Malam yang kelam itu

Wednesday, May 25, 2011


Disebalik kegelapan, kekelaman dan kesunyian malam, Ia telah membuka pintu cahaya yang terang buat hati-hati yang dikasihi -Nya.


Malam yang kelam itu
Oleh : BroHamzah


“Inilah cetusan nuraniku,”

Monolog sepi seorang pemuda.

Dia ingin berkongsi jiwa.

Pemuda yang dahulu keras dan kaku hatinya terhadap seseorang. Bahkan, titian nuraninya dengan insan lain tidak berbekas dan bersambung. Jiwanya tipis dengan ruh kasih sayang. Atmosfera jiwanya tidak meruap dengan kehangatan cinta terhadap manusia yang hidup berdampingan dengannya.

Namun, segalanya berubah dengan izin-Nya. Langit yang sebelumnya kelam dan suram, kini awanan berarakan pergi memberikan laluan kepada cahaya yang bersinar terang. Inilah ibrah buat jiwa-jiwa yang gersang.

Kisahnya bermula di suatu awal pagi yang kelam pekat. Saat insan asyik dibuai mainan mimpi yang indah lagi mempesonakan.

Aku tersedar dari lenaan yang panjang. Sungguh, semalam sangat memenatkan dan melelahkan.

Terjaga dari ulitan tidur yang nyenyak, aku terdengar sayup-sayup kokokan ayam jantan dan bunyi kicauan burung yang menenangkan fikiran.Terasa hati ini berbunga-bunga lembut. Bagaikan hembusan angin sepoi-sepoi yang menyentuh kulit dengan penuh kedinginan dan kesejukan yang enak.

Mataku dialihkan ke dinding rumah usang milik peninggalan arwah ayah. Rumah yang telah lama ditinggalkan saban tahun. Hatiku sudah tawar untuk pulang ke teratak buruk selepas peristiwa yang menguriskan jiwa yang lara. Ah, biarkan semua itu berlalu.

Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi menandakan waktu masih awal sebelum masuk waktu subuh. Langit tenang namun tidak menampakan taburan bintang yang bergemerlapan indah.

“ Mungkin hendak hujan,” Getus hatiku.

Aku turun ke telaga untuk menyucikan diri. Air yang jernih itu, sangat-sangat sejuk menusuk sehingga ke tulang putih yang dalam. Simbahan air itu mengalir menyeluruh ke tubuhku. Curahan air itu, ku sambut dengan belaian yang lembut ke seluruh tubuh dengan keharuman sabun “ Zaitun”. Luar biasa perasaan ku kali ini, seolah-olah inilah pertama kali aku sebegini.

“ Nyamannya...” Hatiku terus bermonolog sendirian.

Kotak memoriku bagaikan memutarkan kisah-kisah silam sepanjang aku membesar dirumah ini. Kisah-kisah hitam putih kehidupan yang memeritkan, menyakitkan dan memenuhi segenap kelukaan hati. Aku benci semua ini! Ia sangat-sangat pedih untuk diimbas.

Setelah usai mandi, aku bergerak menuju ke bilikku. Langkahanku kemas menuju ke sana. Melewati suatu sudut di ruangan rumah dan bebola mataku terpaku kepada suatu arah. Kelihatan, ada insan sedang bersunyi-sunyi dalam suasana yang gelap di ruangan tamu. Suara yang serak-serak basah dan sayup-sayup kedengaran penuh syahdu. Langkahku terhenti. Telingaku memfokuskan sesuatu.

Selang seling dengan esakan dan tangisan yang bersangatan. Aku amati dengan teliti, itu adalah ibuku. Ibu yang aku tinggalkan buat sekian lamanya.

Ibu sedang solat tahajud sambil menangis bermunajat kepada Allah. Tiba-tiba, bagaikan suatu perasaan yang lembut tertiup lembut dalam perasaan ku.

Aku terasa sebak. Entah mengapa. Butiran-butiran munajat ibu dapat aku dengari walapun perlahan.

Ibu berdoa :

“Ya Allah, Ya Rabbul Jalil, Ya IIahi - di pagi hari yang mulia ini aku memohon kepadamu supaya melembutkan hati anakku, permudahkan segala urusan hidupnya Ya Allah…”

Jantungku berdenyut kencang. Dadaku berombak-ombak. Tarikan nafasku juga semakin melaju.

Bergetar hatiku apabila mendengar rintihan ibu yang menusuk dan menikam jantungku. Tusukan itu mengenai tepat ke relung-relung jiwa aku itu. Butir-butir doa ibu umpama duri-duri yang menusuk halus. Duri kecil yang tajam yang meninggalkan bekas. Aku terasa sangat-sangat.

“ Ya Ilahi, ampuni segala dosa anakku. Sesungguhnya, dia tidak mengetahui hakikat yang sebenar. Rahmatilah dirinya, redhailah dan berikanlah keampunan-Mu terhadapnya..”

Tangisan ibu menenggelamkan suara munajatnya yang panjang. Aku termanggu seketika. Hiba, terasa bersalah dan timbul penyesalan. Tanpa sedar, manik-manik air mata ku terbit dari kelopak mataku. Ia mengalir deras membasahi pipiku yang kering.

Apa yang telah terjadi kepadaku? Aku bingung. Satu perasaan yang luar biasa telah menyelubungi seluruh jiwa, perasaan, nurani dan hatiku. Bingkas aku bergerak menuju ke bilik dengan linangan air mata yang hangat.

Aku menangis dan terus menangis di dalam bilikku,esakan tangisan yang telah lama luput dari diriku. Air mata yang menghujani kolam hati terus menerus tanpa henti. Lebat selebatnya. Aku – aku berperasaan sebegini kerana selama ini aku banyak bersangka buruk dengan ibuku.

“Ya Allah betapa besarnya dosa-dosaku terhadap ibuku selama ini…”

“Ya Allah...”

“Ya Ilahi...”

“Ya Rabbi.......”

Selimut biru kepunyaan ku dicapai, air mata yang kian tertumpah dengan banyaknya itu – dikesatkan dengan penuh kehibaan, penyesalan dan bebanan perasaan yang bersangatan.

“ Ya Allah, apakah yang ingin Engkau tunjukan kepadaku? Ya Ilahi, berikan kepadaku jawapan dan kekuatan,” Aku tidak mampu untuk menahan tangisan dan bebanan
jiwa ini.

Saat ini, bayangan wajah ibu yang kian menua terpancar di hadapan mataku. Matanya, raut rupa dan kedutan-kedutan kulitnya jelas kelihatan. Ukiran senyuman yang tidak pernah sirna daripada air mukanya membuatkan aku lagi tertusuk.

“ Ibu,” Aku memanggil kuat, tetapi tidak terpacul keluar di dinding bibir. Ia hanya di dalam hati. Malah tersekat di kerongkong tanpa butiran suara yang nyata.

“ Ibumu hanya berada sepemisahan dinding. Saat inilah saat yang terbaik buatmu. Hulurkanlah tanganmu mengucup jari jemari yang kasar kulitnya, kucuplah pipinya yang berkedut itu dan rasailah dakapan kehangatan kasihnya. ” Suatu suara bergema kuat membuatkan aku terkejut.

Ia umpama kejutan elektrik dengan voltan yang sangat tinggi. Aku kian panas tidak keruan.

“ Jangan suatu saat nanti, ibumu terbaring bagaikan sekujur tubuh yang kaku dibaluti kapan putih – barulah engkau ingin memeluknya dengan hibaan penyelasan!,” Suara itu semakin meninggi.

Kata-katanya bagaikan petir yang menyambar seluruh batang tubuhku.

“ Mampukah aku?,” Soal diriku seperti dalam kebodohan, terpinga-pinga dan tanpa arah tujuan.


BroHamzah
Kota Bharu I Kelantan Darulnaim
26 Mei 2011

6 comments:

ummu May 26, 2011 at 1:23 PM  

assalamualaikum
kasih sayang seorang ibu memang mendalam buat anaknya,dan cantiknya susunan Allah,anak2 hormatilah ibumu, isteri2 hormatilah suamimu.MashaAllah.
teringat semasa dimatri waktu pertama kali beraya aidil adha di sana, airmata mengalir dan ibulah insan pertama yang ditelefon.syukur di bumi bertuah itu, saya dikurniakan cikgu2 yang merangkap ibu.

BroHamzah May 26, 2011 at 8:36 PM  

Walaikumusalam

Syukran atas perkongsian yang penuh makna. Syariat menghormati ini akan menumbuhkan kasih sayang sesama manusia. Inilah keindahan Islam yang sangat-sangat mendamaikan dan membahagiakan.

InsyaAllah
BroHamzah

hamba Ilahi May 27, 2011 at 1:33 AM  

assalamualaikum ustaz..
satu perkongsian yang amat mendidik jiwa
kembali menghayati pengorbanan dan jasa seorang ibu yang tidakkan mampu dibalas.

ana cuma nak beri komen :) boleh ya ^^
perkongsian kali ni bahasanya boleh dikatakan puitis, dan agak berat juga, pertama kali baca-cuba memahamkan dan menghadamnya
baca kali kedua-sudah mampu merasa
baca kali ketiga- baru benar-benar terkesan di jiwa dan mampu menjiwai dan merasainya. alhamdulillah.

teruskan menulis dan meningkatkan skill penulisan ya ustaz
cuma bagi ana perkongsian kali ini sangat puitis, jadi ambil masa untuk benar-benar terkesan dan menjiwai perkongsian ini,

maaf jika ada tersalah bahasa

syukran jazilan kerna sudi baca komen dari saya :)

BroHamzah May 27, 2011 at 8:32 AM  

hamba Ilahi

Walaikumusalam, syukran atas komentar. Benar, sengaja ia dipuitiskan. Dan, saya sendiri berkali-kali banyak untuk memahami daripada pelbagai sudut.

Ada kalanya, kita sendiri cuba untuk menyelaminya. Syukran, atas komentar yang sangat baik ini. Ia adalah cubaan saya dalam bentuk penceritaan. Ada yang memberi komen - agak berat dan susah untuk masuk line.

Wallahualam
BroHamzah

.::: mr IQ :::. May 27, 2011 at 9:51 AM  

enta ni makin pandai berpuitis-puitis dah ni... mmg mantop lah... hahaha

BroHamzah May 29, 2011 at 7:24 PM  

mr IQ

Masih bertatih la sheikh.
BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP