air mata malam itu, membuatkan saya sebak sendirian.- Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang melekat dihati ku ini.

4)- Kebersamaan dan jalinan persaudaraan kerana Allah SWT membuatkan saya MENYAYANGI, MENGASIHI, & MENCINTAI semua insan-insan yang hadir dalam kursus JDK ini. Ketika membaca doa di dalam mathurat iaitu doa rabitah setiap pagi, selalu jiwa saya terasa kehangatan ukhuwah ini dan pernah suatu ketika saya hampir-hampir mengalirkan air mata membacanya. MasyaAllah, inilah indahnya ukhuwah kerana Allah SWT.


Halaqah Al-Quran - ia menghidupkan hati-hati kami



Perbarisan setiap pagi untuk pemeriksaan bilik dan makluman kursus



Gambar kenangan sebelum berpisah

Akhirnya : KHUSUS buat Syabab & Nisaa’ ( Buat adik-adik peserta JDK Zon Timur)

Tahniah dan Syabas kerana sudah berjaya menamatkan kursus ini. Anda semua adalah insan-insan yang luar biasa.

Antara kenangan indah di dalam kursus ini ialah membaca luahan hati anda kepada abang. Ada luahan yang membuatkan abang tersenyum senang, dan ada juga yang mengharukan jiwa ini. Luahan hati anda ketika refleksi yang pertama membuatkan abang terus berusaha gigih untuk memberi tanpa lalai, alpa dan cuai. Niat ketika itu, adalah untuk lakukan yang terbaik.

Buat Syabab yang tidak puas hati dengan abang kerana ketegasan abang dalam soal disiplin dan peraturan kursus – abang mohon maaf andai ketegasan itu membuatkan anda terbeban, terseksa dan merana. Ikhlas dihati hanya ingin melatih antum berdisiplin dan mendidik dengan lebih beraturan.

Buat Nisaa’ sekalian, ketika membaca luahan hati sesi refleksi ke 2 – ramai dikalangan adik-adik Nisaa’ yang tidak berpuas hati dengan abang ketika sesi War Game petang itu. Hampir mengalir air mata ini membacanya. Terima kasih atas teguran dan luahan itu....

Ya Ilahi, ampunilah segala dosa-dosa ku, kealpaanku, kesilapanku, kelemahanku dan ketidakupayaanku dalam mengendalikan kursus JDK ini. Semoga amalan ku yang sedikit ini terima oleh-Mu sebagai amalan soleh.

JATIDIRI yang sebenarnya, baru bermula. Kepulangan anda dirumah adalah medan sebenar untuk adik-adik mengaplikasikan dan mengoperasikan segala ilmu dan amalan sunnah yang kita lakukan sepanjang kursus JDK ini. Ingat pesanan Cikgu Ishak Yusof di saat akhir sesi Sharing Moment :

“ Jangan jadi hamba JDK tetapi jadilah hamba Allah SWT.” – Amalan yang kita buat bukan kerana JDK tetapi kita buat kerana Allah SWT. Bukan hanya dilakukan semasa kursus JDK sahaja, tetapi harus berterus di mana-mana sahaja.”

Marilah sama-sama kita membumikan motto JDK kita ini iaitu, "Syara sentiasa dihadapan, Allah is number one " di dalam kehidupan kita. InsyaAllah.

InsyaAllah. Semoga Allah menerima amalan kita dan merahmati ukhuwah kita semua.
Sekian

Yang memerlukan doa kalian,

Kem Komandan JDK Zon Timur
2010/2011, ILIM Bukit Keluang, Besut
Terengganu




Read more...

Coretan Hati : Kaku

Monday, January 17, 2011

JDK .. TERBAIK!!

Kaku
Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah, diberikan kesempatan mencoret sesuatu. Ramai yang bertanya kenapa lama tidak singgah berteduh di pondok ini? – Saya singgah selalu, tetapi tidak meninggalkan jejak sahaja.

Setelah lama tidak berkongsi, saya kehilangan rentak untuk menukilkan coretan hati dan luahan hati. Ia bagaikan kaku lagi hambar. Entah mengapa? Saya cuba mengambil masa, melihat diri dan menguatkan hati. Ya Ilahi, permudahkan diri ini.

22 hari di Kursus JDK Zon Timur memberikan bekas yang mendalam kepada diri saya. Semalam, hati saya sebak dan terharu mengenangkan sahabat-sahabat Urusetia, adik-adik Fasilitator dan adik-adik SYABAB & NISA’. Bayangkan 22 hari bersama, kebersamaan itu telah mengeratkan ukhuwah kami. Sepanjang kursus ini, saya bertekad untuk memberikan khidmat yang terbaik. Alhamdulillah, saya sebenarnya puas, bahagia dan teruja menamatkan kursus ini. Syukur kepada-Mu Rabbi.

Laungan semangat JDK Zon Timur :

JDK ... TERBAIK!!
SYABAB ... QAWIY!!
NISA’... MUMTAZ

Akan terus mengalir dalam jiwa dan hati saya. Saya benar-benar berhajat untuk menukilkan sesuatu tentang Kursus JDK ini. Banyak perkara yang menyentuh hati, meninggalkan kesan di sanubari dan berbekas di jiwa ini. InsyaAllah, akan dikongsikan sedikit masa lagi.

Buat adik-adik SYABAB & NISA’,

Abang Irfan ingin memohon maaf kepada kalian. Maafkan ku. (‘’,)
Kem Komandan JDK Zon Timur.


Read more...

Bersama saya @ Langit Ilahi.Com

Monday, January 3, 2011

Langit Ilahi.Com - Mari Menjadi Hamba


Bersama saya di Langit Ilahi

Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah, dengan masa yang terluang sedikit ini saya sempat mencoret sesuatu di pondok teduhan saya ini. Alhamdulillah.

Sekadar makluman buat sahabat-sahabat, bermula semalam saya telah pun memulakan perkongsian saya di website Langit Ilahi yang baru. Buat masa ini kami namakan ia sebagai Langit Ilahi v2. Dalam tempoh fasa penyesuaian dan percubaan ini, saya sendiri sedang belajar banyak perkara termasuklah melibatkan perkara-perkara praktikal berkaitan pengendalian website. Alhamdulillah.

Untuk perkongsian di Langit Ilahi.Com saya diamanahkan untuk membincangkan suatu tajuk yang mungkin agak asing dalam masyarakat hari ini. Tajuknya ialah Himmah. Apa itu himmah? – Jika anda berhajat untuk mengetahuinya boleh melayari website Langit Ilahi. Sila ke sini.


Antaramuka Website LangitIlahi.Com


Penutup- Komentar seorang hamba

(1)- Tahun 2011, merupakan fasa-fasa tahun yang akan merubah banyak perjalanan kehidupan saya daripada yang sebelumnya. Semoga perubahan ini akan terus mendewasakan dan mematangkan saya dalam mengemudi kehidupan dalam lingkungan syara’. Saya melihat kepada perancangan 2011 – banyak perkara yang harus dijanakan dan digerakan. Dan yang terpenting ialah kekuatan jiwa dan keteguhan hati saya untuk cekal dan tabah untuk membumikannya di alam nyata. Dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT, saya membulatkan tekad ini dan berserah kepada-Nya.

(2)- Projek Langit Ilahi adalah projek yang saya terima dengan jiwa dan hati yang terbuka, senang dan teruja. Kerana apa? Saya membayangkan melaluinya saya perlu berusaha keras untuk mendisiplinkan diri dan belajar soal komunikasi serta kerjasama yang erat sesama team Langit Ilahi. Menariknya, sehingga kini – kami berkomunikasi, berbincang, bekerja dan berinteraksi sebagai satu kumpulan hanya melalui alam maya!. Satu pengalaman baru buat saya. Bukan satu kerja yang mudah sebenarnya. Cetusan idea bermula sekitar bulan Julai 2010 dan proses membina team LI bergerak beberapa minggu selepas itu. Alhamdulillah, kini ia menjadi kenyataan. Dan kini, adalah tugas untuk menjadikannya platform untuk perkongsian kebaikan, kebenaran, nasihat, peringatan dan tazkirah kehidupan.

(3) Himmah adalah satu perkara yang baru bagi saya. Pertama kali mendengarnya kira-kira 3 tahun lalu. Masih mencari titik-titik kekuatan dan nadi yang mampu membangkitkan himmah dalam diri saya. Doa saya, agar kita sentiasa aktif, cergas, dinamik, bersungguh-sungguh, berdisiplin dan penuh komitmen dengan ruh himmah ini.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP